Skandal 1MDB katalis kejatuhan Najib - Husam
Oleh
Datuk Husam Musa
Naib Presiden PAS.
1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan. Laporan
polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet
turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan
baru bakal membawa impak yang besar.
Timbalan Ketua UMNO Batu
Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan
polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;
a.
Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga
RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua
pemilik)
b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International Ltd.
c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 million.
d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran
e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan
f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran
g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman
Rabu
lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara,
seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang
dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan
membincangkan isu ini.
Ia sudah tentu akan diminitkan dan
sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk
pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam
mesyuarat akan datang?
Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM? Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?
Tentulah dengan niat yang tertentu.
Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan baru ini? Sama
juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian.
Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan
perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai
1MDB?
Tidakkah dua perkembangan ini - laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet terjadi serentak?
Terlepas
dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat
negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan
penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.
Samada
polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu
yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam
Negeri. Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?
Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka. Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.
Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.
Misalnya,
bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian
sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun
1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah
aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan
penilaian yang lebih tinggi.
Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A
Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat
kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak
berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.
Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.

Najib
bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu
yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan
penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan
dikemukakan nanti.
Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.
Sepanjang
menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib
seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan
survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.
Oleh
Datuk Husam Musa
Naib Presiden PAS.