Sunday, September 20, 2009

B/Pinang:: PAS umum calon 29 Sept... Calon T/Kemang?


PETALING JAYA: PAS yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan mengumumkan calonnya pada 29 September ini.

Secara kebetulan, buat kali kedua berturut-turut, PAS juga akan mengumumkan nama calonnya pada tarikh yang sama dipilih oleh Barisan Nasional (BN). BN dan PAS mengumumkan calon masing-masing pada tarikh yang sama ketika pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang bulan lalu.

"Ya, kami (PAS) akan mengumumkan calon pada 29 September... tarikh 29 September sudah ditetapkan," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika dihubungi mStar Online semalam. Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi DUN Bagan Pinang berkata, pemilihan tarikh yang sama dengan tarikh BN kemungkinan secara kebetulan.

"Ia dipilih kerana dianggap hari yang sesuai... tiga, empat hari selepas sambutan Aidilfitri. Nama calon akan diumumkan pada sebelah malam di kawasan Bagan Pinang," katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan mengumumkan calonnya yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu pada 29 September ini. Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober manakala tarikh pengundian ditetapkan 11 Oktober.

Mengenai calon PAS, Salahuddin memberitahu, pihaknya masih mempertimbangkan tiga nama yang sudah dikemukakan oleh PAS Negeri Sembilan. Mesyuarat akhir bagi memutuskan nama calon akan diadakan pada pukul 3 petang, 29 September, kata beliau. "Kemungkinan besar calon PAS kali ini adalah dari kawasan Telok Kemang sendiri," katanya lagi.(AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails