Tuesday, January 24, 2023

Jiran/Marcos; Autonomi Mindanao.. & L/China Selatan.

 

Militan dari Barisan Pembebasan Islam Moro dilihat menaiki bot di Bangsamoro, Cotabato, Filipina. - Foto AGENSI

1. Filipina bersedia wujudkan kerajaan autonomi Mindanao Muslim menjelang 2025

COTABATO: Pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan Islam autonomi di pulau selatan Mindanao dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penubuhan kerajaan autonomi pada asalnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan sehingga 2025 disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pandemik COVID-19.

Walaupun sebahagian besar daripada 110 juta penduduk Filipina adalah Kristian, umat Islam membentuk kira-kira 5 peratus daripada populasi di sana.

Pada separuh kedua 1960-an, pemberontak Islam di selatan negara itu memulakan perjuangan bersenjata untuk kemerdekaan. Sejak 10 tahun lalu, keadaan dilaporkan lebih tenang, tetapi masih banyak isu, termasuk keperluan untuk melucutkan senjata militan.

Memujuk pemberontak untuk meletakkan senjata mereka mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan. Setakat ini, hanya kira-kira separuh sahaja dari kalangan mereka yang telah meletakkan senjata.

Jika isu itu (pembentukan kerajaan autonomi) tidak selesai menjelang 2025, penggubal undang-undang Filipina mungkin akan menimbulkan kebimbangan mengenai penubuhan pihak berkuasa autonomi di Mindanao.

Bahagian selatan pulau itu kaya dengan perhutanan dan sumber asli tetapi kurang membangun.

Walaupun syarikat asing melihat potensi dalam sumber, pembangunan infrastruktur dan pertanian, keselamatan awam mesti dipertingkatkan terlebih dahulu.

Sebarang gangguan dalam usaha terbabit boleh menyebabkan negara itu kehilangan pelaburan negara asing.

Pada November dan Disember lalu, Pegawai Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA), kerajaan wilayah sementara, ditembak mati menyebabkan Kementerian luar Jepun meletakkan risiko perjalanan di kawasan itu pada tahap 3 daripada skala 4, dan menggesa warganegara Jepun untuk mengelak daripada mengunjungi rantau itu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu menyediakan kerja untuk bekas pejuang bagi menghalang mereka daripada menyertai semula aktiviti militan, dengan memberi sokongan seperti latihan pertanian yang dilihat sebagai penting.

Hubungan antara kerajaan pusat dan BTA adalah baik pada masa ini.

Ahad lalu, Presiden Ferdinand Marcos Jr menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam mewujudkan kerajaan autonomi Muslim.

"Kami mentakrifkan semula 'hubungan' dengan BTA," kata Marcos.

Bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab memastikan keamanan di Mindanao Muslim dijangka diganti tidak lama lagi.

Penting bagi BTA untuk mengekalkan sokongan daripada kerajaan dan menjalin hubungan baik dengan pemegang jawatan baharu yang biasa dengan proses damai.

Cabaran lain ialah pengurusan belanjawan untuk pihak berkuasa baharu.

"Saya sedang bergelut untuk melaksanakan peraturan untuk mencegah rasuah dan nepotisme daripada merebak," kata Naoyuki Ochiai, penasihat kanan kepada ketua menteri BTA.

Mengenai penerimaan BTA terhadap Ochiai, yang bekerja untuk Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) sebagai penasihat, kerajaan sementara itu sedang mempelajari cara mengendalikan Parlimen dan badan pentadbiran, serta cara menyusun belanjawan.

"JICA akan terus bekerjasama dengan anda dalam bidang yang antara lain seperti pembangunan tadbir urus dan kapasiti pentadbiran, penciptaan pekerjaan, kualiti hidup yang lebih baik.

"Ia juga akan membantu mempercepatkan penggubalan undang-undang untuk pentadbiran tempatan, percukaian, pilihan raya dan mata pelajaran lain.

"Sebilangan penggubal undang-undang tempatan dijangka melawat Jepun untuk mengkaji sistem Parlimen negara itu," kata Presiden JICA, Akihiko Tanaka dalam ucapan pertama beliau kepada parlimen BTA. - REUTERS


2. Krisis di Laut China Selatan buatkan Marcos 'tidak tidur malam'

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, ketika berucap di Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland. - Foto AP

DAVOS: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berkata krisis pertikaian wilayah di Laut China Selatan membuatkannya 'tidak tidur malam', namun tetap bertegas menyelesaikan isu itu dengan China secara aman.

Ketika bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Marcos berkata negaranya hanya melihat sebagai 'pemerhati' setiap kali ketegangan meningkat selepas kapal perang China atau Amerika Syarikat (AS) melintasi wilayah itu.

"Jika sesuatu berlaku di sini kami, penduduk Filipina yang tinggal di sana, akan menderita.

"Keadaan ini membuat anda terjaga pada waktu malam, membuat anda terjaga pada siang hari, malah membuat anda terjaga pada kebanyakan masa," katanya.

Beliau juga sudah membincangkan isu itu dengan Presiden China, Xi Jinping semasa lawatan ke Beijing awal bulan ini, namun tiada perkembangan baharu dilaporkan.

"Ia sangat dinamik, ia sentiasa berubah-ubah. Jadi, anda perlu memberi perhatian kepadanya untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya anda menyedari keadaan semasa supaya dapat bertindak balas sewajarnya," katanya.

China dan Filipina bertelagah mengenai Laut China Selatan, dengan Beijing menuntut kedaulatan terhadap hampir keseluruhan kawasan walaupun mahkamah antarabangsa memutuskan bahawa tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Bulan lalu, Manila mengarahkan tenteranya supaya meningkatkan kehadirannya selepas laporan bahawa China sudah mula menuntut semula dan membangunkan beberapa kawasan tanah yang tidak diduduki di sekitar Kepulauan Spratly.

"Kami tidak mempunyai tuntutan bercanggah dengan China. Apa yang kami ada ialah China membuat tuntutan terhadap wilayah kami. Inilah pandangan kami dan bagaimana kami mendekati masalah itu," kata Marcos.

China dan Filipina berikrar untuk menyelesaikan perselisihan faham maritim melalui 'rundingan mesra' semasa lawatan Marcos ke China baru-baru ini. -AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jiran/Marcos; Autonomi Mindanao Muslim & Krisis L/China Selatan. 

Pihak berkuasa Filipina sedang berusaha untuk menubuhkan kerajaan Islam autonomi di pulau selatan Mindanao dalam tempoh dua tahun akan datang. Asalnya dijadualkan pada 2022 tetapi ditangguhkan sehingga 2025 disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19, dan lain-lain.

Semoga Al-hamdulillah.


Hibur Hibur Sikit

H2S Pilihan: 24 -Nasheed BANGSAMORO

BANGSAMORO MNLF-mujahideen in jolo-sulu MINDANAO


Bangsamoro Mujaheedin (Nasheed)




MNLF, MILF leaders sign joint declaration urging passage of BBL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails