Oleh AZIZ BARI
Berasaskan kepada
laporan media mengenai krisis politik Selangor mungkin ada yang mendapat
tanggapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempunyai kebebasan untuk
memilih langkah yang dirasakannya selamat.
Bagaimanapun pada hakikatnya pilihan beliau tidaklah seluas dan sebebas
itu. Ini kerana bukan semua pilihan itu berada di tangan beliau. Sebagai contoh, Khalid tidak boleh melarikan diri dari undi tidak
percaya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor dengan memohon pembubaran
DUN.
Ini kerana sultan hanya boleh membubarkan DUN sekiranya keadaan sesuai.
Permintaan membubar DUN dari menteri besar yang sedang diancam oleh
undi tidak percaya tidak boleh diperkenankan. Dengan kata lain,
sekiranya setiap pilihan itu dilakukan mengikut prinsip dan amalan yang
betul di sisi perlembagaan, Khalid tidak mempunyai kebebasan untuk
memilih apa yang disukainya.
Bagaimanapun tindakan politik tidak semestinya dibuat mengikut prinsip.
Sebab itu tindakan Sultan Azlan Shah menolak permintaan membubar DUN
Perak dan memecat menteri besar Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin
dalam krisis politik 2009 dianggap salah dan dikritik hebat.
Tindakan bekas Ketua Hakim Negara itu dililhat mempunyai kesan berat
sebelah dan tidak mengikut ideal yang ditetapkan oleh perlembagaan.
Situasi sedemikian boleh berlaku di Selangor. Apa pun kita perlu
meneliti prinsip yang betul. Sama ada ia berlaku atau tidak itu soal
istana dan pemain yang ada. Apa pun keputusan dan tindakan mereka semuanya akan menjadi sejarah dan
akan dinilai oleh generasi kemudian. Sultan Azlan Shah mungkin
dilindungi oleh Akta Hasutan ketika itu dan sekarang.
Bagaimanapun apakah ada jaminan sedemikian 10, 20 atau 100 tahun
selepas ini? Nasib baginda mungkin tidak banyak berbeza dengan Sultan
Mahmud mangkat dijulang yang tidak dinilai dengan simpati oleh sejarah. Berbalik kepada senario di Selangor, Khalid memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya jangan berbuat apa-apa kepada beliau.
Sementara itu perkembangan terkini di mana presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang memberi sokongan kepada Khalid kelihatan memberi
harapan kepada menteri besar yang tidak digemari oleh PKR itu. Bagaimanapun Hadi sendiri nampaknya sedar PAS sendiri tidak sekata
dalam soal ini. Kita masih ingat tahun lepas PAS sendiri ikut serta
dalam kumpulan penyokong kerajaan dalam DUN Selangor yang tidak selesa
dengan cara Khalid mentadbir negeri.
Usaha menyingkirkan Khalid tidak memerlukan semua 15 ADUN PAS. Satu
atau dua ADUN dari PAS sudah cukup untuk memenangkan undi tidak percaya
yang didokong oleh PKR dan DAP.
Sehingga ini, DAP memberi sokongan padu kepada resolusi menyingkirkan
Khalid. Dan dalam PKR, hanya Khalid yang menentang resolusi itu.
Sementara itu speaker, ADUN DAP, boleh mengundi sekiranya kedua-dua
pihak mempunyai jumlah yang sama.
Apa pun situasi yang lebih pasti ialah ketidaktentuan. Dan keadaan
tidak menentu atau “seri”dalam DUN Selangor sejak Hadi bersuara semalam
memberi alasan kepada sultan untuk membubarkan dewan. Dari perspektif istana, dewan perlu dibubarkan kerana sudah wujud
keadaan tidak menentu akibat kedua-dua pihak, yakni yang menyokong dan
menentang Khalid, seolah-olah sama kuat.
Dalam keadaan sebegini, yang sebenarnya sama dengan senario dalam DUN
Perak sewaktu krisis politik 2009, istana perlu mengambil inisiatif
untuk menjernihkan keadaan. Dari perspektif perlembagaan, istana mempunyai tanggung jawab untuk
mempastikan sebuah kerajaan wujud setiap masa. Dalam lingo
perlembagaan, sebuah kerajaan perlu untuk menasihatkan baginda.
Dalam bahasa biasa, sebuah kerajaan perlu ada setiap masa untuk
memerintah dan memerintah di sini maksudnya membuat keputusan dan
bertanggung jawab kepada dewan. Sebagaimana yang termaklum perkhidmatan
awam tidak dipilih oleh rakyat dan oleh itu tidak boleh
dipertanggungjawabkan.
Bagaimana dewan boleh dibubarkan jika menteri besar tidak atau enggan membuat permintaan? Sebenarnya ada dua situasi di mana dewan boleh dibubar. Yang pertama
melalui permintaan dari kerajaan yang ada dan yang kedua atas inisiatif
istana sendiri. Pembubaran yang kedua ini relevan dalam keadaan yang
kritikal.
Ini berlaku, sebagai contoh, apabila kerajaan yang ada enggan membuat
permintaan membubar dewan sedangkan sokongan dalam dewan sudah tidak ada
atau kian kabur. Dalam situasi sebegini, istana perlu mengambil inisiatif. Ini perlu
supaya keadaan tidak menentu dapat ditamatkan dan rakyat boleh membuat
keputusan tentang siapa yang mereka mahu untuk mentadbir negeri.
Apa yang kelihatan di Selangor sekarang, khususnya selepas kenyataan Hadi, ialah situasi tidak menentu atau tidak jelas. Dan istana tidak boleh membuat keputusan tentang siapa sebenarnya yang
mempunyai dokongan majoriti dalam dewan, sesuatu yang perlu untuk
kerajaan meneruskan agenda dan pentadbirannya. Dalam keadaan sebegini, rakyatlah sebaik-baik hakim. Lagipun urusan
membentuk kerajaan dalam sistem demokrasi ialah hak rakyat. Istana
sekadar membantu.
Sekiranya pilihan raya negeri Selangor diadakan, hasil dari pembubaran
dewan ia jelas tidak menguntungkan Khalid secara peribadi. Ini kerana PKR sudah pasti tidak akan mencalonkan beliau. Apa pun
kedudukan Khalid sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah arah
tuju negeri itu sendiri. Pilihan raya juga penting untuk rakyat menilai Pakatan Rakyat. Dan
mereka akan dapat menimbang apa yang didakwa oleh PKR dan juga DAP
tentang Khalid selama ini. Dalam masa yang sama, rakyat akan menilai
tindak tanduk PAS yang sikapnya tidak jelas dan berubah-ubah.
Dalam pada itu Umno-Barisan Nasional akan menggunakan kesempatan itu untuk kembali berkuasa.
Bagaimanapun itu tidak mudah untuk berlaku kerana meskipun kajian
UMcedel menunjukkan sokongan untuk Pakatan turun 15% sokongan kepada
Umno-BN tidak berubah. Ini semacam memberi isyarat rakyat mungkin letih dengan Pakatan tetapi
mereka tidak semestinya akan mengundi Umno-BN. Sekiranya pilihan raya
diadakan, kita akan tahu apa yang sebenarnya rakyat mahu.
Atas alasan itu adalah wajar jika istana Selangor mengambil langkah
yang berbeza dari istana Perak yang jelas membuat perkiraan yang tidak
tepat pada 2009. Tetapi apa yang lebih penting ialah langkah membubar dewan dibenarkan oleh perlembagaan, undang-undang utama negara.
Apa yang menarik secara keseluruhanya dalam krisis menteri besar
Selangor ini ialah ia bermula dengan parti, khususnya PKR, semacam mampu
membuat keputusan dan mengawal keadaan.
Tetapi ini kelihatan berubah dan tidak mustahil jika selepas ini krisis
ini akan berakhir dengan kata putus berada di tangan pihak lain,
khususnya istana. Apa pun yang penting rakyat diberikan peluang untuk membuat keputusan
tentang siapa yang mereka mahu untuk memimpin dan mentadbir negeri
Selangor. – 27 Julai, 2014.
Dr Abdul Aziz Bari ialah mantan profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel.
Lihat sebelum ini
* Bahagian 1 dan 2.
Lihat sebelum ini..E-Buku IH-89: Anwar-Khalid -Gelombang Kopi Dalam Cawan?