Monday, January 02, 2023

Ella Ratu Rock saman penganjur. & Khalwat, tahun baru.

 

Ella tidak akan membiarkan wajahnya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab dan bakal mengenakan tindakan saman terhadap penganjur. - Foto IG Ella

HALAMAN HIBURAN

1. Ella kesal gambar diperguna, saman penganjur

KUALA LUMPUR: Enggan dipergunakan demi keuntungan pihak tidak bertanggungjawab, Ratu Rock, Ella bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur festival makanan yang didakwa menggunakan gambarnya dalam poster tanpa kebenaran, baru-baru ini.

Menerusi hantaran dibuat di Instagram (IG), pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin itu turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab penganjur berkenaan.

"Saya kesal tindakan syarikat penganjur kerana mengguna imej saya untuk penganjuran Karnival Geggar Wanza Food Fest Mega yang berlangsung antara 23 Disember hingga semalam di Mydin MITC Mall Ayer Keroh, Melaka tanpa kebenaran.

"Kami percaya urus setia penganjuran melakukan promosi berterusan dengan menggunakan imej artis bagi mempromosi jualan reruai dan jenama majlis mereka," tulisnya.

Ella muat naik hantaran meluahkan kekesalan dengan tindakan penganjur yang tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya dalam poster festival tanpa kebenaran. - Foto IG Ella

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Merah ini turut menitipkan pesanan kepada semua pihak agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa kepada penganjur berkenaan.

"Semua peniaga berkaitan dinasihatkan agar lebih waspada dalam semua urusan dan tidak terpengaruh dengan penganjuran tidak bertanggungjawab seperti ini.

"Saya menerusi pengurusan, Ben Jawi Ventures (BJV) akan mendapatkan khidmat nasihat undang-undang bagi mendidik penganjur agar lebih bertanggungjawab," tegasnya.

Menerusi hantaran berbentuk poster dimuat naik penyanyi itu, selain Ella, acara itu turut membabitkan komposer dan penyanyi Harry Khalifah bersama anaknya, Chombi dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. (BH)


2. Pasangan remaja ditahan, disyaki khalwat di hotel bajet  

KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat bersama pasangannya berumur 18 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat di dalam bilik sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan kira-kira jam 4 pagi dalam Operasi Ambang 2023 dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain, berkata pasangan berkenaan memberi alasan keluar untuk menyambut tahun baharu 2023.

"Hasil pemeriksaan ketika operasi mendapati mereka disyaki duduk berdua-duaan di bilik hotel dalam keadaan mencurigakan.

"Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana kesalahan khalwat yang menimbulkan syak dan bertentangan hukum syarak.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya, di sini, hari ini.

Dalam operasi sama yang bermula jam 4 petang semalam dan berakhir jam 4.30 pagi tadi, beliau berkata, seramai 11 wanita turut diberi notis kehadiran khidmat nasihat kerana berkelakuan tidak sopan, manakala satu kes diberikan amaran keras.

Beliau menjelaskan, fokus utama operasi itu ialah untuk memantau dan menyedarkan masyarakat berkenaan kesalahan syariah.

"Kita menasihati semua supaya tidak melakukan kesalahan syariah, termasuk kemungkaran, dan sentiasa menjaga diri.

"Selain itu, pihak kita juga mengedarkan risalah berkaitan kesalahan syariah kepada orang awam, termasuk di pasar raya dan tempat tumpuan ramai, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya. (BH)

BERITA BERKAITAN


Komen Weblog Ibnu HasyimElla Ratu Rock saman penganjur.  & Khalwat, tahun baru.

Jom berkhidmat untuk masyarakat ke arah membantu supaya berlaku disiplin 'patuh syariah', di Malaysia yang kita cintai.

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails