Saturday, November 27, 2010

Kongres PKR: Protes Di Hari Pertama

PETALING JAYA, 27 Nov 10: Hari pertama Kongres Nasional PKR yang berlangsung hari ini dicemari protes aman anjuran sekumpulan kecil ahli parti itu di pintu masuk Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Protes yang diketuai bekas bendahari PKR Selangor K. S. Kottapan disertai kira-kira 40 orang. Dalam protes itu, penyokong turut membawa kain rentang tertera “Reformasi dan Keadilan Tersangkut Kronisme”, “Keadilan Untuk Ahli?”, “No Hindraf, No Tsunami” dan “Sivaraji The Boss? Poorahh”.

Protes yang bermula 9.15 pagi berakhir 15 minit kemudian. Walaupun protes aman itu berjalan dengan lancar pada mulanya, namun berlaku sedikit ketegangan apabila ada perwakilan yang masuk campur dengan meminta peserta protes itu bersurai dan meninggalan Dewan Sivik MBPJ.

Ketegangan itu berlaku apabila ada perwakilan mendakwa bahawa penyokong yang menyertai protes itu bukan ahli PKR, sebaliknya hanya menyamar.

“Kami anggota bawahan PKR berhimpun hari ini untuk melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap pimpinan PKR yang terus-menerus mempertahankan salah laku Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Sektariat PKR dalam mengendalikan pemilihan PKR baru-baru ini.

“Aduan dan laporan yang telah dibuat oleh ahli parti langsung tidak dilayan pemimpin sekali gus menyerlahkan sikap sebenar kepimpinan parti.

“Tindakan pemimpin tertinggi tidak mempedulikan aduan ahli bawahan ini menunjukkan seolah-olah kami tidak penting apatah lagi untuk menjaga perasaan kami,” kata Kottapan.

PKR mengadakan kongres nasional dua hari, di mana akan mengumumkan keputusan rasmi pemilihan esok. Pemilihan menggunakan sistem langsung julung kali turut tercalar dengan dakwaan kecacatan dan kepincangan dalam proses pengundian. Beliau berkata kekecewaan mula dirasai apabila ahli bertindak mengkritik, membuat aduan dan mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap salah laku perjalanan pemilihan PKR.

“Ketidakpuashatian ini akan dianggap menyusahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) dan Azmin Ali (Naib Presiden PKR).

“Adakah kerana kami ahli bawahan kami tidak berhak mendapat layanan daripada pemimpin atasan? Nasihat kami kepada pemimpin tertinggi kami juga mempunyai maruah dan mesti dihormati kerana tanpa sokongan dari bawahan anda tidak akan diangkat menjadi pemimpin PKR,” katanya.

Kottapan turut memberi peringatan kepada kepimpinan PKR supaya memberikan keadilan kepada ahli di peringkat akar umbi.

“Dengan ini kami memberi ingatan kepada pimpinan parti, jika tidak mampu untuk memberi keadilan kepada ahli sendiri bagaimana kita mahu meyakinkan rakyat bahawa kita mampu memberi keadilan kepada mereka?,” katanya.

Selain protes, turut diedarkan risalah di sekitar Dewan Sivik MBPJ. Risalah empat muka surat itu mendakwa pemimpin PKR tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan yang dibangkitkan. (TheMalaysian Insider).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails