Thursday, April 18, 2024

Tanding pakaian janda, kerja gila? & 1 Mei tuntut naik gaji.

 

Halimah (depan, tengah) ketika hadir mengadakan pertemuan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh, Pahang.

Halang pertandingan pakaian beragam janda-janda daerah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pahang digesa untuk menghalang acara maksiat sepertimana acara yang dinamakan ‘Pertandingan Pakaian Beragam Janda-janda Daerah Temerloh’ supaya tidak pernah ada di bumi Temerloh.

Ahli Parlimen Temerloh, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, beliau telah menerima dan meneliti semua laporan yang telah sampai ke pejabatnya berkenaan dengan penularan acara tersebut.

“Bertindak atas laporan tersebut, saya telah mengarahkan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh untuk terus menghubungi wakil penganjur berdasarkan nombor yang tertera di poster yang ditularkan.

“Saya telah menerima maklum balas daripada pihak penganjur yang memberikan komitmen untuk membatalkan acara ini dan hanya menjalankan acara rumah terbuka Aidilfitri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Ustazah Alawiah Kasdan telah membuat laporan polis dan pertemuan dengan pihak Pejabat Agama Islam Daerah bagi memastikan acara sebegini tidak akan pernah ada tempat untuk dianjurkan di bumi Temerloh yang sejahtera ini. 

“Saya telah menghantar memo bantahan kepada Al-Fadhil Qadhi Abdul Aziz Abd Karim di Pejabat Agama Islam Daerah. 

“Suka saya mengingatkan bahawa kita semua baru sahaja melepasi bulan Ramadan yang mulia dengan mensucikan diri daripada dosa noda dan kembali kepada fitrah dengan merayakannya di bulan Syawal yang penuh mulia ini. 

“Maka, jangan sesekali pernah ada dalam kalangan kita yang membuka pintu menuju ke arah dosa dan kemungkaran kepada Allah SWT.

“Pesanan saya kepada semua rakyat Temerloh agar perkara ini menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

NGO rancang berarak 1 Mei, tuntut kerajaan naikkan gaji minimum -BH 

KUALA LUMPUR: Sekumpulan gabungan dianggotai 12 badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan gerakan sivil merancang mengadakan perarakan pada 1 Mei ini bagi menggesa kerajaan menaikkan kadar gaji minimum menjadi RM2,000.

Menurut Jawatankuasa 1 Mei, mereka akan berarak dari Dataran Maybank di Bangsar ke Dataran Merdeka, bermula jam 10 pagi.

Jurucakapnya, Parameiswary Elumalai, berkata walaupun kerajaan sudah menetapkan RM1,500 sebagai gaji minimum, jumlah itu masih rendah jika dibandingkan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Semua naik tetapi gaji tidak naik. Kebelakangan ini, isu gaji amat dipandang serius. Kerajaan perlu laksanakan 'Gaji Untuk Hidup' RM2,000 supaya pekerja dapat menampung keperluan asas seperti makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, penjagaan kanak-kanak dan pendidikan," katanya pada sidang media Perarakan Hari Pekerja ke-30 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Dan Selangor, hari ini.

Perarakan sempena Hari Pekerja itu adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak 1994.

Beliau berkata, tema 'Gaji Untuk Hidup' dipilih untuk perarakan tahun ini.

"Pekerja tidak mahu gaji minimum kerana RM1,500 hari ini tidak cukup. Tahun ini adalah tahun untuk mengkaji semula gaji minimum.

"Oleh sebab itu kami menuntut gaji untuk pekerja boleh hidup, bukan sekadar angka minimum," katanya.

Badan itu antara lain dianggotai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muda, dan Persatuan Sahabat Malaysia.

Menurut Parameiswary, kajian sebelum ini menunjukkan gaji minimum dinaikkan pada 2022 sebanyak RM300 dan ia adalah peningkatan gaji minimum paling tinggi dalam sejarah di negara ini.

"Bagaimanapun, sehingga sekarang kami masih belum lagi dijemput oleh jawatankuasa penyelarasan gaji minimum untuk berbincang gaji minimum yang akan datang. Kami amat kecewa," katanya.

Beliau berkata, mengikut standard Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2018, gaji sara hidup untuk orang dewasa adalah sebanyak RM2,700.

Sementara itu, Pengurus Projek Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Azura Nasron, berkata laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan ketika ini 35 peratus pekerja di sektor formal berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

"Berjuta rakyat Malaysia mempunyai gaji di bawah RM2,000. Kebanyakan pekerja yang berumur 45 sehingga 49 mempunyai gaji di bawah RM3,500. Disebabkan itu, kita tidak membincangkan mengenai gaji minimum tetapi 'Gaji untuk Hidup'," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah jalan selesainya sumua ini adalah dengan kembali kepada Islam. UNDILAH PAS & kumpulannya sepanjang masa!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails