Friday, September 13, 2024

Vape: K'jaan mana? Kasihan si jahil & DAP..

 

Ahmad Yunus Hairi

1.  Anty Expo dan promosi vape: Kerajaan di manakah?

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tiada kesungguhan mahu menjaga kesihatan awam apabila Ekspo Industri Tembakau Baharu Asia (Anty Expo) yang terus diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines dari 8 hingga 9 September lepas.

Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan tindakan kerajaan dengan menyatakan kehairanannya mengenai kesungguhan kerajaan dalam menjaga kesihatan awam, sambil mempertanyakan sama ada ekspo tersebut dijalankan dengan pengetahuan dan kelulusan kerajaan.

“Keputusan kerajaan mengeluarkan Nikotin dari Akta Racun telah mengecewakan ramai pihak bahkan pada waktu itupun Pengerusi JKPK (Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan) yang menjawat Menteri Kesihatan hari ini menyokong untuk Nikotin disenaraikan semula dalam Akta Racun. Alasan kerajaan mahu mengutip cukai cecair atau Gel Nikotin Vape,” katanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, lakuna dari tempoh itu sehingga kuatkuasa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang masih belum berlaku mengundang 1001 masalah di kalangan generasi muda hari ini.

Jelas beliau, rakyat Malaysia ternanti-nanti akta yang mengecewakan ramai pihak iaitu pengguguran GEG (kempen generasi penamat) diluluskan di Dewan Rakyat Disember lalu itu akan dikuatkuasakan.

“Menteri Kesihatan memaklumkan Jun kemudian Ogos dan kini dijangkakan penghujung tahun ini.

“Kes Evali ( E-cigarette or Vaping Use-Associated Lung Injury ), kematian remaja yang disyaki ketagihan vape, keracunan cecair vape pada kanak-kanak dan kini, kes kesan kandungan bahan Mushroom (Psilocybin-Halusinogen) menyebabkan halusinasi dan bocor paru-paru atau Pneumothorax menjadi begitu ketara,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Yunus berkata, amat malang hari ini apabila Anty Expo yang dikatakan secara terang-terangan mempromosikan dan memberikan secara percuma vape telah diadakan di hadapan mata rakyat Malaysia. 

Menurutnya, mungkin itu adalah kesempatan bagi mereka untuk mempromosikan vape sebelum akta dikuatkuasakan.

“Soalnya di mana kerajaan? atau Menteri yang bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat Malaysia.

“Adakah akta yang belum dikuatkuasakan akan menjadi alasan? dan pihak penganjur akan terlepas begitu sahaja!

“Berapa ramai generasi akan datang yang telah menjadi korban di bawah sang penguasa yang ada hari ini,” katanya.

Terdahulu portal Malaysia Now melaporkan, seorang bapa, Loh Kim Seng telah melahirkan rasa terkejut dengan penganjuran sebuah ‘pameran perdagangan’ untuk produk vape, lengkap dengan jurujual berpakaian seksi dan pemberian vape percuma, di sebalik kritikan terhadap komitmen kerajaan untuk melindungi kesihatan awam.

Menurut laporan Malaysia Now itu, Loh merujuk lkepada Ekspo Industri Tembakau Baharu Asia (Anty Expo) yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran Antarabangsa Mines dari 8 hingga 9 September.– HARAKAHDAILY 13/9/2024


2. Awas! Vape mengandungi dadah ubat bius 

Banyak kandungan dalam vape mempunyai risiko bahaya terhadap kesihatan manusia. (GAMBAR HIASAN/Adobe Stock)

SALAH satu alasan utama Majlis Fatwa mengharamkan vape adalah untuk mencegah fitnah atau musibah yang lebih besar daripada penggunaannya (Saadu zaraik).

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, vape perlu diharamkan oleh semua pihak, bukan memberi ruang kepada mereka yang berinovasi untuk mempromosikan vape dan mengaut keuntungan.“Berikut adalah salah satu […]


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, setelah Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Dr Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan tindakan kerajaan dari sudut kesihatan' dan Majlis Fatwa mengharamkan vape, maka ini dipersembahkan sumber maklumat fatwa dari JAKIM.

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15951

Tajuk: Rokok Elektronik (Vape) 

Kategori: Muamalat/Ekonomi Tahun: 2015 Status Pewartaan: Diwartakan Negeri:Johor 

Keputusan : Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Safar 1437 bersamaan 7 Disember 2015 telah membuat keputusan seperti berikut: 

Pertama: Dalil umum daripada al-Quran dan hadis Nabi.

Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape ialah kerana perbuatan tersebut memudaratkan tubuh badan. Ini bersesuaian dengan syariat Islam yang melarang perbuatan memudaratkan diri. Terdapat beberapa nas al-Quran dan hadis Nabi ﷺ yang melarang manusia memudaratkan diri sendiri. 

Keumuman dalil-dalil tersebut terpakai kepada kes penggunaan rokok elektronik dan vape. Antara dalil syara’ yang melarang tindakan-tindakan memudaratkan diri sendiri ialah:

i. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195  Ertinya: “... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan...”

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan (infaq) fi sabilillah, tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala perbuatan yang membawa kepada kebinasaan sebagaimana berdasarkan kepada kaedah: “ أن الاعتبار بعموم اللفظ لا بخصوص السبب”

Ertinya: Bahawa sesungguhnya pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan ayat secara khusus.

ii. Hadis Nabi لا ضرر ولا ضرار

Ertinya: Tiada kemudaratan (dalam syariat Islam) dan tidak boleh memudaratkan (tanpa hak).

Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah feqah.

Kedua: Dalil qiyas

Penggunaan rokok elektronik dan vape merupakan antara isu yang tidak ditetapkan hukumnya oleh mana-mana nas syara’. Justeru, penetapan hukumnya boleh dilakukan dengan menggunakan dalil qiyas sekiranya segala rukun dan syarat qiyas dapat dipenuhi. 

Penetapan hukum dengan menggunakan dalil qiyas adalah muktabar dan disepakati dalam keempat-empat mazhab feqah.

Penghujahan menggunakan qiyas dalam permasalahan rokok elektronik dan vape adalah melalui kaedah qiyas ke atas perbuatan meminum bahan-bahan beracun yang digambarkan seperti berikut:

Asal: meminum bahan-bahan beracunFuru’: menggunakan rokok elektronik dan vape.

‘Illah: memudaratkan atau membinasakan tubuh badan.

Hukum: haram

Oleh itu, proses proses qiyas dalam isu ini dapat diamalkan kerana kempat-empat rukun qiyas telah dipenuhi. Justeru, secara kesimpulan boleh dikatakan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram berasaskan kepada qiyas terhadap meminum racun.

Ketiga: Dalil maslahah.

Penetapan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape juga boleh dilihat melalui dalil maslahah. Ini kerana, syariat Islam tidak dapat dipisahkan daripada maslahah sama ada mendatangkan kebaikan atau manfaat ataupun menghilangkan kemudaratan atau keburukan.

Maslahah ialah memelihara objektif syariah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Justeru, setiap perkara yang mengandungi elemen pemeliharaan terhadap lima asas ini, maka ia adalah maslahah. Setiap perkara yang meluputkan asas-asas ini, maka ia adalah mafsadah, dan menggugurkan mafsadah merupakan satu maslahah.

Oleh itu, maka dapat disabitkan bahawa pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape adalah satu bentuk maslahah. Ini kerana penggunaan rokok elektronik dan vape membawa pelbagai implikasi dan kesan negatif seperti terdedah kepada penyakit berbahaya, menyakitkan orang sekeliling, membawa pembaziran, terdedah kepada penyalahgunaan dan sebagainya. 

Berdasarkan kepada dalil-dalil umum dan qaedah-qaedah dalam syara’ didapati bahawa implikasi-implikasi yang dinyatakan di atas adalah bersesuaian dengan hokum pengharaman.

Begitu juga, tanggungjawab pemerintah(ulul amri) yang mengambil keputusan pengharaman vape adalah kerana terdapat maslahah amah berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah: تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة   

Ertinya: Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maslahah.

Keempat: Dalil Sadd dzarai’

Penghujahan berdasarkan kepada kaedah sadd dzaria’h adalah sebagai penyokong kepada hujah-hujah sebelum ini iaitu dalil umum, qiyas dan maslahah. Ini kerana penjualan peralatan vape di pasaran akan mendedahkan kepada penyalahgunaan seperti menghisap vape berperisa ganja, dadah, kanabis, ketum, syabu, nikotin dan sebagainya.

Penyalahgunaan ini boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah berbahaya. Selain itu, penggunaan vape ini akan mewujudkan masyarakat yang runtuh akhlak dan kepribadian khususnya di kalangan generasi muda, serta tidak ketinggalan juga wanita yang berleluasa menghisap vape tanpa ada perasaan malu dan segan.

Justeru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudaratan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram berasaskan kepada kaedah sadd dzaria’h. 

والله اعلم بالصواب

Akhirnya, kepada mereka yang masih belum faham mengenai vape ini, kasihanilah mereka kerana menjadi tugas setiap Muslim untuk menjelasnya.

Walaupun seperti si buta yang dibimbing untuk melintas jalan raya, tapi terus mengecam pembimbingnya.

Walaupun juga mereka disebut pemimpin masyarakat, parti tertentu, menteri atau bekas menteri.

Cukup setakat ini dulu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails