Monday, June 16, 2008

PAS Parti Islam Unik Di Dunia??


Catatan Santai:
Ibnu Hasyim



KENYATAAN Dr Mujahid Yusof Rawa AJK Agung PAS (16 Jun) baru-baru ini mengenai 'cadangan orang bukan Islam yang ingin menjadi ahli PAS mungkin akan menjadi kenyataan.. ' (walaupun belum ada keputusan resmi) adalah suatu yang menarik. Bahkan menurut beliau selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, perkara tersebut antara cadangan serius dibincangkan untuk menjadikan kelab itu sebagai sayap parti.



Katanya, ia penting untuk dijadikan sayap parti dalam usaha untuk membuka medan baru supaya PAS boleh diterima dan dilihat identitinya sebagai parti pelbagai bangsa. "Bukan hanya melalui kelab tetapi sebagai keahlian itu sendiri sudah menunjukkan PAS parti berbilang bangsa."



Menurutnya, perkara tersebut dijangka akan dibincangkan dalam Muktamar Agung PAS pada bulan Ogos nanti. Tambahan pula katanya, perkembangan mesyuarat-mesyuarat kawasan sudah ada usul-usul menjirus ke arah itu. Kemungkinan besar katanya, Kelap Penyokong PAS akan dijadikan sebagai sayap parti sama seperti Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama.



Katanya, sayap tersebut akan mempunyai strukturnya tersendiri, "Bagi saya ini satu penghargaan kepada bukan Melayu dan bukan Islam untuk duduk dalam sebuah parti Islam sebagai tempat dalam struktur parti."



Katanya lagi, selain itu sayap tersebut akan memberi ruang yang lebih efektif untuk meneroka medan politik baru PAS iaitu medan pengundi bukan Melayu yang merupakan pengundi baru bagi PAS. Penerimaan orang bukan Islam sebagai ahli PAS dapat membuktikan kepada parti lain bahawa PAS lebih serius menghampiri dirinya kepada kelompok berbilang kaum.



Pengerusi Kelab penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw pula berkata, cadangan tersebut menepati masanya selaras fenomena politik negara sekarang. "Perjuagan PAS sudah terbukti dengan pemerintahannya di Kelantan ia adalah untuk Melayu, Cina dan India dan ia seperti adik beradik. "Sebab itu saya sanggup memikul jawatan pengerusi kelab ini," katanya. Beliau berkata orang Melayu juga harus sedar bahawa Islam bukan untuk orang Melayu (sahaja), dan orang Cina dan India pula kena ingat Islam itu membawa mesej yang jelas iaitu keadilan untuk semua.



Kalau hal ini berlaku menjadikan PAS adalah parti Islam yang unik di dunia. Kemenangan PAS tidak mengharapkan kepada pakatan parti-parti pembangkang semata-mata, bahkan mempunyai kekuatan tersendiri di kalangan kepelbagaian kaum di dalam masyarakat majmuk. Bahkan kalau pula dapat memerintah sebuah negara seperti Malaysia, tentu ia akan menjadi Negara Islam Contoh Sejagat.



16-06-08
Medan Indonesia.

2 comments:

Anonymous said...

Kelab Penyokong PAS sebagai satu dewan dalam parti?

"

ANTARA isu besar di dalam Muktamar Tahunan PAS nanti ialah cadangan dan perincian kemasukan ahli Kelab Penyokong PAS atau bukan muslim ke dalam parti PAS. Perkara yang rumit, sensitif dan telah berlarutan sekian lama ini memerlukan sandaran hukum serta hujah yang bernas dari kesepakatan ulamak dan kesepaduan ilmuan di dalam PAS.


Berkemungkinan penerimaan masuk ahli Kelab Penyokong PAS sebagai ahli berdaftar PAS membawa implikasi sama seperti kemasukan PAS ke dalam BN. PAS berpecah dan berkecamuk. Ada suara-suara yang tidak senang dengan cadangan ke arah itu. Ada yang mempertikaikan status PAS sebagai parti Islam dan ada yang berfikiran projektif melihat aspek-aspek negatif yang akan berlaku pada masa depan.


Pada pandangan saya, lebih baik Kelab Penyokong PAS didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan menjadi proksi kepada parti PAS. Dasarnya hendaklah selaras dengan dasar parti PAS. Walaupun beberapa tahun dahulu telah ada parti seperti ini iaitu CCC, namun kegagalan CCC tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mencubanya kali kedua. Kelemahan yang berlaku dalam hubungan PAS-CCC wajar dijadikan panduan dan ikhtibar.


Satu lagi persoalan berkaitan dengan Kelab Penyokong PAS ini ialah sejauh mana ahli-ahlinya sanggup menerima dan menyokong perlaksanaan hukum Islam dan Negara Islam sekiranya ditakdirkan PAS berkuasa? Adakah penerimaan mereka terhadap perjuangan PAS cuma atas dasar good governance, keadilan dan ketelusan serta berkebajikan; bukan atas cita-cita PAS untuk melaksanakan hudud dan konsep Negara Islam?


Matlamat, konsep dan hasrat Kelab Penyokong PAS mesti jelas agar tidak berbangkit pada kemudian hari. Kita bimbang apabila PAS mampu memerintah negara, tiba-tiba mereka lari dan mengkhianati PAS setelah sentimen mereka diasak oleh pihak anti-Hudud dan anti-Negara Islam.


Walau apapun keputusannya nanti, ketaatan ahli mengikut prinsip-prinsip berjamaah mestilah sentiasa dihayati. Kita amanahkan kepada pemimpin yang ikhlas untuk menentukannya dan semoga Allah memberi kepada kita petunjuk. Solat istikharah adalah salah satu jalannya.


Semoga forumer yang lain dapat memberi pandangan dan ulasan yang bernas atas isu ini agar boleh dijadikan panduan oleh parti sebagai suara dan pandangan ahli bawahan. Jangan lari dari fokus isu dengan tulisan kutuk-mengutuk dan tidak bermoral. Sekian. Terima kasih.
"

Anonymous said...

Hi, as you can see this is my first post here.
Hope to receive some help from you if I will have some quesitons.
Thanks and good luck everyone! ;)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails