Wednesday, April 08, 2009

Sama Pak Lah-Najib, Keputusan P'Raya Kekal Macam Biasa, Tetapi....


BY ASYOK KUMAR

RABU April 8, 2009. Ketiga-tiga parti yang menang dalam pilihan raya kecil yang berlangsung serentak mengekalkan status quo keputusan pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008. Bahkan bekas Menteri Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan memperoleh sebanyak 21,860 undi. Beliau mencatatkan majoriti 2,789 undi-berbanding 1,566 undi yang direkodkan oleh calon PAS pada Mac 2008.


Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang ini menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi.
Kamarul hilang wang deposit. Undi rosak adalah sebanyak 456. Muka baru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar berjaya mempertahankan kerusi parti itu setelah menang dengan majoriti 2,403 undi. Kerusi itu pernah dimenangi oleh calon Bebas V. Arumugam setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) S. Krishnan dengan majoriti 2,362 pada pilihan raya lepas, sebelum beliau menyertai PKR.


Manikumar, 35, memperoleh 12,632 undi manakala calon BN S.Ganesan mendapat 10,229 undi.
Pilihan raya kecil itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila ia menyaksikan pertandingan yang membabitkan 15 calon, termasuk 13 calon Bebas. Calon Bebas Mej (B) Anuar Abd Hamid mendahului undi calon-calon bebas yang lain dengan hanya memperoleh 528 undi dan hilang wang pertaruhan. Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Abdullah Mat Akhir di pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Teknik 2 pada pukul 10.45 malam ini.


Kawasan DUN Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi berdaftar termasuk 15 pengundi pos dan 70 peratus daripada jumlah itu mengundi hari ini. Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Arumugam melepaskan jawatannya pada 8 Februari lepas. BN pula mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai apabila calonnya, Malcolm Mussen Lamoh memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 1,854 undi. Mussen, muka baru yang juga bekas jurutera Jabatan Pertanian Sarawak, memperoleh 3,907 undi untuk menewaskan ahli politik veteran Jawah Gerang, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal, yang meraih 2,053 undi dalam pertandingan satu lawan satu.


Pegawai pengurus pilihan raya Nelson Mujah Girie membuat pengumuman itu di Kompleks Sukan Lubok Antu pada 7.45 malam. Batang Ai, sebuah daripada kerusi DUN dalam Parlimen Lubok Antu, mempunyai 8,006 pengundi berdaftar, termasuk 43 pengundi pos. Pada pilihan raya negeri Mei 2006, penyandang kerusi berkenaan daripada BN, Datuk Dublin Unting Ingkot memenangi kerusi majoriti kaum Iban itu setelah menewaskan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti 860 undi. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails