Friday, May 02, 2008

Sejarah PAS 13: Bahaya Dari Gunung?




IBNU HASYIM:
Fokus Sejarah PAS Siri 13


TUDUHAN penjajah melalui lidah pemimpin UMNO waktu itu, sebagai ‘bahaya dari gunung’ ke atas penentang-penentangnya, bukanlah hanya ditujukan kepada golongan-golongan nasionalis kiri atau golongan komunis, tetapi sasaran sebenarnya ialah kepada gerakan Islam yang berpusat disekitar Gunung Semanggul.

Dendam kesumat bangsa barat hasil dari pertembungan antara Islam dengan Kristian di medan Salib pada penghujung abad 11 Masehi di Asia Barat, menyebabkan mereka melihat setiap gerakan Islam sebagai musuh digeruni, yang perlu diawasi dan dihapuskan. Gunung Semanggul telah menjadi pusat gerakan Islam di Malaya. Maahad Al-Ihya Al-Syarif telah banyak melahirkan tokoh-tokoh gerakan Islam.

Di situ juga pernah menjadi tempat Persidangan Ekonomi-Agama Se Malaya yang menghasilkan penubuhan PEPERMAS (Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya) dan MATA (Majlis Agama Tertinggi Se Malaya). Hizbul Muslimin juga ditubuhkan di Gunung Semanggul. Walaupun begitu semasa pilihan raya 1955, ahli PAS di mukim Gunung Semanggul dan Selinsing yang bersempadan dengannya, cuma mempunyai 11 orang sahaja, termasuk Ustaz Uthman Hamzah.

Ahli-ahli PAS di Gunung Semanggul mula bergerak mendaftar ahli-ahli sekitar tahun 1955. Pada awal 1956, baru PAS Cawangan Gunung Semanggul ditubuhkan dengan rasminya. Lepas itu pegawai cawangan tersebut seperti Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Ustaz Uthman Hamzah dan lain-lain diundang memberi penerangan di Kerian, Selama, Batu Kurau, Taiping, Changkat Ibul, Bukit Gantang dan Beruas.

Bertolak dari Gunung Semanggul PAS terus merebak ke Parit. Di Parit pula seorang pemuda, guru Sekolah Melayu bernama Alias Ibrahim, telah berjaya menghimpunkan kira-kira 400 orang untuk tubuh cawangan PAS di Parit. Parit dikatakan kubu kuat UMNO kerana berjaya menumpaskan lawannya Parti Kemedekaan Perak (NIP) dalam pilihan raya 1955 hingga hilang wang pertaruhan. Yang Berhormat wakil tunggal PAS juga turut berucap.

Waktu itu wakil tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ialah Encik Ahmad Kamal dari Kawasan Kerian Laut dan wakil tunggal PAS bagi kawasan parlimen Kerian, Perak, iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin. Saya (penulis buku ini) tidak pasti mana satu yang berucap seperti yang dinyatakan dalam pertemuan saya dengan Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah sekitar awal tahun 80an semasa beliau bertugas di Pejabat Agung PAS Jalan Pahang Kuala Lumpur.

Ustaz Uthman Hamzah yang baru 3 minggu pindah bertugas di sana pada akhir tahun 1957 turut memainkan peranan penting dalam penubuhan cawangan tersebut. Beliau telah dilantik menjadi AJK merangkap Pegawai Penerangan hingga ke tahun 60an, sebelum dipanggil bertugas sebagai Pegawai Penerangan PAS peringkat pusat. PAS Parit menyertai pilihan raya Persekutuan 1959, walaupun tidak menang tetapi tidak hilang wang pertaruhan.

Cuma Ustaz Baharuddin Latif sahaja satu-satunya calon yang berjaya memenangi kerusi DUN Gunung Semanggul di Perak dalam pilihan raya Persekutuan 1959, sewaktu PAS menawan Kelantan dan Terengganu.

Seorang lagi pengasas Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul, seorang jurutera, Haji Ariffin Alias yang juga pernah jadi Ketua Hizbul Muslimin Johor. Beliau telah menubuhkan cawangan pertama di Johor dan menjadi penggerak ke arah penubuhan cawangan-cawangan seterusnya. Ia dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dari 1954 hingga 1963. Menjelang pilihan raya 1959 kempen-kempen terus diperkuatkan di Johor oleh PAS Pusat.

PAS Pusat telah menghantar Pegawai Penerangannya seperti Saudara Ismail Haji Othman dari Melaka dan Saudara Othman Ahmad dari Kelantan, dibantu oleh Dr Burhanuddin dan Saudara Othman Abdullah. Cawangan-cawangan terus tumbuh bagaikan cendawan di musim hujan, terutamanya di daerah Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 ditubuhkan cawangan di Sungai Tempayan, Pontian. Pada 19 Julai tahun yang sama ditubuhkan di Rengit, dan dalam bulan itu juga ditubuhkan di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat.

Pada 3 Ogos pula cawangan di Pulai Sebatang, dan sehari selepas itu di Parit Karimon. Pada 3 Ogos juga suatu kempen pilihan raya telah diadakan di Jementah, menandakan pengaruh PAS mulai merebak ke kawasan Segamat dalam tahun tersebut. Dalam majlis penubuhan PAS di Kampung Parit Jatuh, Ketua Penerangan PAS Johor ketika itu, Haji Mohammad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor dianggap ‘parti nyamok’ oleh komponen Perikatan, kerana saingan hebat Perikatan Johor pada masa itu ialah Barisan Sosialis.

Dalam pilihan raya ini juga, parti-parti pembangkang di Johor terpaksa bertanding sesame sendiri, setelah hasrat untuk bergabung dalam satu front gagal dilakukan. Setakat 14 Ogos 1959, PAS Johor telah berjaya menubuhkan 15 cawangan, yang mana cawangan ke 15nya ialah di Kampung Parit Mustapha, Simpang Kiri. Dalam bulan Ogos juga, Ketua Dewan Ulama PAS Johor membuat kenyataan di Parit Kassim, Batu Pahat, bahawa perjuangan PAS ialah untuk mengawal hak Orang Melayu dan agama Islam.

Dalam tahun 1959 juga, pengaruh awal PAS di Keluang mula bertapak di Ayer Hitam. Melihat kepada perkembangan tersebut, maka PAS Johor cuba menguji kekuatannya melalui pilihan raya Persekutuan 1959 dengan meletakkan 3 calon peringkat parlimen, iaitu di Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara. Juga 9 calon di peringkat negeri, iaitu di Pontian Dalam, Benut, Serom, Rengit, Ayer Hitam, Tanjung Sembrong, Parit Jawa, Parit Bakar dan Jorak.

Walaupun PAS tidak berjaya memenangi satu kerusipun samada di parlimen atau negeri di Johor, tetapi ia berjaya merampas 2 buah negeri di pantai timur dan beberapa kerusi parlimen. Apakah ini juga hasil dari perjuangan Islam bermula di Gunung Semanggul yang dianggap oleh musuhnya bahaya dari gunung??

Tambahan I:

Sejarah PAS Kawasan Johor Bahru

- Dikeluarkan oleh PAS Kawasan Johor Bahru. Di salin semula pada Februari 2008.

PARTI Islam Se Malaysia (PAS) Kawasan Johor Bahru adalah antara cawangan PAS yang terawal ditubuhkan di negara ini. Jika dilihat dari rekod asal, PAS Cawangan Johor Bahru (kini disebut Kawasan) telah ditubuhkan pada 1 Mac 1954 iaitu setelah beberapa tahun PAS ditubuhkan di peringkat persekutuan iaitu pada 23 Ogos 1951.

Justeru kerana usianya yang awal, jika dilihat ahli-ahlinya bukan sahaja terdapat di kawasan Johor Bahru tetapi sehingga melintas sempadan antarabangsa iaitu sehingga di Singapura kerana Singapura pada masa tersebut belum lagi dipisahkan dari Malaysia. Parti Islam SeMalaysia Johor Bahru juga telah melahirkan ramai tokoh kepimpinan yang berkaliber dan diiktiraf sehingga ke peringkat pusat seperti Tuan Haji Husin bin Besar yang merupakan antara tokoh penting di dalam usaha menubuhkan PAS.

Beliau juga telah menerajui PAS Negeri Johor selama beberapa penggal dan kini masih sihat dan bersemangat terhadap perjuangan yang suci ini. Oleh kerana menghadapi masalah dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan, maka Parti Islam Se Malaysia Kawasan Johor Bahru ini terpaksa didaftarkan semula pada tahun 80an. Oleh yang demikianlah, kita seolah-olah melihat bahawa usia PAS kawasan Johor Bahru hanya baru mencapai usia beberapa belas tahun.

Kita berdoa semoga peneraju Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Johor Bahru ini beroleh bantuan dan rahmat Allah untuk meneruskan perjuangan yang mulia ini sesuai dengan usianya yang telah hampir menjangkau separuh abad.

Tokoh-Tokoh Peneraju Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Johor Bahru

1986 - 1987

:

Abdullah bin Hussin

1987 - 1989

:

Haji Hasan bin Habib

1989 - 1991

:

Haji Husin bin Besar

1991 - 1995

:

Drs. Haji Abu Bakar bin Othman

1995 - 2001

:

Encik Rosli bin Kemin

2001 - 2003

:

Haji Ghazali bin Md. Salleh

2003 - 2005

:

Encik Rosli bin Kemin

2005 - 2007

:

Ustaz Hishamudin Ismail (Pemangku)

2007 - Sehingga Kini

:

Encik Rosli bin Kemin

Tambahan II:

Sejarah Penubuhan PAS Pahang

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

ERA kepimpinan PAS Negeri Pahang bermula apabila Pejabat Agung PAS Pusat melantik Allahyarham Mohamed Yassin b. Salleh memangku jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang pada tahun 1958. Beliau kemudian dilantik ke jawatan penuh sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang pada kongres Agung PAS Pusat tahun berikutnya.

Allahyarham Mohamed Yassin b. Salleh dengan dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Dato’ Abu Samah b. Haji Ali, Ustaz Hasanuddin b. Muhamad serta rakan-rakan kepimpinan beliau yang berpusat di Temerloh pada ketika itu telah menyusun kerja bagi mengembangkan pengaruh PAS di Negeri Pahang. Tugas utama yang menjadi amanah penting kepada Mohamed Yassin b. Salleh ialah menambah keahlian, ranting-ranting serta cawangan-cawangan PAS di Temerloh khususnya dan di negeri Pahang amnya.

Bagi melaksanakan tugas itu, beberapa bidang tugas atau biro-biro parti telah diwujudkan terutama yang berkait dengan politik. Walaupun tugas yang diamanahkan kepada beliau dan rakan amat berat memandangkan dasar yang dibawa oleh PAS di negeri Pahang agak terasing dari perhatian masyarakat ketika itu, ditambah pula oleh kedudukan bumi Pahang yang luas juga faktor perhubungan yang amat sukar, namun ianya berjaya ditempuhi. Perjuangan Islam yang didokongnya tidak ditinggalkan hanya kerana faktor halangan sebagaimana yang disebutkan.

Komitmen yang kuat oleh Mohamed Yassin b. Salleh dan rakan-rakannya dalam memajukan perjuangan PAS berjaya dibuktikan pada tahun berikut selepas penubuhan, apabila PAS Negeri Pahang berjaya meletakkan calonnya dalam tiga kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya umum kebangsaan 27 Julai 1955. Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Mohamed Yassin b. Salleh serta rakan-rakan adalah amat bernilai kerana kejayaannya meletakkan perjungan PAS pada tapak awal perkembangan politik tanahair dan juga menjadi perintis kepada kesinambungan perjuangan selepas beliau.

Kepimpinan Mohamed Yassin b. Salleh dalam memimpin PAS Negeri Pahang berakhir pada tahun 1963, apabila beliau kembali ke rahmatullah setelah memimpin PAS Negeri Pahang sekitar 5 tahun dan Pas Cawangan Temerloh selama 14 tahun. Segala usaha yang beliau curahkan moga-moga mendapat keredhaan Allah SWT. Pemergian Allahyarham Mohamed Yasssin b. Salleh ke rahmatullah, menjadi satu kejutan kepada PAS Negeri Pahang memandangkan PAS baharu sahaja bertapak dan memulakan langkah awalnya.

Kekosongan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang dipangku kepada tokoh besar Negeri Pahang iaitu Allahyarham YM. Tengku Abdul Hamid Sutan Abdullah atas restu PAS Pusat dan kemudiannya diberikan jawatan penuh sebagai Pesuruhjaya pada kongres PAS Pusat tahun berikutnya. Penyertaan tokoh besar istana Pahang ke dalam perjungan politik Islam sebenarnya sangat-sangat memeranjatkan sekalian ahli politik samada di Negeri Pahang mahupun di Tanah Melayu ketika itu.

Sebagai seorang tokoh istana, kehadiran YM Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah ke dalam politik tidaklah begitu memeranjatkan tetapi yang lebih memeranjatkan ialah kehadirannya menerajui parti politik pembangkang ( PAS ) yang tidaklah mempunyai pengaruh sehebat UMNO dan Kerajaan Perikatan. Kehadiran YM Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah selaku pemimpin begitu menggembirakan sekalian ahli PAS. Penyertaan YM.Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah sebenarnya menaikkan moral sekalian ahli dan kepimpinan PAS terutama di negeri Pahang.

YM.Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah dengan dibantu oleh pimpinan PAS Pahang yang lain saperti Alahyarham Dato’ Abu Samah Hj Ali selaku Timbalan Pesuruhjaya, Mohd Ariffin Abu Bakar selaku Setiausaha Perhubungan, Nik Ahmad Nik Man selaku Bendahari Perhubungan, Ustaz Mohd Ariff Abas selaku Ketua Dewan Ulama’ dan barisan kepimpinan yang lain telah berjaya menyusun semula pembentukan jawatankuasa kerja peringkat Perhubungan Negeri pada 9.11.1963, sebagai persiapan lebih tersusun bagi menghadapi pilihanraya tahun berikutnya.

YM. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang sekitar 2 tahun yang berakhir pada tahun 1965, beliau terpaksa melepaskan jawatannya atas nasihat kekanda Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah bagi menjaga nama baik istana kerana kehadirannya dalam politik terutama pembangkang (PAS) tidak disenangi oleh parti pemerintah ketika itu.

Sumber asal:

http://pahang.parti-pas.org/sejarahtubuh.htm Laman ini diubah buat kali terakhir pada 00:07, 7 Disember 2003

Tambahan III:

Pesuruhjaya PAS Pahang

http://pahang.parti-pas.org/sejarahtubuh.htm

1… Allahyarham Mohamed Yassin Bin Salleh (1958-1963)

Sentuhan politik beliau terlalu amat bernilai. Pengasas politik Pas Negeri Pahang ini sebenarnya bertanggungjawab membentuk pemikiran rakyat Pahang untuk tunduk patuh kepada sistem politik Islam yang diperjuangkan PAS. Pemergian beliau ke rahmatullah pada tahun 1963 mengakhiri tanggungjawab perjuangan. Ia harus menjadi sejarah penting dan mesti menjadi kayu ukuran perjuangan kepada generasi terkemudian. Semoga Allah SAW mencucuri rahmat ke atas rohnya.

2... Allahyarham YM Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah (1963-1965).

Allahyarham merupakan satu-satunya tokoh istana yang telah menempatkan dirinya untuk berjuang secara langsung bagi menegakkan daulah Islam melalui perjuangan politik PAS. Mungkinkah ada lagi tokoh besar seperti beliau untuk memimpin perjuangan Islam? Apa yang pasti beliau telah berjaya menempatkan ramai kaum kerabat Pahang ke dalam politik PAS dan kesannya berterusan hingga ke hari ini.

3... Allahyarham Ustaz Ishak Abdullah (1964-1965).

Allahyarham merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang yang pertama dilantik dari kalangan tokoh berpendidikan agama. Perwatakannya yang sederhana membuatkan beliau sentiasa disenangi oleh kawan dan lawan. Keperibadiannya patut dijadikan contoh kalangan pejuang Islam di negeri ini . Allahyarham telah mengorbankan kehidupan dunianya bagi kepentingan perjuangan. Lulusan BA Syariah Islam Universiti Jakarta Indonesia ini, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 13 Mei 1993, selepas pulang dari memberikan kuliah terakhirnya di Darul Islah Kg Paya Kecik , Temerloh.

4... Allahyarham Dato Abu Samah Hj Ali (1965-1969).

Allahyarham Dato Abu Samah Hj Ali, adalah tokoh penting dalam memperkukuh dan memperkembangkan pengaruh perjuangan PAS di Negeri Pahang peringkat awalan. Kehadirannya dalam perjuangan Islam sebenarnya memberikan imej penting terhadap penerimaan golongan atasan terhadap PAS. Ayah kepada Menteri popular Datuk Hamzah Abu Samah, ini telah mengorban banyak kepentingannya dalam menjayakan perjuangan PAS.. Rumahnya yang terletak di atas bukit di persimpangan jalan Teriang berhadapan jambatan Temerloh itu pernah menjadi pusat perjumpaan penting parti. Semoga amalnya mendapat keberkatan Allah.

5... Ustaz Jamahir Idris (1969 - 1977)

Ustaz Jamahir Idris merupakan salah seorang tokoh pengasas PAS Negeri Pahang, beliau yang dilahirkan di Indonesia dan mendapat pendidikan di Institiut Pengajian Islam, Bandung, pernah menjadi Setiausaha Hizbul Muslimin. Sejarah penglibatan tokoh ini kedalam perjuangan Islam di negara ini bermula apabila beliau berhijrah ke Malaya bersama bapanya pada tahun 1958. Ustaz Jamahir Idris, telah melibatkan dirinya dalam perjuangan Islam sejak di Indonesia lagi di bawah Jamaah Masyumi. Pejuang Islam yang gigih ini adalah juga pengasas kepada kewujudan Sekolah Menengah (A) rakyat Kampung Selamat, Tanjung Api, Kuantan, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.

6... Encik Mohd Rusdi Ariff (1977-1982).

Encik Mohd Rusdi Ariff, merupakan satu-satunya pimpinan PAS negeri Pahang yang bergelar Yang Berhormat (YB), beliau telah memenangi pilihanraya umum 1974 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Bukit Ibam. Beliau dilahirkan dikalangan keluarga yang terlibat secara aktif dalam parti. Encik Mohd Rusdi Ariff mendapat pendidikan di Universiti Malaya, pernah menjadi Penolong Pegawai Tadbir Felda sebelum meletakkan jawatannya untuk berkecimpung dalam PAS secara lebih efective. Beliau masih meneruskan khidmatnya hingga ke hari ini.

7... Tuan Haji Syed Ibrahim (1982-1984). (Seorang peguam dan pemikir PAS. Bekas pimpinan pelajar luar negara, bekas Bendahari & AJK PAS Pusat beberapa penggal. )

... Encik Mohd Rusdi Ariff (1984-1987). Seperti di atas.

8... Tuan Guru Haji Alwi Abdul Hamid (1987-1993)

Tuan Guru Hj Alwi Abdul Hamid, dilahirkan pada tahun 1939 di Kampung Paya Pasir Chenor. Beliau mendapat pendidik di Universiti Al Azhar, Mesir. Seorang tokoh yang sentiasa menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam sehingga kini. Di dalam parti , selain daripada pernah menjadi Persuruhjaya PAS Pahang, beliau juga adalah Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulama` PAS Pusat sahingga kini.

9... Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman (1993 - 1999).

Tuan Guru Hj Mohd Baqi Osman, merupakan tokoh yang sentiasa menyumbangkan ilmu Islam yang dimilikinya kepada masyarakat melalui kuliah-kuliahnya yang cukup terkenal dan melalui ceramah-ceramah yang sentiasa diadakan dari masa ke semasa. Komitmen dalam perjuangan memperlihatkan perkembangan PAS yang sangat baik, selain daripada memikul amanah sebagai Persuruhjaya, beliau juga adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang dan juga Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulamak PAS Pusat.

10..Ustaz Idris Omar (1999 – 2004).

11. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (2004 hingga kini).

Bekas Pensyarah ITM Jengka, bekas ahli panel Foram Perdana Ehwal Islam TV1 dan Tuan Guru yang mengajar di masjid-masjid atau institusi pengajian.

Tambahan IV:

PAS Kawasan Kuala Terengganu 1956-2001

Sejarah Penubuhan:

PAS Kawasan Kuala Terengganu telah ditubuhkan pada akhir tahun 1956 bertempat di No18 Lorong Haji Jamel Kuala Terengganu. Penubuhan ini merupakan yang kedua selepas penubuhan PAS Kawasan Dungun di Negeri Terengganu. Ketika itu PAS Kawasan Kuala Terengganu dipimpin oleh Tuan Syed Alwi bin Ahmad AlKaf. PAS Kuala Terengganu pada ketika itu merangkumi kawasan yang agak luas iaitu meliputi Kawasan Marang, Kawasan Kuala Terengganu Utara dan Kawasan Sungai Tong.

Keluasan kawasan tersebut menyebabkan PAS Kawasan Kuala Terengganu dianggap sebagai Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu ialah:


1..Tuan Syed Alwi bin Ahmad AlKaf (1958-1960)
2..Tuan Syed Abdullah bin Syed Alwi (1960-1962),
3..Sdr Che Da Abdul Jalil bin Awang (1962-1967),
4..Ustaz Hj Mohd Harun bin Jusoh (1967-1978),
5..Tuan Mustafa bin Ali (1978-1980
6..Tuan Haji Wan Abdul Mutalib bin Embong (1980-1993)
7..Ustaz Haji Mohd Harun bin Jusoh (1993-1995)
8..Hj Wan Abd Muttalib Embong (1995 hingga sekarang)

Pada awal 80an, PAS Kawasan Kuala Terengganu telah mengalami perubahan yang ketara apabila Tuan Hj Wan Abd.Muttalib bin Embong dilantik sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan (1980-1993). Di bawah pentadbirannya, PAS mengalami perkembangan yang pesat dimana banyak cawangan-cawangan baru ditubuhkan di samping pertambahan ahli yang begitu mendadak. Jawatan Yang DiPertua PAS Kawasan kemudiannya diterajui oleh Ustaz Haji Mohd Harun bin Jusoh (1993-1995) dan seterusnya oleh Tuan Hj Wan Abd Muttalib Embong (1995 hingga sekarang)

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu telah ditubuhkan pada akhir tahun 1959. Tetapi Mesyuarat Agong Dewan Pemuda yang pertama telah diadakan secara rasmi pada 14 Mac 1981 di Masjid kampong Kolam Kuala Ibai Kuala Terengganu. Ketua Dewan Pemudanya ialah:
1..Ustaz Hj Harun bin Jusoh (1959-1967)
2..Wan Agil bin Wan Sulaiman (1967-1982).
3.. Sdr Muda bin Yusof (1981-1983),
4..Ustaz Hj Abbas bin Khatib Mohammad (1983-1987),
5..Tuan Hj Mohd Abdul Wahid bin Endut (1987-1989),
6..Tuan Hj Ali bin Jusoh (1989-1991)
7..Tuan Hj Mohd Abd Wahid bin Endut (1991-1995),
8..Tuan Hj Mohd Nasir bin Mansor (1995-1999) dan
9..Sdr Azmi bin Mohd Yassin (1999 hingga sekarang).

Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu pula telah ditubuhkan pada awal pada tahun 1958. Tetapi Mesyuarat Agong Dewan Muslimat kawasan yang pertama telah diadakan pada tahun 1982. Ketua Dewan Muslimat telah diterajui oleh:
1..Hajjah Aminah binti Mohammad (1982-1986),
2..Hajjah Zaindun binti Yusof (1986-1990),
3..Puan Hazizah binti Mohd Zain (1990-1996).
4..Puan Shamsiah binti Abu Bakar (1996 hingga sekarang).

Sejarah Pilihanraya 1959-1999

Dalam pilihanraya umum Persekutuan 1959, calon PAS Tuan Haji Mohd Daud bin Haji Abd. Samad telah memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dan menjadi Menteri Besar pertama. Pilihanraya tahun 1969, calon PAS, Sdr Wan Mohamad bin Wan Ngah telah memenangi kerusi DUN Ladang dan Tuan Haji Rozali bin Haji Ahmad memenang kerusi DUN Bukit Besar. Pilihanraya Persekutuan 1974, calon PAS, Ustaz Hj Mohd Harun bin Jusoh telah memenangi kerusi DUN Wakaf Mempelam.

Pilihanraya tahun 1978, calon PAS tidak memenangi sebarang kerusi di dalam kawasan Kuala Terengganu. Pilihanraya tahun 1982, calon PAS, Tuan Haji Mustaffa Ali telah memenangi kerusi DUN Wakaf Mempelam dan Tuan Haji Wan Abd.Muttalib bin Embong memenangi kerusi DUN Batu Buruk. Pilihanraya tahun 1986, Tuan Haji Mustaffa bin Ali telah berjaya mengekalkan kemenangan bagi kerusi DUN Wakaf Mempelam.

Pilihanraya tahun 1990, Ustaz Haji Mohd Harun bin Jusoh telah berjaya menangi kerusi DUN Bandar dan kejayaan ini merupakan satu sejarah kerana DUN Bandar adalah merupakan kubu kuat BN sejak tahun 1959. Manakala Tuan Haji Wan Abd. Muttalib bin Embong memenangi kerusi DUN Batu Buruk dan Tuan Hj Mohd Abd. Wahid bin Endut berjaya memenangi kerusi DUN Wakaf Mempelam.

Pilihanraya tahun 1995, Tuan Hj Wan Abd.Muttalib bin Embong terus mengekalkan kerusi DUN Batu Buruk dan begitu juga dengan Tuan Haji Mohd Abd.Wahid bin Endut berjaya mengekalkan kerusi DUN Wakaf Mempelam. Dalam pilihanraya tahun 1999, PAS bersama-sama Barisan Altenatif telah membuat kejutan yang besar apabila memenangi kerusi Parlimen dan kesemua kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Kemenangan ini dianggap paling bersejarah kerana dalam pilihnaraya ini PAS berjaya memerintah negeri Terengganu. Kesemua calon PAS bagi DUN dan Parlimen Kuala Terengganu telah menang iaitu YB Haji Mohd Abd Wahid bin Endut (DUN Wakaf Mempelam), YB Hj Mohd Azmi bin Lop Yusof (DUN Bandar), YB Dr Hj Sulaiman bin Abdullah (DUN Ladang), YB Haji Wan Abd. Muttalib bin Embong (DUN Batu Buruk) dan YB Dr Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi telah memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan Pilihan Raya 1995 DUN

DUN

JUMLAH

PAS

BN

UNDI ROSAK

MAJORITI

Wakaf Mempelam (N13)

15059

6379

5260

235

1119

Bandar (N14)

17119

5562

6970

254

-1408

Ladang (N15)

13693

3850

5775

289

-1925

Batu Buruk (N16)

16712

6756

6115

263

641

Keputusan Pilihan Raya 1999 DUN

DUN

JUMLAH

PAS

BN

BEBAS

U.ROSAK

MAJORITI

Wakaf Mempelam (N13)

15735

8981

3221


258

5760

Bandar (N14)

18087

6756

6245

187

211

511

Ladang (N15)

13273

6175

3601


194

2574

Batu Buruk (N16)

17350

9422

4022


265

5400

Keputusan Pilihan Raya 1995 Parlimen Kuala Terengganu
Jumlah (61634) PAS + S46 (20771) BN (25369) Majoriti (-4598)

Keputusan Pilihan Raya 1999 Parlimen Kuala Terengganu
Jumlah(64445) PAS+ Adil (31680) BN (17042) Majoriti (14638)

PAS Kawasan Kuala Terengganu Tahun 2001.

Hari ini PAS Kawasan Kuala Terengganu telah maju setapak lagi di bawah pimpinan YB Haji Wan Abd.Muttalib bin Embong. Anjakan paradigma telah dibuat dengan penyusunan semula sturktur organisasi bagi terus mengekalkan kemenangan di samping menjana pelbagai pelbagai program dan aktiviti bagi mengukuh dan melebarkan perkembangan dan pengaruh PAS di kalangan masyarakat.

DUN & Cawangan-cawangan:

N13.Wakaf Mempelam

N14.Bandar

N15.Ladang

N16.Batu Buruk

Losong Megat Hussin

Losong Bandar

Tanjong Kapor

Chendering Pantai

Losong Hj. Mat Shafie

Tanjung

Lad. Mengabang

Chendering Raja

Losong Pang. Perang

Jalan Banggol

Ladang Sekolah

Permint Jaya

Paloh

Padang Hiliran

Mengadang Akar

Kuala Ibai Pdg Luar

Bukit Kubang Jambu

Bandar Baru

Jalan Tekukur

Kuala Ibai Tok Adis

Sg. Rengas

Hiliran Masjid

Batas Baru

Kuala Ibai Kolam

Kuala Bekah

Tok Ku / Mkm Lama.

Gong Kapas

Kuala Ibai Banggol

Pulau Musang

Tok Kaya

Bukit Kecil

Kuala Ibai Pantai

Kubang Tangga

Cabang Tiga

Panji Alam

Jalan Kenanga

Pulau Rusa

Kuala Hiliran

Masjid Raja

Masjid Haji Kadir

Seberang Baroh


Jalan Ibrahim

Mengabang Tengah


Kg. Melintang/W.Beruas


Gong Penaga

Gong Tok Nasek


Merbau Patah


Lorong Kemunting

Gong Pak Maseh


Wakaf Mempelam


Pasir Panjang

Bukit Depu


Gelugur Raja


Gelong Bilal

Kg Nibong Atas


Kubang Parit


Bukit Bayas

Kg Nibong Bawah


Durian Burung


Sungai Derhaka

Kubang Ikan


Gong Pauh


Ladang Sahat


Wakaf Che Kapor


Ladang Tok Pelam


Kubang Bakung.


Flat Gelong Bilal


Losong Atap Zing


Lorong Surau Baru.


Teluk Paku


Ladang Titian




Kg. Seberang Baroh


Penutup:

Sehingga ke hari ini Pas Kawasan Kuala Terengganu mempunyai 72 buah cawangan dengan bilangan ahli berdaftar seramai 6709 orang. Pas Kawasan Kuala Terengganu akan terus menjana pelbagai program dan aktiviti bagi mengembangkan pengaruh serta melebarkan peranannya agar dapat merealisasikan matlamat PAS untuk menegakkan Syariat Allah di muka bumi ini.

Tambahan V:

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir


Ustaz Abu Bakar Al-Baqir Ulama Dari Gunung (1907-1974)

By Kayacipta Oktober28, 2008.

NEGERI bumi timah ini sememangnya tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama yang berketrampilan. Malahan kewibawaan mereka menjangkau ke seantero Nusantara sekaligus melewati ke seluruh dunia Melayu. Nama-nama mereka begitu harum di langit zaman dan meniti setiap bibir pengikutnya sejak zaman berzaman. Begitu jualah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang amat sinonim dengan Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti Islam yang pertama tertubuh di Tanah Melayu.

Menurut Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dalam Mastika, November 1973, nama Hizbul Muslimin itu telah dipinjam daripada pertubuhan politik di Mesir yang dalam bahasa Inggeris disebut The Muslim Brotherhood. Penubuhan Hamim dirangka oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersma-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmi, alim ulama serta cendikiawan Islam di Maahad El Ehya’ Al Shariff (MAEAS), Gunung Semanggol Perak pada 14 Mei 1948 yang telah dihadiri seramai 5,000 orang. (Dr. Burhanuddin sebenarnya pernah berkhidmat di MAEAS mengajar ilmu politik Islam).

Sejarah mencatatkan, Hamim mendapat sambutan hebat daripada golongan kebangsaan berhaluan kiri yang terdiri guru-guru dan pelajar sekolah pondok seluruh tanah air. Namun begitu sejarah Hamim sebenarnya tidak panjang seperti MAEAS. Justeru itu, Ustaz Abu Bakar Baqir bukan sahaja sinonim dengan Hamim tetapi lebih tertonjol bersama kecermerlangan MAEAS. Beliau bersama pemimpin Semanggol, Haji Abdul Rahman Mahmud telah mendirikan MAEAS pada tahun 1934 di atas tanah milik bapanya bagi menggantikan pondok Al Rahmaniah yang telah uzur.

Pondok yang terkenal itu menawarkan lima mata pelajaran penting seperti Ilmu teras (tauhid, tassawuf, fiqh, tafsir, hadis): Ilmu alat (nahu arab, sarf, balaghah); Ilmu pelengkap (sejarah Islam, logika, hisab, ilmu alam, al-tibb, bahasa Inggeris, kesusasteraan Melayu, tatanegara, sejarah umum, pidato umum, seni-khat) dan ilmu pertukangan yang diajar untuk pelajar putera sahaja. MAEAS ialah sebuah sekolah agama rakyat yang cukup berjasa. Ia melahirkan ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Asri Muda, bekas Menteri Besar Kelantan.

Pengasasnya pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikirullah. Kisah hidupnya tidak banyak ditulis orang. Namun begitu sumber yang dikumpulkan oleh Nabir Haji Abdullah dan risalah benar susunan Muhammad Asri (terbitan jamaah Pimpinan Umum Hizbul Muslimin) ada menyatakan bantahan terhadap penangkapan Ustaz Abu Bakar Baqir sekitar tempoh 1948-1952. Latar belakang beliau dimuatkan di dalam tulisan tersebut.

Berasal

Susur-galurnya berasal dari daerah Kendal Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke 19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor dan kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.

Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya; Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafsah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen. Ustaz Abu Bakar Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardu ain dan Al-Quran.

Kemudian, dia menuntut di Madrasah Al Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame’ Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Makkah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919-1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, Al Quran dan hadis serta tatabahasa Arab.

Kepala Telaah

Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah, (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, pelantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakanya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.

Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan faham politik yang lain. Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar mengembling tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. Antara yang berhubung rapat dengannya; Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura)’ Ahmad Mahir (Kelantan); Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar); Ismail Hamzah (kemudian Mufti-Kuala Kangsar); Haji Arshad (Bagan Datoh); Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (Bekas Menteri Besar Johor 1959-1967).

Mengikut jejak

Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918-1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula. Di Madrasah Idrisiah dia sempat menuntut selama tiga tahun (1931-1933). Dia cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, dia ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM 30.00 sebulan.

Pada tahun 1934 Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol. Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahiranya, pada tahun 1935 dia berkahwian dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh anak.

Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkalibar, Pelantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.

Dalam persidangan di MAEAS pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu. Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.

Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al Ehya Al Syarif sehingga akhir hayatnya (didaftarkan dibawah Undang-Undang Kompeni dan Syarikat pada 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik. Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil-alih oleh Tenaga Nasional Berhad.

Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusaha dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan,

Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr Burhanuddin. Ini dapat dilihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlangsung pada 22-24 Mac 1947, sekaligus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPERMAS) dan MATA.

Seperti Dr Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, Hamim turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara. Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.

Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia. Sesungguhnya, “ulama dari gunung” ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun berpulang ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol. – Al Fatihah buat Allahyarham.

..oleh Zabidin Hj Ismail


Thursday, May 01, 2008

Buruh: Perkasa Bukan Perkosa.


Catatan Santai
Sempena Hari Buruh:


"MENGAPA kamu masih berada di sini?” Kata Umar Al-Khattab pada suatu hari selepas solat Jumaat. Beliau adalah Khalifah ke 2 dari Khalifah Islam Se dunia beberapa tahun setelah kewafatan Nabi SAW.

“Kami adalah orang yang bertawakkal kepada Allah!” Jawab mereka, yang sedang bersembang-sembang di masjid lepas solat Jumaat..

Mendengar jawapan itu lantas Umar usir mereka keluar dari masjid, kata Beliau, "Jangan kamu berhenti dari bekerja mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."

Allah berfirman yang bermaksud: ‘Apabila kamu selesai mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah’ (Al-Qur’an Surah AI Jum’ah: Ayat 9). Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berkarya dan berusaha. Juga jangan salahgunakan konsep tawakkal seperti yang disebutkan mereka itu.

"Mencari rezeki halal itu laksana pahlawan yang berjuang di medan perang dan barang siapa yang tertidur keletihan kerana kerja mencari rezeki halal, Allah ampunkan dosanya ketika dia tertidur itu.", sabda Nabi lagi. "Mencari rezeki halal bagaikan berjihad ke jalan Allah."

Pada suatu hari Rasulullah bersalaman dengan seorang sahabat, Saad ibnu Muadz. Rasulullah melihat tangan sahabat itu sangat hitam kerana bekerja kuat dan keras di bawah terik matahari. Rasulullah bertanya megenai tangan itu. Jawabnya, “Tanganku seperti ini.. kerana aku bekerja mencangkul di kebun kurmaku untuk menyara keluargaku."

“Inilah kedua-dua tangan yang disukai Allah." Kata Nabi pemimpin tertinggi dunia Islam yang terus mencium tangan hitam itu setelah mendengar jawapan demikian.

Nabi juga pernah berkata, "Antara dosa, ada dosa yang tidak dapat dihapus dengan puasa dan solat."

Mendengar itu seorang kawan bertanya, “Kalau begitu, apa yang dapat menghapusnya?

"Dosa itu hanya dapat dihapus dengan pahala bekerja mencari rezeki." Jelas Nabi.

Itulah motivasi pekerja dalam Islam. Begitulah Islam memperkasakan kaum buruh. Sehingga tiada beza antara buruh kulit hitam dengan majikan berkulit cerah. Bagaimana pula sikap kerajaan Malaysia mengenai buruh-buruh di Malaysia?

"Pada keseluruhannya, para pekerja di negara ini tidak mendapat perhatian kerajaan apabila tuntutan mereka untuk mendapat gaji minima dan COLA dinafikan mentah-mentah dengan sombong oleh kerajaan yang memaksa Kongres Kesatuan Pekerja Kebangsaan (MTUC) berpiket," ujar Saudara Anuar Tahir Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS pada April lalu.

Bahkan ujarnya, peneroka bandar atau penghuni kawasan perkampungan setinggan dianggap sebagai sampah oleh kerajaan. "Rakyat sepatutnya disantuni, diperbaiki nasib mereka dalam keadaan negara sedang meningkat dari sudut kemajuannya.”

“… walaupun kita sudah 50 tahun merdeka, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang pendapatan bulanannya cuma RM350 sebulan, mengapa pemimpin-pemimpin BN masih tidak peka dan buat-buat pekak??” Kata Presiden Group Universiti Ulu Klang, Dr Haji Mohd Hasyim. “Saya setuju dengan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), antara Kesatuan Sekerja terbesar di negara ini (mempunyai 500,000 ahli) yang mahukan kerajaan Malaysia menetapkan gaji minima sebanyak RM900 sebulan bagi tiap pekerja.”

“Kita memerlukan akta untuk gaji minima bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk kami (pekerja) dan juga negara.” Kata G Rajasekaran Setiausaha Agung MTUC. Menurut Syed Shahir Presiden MTUC pula, keputusan kerajaan menolak tuntutan gaji minima RM900 dan COLA RM300 sudah cukup menyeksa golongan pekerja…

Apakah pekerja-pekerja di negara ini telah diperkosa kerjayanya, bahkan tidak diperkasa??


Catatan santai:
ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
1 Mei 08. KL.


Wednesday, April 30, 2008

Projek Ladang Rakyat Selangor, Perlu Dirancang & Dilaksanakan Segera - Dr Mohd Hasyim



BY ASYOK KUMAR

UKAY PERDANA 30 April – Kerajaan Selangor diminta supaya adakan Projek Ladang Rakyat untuk rakyat miskin terutama kaum Melayu dan India, setelah Projek Ladang Babi di Sepang telah diluluskan untuk kaum Cina sahaja. Demikian kenyataan yang dibuat oleh Presiden Group Universiti Ulu Klang, Dr Mohd Hasyim semasa di temuramah di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau telah menggesa supaya ditunjukkan cadangan projek untuk kaum Melayu dan India, yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat atau jangka panjang. Beliau bimbang dengan timbulnya cerita tentang satu lagi usul mewujudkan suatu konsep Perkampungan Cina di Pulau Indah.

“Oleh itu, pihak pimpinan Selangor perlu segera rancangkan projek yang sesuai untuk bangsa-bangsa lain selain Cina, sekurang-kurangnya bagi dapat mengimbangi projek babi di Sepang itu. Contohnya, Sila lihat kejayaan Kelantan melaksanakan program Pembangunan Ladang Rakyat bukan sahaja dapat membantu penduduk miskin di negeri ini, sebaliknya ia turut menarik minat negeri lain (Harakah 30 April 2008)

Menurut kenyataan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS Limbongan) di mana kerajaan Pahang turut berminat melaksanakan program tersebut. Kata beliau kejayaan Ladang Rakyat sudah terbukti sekarang. Ladang Rakyat diwujudkan pada Mac 2006, di mana peserta dipilih di kalangan penduduk miskin. Mereka diberi dividen sebanyak RM200 sebulan.

Selain itu, peserta juga berpeluang bekerja di ladang yang dimajukan dengan usahasama pihak swasta. Mereka juga berpeluang memiliki rumah banglo tiga bilik melalui sewa beli yang dirancang dibina di kawasan ladang. Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, peserta juga dibantu dari aspek spiritual dengan mewajibkan mereka menghadiri kelas-kelas agama dan solat berjemaah di masjid atau madrasah.

“Kalau negeri Pahang boleh mencontohinya, mengapa Kerajaan Selangor atau kerajaan yang diperintah oleh parti-parti Pakatan Rakyat tidak boleh mencontohinya?” Saran Dr Mohd Hasyim lagi.

Ucapan Yang Di Pertua Agung Pukul Pak Lah?



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


KERAJAAN Malaysia pimpinan BN dan Pak Lah dituntut supaya meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Kelantan kerana kesalahan tidak salurkan bantuan tertentu kepada negeri itu sebagaimana mengikut amalan sistem demokrasi. Itu tuntutan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antaranya, (Menurut Bernama seperti kenyataan Harakah 29April08) memetik Nik Abdul Aziz berkata, sejak 18 tahun yang lalu Kelantan diperintah oleh PAS tidak menerima peruntukan untuk program perumahan kos rendah dan bantuan kelengkapan peralatan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan Pusat. Kalau Terengganu sekarang minta kembali royalti minyak negeri itu yang ditahan semasa pemerintahan PAS dulu, fasal apa Kelantan tak boleh minta bayar balik bayaran yang sepatutnya mereka terima? Kan kita negara demokrasi?

UMNO pula baru-baru ini memutuskan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim lain yang dipecat berikutan krisis kehakiman pada 1988. …. Dan Ketua Pemuda UMNO juga telah meminta maaf kerana menjulang keris telanjang sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang selama ini menjadi isu di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu.

Nampaknya UMNO ni macam hendak berubah jadi baik pula?

Tapi bagaimana dengan projek-projek mega yang dirancang di zaman BN di Pulau Pinang telah tak jadi diteruskan dengan pelbagai alasan? Kita tahu sebenarnya adalah kerana yang perintah sekarang adalah kerajaan Pakatan Rakyat? Projek jambatan, monorel dan akan datang apa-apa lagi! Semuanya akan digagalkan. BN memang tidak gentleman macam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, yang meneruskan juga ‘projek babi’ Khir Toyo (BN). Bahkan benarkan tambah lagi peruntukan.

Jelasnya, memang kerajaan BN tidak ada maruah dan tiada demokrasi.

Oleh itu, ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Watiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah… ucapan yang meminta ahli-ahli Dewan Rakyat yang terpilih supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku terpuji demi maruah diri dan negara… pada saya memang terkena atas kepala Pak Lah sebagai pengerusi BN yang tiada maruah dan tidak demokratik itu.

Titah baginda di mesyuarat pertama Penggal Pertama Parlimen ke-12, di Parlimen pagi tadi, sepatunya telus dan terus menelusuri ke telinga Pengerusi BN, yang sudah tentu peka, dan tidak pekak macam telinga kuali…

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 29-04-08. KL.

Monday, April 28, 2008

Tidak Wajar Anwar Saja Disebut Bakal PM..


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI


“MENGAPA Datuk Seri Anwar sahaja yang disebut-sebut sebagai bakal PM, tidak Ustaz Abdul Hadi atau lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat?” Kata seorang pengarang sebuah akhbar yang saya temui semalam. “Apakah Anwar saja yang mampu mencari 30 kerusi parlimen tambahan untuk merampas jawatan PM, sedang beliau sendiripun masih belum jadi ahli parlimen? …dan ada pula yang menguar-uarkan isteri beliau sebagai PM wanita pertama di Malaysia?”

“…Kerana PKR memenangi 31, DAP 28 dan PAS 21 kerusi parlimen, yakni PKR lebih dari parti-parti Pakatan Rakyat lain. Bahkan dikatakan beliau yang mendominasi bagi dapatkan 30 kerusi itu sekurang-kurangnya dari kerusi wakil rakyat BN yang melompat!” Saya jawab.

“Tetapi hal penambahan kerusi 30 ini masih belum terbukti… Kalau terbukti pun, bukanlah bererti mereka itu lompat parti semata-mata kerana Anwar atau PKR, bahkan kerana Pakatan Rakyat termasuk DAP dan PAS. Kalau salah satu parti-parti ini keluar dari pakatan, tentu Anwar tidak akan dapat jadi PM juga! Kerana itu kelebihan kerusi semata-mata inipun tidak boleh dijadikan ukuran!”

“Jadi siapa yang kamu fikir layak jadi PM selain Anwar? Ustaz Hadi?” Saya tanya lagi.

“Sudah tentu! Atau ramai lagi pemimpin-pemimpin muda PAS menang parlimen yang berwibawa.. Seperti Ustaz Nasarudin Md Isa, Dr Hatta Ramli, Ir Khalid Samad, Dr Mariah, Dr Mujahid dan lain-lain, kalau nak disegandingkan dengan isteri Datuk Seri Anwar Dr Wan Azizah yang disebut-sebut sebagai PM..” Jelas kawan kita itu lagi.

“Apa alasan yang kamu pilih Ustaz Abdul Hadi sebagai PM?”


“Pertama.. Menurut saya, parti yang bertapak hingga ke ‘akar umbi’ di kalangan orang Melayu di Malaysia cuma dua, iaitu PAS dan UMNO. Ini adalah kerana sejarah geraknya yang panjang juga lama. Banyak cawangan-cawangan dari dulu hingga sekarang membantu gerak kerja pilihanraya, juga telah melahirkan pemimpin-pemimpin berkaliber, berjasa dan lain-lain. Apa lagi bila ada yang mengkategorikan Parti Keadilan sebagai ‘parti serpihan’ seperti Parti Negara pimpinan Dato’ Onn, Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleith dan lain-lain yang tiada asasnya, bahkan boleh berubah ke sana ke mari. Pemimpin-pemimpin dari parti ‘akar umbi’ sebenarnya yang layak jadi PM.

Kedua.. Disebabkan PAS adalah parti Orang Melayu dan Islam 100% yang terbesar selain UMNO. Hal ini memudah dan meyakinkan pihak Yang Di Pertua Agung dan Sultan-sultan berkerjasama dan merestuinya. Apa lagi bila dasar PAS adalah Islam yang menjadi agama bagi orang Melayu berbanding Keadilan yang pelbagai kaum dan agama.

Ketiga.. Buat masa ini di kalangan PAS ramai tokoh-tokoh berkelayakan dan berwibawa berbanding dengan Keadilan yang baru ditubuhkan ekoran dari kezaliman yang dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tokoh-tokoh PAS terdiri dari gabungan golongan agama dan professional, yang tidak ada dalam parti lain seperti DAP dan lain-lain.

Keempat.. Pemimpin PAS yang ada sekarang masih bersih rekod kepimpinannya, tiada kes rasuah, penyelewengan pembaziran dan pengumpulan harta, kes jenayah di mahkamah, bersekongkol dengan kezaliman seperti kes Mamali, tiada pemimpin partinya terlibat dengan kes tidak bermoral seperti rogol atau bunuh. Bahkan ada contoh pemimpinnya hidup sederhana seperti tuan guru Haji Abdul Hadi dan Nik abdul Aziz.


Hal-hal seperti ini perlu diambil kira di dalam parti yang pemimpinnya akan memimpin negara masyarakat majmuk, di mana agama rasminya adalah agama Islam.” Kawan kita itu merumuskan.

Saya tidak komen apa-apa, cuma hal ini saya paparkan ke haribaan pembaca untuk renungan dalam catatan santai kali ini.

Wallahu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 28-04-08. KL.

Sunday, April 27, 2008

Berniaga Di China, Bagaimana Anda Nak Mulakan?





Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:



TELAH saya ceritakan, bagaimana seorang anak muda menyahut cabaran saya berniaga di China beberapa tahun lepas, menubuhkan sebuah syarikat miliknya di Eropah dan memasarnya ke seluruh dunia, sehingga 70% pasarannya sekarang adalah di luar negara. Kini dia menemui saya kembali untuk sama-sama berkongsi pengalaman (Lihat tulisan sebelum ini ‘Peluang Berniaga Di Cina’ 07-10-07 antara 4 siri) dan kita kutip apa manfaat yang boleh didapati darinya.

“Saya masih ingat, saya mula niaga dengan kosong RM... Saya cari maklumat mengenai niaga di China, setelah yakin boleh berniaga, saya pinjam RM10,000 pergi ke China, beli barang dan jualkan melalui internet. Saya terpaksa buka akaun bank di UK. Beberapa bulan di China, saya mampu melawat seluruh Eropah, dan bawa balik wang melebihi RM100,000. Alhamdulillah. Itulah rezeki yang Allah bagi...” kata anak muda itu, yang selesa namanya dipanggil Din sahaja.

“Eh, mudah kamu buka akaun bank di sana?” Seorang kawan saya bertanya.

“Ya. Kena caranya memang mudah. Kalau di sini kita kena masukkan wang sebanyak RM1,000 ke bank yang nak kita buka, tetapi di sana bank beri kita pinjam GBP1,000 kalau kita buka akaun di banknya.” Jelas Din lagi.

“Ha. Ini yang perlu kamu jelaskan!”

“Sebenarnya banyak lagi, yang lebih penting kita kena tahu, kalau nak berniaga di China.. Contohnya:

1. Ke1: Kenapa mesti China? Apa lebihnya dan kenapa seluruh dunia tertumpu ke China?

2. Ke2: Persediaan, visa, bahasa dan nota asas, alamat tempat beli supaya jangan kena tipu, pakaian kita mengikut musim dan check-in di airport.

3. Ke3: Perjalanan, tiket mudah dan murah, bagaimana ke Macau, Guangzhou atau dari Airport Guangdong.

4. Ke4: Penginapan, termasuk hotel atau hostel, akses dari tempat tinggal ke plaza-plaza berkaitan dan dekat restoran Muslim.

5. Ke5: Buka akaun Bank of China, apa yang perlu, dapatkan kad ATM (untuk di China sahaja) atau servis percuma Internet Banking.

6. Ke6: Pengangkutan teksi atau metro (LRT).

7. Ke7: Senarai plaza-plaza seperti pakaian, kasut, jam, beg tangan dan tali pinggang, mainan kanak-kanak, aksesori, barang kemas, kosmetik, elektronik, telefon, komputer & IT, barangan bayi dan lain-lain.

8. Ke8: Kaedah pesan barang dan bayar, periksa sampel, pesan, bayar, tunggu barang sampai dan baru bayar baki bila puas hati.

9. Ke9: Pengangkutan balik ke Malaysia melalui udara dan laut, bagaimana?

10. Ke10: Kastam dan cukai, melalui agen atau sendiri hingga sampai ke rumah kita atau kedai.

11. Ke11: Bagaimana nak pesan semula dan bayarannya? Tak payah pergi ke China lagi.

12. Ke12: Antara nasihat yang perlu supaya jangan ditipu, kena barang palsu, duit palsu hingga rokok pun palsu. Begitu juga makanan dan minuman.

13. Ke13: Bagaimana pembelian melalui webside, kalau tak mahu pergi ke China? Siapa dan bagaimana elakkan penipuan.

14. Ke14: Akhirnya kalau perlu boleh ziarah ke tempat-tempat yang patut dilawati seperti masjid tertua di Guangzhou dan maqam Abi Waqas serta maskid di situ.

Semuanya perlu diketahui. Kalau sudah tahu ianya cukup mudah hanya tunggu di rumah saja. Kadang-kadang nak beli barang di Chow Kit (KL) pun agak lebih rumit lagi.” Jelas Din lagi.

Kami semua tertarik dengan ceritanya. “Nampaknya, lebih baik kamu buat kursus bagi membantu peniaga-peniaga atau sesiapa yang nak mula berniaga.” Kami cadangkan.

“Boleh. Tapi...”

“Tak payah tapi-tapi lagi.. Mudah saja.” Sambut kawan saya itu. “Kita sewa dewan di restoran, hotel atau masjid dan buat iklan.. tetapkan tarikh, tempat dan masa. Tentukan kos bayaran yang murah antara RM400 hingga ke RM500 sahaja tiap seorang. Kalau dapat sambutan boleh terus buat!”

Akhirnya, kami dapat kata sepakat setelah berbincang panjang, begini keputusannya...

Kursus Meneroka Peluang Perniagaan Di China.

Masa: 9 pagi hingga 4 petang.
Hari: Ahad 18 Mei 2008.
Tempat: Dewan Masjid Wilayah Persekutan, Jalan Duta KL.
Bayaran RM400 bagi seorang peserta, termasuk minum pagi & petang serta makan tengahari.

Semua dijemput hazir. Berminat?

Sila hubungi:

Din 012 2550686
ggedarshop@gmail.com

Begitulah catatan santai untuk kali ini. Sekian, terima kasih.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 27-04-08. KL.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails