Monday, November 19, 2018

Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin. Bagaimana Hukum? Siri 2

Hasil carian imej untuk SEJARAH BITCOIN
Lihat sebelum ini..
Siri 1: Mufti Wilayah Menulis: Guna Mata Wang Bitcoin. Bag...

SEJARAH BITCOIN

Bitcoin ialah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto, satu nama yang masih belum diketahui sehingga sekarang dan masih diperdebatkan samada ia merujuk kepada seorang individu ataupun sekumpulan manusia.
Operasi bitcoin (dan juga mata wang digital / kripto yang lain) diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang biasa yang diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing. Transaksi bitcoin dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah.[27] Ia juga boleh ditukar atau dijual beli dengan mata wang biasa, produk atau servis.[28]
Bitcoin merupakan aset pertama dalam bentuk mata wang kripto, menjadikannya aset paling popular dalam kalangan pengguna. Bitcoin dihasilkan melalui proses penempaan (mining) yang memakan satu jangka masa yang amat panjang, dengan cara penyelesaian masalah dan formula matematik untuk menghasilkan bitcoin menggunakan peralatan komputer.
Penghasilan Bitcoin telah ditetapkan untuk tidak melebihi 21 juta bitcoin, dan pada kadar sekarang, ia dijangka habis ditempa kira-kira pada tahun 2040.[29]
Jaringan blok (blockchain) pula ialah satu lejer awam yang merekodkan segala transaksi bitcoin yang dapat diakses oleh semua pengguna yang terlibat dengan proses transaksi dan penempaan bitcoin.
Menurut pengasasnya, Bitcoin dicipta bagi membolehkan transaksi pembayaran secara atas talian (online) dihantar secara terus dari satu pihak kepada pihak yang lain (peer-to-peer) tanpa perlu melalui institusi perbankan atau kewangan sebagai pihak ketiga dan ia akan melicinkan urusan transaksi. [30]
Selain itu, masalah penggodaman terhadap sistem juga amat sukar dilakukan kerana teknologi blockchain yang digunakan adalah berbentuk lejer awam yang merekodkan segala transaksi yang dibuat, dan lejer ini dapat diakses dan dikawalselia oleh kesemua pengguna. Melalui sistem ini, penggodam tidak mampu menipu sistem untuk menempa bitcoin secara tidak sah.
Bitcoin juga mampu menyediakan perkhidmatan transaksi yang lebih murah berbanding institusi perbankan yang mengenakan kadar cas perkhidmatan beberapa peratus, bergantung kepada bank dan jenis transaksi.

KEDUDUKAN BITCOIN SEBAGAI MATA WANG

Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:
  1. sukar diperoleh
  2. bekalannya terhad
  3. mudah untuk dipastikan (verify). [31]
Setakat kajian ini dilakukan, Bitcoin masih kekal sebagai mata wang kripto yang paling mudah dicairkan dan terbesar di pasaran dari segi aktiviti pengguna dan aktiviti pemaju. Ia mempunyai jumlah dagangan harian melebihi USD 10 bilion dan penilaian pasaran USD 135 bilion (setakat 18 April 2018).
Dalam Islam, para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya. Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan seumpamanya. Namun ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama:
  1. Diterima umum: Wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun bagi berfungsi sebagai alat tukaran. Imam Malik berkata, andainya kulit dijadikan wang oleh sesuatu masyarakat, maka aku akan haramkan ia ditukar dengan emas secara bertangguh. Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa apa sahaja yang diterima umum sebagai mata wang, maka ia boleh dijadikan wang. Walaupun kulit kambing, bitcoin, garam dan gula. Wang kertas yang ada ketika ini diterima umum, walaupun cuma kertas dan ia disahkan oleh kerajaan.
  2. Kestabilan nilai: Sifat ini sangat penting kepada wang untuk menjalankan fungsi wang. Secara umumnya, nilainya yang stabil dan tidak mudah naik dan turun secara mendadak. Jika mata wang nilainya tidak stabil, maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.[32]

Risiko Bitcoin

Bitcoin (dan juga mata wang kripto yang lain) merupakan satu produk inovasi moden yang masih baru dalam pasaran, dan sudah pasti ia mempunyai risiko dan masalah yang masih belum diselesaikan hingga sekarang. Antaranya ialah:
  1. Naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka akibat spekulasi berlebihan para pelabur (fluctuation/volatility)
Sewaktu Bitcoin mula-mula diperkenalkan, nilainya tidak melebihi USD1, namun sejak itu ia mula mendapat populariti diseluruh dunia dan nilainya terus meningkat naik.
Bitcoin memulakan tahun 2017 dengan nilai USD 966, dan naik mendadak hingga merekodkan harga tertinggi dalam sejarah pada USD19,850 pada pertengahan Disember, ia tiba-tiba mengalami penurunan mendadak kepada USD12,000 hanya dalam masa beberapa hari.
Namun demikian sejak awal 2018, harga bitcoin mula menunjukkan sedikit kestabilan, dengan konsisten mengekalkan paras USD6000 sejak pertengahan 2018. Sejak tiga bulan belakangan pula, ia berada dalam lingkungan USD 6,300 hingga USD 6,700, menunjukkan tahap kestabilan tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.[33]
Namun ketidakstabilan ini tetap melahirkan kebimbangan bahawa fenomena Bitcoin ini tidak lain hanya seperti buih yang akan pecah pada bila-bila masa. Ketidakstabilan harga Bitcoin ini juga menumbuhkan minat kepada mata wang kripto alternatif yang lain seperti ethereum, litecoin dan XRP.[34]
b. Risiko penggodaman terhadap sistem
Setakat kajian ini dilakukan, kes kecurian terbesar melibatkan bitcoin berlaku pada tahun 2014, apabila pusat dagangan terbesar ketika itu Mt. Gox telah kehilangan sejumlah 850000 bitcoin akibat penggodaman terhadap sistem komputer mereka, dengan nilai kerugian ketika itu berjumlah USD 480 Juta.[35]
Sementara untuk kes terkini pula melibatkan Youbit, sebuah pusat dagangan bitcoin di Korea Selatan yang telah jatuh muflis pada Disember 2017 setelah hampir 4000 bitcoin milik para pelabur dicuri dalam satu siri serangan siber.[36]
Sehingga kajian ini dilakukan, dianggarkan kira-kira 980 000 Bitcoin telah dicuri daripada bursa, dengan kerugian dianggarkan USD 15 Bilion menurut nilai semasa.[37]
c. Dieksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti keganasan
Pada Januari 2017, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) yang merupakan satu agensi anti penggubahan wang haram Indonesia melaporkan bahawa Bahrun Naim, salah seorang penyokong Daesh menggunakan bitcoin untuk mendanai aktiviti keganasan kumpulan militan itu di Syria.[38]
Sementara itu pada Disember 2017, sebuah mahkamah persekutuan di New York, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa Zoobia Shahnaz, seorang wanita warga AS kelahiran Pakistan atas tuduhan mendanai aktiviti pengganas Daesh menggunakan saluran bitcoin dan lain-lain mata wang kripto melibatkan dana berjumlah USD 85000.
Jabatan Keadilan (Department of Justice) (AS) dalam kenyataan sama menambah bahawa pertuduhan tersebut masih lagi di peringkat siasatan dan tertuduh belum bersalah selagi belum terbukti.[39]
Namun disebalik kes-kes yang dilaporkan, beberapa pakar masih enggan membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sememangnya satu ancaman secara mutlak dari sudut membantu aktiviti keganasan.
Sebagai contoh, David Carlisle, seorang konsultan bagi Royal United Services Institute (RUSI) yang merupakan badan pemikir bebas tertua dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan antarabangsa menyebut bahawa masih belum jelas samada mata wang kripto akan menjadi sumber dana utama bagi aktiviti pengganas. Bahkan tanpa mata wang kripto sekalipun, mereka telahpun mempunyai banyak sumber kewangan lain yang tidak putus-putus.
Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa mata wang kripto adalah satu ancaman besar dari sudut keselamatan memberi gambaran seolah-olah sistem kewangan konvensional sedia ada tidak mempunyai risiko dieksploit ke arah mendanai aktiviti keganasan.[40]
d. Kemunculan skim-skim pelaburan palsu berasaskan bitcoin dan mata wang kripto
Terdapat banyak skim pelaburan palsu yang menggunakan bitcoin sebagai tarikan kepada pelabur yang telah muncul selaras dengan perkembangan mata wang kripto tersebut sama ada di peringkat nasional mahupun global.
Antara contoh syarikat tersebut ialah Bitkingdom, Ethtrade Malaysia dan Ethtrade Limited, yang berdaftar di Hong Kong, dan syarikat-starikat ini telah tersenarai di dalam Bank Negara Financial Consumer Alert pada 23 Jun 2017.[41]
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

logo malay3

BAYAN LINNAS #153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN

Bersambung.

Sunday, November 18, 2018

Dr Maszlee 'Kencing' Susu, Rupanya Semak Dulu Kenyataan PH..

SEBAHAGIAN murid menikmati bantuan susu di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) bagi 2017.
SEBAHAGIAN murid menikmati bantuan susu di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) bagi 2017.
Rupanya Dr Maszlee "kencing" juga pasal susu sekolah

Laporan Mingguan Malaysia hari ini menyangkal kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) penuh skandal dan gagal.

Menurut laporan akhbar itu yang memetik sumber, semua lima syarikat pembekal susu yang dilantik pentadbiran lalu telah menghantar bekalan kepada lebih 7,000 sekolah yang terlibat dalam program itu, bermula Ogos hingga Oktober 2017.

Sumber yang dikatakan terlibat secara langsung dalam program itu mendakwa, proses pembekalan telah mengikut prosedur, termasuk mempunyai dokumen yang lengkap seperti surat setuju terima (SST), surat akuan penerimaan (SAP) dan invois tuntutan pembayaran.

“Kalau macam itu (susu tidak dihantar), penolong kanan serta guru besar juga perlu disiasat dan ditahan memandangkan mereka yang menandatangani SAP selepas bekalan tersebut dihantar ke sekolah,” katanya seperti dipetik.

Pada 8 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PS1M bagi tahun 2018 yang sepatutnya berjalan tahun ini dan telah diluluskan peruntukan, tidak diketahui kedudukannya.

Dalam laporan itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock mendakwa bekalan sepatutnya diedarkan ke sekolah melalui dua fasa, iaitu pada Mac dan Jun, bagi memenuhi keperluan murid dalam tempoh setahun.

"Bagaimanapun sejak awal tahun ini sekolah tidak menerima susu kotak tersebut. Memang ia tidak ada sebelum 9 Mei lagi," katanya ketika dihubungi.

Berhubung perkara itu, sumber yang dipetik akhbar itu berkata PS1M tidak diteruskan untuk tahun ini selepas peralihan kuasa pasca-PRU ke-14.





"PS1M 2018 sudah dibincangkan tetapi tiada kontrak dikeluarkan, maka untuk tahun ini memang tiada susu dibekalkan tetapi tahun lepas semua telah selesai,” katanya.

Terdahulu, Maszlee berkata program itu sudah gagal dan bekalan "hilang selama setahun".

"Apabila kita periksa kita pun tak tahu ke mana perginya, dan bukan itu saja (skandal yang ada)," katanya yang menjamin akan menyiasat penyelewengan yang berlaku dalam kementeriannya ketika pentadbiran terdahulu.

Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid, yang sebelum ini berkata "tidak tahu" tentang masalah itu, hari ini berkata punca PS1M tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini kerana kegagalan kementerian kewangan mengeluarkan waran untuk tender pemerolehan susu kota.

Menurut Mingguan Malaysia, beliau berkata wang peruntukan program itu tidak hilang tetapi masih di bawah seliaan kementerian kewangan.

PS1M merupakan program di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sepatutnya mengedarkan susu kotak kepada murid miskin di sekolah.

Untuk rekod, perlaksanaan RMT telah menerima peruntukan RM299 juta daripada kerajaan BN seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2018.

Lima syarikat pembekal yang terlibat dalam pengedaran susu kotak pada tahun lalu ialah Konsuma Sdn. Bhd, Sabah International Sdn. Bhd, Dutch Lady Milk Industries Bhd., Hybrid Allied Dairy Company Sdn. Bhd. dan Holstein Milk Company Sdn. Bhd. 

MR :  Kini semua kenyataan pimpinan PH kena semak dulu

MINDARAKYAT

Terlanjur Zina, Dipenjara, Bagaimana Penyelesaian?

Berbulan madu dalam penjara
Pasangan itu dinikahkan di markas polis Jombang.

Berbulan madu dalam penjara.
JOMBANG - INDONESIA. Sepasang kekasih yang ditangkap kerana membuang bayi mereka baru-baru ini akhirnya disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Yuda Setia Dandik, 20, dan pasangannya Rika Nur Safitri, 19, diijab kabulkan dalam satu majlis ringkas di Markas Polis Jombang, semalam.

"Ada permintaan daripada kedua-dua keluarga untuk mereka disatukan dan atas pertimbangan kemanusiaan, kami bantu melancarkan majlis pernikahan mereka.
"Majlis terpaksa diadakan di sini kerana kedua mempelai masih tahanan kami," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Jombang, Gatot Setyo Budi.Tambah Gatot, pasangan itu berdepan hukuman lima tahun penjara jika disabit bersalah.

Selain terpaksa berbulan madu di penjara, pasangan itu juga tidak dibenarkan melawat bayi mereka yang kini ditempatkan di rumah kebajikan.
Difahamkan, bayi malang berkenaan ditemui masih hidup dan selamat ketika ditinggalkan di hadapan rumah seorang  lelaki yang pernah menjadi guru pasangan terbabit.
Sementara itu, Yuda yang menyesali perbuatannya berharap perbicaraan mereka berjalan lancar.
Yuda juga berikrar untuk memulakan kehidupan baharu bersama isteri dan bayi mereka.
Dia juga mengaku tidak berniat untuk membuang bayi tersebut dan menjadikan rumah guru mereka sebagai 'persinggahan' kerana guru terbabit belum dikurniakan cahaya mata.

"Dalam surat yang disertakan bersama bayi itu, saya berjanji untuk kembali. Sebelum beredar, saya bersembunyi di sudut rumah, bila bayi itu diambil baru saya melangkah pergi," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditangkap minggu lalu, selepas mengaku membuang bayi mereka.
Yuda kembali ke rumah guru terbabit keesokan harinya untuk mengambil bayi tersebut kerana menyesal dengan perbuatannya. - Detiknews

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Terlanjur melakukan najis zina sehingga melahirkan anak. Bolehkah pesakit-pesakit penajis zina itu insaf dengan didikan hukuman penjara sahaja kepada mereka hingga tak dapat cari makan? Bukankah itu zalim?

Sekilas.. Stop! Jangan Dekati Najis Zina..

Zina adalah dosa besar di sisi Islam. Bahkan, manusia yang normal pasti memandang najis pada perbuatan tersebut. Maka tidak hairanlah di awal Islam, antara perkara yang diharamkan serta merta adalah zina kerana mudharatnya sangat besar terutamanya terhadap maruah manusia.

Setelah itu, Islam mendatangkan hukuman mendidik terhadap penzina. Ia terdiri daripada dua kategori:
  1. Penzina yang belum berkahwin, disebat 100 sebatan. Tetapi bukan seperti 'rotan' di penjara Malaysia yang zalim.
  2. Penzina yang sudah berkahwin, direjam hingga mati, untuk mendidik supaya jangan berkembang generasi penzina. 
Kerana najisnya berat, memang patut hukuman berat menanti penzina. Islam juga mengenakan syarat ketat bagi pendakwa seseorang itu berzina. Iaitu wajib mendatangkan 4 orang saksi.. Jika tidak, mereka pula yang bakal dikenakan 80 sebatan.

Konsep islam juga apabila mengharamkan sesuatu tidak hanya mengharamkan perbuatan tersebut  semata-mata, bahkan menutup segala jalan yang membawa kepadanya. 

Antaranya, membataskan hubungan antara lelaki dan perempuan seperti mengharamkan Khalwat ( berdua-duan ) secara mutlak.. Begitu juga Ikhtilat ( percampuran ) antara mereka diletakkan garis panduan..

Selain itu juga, pandangan antara mereka mesti ditundukkan. Sebenarnya bukanlah bermaksud berjalan hingga langgar dinding, namun seseorang itu mesti mengawal pandangan syahwatnya apabila berbicara dengan perempuan yang bukan mahram.

Bagi perempuan pula, ada kewajipan khas buat mereka iaitu:
  1. Mestilah menjaga penampilannya dengan menutup aurat..
  2. Tidak berhias berlebih-lebihan..
  3. Tidak keluar daripada rumah melainkan ada keperluan..
Semua ini bagi menutup jalan-jalan yang membawa kepada penzinaan.. Islam bukan sekadar agama yang menghukum.. Namun, islam juga adalah agama yang mendidik..
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً
Janganlah kamu menghampiri zina kerana ia adalah suatu yang keji ( Isra’ : 32 )

Walaubagaimanapun, bagaimana pula apabila garis panduan itu dilanggar dan akhirnya berakhir dengan penzinaan ( nauzubillah )? Apa yang perlu dilakukan oleh penzina? Adakah sudah tiada harapan?

Tidak, Islam sediakan jalan kembali bagi mereka yang terlanjur..

Satu: Taubat.
Zina adalah perkara yang terkutuk dalam islam. Dosanya cukup besar dan pelakunya dilaknat. Walaubagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka bagi hamba Allah yang menyesali apa yang telah mereka lakukan.

Sesiapa yang terlanjur melakukan dosa mestilah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu dengan syarat:

  1. Berazam tak buat lagi.
  2. Benci perkara tersebut.
  3. Sesal apa yang telah dilakukan.
Kesan dari taubat zina, seseorang itu pasti..

  1. Menutup aurat.
  2. Menjaga pergaulannya dengan bukan mahram.
Jika tidak, dia masih belum bertaubat dengan sebenar-benarnya.. Lebih baik pula penzina itu menyembunyikan dosanya berbanding menghebah atau membawa ke mahkamah. Begitu juga saksi yang melihat perbuatan zina, menutupnya lebih baik dari melaporkan kepada pihak berkuasa, selagi tidak berterusan perbuatan tersebut. Moga-moga pelaku itu diberikan hidayah dan jalan taubat oleh Allah SWT.

Dua: Kahwini Penzina.

Terdapat ayat yang jelas tentang hal ini iaitu daripada surah An-Nisa’, ayat ke 3:
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik." (Surah An-Nur : 3)

Jika dilihat pada ayat di atas, sangat jelas maksudnya. Namun, ulama berbeza pendapat terhadap penafsiran dan penakwilannya sekaligus membawa kepada perbezaan hukum. Imam Hasan Basri menyatakan haram secara mutlak perkahwinan dengan penzina berdasarkan zahir ayat di atas.

Manakala majoriti ulama berpendapat maksud ayat tersebut merujuk beberapa perkara seperti:-

  1. Nikah itu merujuk kepada bersetubuh.
  2. Ayat tersebut ingin membangkitkan rasa jijik orang beriman kepada perbuatan zina.
  3. Ayat tersebut telah dinasakhkan
Kesimpulannya, mereka tidak mengharamkan perkahwinan dengan penzina secara mutlak samada dengan pasangan penzina itu sendiri ataupun bukan penzina (orang lain), namun meletakkan syarat mestilah bertaubat terlebih dahulu

Walaubagaimanapun, mereka berselisih pendapat adakah perlu bagi penzina perempuan itu memastikan rahimnya bersih? Umpamanya sebelum kahwin dia mesti memastikan dirinya tidak mengandung anak hasil daripada zina.

Mazhab Maliki dan Hanbali mensyaratkan perkahwinan dengan penzina yang bertaubat mestilah disyaratkan iddah. Iaitu perempuan itu mesti menunggu agar datangnya haid bagi memastikan rahimnya bersih.  Manakala mazhab Hanafi dan Syafie tidak mensyaratkannya.  

Bagaimana pula jika perempuan yang dinikahi itu hamil hasil daripada zina? Bagaimana pula dengan nasab anaknya?

Oh, cukup sampai di sini, ada masa yang sesuai sambung lagi. Insya Allah!

K'jaan PH Kelam Kabut &Gagal.. - Ku Li



GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih kelam kabut dan gagal menunaikan janji.
Beliau berkata, pemimpin PH belum dapat menyesuaikan diri sebagai kerajaan yang memerintah dan ada antara mereka mengambil masa memahami peranan masing-masing.

Katanya, ada sesetengah dari mereka beranggapan mereka masih `orang baharu’ dan berlagak sebagai pembangkang walaupun hakikatnya mereka adalah pemerintah dan berjawatan menteri.
“Begitu juga kita sendiri (UMNO) pun nak sesuaikan diri sebagai pembangkang masih lagi janggal,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan masjid baharu di Bandar Lama, di sini, hari ini.
Masjid baharu berkonsepkan Masjidil Haram di Makkah menelan belanja RM23 juta itu, dijangka siap Mei tahun depan.
Tengku Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, keadaan itu juga jelas apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui tidak dapat menunaikan semua janji.
Katanya, banyak perkara yang dicadang termasuk janji dalam manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang menelan perbelanjaan besar, gagal dilunaskan.
“Kalau nak hapuskan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turun harga minyak amat sukar untuk kerajaan PH berbuat demikian.
“Kita mengakui setengah daripada rakyat menyesal termasuk pelajar universiti hingga mereka bertindak berarak ke Parlimen membuat bantahan terhadap perkara itu.
“Ada kalangan mereka marah seolah kena tipu kerana mereka berharap golongan yang berpendapatan sampai RM4,000, baru kena bayar pinjaman itu. Sekarang ini, kerajaan tetapkan gaji minumun RM1,050 pun sudah kena bayar,” katanya. (BH)

Pas/Umno Boleh Beza Pendapat, Tapi Bersama Pertahan Islam -A.Hadi

Pas, Umno boleh bersama pertahan Islam: Hadi
Abdul Hadi (duduk; empat, kanan) menyambut salam dan berbual bersama Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
PASIR SALAK - Pas dan Umno boleh berbeza pendapat dan berkelahi tetapi diingatkan agar tidak berlebihan kerana perjuangan mempertahankan Islam dan Melayu serta Bumiputera merupakan agenda utama.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apabila mempunyai kepentingan bersama kedua-dua parti ini perlulah melihat kembali sejarah bersatu ketika memperjuangkan isu yang sama termasuk menentang Malaya Union serta peristiwa 13 Mei 1969.
"Walaupun kita berbeza pendapat dan pandangan selepas mencapai kemerdekaan peristiwa 13 Mei menyatukan Umno dan Pas walaupun selepas itu berpisah lagi.
"Tetapi apabila ada perkara yang menyatukan hubungan kita antara Islam, bangsa dan tanah air tidak ada yang boleh pisahkan," katanya ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Dataran Kampung Gajah, di sini, malam ini.
Abdul Hadi juga turut mengingatkan kaum lain bahawasanya yang memulakan perjuangan menentang penjajah di negara ini adalah orang Islam dan Bumiputera sebelum kedatangan mereka.
"Ketahuilah kaum lain di Malaysia yang mula berjuang menentang penjajah adalah Islam dan Bumiputera sejak penjajahan Portugis di Melaka diketuai raja serta pemimpin ketika itu dan kamu tiada masa itu.
"Sekarang sudah tiba masanya kita (Islam) bersatu kerana nak ajak bersatu payah bila berlaku perkara begini ALHAMDULILLAH ALLAH S.W.T. satukan kita, satukan hati pemimpin-peminpin menjadi contoh kesatuan umat di negara ini," katanya.
Abdul Hadi kemudiannya menamatkan ucapannya dengan membaca doa agar Islam dan Melayu di negara ini dilindungi sambil diaminkan lebih 30,000 pengunjung yang hadir.
Sebelum itu Abdul Hadi turut sempat membaca dua rangkap pantung berbunyi;

Mat Kilau berdua pahlawan,
Menghunus keris lompat ke pagar,
Lampu hijau boleh berjalan,
Lampu merah jangan dilanggar.

Pasir tuan Pasir Salak,
Sila datang timba ikannya,
Sarang tebuan jangan dijolok,
Kalau dijolok besar padahnya.
(SH)

MP DAP Desak Bebas Murtad, &Ajaran Sesat




KERISAUAN yang saya utarakan dalam ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyebut Malaysia akan ke arah meratifikasi semua konvensyen Hak Asasi Manusia PBB di UNGA baru-baru ini semakin menjadi kenyataan.
Walaupun ada segelintir pentaksub politik yang tidak faham isu dan tidak mampu berfikiran objektif melihat ia sebagai gangguan kepada pujian seluruh dunia terhadap Tun ketika itu.
Semalam Ahli Parlimen DAP, P Kasthuriraani telah bertindak pantas mendesak kerajaan meratifikasi ‘United Nations Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief’, yang mana memberi hak kepada semua manusia untuk mengamalkan dan menukar agama mereka sesuka hati tanpa boleh diambil tindakan oleh sesiapa.
Di Malaysia, jaminan untuk mengamalkan agama masing-masing telah pun termaktub dalam Perlembagaan Perkara 3 (1), dan tiada masalah bagi agama selain Islam untuk bertukar agama di Malaysia.
Jadi tiada tujuan lain desakan ratifikasi ini melainkan bagi membenarkan murtad berlaku di Malaysia.
Selain itu P Kasthuriraani juga mendesak semua ajaran sesat bebas diamalkan, selari dengan deklarasi tersebut yang menegaskan semua ‘agama dan kepercayaan’ bebas diamalkan.
Dia menyebut: “Another recommendation is the need to stop the arrests of individuals who practise Shia, Ahmadiyah and Baha’i (beliefs)”.
Dan hakikatnya ratifikasi deklarasi ini akan mengubah struktur undang-undang Islam dan kuasa Mahkamah Syariah secara menyeluruh kerana ia melibat asas kepada agama itu sendiri.
Perkara yang sama juga dituntut oleh COMANGO melalui proses UPR ke atas Malaysia yang akan berlangsung bulan hadapan di Geneva.
Mereka menggunakan NGO untuk melobi di peringkat antarabangsa dan menggunakan Ahli Parlimen secara terus untuk mendesak di peringkat tempatan, yang tujuan adalah sama iaitu mengubah identiti negara menjadi liberal demokratik mutlak.
Umat Islam perlu sentiasa sedar cabaran bertubi-tubi yang sedang dirancang, dan teguh mempertahan identiti dan hak kita, walaupun terpaksa berhadapan dengan tali barut dari kalangan muslim yang mempermudahkan kerja mereka.
[ ratifikasi: pengesahan perjanjian oleh Parlimen (Kamus Dewan Edisi Keempat) ]
Ahmad Nu’man bin Mazlan

Ahli Jawatankuasa Biro Islamiyat Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Khatan Wanita Bukan Sekadar Budaya -Dr Ahmad Sanusi Azmi


1. SUHAKAM dilaporkan mengkritik pendirian kerajaan berhubung isu khatan wanita. Putrajaya dikatakan tidak memberikan penjelasan yang jelas berhubung perkara ini. Ekoran dari kritikan itu, Dr Wan Azizah menyatakan amalan yang telah menjadi budaya setempat akan dibincangkan semula. Kata beliau: “Kita akan bincang dan lihat jika ia tidak memberi sebarang kebaikan, jadi kita perlu lakukan sesuatu.”
2. Amalan khatan ini pada hakikatnya bukanlah sekadar budaya atau adat setempat sahaja. Pensyariatan khatan mempunyai asas yang kukuh di dalam syarak. Rasulullah bersabda dalam sebuah hadith sahih:
وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ
“Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.” (HR Muslim)
Hadith ini menggambarkan bagaimana yang berkhatan itu bukan sahaja lelaki bahkan perempuan.
3. Perkara ini disokong oleh hadith Ummu Atiyyah yang menyebutkan:
حديث أم عطية رضي الله عنها قالت: إن امرأة كانت تختن بالمدينة، فقال لها النبي صلى الله عليه وسلم: “لا تنهكى، فإن ذلك أحظى للزوج، وأسرى للوجه”
“Ummu Atiyyah berkata: Sesungguhnya para wanita (mengamalkan) khatan di Madinah, lalu Rasulullah berpesan: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” (HR Abu Daud)
4. Hadith yang hampir sama juga diriwayatkan oleh Ummu Habibah. Ummu Habibah terkenal dengan tugasannya sebagai bidan dalam perkara ini. Rasulullah bertanya tentang perbuatannya menjalankan khatan perempuan. Lalu Ummu Habibah berkata:
إلا أن يكون حراماً فتنهانى عنه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “بل هو حلال، فادني منى حتى أعلمك”
“Kata Ummu Habibah: Sekiranya (berkhatan wanita) adalah haram, maka Rasulullah sudah pasti melarangku (dari melakukannya). Bahkan Rasulullah berkata: Ia adalah sesuatu yang halal. Dan Rasulullah memanggil Ummu Habibah lalu berkata: Mari dekat sini, aku ingin berpesan kepadamu tentangnya.” Lalu Rasulullah mengajar Ummu Habibah perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Ummu Atiyyah dalam hadith di atas (no 3). (HR al-Bayhaqi)
5. Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
Imam Ahmad turut menyatakan kewajipannya tetapi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan majoriti ulama menyatakan ianya sunat.
(Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi)
6. Perbahasan berhubung khatan di dalam khazanah Fiqh Islam ini menggambarkan kepada kita bahawa amalan ini bukanlah sebagai budaya atau adat setempat sahaja. Ia adalah perkara yang boleh dikategorikan sebagai ibadah, yang dibincangkan panjang lebar oleh sarjana Islam.
7. Akhir sekali, banyak betul perkara yang berkaitan dengan Islam mula dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu. Amalan khatan yang ada dalil pensyariatannya turut mula ingin dibincangkan semula atau dilarang. Yang menghairankan, amalan LGBT tidak pula dilarang sedangkan dalil pengharamnya adalah jelas.
Moga Allah membimbing kita semua.
Dr Ahmad Sanusi Azmi

Oxford Centre for Islamic Studies

Sumber:

1. https://suara.tv/15/11/2018/khatan-wanita-jika-tiada-sebarang-kebaikan-akan-cari-jalan-lain-tpm/?fbclid=IwAR25aog1FeDDaddxZuX7IRSLck-sX6ZUZufvXmpQcAMdx6ahTZ5jFMYfIKw 
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/11/14/suhakam-kritik-putrajaya-kelirukan-pbb-berhubung-khatan-wanita/ 
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/498263/isu-khatan-wanita-dibincang-tpm 
4. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails