Monday, November 16, 2009

Kickdefella - Suatu Penyelesaian Bijak Perlu.


CATATAN SANTAI

PAGI ini saya terharu membaca tulisan Blog Kickdefella. antaranya berbunyi...

"Tok Guru kita kata orang yang hendak menaja pemergiannya ke Mekah bersama Datin, Ariffahmi dan Nik Amalina dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, tidak pernah dapat projek daripada Kerajaan Negeri.

Maklumat yang didedahkan oleh Rocky pagi ini menafikan hujah Tok Guru."

Apa dedahannya? Begini, lanjutnya.

"Satu Kelantan sudah tahu bahawa Nudin Awang adalah lelaki yang menaja Pakej Haji yang jumlah keseluruhannya hampir RM455,000 itu. Ramai yang melihat resit pembayaran yang Nudin tayang di sana dan di sini dengan penuh rasa rendah diri itu.

Ramai juga tahu, tiba-tiba Nudin kelam kabut dan cuba untuk meminta agensi pelancongan itu menukar nama pembayar bil itu.Ramai juga tahu selepas bersetuju dengan pujukan Ariffahmi untuk ke Mekah, Tok Guru sendiri telah menalipon Nudin. Ramai juga lihat Nudin datang ke satu majlis selepas panggilan itu dan berdiri dibelakang Tok Guru dengan bangganya sewaktu Tok Guru mempertahankan perlunya satu EGM dalam PAS.

Akhirnya ramai yang tidak mahu beritahu bahawa Teng Hu Ling adalah orang yang perlu dihubungi jika kita mahu bercakap dengan wakil Great Eastern Mills Berhad.Ramai juga tidak mahu beritahu bahawa Great Eastern Mills Berhad di mana Nudin Bin Awang adalah Pengarah Syarikat telah menerima 10,000 ekar balak bernilai lebih RM20 juta daripada sebuah agensi kerajaan yang dipengerusikan oleh Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Balak yang diterima oleh Great Eastern Mills Berhad di serahkan pula kepada SEAL Incoporated Berhad dan boleh di lihat di sini balak-balak itu.

Namun ada satu perkara yang ramai langsung tidak tahu ialah seorang lelaki bernama Abdul Ariffahmi Bin Abd Rahman, ahli UMNO cawangan Chakung di Bahagian Machang dengan nombor keahlian 0266057, yang ibu bapanya dan adik beradiknya melainkan seorang abangnya sahaja bukan ahli UMNO ialah orang yang menjemput Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk ke Mekah.

UMNO Cawangan Chakung terletak di DUN Temangan. Ariifahmi adalah ahli biasa dan Ketua Cawangan ialah Sdr. Saidi Husin. Ketua Pemuda Cawangan ialah Sdr. Azman Ibrahim. Setelah berlaku selisih faham yang melibatkan masalah dalaman UMNO Machang, Cawangan ini di sisih. Akibatnya bermula tahun 2006, ramai ahli termasuklah Ketua Cawangannya sendiri telah memasuki PAS. kakitangan ibu pejabat UMNO Cawangan Chakung yang terletak di Taman Siti Aishah berdekatan Wakaf Bata di jalan lama Tanah Merah – Machang boleh memberikan tarikh Ariffahmi mendaftar menjadi ahli UMNO.

Saya tahu Ariffahmi akan menafikan hal ini dan mengatakan bahawa dia telah menjadi ahli UMNO secara tidak sukarela. Hal ini kita serahkan kepada UMNO Malaysia untuk menyelesaikannya dan kerana di celah-celah timbunan fail di mana-mana bangunan UMNO masih terselit sekeping borang lusuh yang diisi nama Abdul Ariffahmi. Cuma, janganlah salahkan UMNO semata-mata kerana nafsu kita cukup buas.

Dan ramai langsung tidak tahu bahawa pada 31 Julai 2009 sudah ada satu perancangan rapi di buat di Kampung Langgar, Kota Bharu yang menghasilkan ini, ini dan ini. Naib Presiden PAS sekarang, YB Salahuddin Ayub juga boleh menjelaskan bahawa orang yang sama pernah merancang untuk menggulingkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas PRU ke 12. Bagaimana saya tahu? Sebab saya duduk bersebelahan dengan YB Salahuddin dalam pertemuan yang dirancang oleh Abdul Ariffahmi di Hotel Perdana sebelum bangunan itu dirobohkan.

Abdul Ariffahmi mendakwa bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu Ustaz Hadi berundur dan digantikan dengan anak didiknya YB Husam Musa sebagai Presiden PAS. Ariffahmi mengarahkan supaya YB Salahuddin yang ketika itu Ketua Dewan Pemuda untuk menggunakan jentera pemuda menggulingkan Ustaz Hadi. YB Salahuddin hanya diam. Benarkah ini kehendak Nik Aziz atau ini lagi satu projek Ariffahmi.

Setelah dua tiga pertemuan saya dan YB Salahuddin bersetuju bahawa Ariffahmi sudah hilang akal dan idea itu bukan sahaja bertujuan untuk membunuh karier politik YB Husam tetapi juga berupaya memporak perandakan PAS. Melihat perancangannya itu gagal sama seperti semua projek-projek yang diamanahkan kepadanya iaitu projek loji air Kampung Puteh dan Bandar Baru Tunjung, Ariffahmi berpaling kepada seorang rakan karib saya yang saya panggil di zaman persekolahan sebagai George Michael.

Kemudiannya George Michael mengerjakan umrah dengan Tuan Guru Nik Aziz dan Ariffahmi yang menghadiri tugas rasmi di Kuwait mengarahkan PMBK membayarnya untuk menyertai George Michael dan Tok Guru di Jeddah. Pulang ke Kota Bharu, Tok Guru tak kering gusi memuji George Michael dan nyaris-nyaris meluluskan satu projek strategik kepada George Michael. Akhirnya, atas usaha orang-orang yang kenal George Michael, berjaya menyekat pemberian projek kepada George Michael tanpa perlu mendedahkan latar belakang siapa sebenarnya George Michael.

Cuma malangnya Ariffahmi sudah menyerahkan kepada George Michael salinan asal fail tebal berhubung kajian projek strategik dan terperinci oleh konsultan yang dilantik dengan yuran hampir sejuta ringgit itu untuk tugas berat dan penting itu. Pihak PKINK, pemilik fail tersebut telah enggan menyerahkan fail itu walau diminta oleh Arrifahmi menyebabkan Ariffahmi mengarahkan Pejabat Menteri Besar memohon fail tersebut.

Apabila fail tersebut tiba di Pejabat Menteri Besar, Ariffahmi telah mengambilnya. Semenjak insiden melibatkan George Michael itu, kegusaran mula wujud di atas kewarasan Ariffahmi. Mengapa dia sanggup menyeberang begitu jauh sekali?"

Tulisan ini sudah tersebar. Apakah ini fitnah dan mehnah? Ya. Inilah tribulasi dan ujian dalam perjuangan. Perlu penyelesaian yang telus... Orang ramai perlu tenang, biar pemimpinnya yang menangani. Biar pemuda UMNO yang menggelupor, itu kerjanya mencari ruang untuk menusuk jarum politiknya.

Sekian.

Ibnu Hasyim,
Nov16 2009. KL.

Sunday, November 15, 2009

Pengerusi PR Tidak Semestinya PM -Prof Madya Dr Agus


SHAH ALAM – Cadangan melantik Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) wajar diberikan perhatian, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Agus Yusof, semalam.

Menurutnya, biarpun cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berbentuk peribadi, tetapi cadangan itu boleh dibincangkan secara bersama dengan kepimpinan tertinggi PR. “Pandangan yang diutarakan Zaid tidak salah, apatah lagi bertujuan mengukuhkan lagi parti. Namun cadangan itu perlu diterima secara majoriti oleh pucuk kepimpinan PR dan juga ahli secara keseluruhan.

“Cara lantikan juga perlu mendapat pandangan dan persetujuan ramai pihak. Melalui mesyuarat bersama komponen PR, barulah lantikan secara demokrasi dapat dilaksanakan,” katanya kepada: Sinar Harian:, semalam.

Agus juga tidak menolak kemungkinan keperibadian Nik Aziz yang baik dan dihormati antara sebab cadangan Zaid meletakkan Menteri Besar Kelantan itu sebagai Pengerusi PR. Ditanya kemungkinan cadangan itu boleh menimbulkan keretakan dalam pakatan pembangkang yang kini diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, Agus berkata, isu ini tidak akan timbul jika pemimpin tertinggi dalam PR sebulat suara memilihnya.

“Sekiranya Nik Aziz dipilih berdasarkan suara majoriti oleh kepimpinan tertinggi dalam pakatan, tidak akan timbul masalah perpecahan. Apatah lagi kini Anwar dibebani dengan pelbagai kesulitan termasuk kes perbicaraan liwat di mahkamah dan sebagainya yang menggugat kedudukan beliau,” katanya.

Menurutnya, meletakkan sesiapa sahaja sebagai ketua atau pengerusi PR tidak menjamin beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PR memerintah negara ini. “Banyak kriteria lain yang dinilai melayakkan seseorang menjadi Perdana Menteri, dan ini tidak semestinya Nik Aziz dilantik menjadi ketua dalam pakatan, beliau akan dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya.
(Sumber: Sinar Harian/AK)

Lihat sebelum ini...

Hadir T.Melewar Malam Ini, Bual Bicara

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu akan menganjurkan rancangan yang julung-julung kali diadakan ‘Bual Bicara: Persepsi Politik’ yang akan membincangkan tajuk ‘Benarkah Imej PAS Jatuh Merudum Selepas PRU 12?' malam ini, 15 Nov 2009, jam 9.30.

Rancangan talk show ini diadakan di Ibu Pejabat PAS Kawasan Batu, Taman Melewar dan Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam akan bertindak sebagai moderator.

Dua ahli panel diundang khas bagi membincangkan tajuk berkenaan iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin dan AJK Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Cikgu Ishak Surin.

Semua dijemput hadir.
Ibnu Hasyim

Fanatik Bola: K'tan Didenda. Fikir Sukan Bermanfaat.

SUKAN

KUALA LUMPUR, Nov 14 — Bilangan penyokong bola sepak Kelantan yang bertindak liar ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 7 November lalu sudah dikenali dan jumlah mereka adalah “agak ramai”, kata polis Kuala Lumpur hari ini.

Identiti mereka sedang dikenal pasti untuk diambil tindakan susulan. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, individu yang dikenal pasti terlibat dalam insiden itu akan diambil tindakan lanjut setelah butiran identiti kesemua mereka diperoleh dengan kerjasama polis Kelantan.n

Wajah-wajah individu yang didapati bertindak ganas pada malam itu dikenal pasti melalui rakaman video serta gambar yang diperoleh, kata beliau. “Wajah-wajah mereka sudah dicam dan kami sedang mengumpul butiran identiti kesemua mereka yang dipercayai terlibat itu,” kata Muhammad di sini.

Muhammad juga berkata, senarai nama akan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan setelah siasatan selesai bagi menjejaki individu yang dikenal pasti terlibat. Pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, segelintir penyokong Kelantan bertindak liar dengan membaling mercun dan botol air serta membakar kerusi dan merosakkan beberapa peralatan lain di stadium.

Berikutan kejadian itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan telah dikenakan hukuman denda RM50,000 baru-baru ini. Perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83 berakhir dengan Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan 3-1.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Perlu difikirkan supaya sukan yang digalakkan oleh Islam itu diketengahkan. Mungkin agak lebih bermanfaat untuk pembangunan negara, perjuangan dan pembinaan insan yang sejati.(2MA)

Sila lihat...

Satu Lagi Bukti Kerajaan BN Khianat -Dr Hj Mohd Hasyim

by Asyok Kumar

KUALA LUMPUR, 15 Nov:
Setelah rampasan royalti minyak Kelantan, ini satu lagi bukti kerajaan BN khianat. Itulah kesimpulan dari Blog Ibnu Hasyim bila mendapat laporan mengenai berita banjir di Kelantan.

"Slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya sia-sia bagi rakyat Kelantan, keluar dari lidah yang tak bertulang." Kata editornya Dr Hj Mohd Hasyim.

Kelantan terus dianak tirikan. Contoh paling nyata adalah keengganan kerajaan pusat membina tembatan banjir di Sungai Golok, walaupun peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-7 lagi, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf.

Kata Siti Zailah, jika kerajaan benar-benar berhasrat mendahulukan rakyat, pembinaan tembatan banjir itu harus disegerakan memandangkan rakyat di kawasan itu sering berhadapan dengan bencana alam itu. “Saya dimaklumkan peruntukan untuk tembatan Sungai Golok ini telah diluluskan sejak RMK ke-7 lagi. Tapi sampai sekarang tak buat, tak tahu ke mana peruntukan itu.”

“Tembatan banjir ini perkara yang perlu diambil tindakan serius kalau betul-betul kerajaan kata rakyat diutamakan. Saya sebagai ahli parlimen Rantau Panjang mintaklah beri keutamaan kepada pembinaan benteng banjir ini,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen baru-baru ini.

Menurut Zailah, penduduk Rantau Panjang terpaksa menghadapi risiko kerosakan dan kerugian harta benda setiap kali berlakunya banjir di kawasan itu pada musim tengkujuh. Limpahan air Sungai Golok itu turut melumpuhkan kegiatan harian penduduk dan peniaga di pekan Rantau Panjang yang merupakan Zon Bebas Cukai terkenal.

Kedudukan Rantau Panjang yang bersebelahan dengan Thailand makin merumitkan keadaan kerana negara itu membina benteng yang tinggi di sepanjang sungai Golok. Ini menyebabkan air hujan mengalir ke sebelah Kelantan kerana kedudukannya yang rendah dan tiada benteng yang menghalang air.

“Ekonomi rakyat Thailand tidak lumpuh walaupun musim hujan. Sebaliknya ekonomi rakyat Rantau Panjang yang terjejas teruk. Rakyat terpaksa tutup kedai, rugi beribu-ribu, tanaman ditenggelami air, binatang ternakan hanyut,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Tegasnya, kerajaan harus mengambil tindakan yang dapat menyelesaikan masalah berkenaan untuk jangka masa panjang, bukan sekadar menghabiskan wang memberikan pampasan setiap kali berlakunya banjir.

“Kerajaan bagi pampasan 500 ringgit kepada setiap mangsa banjir. Berapa juta kerajaan terpaksa habiskan duit untuk bagi pampasan. Lebih baik kerajaan guna duit itu buat tembatan untuk jangka masa panjang,” tegasnya.

Apa yang lebih dikesalkan ujarnya, apabila kerajaan pusat tidak berlaku adil dalam memberikan bantuan banjir kepada penduduk di kawasan berkenaan. Menurutnya, bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hanya diberikan kepada penyokong-penyokong Umno BN sahaja.

Ini dimaklumkan sendiri oleh salah seorang pegawai JPP kepada beliau. “Pegawai daripada jabatan pembangunan persekutuan dedahkan kepada saya bagaimana ada seorang pegawai JPP yang memang orang umno kuatlah. Dia kata nama-nama yang diberikan ini, siapa orang BN akan diberikan surat tawaran untuk terima bantuan banjir. Yang bukan BN, dia tak akan bagi walaupun tenggelam air,” ujarnya.

Beliau turut mendesak agar JPP dimansuhkan di Kelantan kerana ternyata bersikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat. Masih berlaku diskriminasi dalam menyalurkan bantuan.sebab melalui JPP. JPP tak akan bagi keadilan kepada rakyat. Sebab itu saya tegaskan, jangan benarkan sebarang bentuk bantuan disalurkan melalui JPP.Ini wang rakyat.bukan wang Umno.Mereka guna wang ini untuk kepentingan mereka sahaja,” katanya.

Minggu lalu seramai 2,031 mangsa banjir di seluruh negeri dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kawasan sekitar.

Ditanya mengenai apa maksud 'lidah tak bertulang', Haji Mohd menjawab, "Suruh PM jelir lidahnya, barangkali dah tumbuh cabangnya.." (AK)

Saranan Zaid Bukan Mainan Politik.. Apa Kata Anwar & Lim Kit Siang

By Asyok Kumar


KOTA BHARU, 15 Nov:
Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, menyambut baik cadangan Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim supaya Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi pertama bagi Pakatan Rakyat.

Menurut ketua penerangannya, Hajjah Nor Hashimah Deraman, perlantikan Nik Aziz dilihat sangat bertepatan kerana beliau merupakan seorang tokoh penyatuan kaum di negara ini. Ianya dapat di nilai sepanjang 20 tahun menjadi Menteri besar Kelantan dan mentadbir rakyat negeri itu tanpa tercetus sebarang ketegangan kaum.

Kepribadian beliau juga disenangi bukan sahaja oleh orang Melayu Islam, malah pelbagai kaum lagi di negeri ini termasuk Cina , India dan Siam. “Saya amat menyokong penuh saranan tersebut dan berharap Tuan Guru dapat menerimanya dan menjadi seorang pemimpin yang berjaya dalam penyatuan kaum di negara ini” katanya.

“Keperibadian dan ketokohan beliau sudah terbukti dan tiada salahnya mengambil beliau sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat Pertama,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang Di Pertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus berkata, walaupun terdapat ramai tokoh dalam Pakatan Rakyat yang mampu menjadi pemimpin namun pada masa kini Nik Aziz dilihat amat menonjol sering kali dijadikan ikon penyatuan pelbagai kaum di negara ini.

“Kami, PAS Kawasan Kubang Kerian menyokong penuh saranan Zaid Ibrahim dan diharap ia akan menjadi kenyataan sebagai pemimpin pertama Pakatan Rakyat bila ia diluluskan nanti,” kata beliau.

“Saya juga berharap pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat tidak menjadikan saranan Zaid tersebut sebagai mainan politik semata-mata dan di sinilah ujian pertama terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri”ujar beliau lagi.

Bagi Pegawai Khas Wakil Masyarakat India Kelantan, Tharuman a/l Arjunan pula berkata pada masa kini hanya Mursyidul Am PAS itu sahaja yang boleh menjadi Ketua atau Pengerusi Pakatan Rakyat kerana beliau dilihat diterima semua kaum.

“Kami amat gembira sekiranya beliau dipilih oleh pimpinan Pakatan Rakyat kerana ketokohan beliau boleh disamakan dengan Mahatma Ghandi”ujar beliau. Penyertaan masyarakat India di dalam Kelab Penyokong PAS adalah juga berkaitan dengan kepimpinan Tuan Guru di Kelantan yang begitu perihatin terhadap pelbagai masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Datuk Zaid dalam blognya mencadangkan agar Nik Abdul Aziz menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat. Dalam poll yang telah dibuat oleh NTV7, siapa yang sepatutnya memimpin Pakatan, Nik Aziz mendapat 44%, Datuk Seri Anwar 43%, Lim Kit Siang 17% dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi 6%.

Menurut Zaid, untuk menjayakan usaha ini, ia memerlukan “pengorbanan” dari (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. (Datuk Seri Tuan Guru) Abdul Hadi Awang juga boleh membuat sumbangan besar dengan meminta Tok Guru Nik Aziz untuk menjadi Ketua atau Pengurusi kepada Pakatan Rakyat; sama seperti Mahatma Gandhi yang menjadi “spiritual leader” kepada parti Kongres India. Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” dengan bersetuju dengan cadangan ini serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi. Sekali gus tindakan ini akan melenyapkan sebarang agenda “unity government” dengan UMNO, tulis Zaid dalam blognya lagi.

Blog Ibnu Hasyim menyokong penuh cadangan tersebut. sila lihat...
Komen Blog Ibnu Hasyim: Kini rakyat nak dengar sangat pandangan tokoh-tokoh PR yang lain seperti Anwar dan Lim Kit Siang. Yang penting, bukan hanya sebagai 'mainan politik' semata-mata.(AK)

Liberalisasikan Pendekatan Parti Pembangkang -Khalid Samad

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Usaha meliberalisasikan pendekatan parti-parti pembangkang adalah termasuk saling kerjasama dalam memperbetulkan semula beberapa persepsi salah rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat. Demikian pandangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Parti Sosialis Malaysia petang semalam. Dalam seminar itu, Khalid melahirkan keyakinan, sistem dua parti adalah yang terbaik untuk negara ini dalam suasana sekarang.

"Walaupun (dari) segi ideologi kita mungkin dari sumber yang berbeza, tapi akhirnya akan perjuang pada matlamat yang sama iaitu menggantikan Umno BN... dengan syarat perlu liberalisasi pendekatan agar sesuai dengan keperluan politik semasa.

"Apa yang kita nak buat sekali pun, kita perlu lihat realiti politik. Saya rasa sistem dua parti (sistem) penyelesaian terbaik di Malaysia, tidak ada retorik (dan) tidak lagi ideal. Ia lebih praktikal," jelas Khalid dalam Seminar Sosialisme 2009 anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Kalau nak laksana ia (sistem dua parti) secara realistik, saya sebagai ahli PAS perlu bersedia jelaskan pada Melayu (bahawa) DAP bukan cauvenis Cina dan DAP juga kena cakap pada orang Cina yang PAS ini bukan parti pelampau Islam seperti yang dipropaganda BN dalam media."

Baginya, propaganda perkauman yang dilakukan Umno mengakibatkan rakyat berpegang pada persepsi yang salah terhadap Pakatan Rakyat sendiri. "Masalah utama orang Melayu adalah terlalu percaya pada propagada Umno lebih 52 tahun, isu kedudukan Melayu, bahasa, tanah dan sebagainya, persepsi orang Melayu masih anggap Umno segalanya. Walaupun Umno rasuah, orang Melayu masih jauh dari kita (Pakatan)," jelasnya.

"Segelintir orang Cina dan India pula percaya PAS adalah parti ekstrem Islam disebabkan propaganda televisyen (dan) radio (yang dikatakan milik) Umno masuk ke setiap rumah, setiap hari." Beliau berharap Pakatan Rakyat tidak memandang remeh isu persepsi tersebut.

"Ini (isu perkauman) bukan saja persepsi (rakyat) yang tidak boleh PR tolak (abaikan), tapi ia sudah jadi sensitiviti yang menyebabkan rakyat (khususnya) undi Melayu kian berkurang pada PR, begitu juga yang lain," jelasnya.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat juga perlu meliberalisasikan maklumat serta media dalam sistem dua parti tersebut. "Liberalisasi dari segi maklumat supaya media ini lebih bebas, akta-akta seperti OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dimansuhkan supaya masyarakat lebih tahu apa yang berlaku dan boleh buat keputusan paling bijaksana dalam sistem ini (sistem dua parti)."

Selain Khalid, dua panel lain yang membincangkan sistem dua parti tersebut adalah saintis politik, Wong Chee Huat dan pengganti kepada Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution, Wong Phean Yow. (AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails