Sunday, September 17, 2017

Bangkitlah! Halang Pesta Arak ... -Dr M/Khairuddin


BETTER Beer Festival 2017 (BBF17) yang akan dianjurkan pada awal Oktober depan di Kuala Lumpur yang menampilkan 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak dengan sasaran 6,000 orang pengunjung memang sewajarnya dibantah oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Pihak berkuasa mesti membatalkannya kerana ia bercanggah dengan dasar bernegara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mengundang pelbagai gejala negatif.
Minum arak adalah hak bagi orang bukan Islam tetapi bukan hak bagi masyarakat bukan Islam untuk menganjurkan pesta terbuka mengajak masyarakat minum arak yang haram di sisi umat Islam. Ia sangat bertentangan dengan sensitiviti masyarakat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini. Menjaga sensitiviti ini adalah kewajipan bersama seluruh rakyat Malaysia kerana ia melibatkan keamanan dan keharmonian bernegara.
Menurut fatwa Mufti Mesir Syeikh Allam Nassar (1891-1966) sebagaimana dinukilkan oleh Dandil Jabr dalam tulisan beliau bertajuk “hak-hak peribadi bukan Islam dalam masyarakat Islam”, *bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka walaupun haram bagi orang Islam dengan syarat tidak menyentuh dan mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat. Jika ianya berlaku maka menjadi kewajipan kepada kerajaan masuk campur bagi menghalang tersebar dan berleluasanya kerosakan yang boleh menghancurkan masyarakat.* Campur tangan kerajaan ketika itu termasuk kategori “sadd zara’i'” (menutup lubang-lubang kerosakan). Sebagaimana kerajaan di zaman moden ini campur tangan untuk menghalang tersebarnya wabak kerosakan seperti dadah dan seumpamanya. (Fatawa Islam Jilid VII No 1057 – Mufti Syeikh Allam Nassar) (rujuk www.odabasham.net/show.php?sid=77421).
Justeru, saya menyeru para Mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus terhadap acara mungkar Better Beer Festival 2017 ini sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan Malaysia.
Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam Agama Persekutuan dalam perlembagaan dengan YDP Agong menjadi ketua negara yang bertanggungjawab menjaga Islam serta Raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam di negeri-negeri, amatlah tidak wajar negara ini menjadi hub pesta arak yang tidak mendatangkan kebaikan bagi rakyat malah memudharatkan.
Pesta arak ini hanya akan mengundang lebih banyak gejala negatif kepada masyarakat di kala negara telah berhadapan dengan pelbagai kemelut sosial.
Arak telah dianggap menjadi ancaman di peringkat global dengan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan suatu laporan bertajuk “Global Strategy to Reduce the Harmful Use of Alcohol” pada 2010.
Saya telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 8 oktober 2014 ketika membantah penganjuran Pesta Arak Oktoberfest dengan menyebut beberapa statistik menjelaskan kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan iaitu;
A. Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alcohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.
B. Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.
C. Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alcohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.
D. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alcohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.
E. 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alcohol.
F. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alcohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.
G. Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.
H. Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.
I. Menurut satu statistik di UK, alkohol telah menyebabkan 45-46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

rujuk:
http://drtakiri.blogspot.my/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya para pemimpin dan juga NGO-NGO bangkit untuk menghalang penganjuran Pesta Arak yang memudharatkan negara dan masyarakat
Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad 17hb September 2017/26 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 17/9/2017


2 comments:

Anonymous said...

Kenapalah minta mufti keluarkan fatwa berkenaan pesta arak ni,patut minta kerajaan dan pihak polis haramkan acara ini.Tidak perlu minta fatwa dari Mufti,bebal sangat pemimpin PAS ni.

Si Merah Delima said...

Mana RUU (hukum berdasarkan akal)? Kan lagi baik buat HUDUD @ Hukum ciptaanh Allah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails