Friday, January 24, 2020

Tradisi Usung Rumah, Gotong-royong..


Lambang muafakat
HASIL permuafakatan penduduk, sebuah rumah pusaka yang didirikan pada 1955 di Kampung Chepor, dekat sini, berjaya diusung ke tapak baru kira-kira 15 meter dari lokasi asal.
Lebih 70 penduduk bergotong-royong mengusung rumah kayu itu, kelmarin dan ia mengambil masa kira-kira satu setengah jam mulai jam 5.15 petang.
Seorang waris, Mohd Sibi Ali, 65, berkata, rumah terbabit milik abang saudaranya, Zainal Abidin Ismail dan isteri, Misna Hassan, yang kedua-duanya sudah meninggal dunia.

Katanya, disebabkan abang saudara dan isterinya tidak mempunyai anak, rumah pusaka itu diwariskan kepada anak saudaranya, Lukman Mahmud, 59, yang bekerja sebagai pegawai tadbir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Selepas dibuat pembahagian, tapak rumah diperoleh waris lain yang berhasrat mendirikan rumah di situ, jadi, kita terpaksa memindahkan rumah itu ke tapak baru.
“Disebabkan usaha memindahkannya agak sukar, atas permintaan kontraktor dilantik waris itu, kami bersepakat mengangkatnya secara bergotong-royong ke tapak baru,” katanya.
Mohd Sibi berkata, bagi memudahkan kerja pemindahan, beberapa batang buluh aur diikat menggunakan tali pada tiang rumah itu.
Katanya, proses memindahkan rumah bermula dengan majlis doa selamat, azan dan seorang penduduk ditugaskan duduk di dalam rumah sebelum mengusungnya secara beransur-ansur.
Sementara itu, Lukman ketika dihubungi menerusi WhatsApp berkata, rumah pusaka berusia 65 tahun itu akan dijadikan rumah singgah untuk keluarga.
“Selain itu, ia juga akan dijadikan galeri untuk simpanan barangan lama yang diwariskan nenek moyang seperti bajak sawah, paip candu, beliung, acuan kuih-muih, senjata lama dan alat pertukangan Melayu,” katanya. (MyMetro)


Hibur Hibur Sikit..



Sejoli Kasih Sarman Dan Lasmi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails