Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
ALOR SETAR - Pas kawasan Kuala Kedah mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat
(PR) Kedah supaya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah
serentakjika Parlimen dibubarkan, selagi kerajaan tidak menunaikan
tuntutan Bersih 3.0 terutama membabitkan daftar pemilih.
Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, Pas kawasan
Kuala Kedah menyatakan pendirian itu setelah mendapat undian majoriti
yang bersetuju dengan usul itu kerana berlaku pertambahan yang mendadak
dalam senarai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2012yang
dibentangkan Rabu lalu.
“Kita ambil serius isu ini memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir.
“Jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kita mahu Kedah tidak
bubarkan Dun serentak kerana kita mempunyai alasan yang kukuh menolak
pilihan raya diadakan serentak dengan kerajaan Barisan Nasional (BN),”
katanya, selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Kedah ke-38,
yang dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Hadir sama, Timbalan Yang Di Pertua, Datuk Ir Amiruddin Hamzah; Naib
Yang Di Pertua, Mohd Nasir Mustafa; Ketua Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd
Azizi Abdullah serta Setiausaha, Aris Awang.
Menurutnya, pihaknya meragui kewujudan lebih 900 pengundi baru yang
didaftarkan dalam kawasan Dun Kubang Rotan bawah Parlimen Kuala Kedah,
kerana ianya melebihi peningkatan sebanyak 12 peratus.
“Pertambahan ini mendadak dan terlalu banyak dalam Dun Kubang Rotan,
berdasarkan pengalaman lepas, tidak mungkin pertambahan melebihi 12
peratus. Ia amat diragui dan jentera parti akan membuat semakan,
seterusnya membuat bantahan jika ada keperluan,” katanya.
Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, pihaknya masih
belum berpuas hati dengan daftar pemilih sedia ada kerana masih banyak
timbul keraguan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui telah
membuat pembersihan daftar pemilih.
“Usul ini yang juga pendirian Pas kawasan akan dikemukakan kepada
Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul
Razak dalam masa terdekat. Kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan
Pas Kedah untuk membuat pertimbangan,” katanya, yang juga Timbalan
Pesuruhjaya I Pas Kedah.
Menurutnya, cadangan usul ini dikemukakan berikutan Pas Kedah belum
menetapkan pendirian sama ada akan mengadakan PRU13 secara berasingan
atau serentak, selepas Parlimen bubar.
Sementara Pengerusi Jawatankuasa Usul yang juga Ketua Penerangan Pas
Kawasan Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, keahlian Pas kawasan itu
mencecah lebih 7,000 ahli dan sebanyak tiga usul diluluskan dalam
mesyuarat itu.
“Usul daripada Pemuda pula mencadangkan supaya dilantik golongan ulama
dalam jawatankuasa pentadbiran negeri, termasuk syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) bagi memberi pandangan berkaitan hukum hakam agama,”
katanya.
Menurutnya, ianya supaya golongan ulama diberi peranan lebih besar
dalam kerajaan, terutama dalam bidang pendidikan dan aspek keagamaan.
“Usul ketiga daripada Dewan Muslimat pula mencadangkan Kerajaan Negeri
mempertimbangkan elaun khas takziah kepada balu yang kematian suami
dalam tempoh edah bagi mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya (SH)