Sunday, April 06, 2008

Sejarah PAS 12: Pembunuhan Pertama Mencabar ...


Abdul Samad Gul Ahmad (gambar atas & bawah)

IBNU HASYIM: Fokus Sejarah PAS Siri 12


MENURUT Allahyarham Ustaz Uthman Hamzah, “Pernah Dr Burhanuddin menasihatkan saya dan rakan-rakan yang lain seperti Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Abdul Wahab Nor dan Ibrahim Hassan yang telah menjadi ahli PAS supaya tabah hati, sabar dan tegas dalam mengembangkan PAS serta mencapai cita-citanya untuk memperjuangkan negara Islam di tanahair kita sebagai sambungan perjuangan Hizbul Muslimin.”

Persahabatan mereka sangat karib, terutamanya kerana Dr Burhanuddin sering ke Semanggul melihat anaknya yang pada masa itu dalam peliharaan Ibrahim Hassan… Menyebabkan akhirnya beliau setuju sertai PAS, melalui PAS Johor Bahru. Borangnya dikirim dari Gunung Semanggul kira-kira 3 bulan sebelum Muktamar Agung Tahunan PAS ke 5 tahun 1956 di Kuala Lumpur. Dalam muktamar itu beliau dicalonkan oleh PAS cawangan Gunung Semanggul sebagay Yang Dipertua Agung parti tersebut.

Ustaz Zulkifli Muhammad pula dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua. Tetapi, menurut kenyataan dalam suratnya dari Kolej Islam Malaya, Klang, pada 21 Januari 1957 kepada Pengarang Utusan Melayu dan Warta Negara, ianya berbunyi…

“Berkenaan dengan pencalonan dan pemilihan saya sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Islam Se Malaya baru-baru ini, maka dukacita dimaklumkan bahawa saya tiada dapat menerima jawatan itu kerana kedudukan saya sebagai seorang kakitangan College Islam Malaya. Keputusan saya ini diambil kerana memandang kepada maslahat college dan menurut keputusan-keputusan Majlis College Islam yang tidak membenarkan anggotanya mengambil bahagian yang cergas di dalam politik.”

Walaupun begitu, regu Dr Burhanuddin-Zukifli terus mengambil-alih tugas tersebut dengan mengemaskinikan pentadbiran Pejabat Agung. Langkah pertamanya melantik Encik Abdullah Zawawi Hamzah sebagai Setiausaha Agung. Abdullah Zawawi berasal dari Kuala Kangsar, sekampung dengan Ustaz Zulkifli. Beliau yang berkebolehan bahasa Arab, Inggeris dan agama adalah bekas Setiausaha PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya) dari Singapura, juga seorang wartawan.

Beliau ditugaskan untuk menyusun gerakan penerangan dan perhebatkan ke seluruh pelusuk tanah air. Di Kelantan pula selepas tahun 1955, perkembangan PAS membuka lambaran baru dengan kepulangan Mohd Asri. Mohd Asri diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan dan Terengganu.

Ketokohan Mohd Asri dikatakan boleh menggerakkan sentimen kefahaman politik Islam dengan gandingan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Pandai bermain sentimen dengan menyelitkan unsur-unsur nasionalisme hingga berjaya menarik guru-guru pondok menyertai PAS. Kesannya PAS telah menjadi tarikan guru-guru pondok di antaranya ialah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dari pondok Bunut Payung

Saudara Amaluddin Darus dengan regunya Mohd Asri hanya berehat cuma seminggu sahaja selepas kekalahan 1955, mereka terus menggerakkan jentera penerangan, ceramah dan rapat-rapat umum. Di mulai dengan kawasan yang dipertandingkan hingga ke seluruh negeri tiada henti-hentinya. Inilah antara sebab-sebab kemenangan PAS dalam pilihanraya 1959 merebut 28 dari 30 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.

Di akhir tahun 1958, Amaluddin Darus dipanggil ke Kuala Lumpur memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat, bagi menggiatkan penerangan mengelilingi tanah air. Di samping itu beliau menjawat jawatan Penolong Pengarang suara rasmi PAS iaitu Suara Islam. Regu-regu tersebut bercantum di peringkat Pusat. Dalam pilihan raya 1959 tersebut, PAS berjaya menggema suaranya dengan lantang di parlimen Malaya apabila mampu merebut 13 dari 104 kerusi parlimen.

Antara isu-isu yang diperjuangkan ialah:
1. Masalah rupa bangsa atau nationality bagi Malaya yang masih belum ditetapkan.
2. Islam sebagai agama rasmi yang amat terbatas kuasanya (PAS hendakkan yang lebih menyeluruh).
3. Gagasan Maphilindo (Malaya, Philipina dan Indonesia).
4. Kewujudan Malaysia.
5. Kemasukan Singapura dalam Malaysia.

Semuanya menjadikan PAS sebagai pembangkang yang mendapat perhatian hebat dari rakyat. Antara wakil-wakil PAS ialah:

1. Ustaz Zulkifli Muhammad.
2. Haji Hasan Adli.
3. Haji Ahmad Abdullah Perai.
4. Abdul Samad Gul Ahmad.
5. Haji Othman Abdullah.
6. Datuk Raja Mohd Hanifah.
7. Dan lain-lain.

Ini menyebabkan ramai umat Islam, terutamanya bekas ahli PKMM menyertai PAS, yang akhirnya menyebabkan PAS disabotaj dengan tragedi pembunuhan ke atas Ketua Pemuda PAS waktu itu, iaitu YB Abdul Samad Gol. Ketua Pemuda sebelum itu ialah Abu Bakar Hamzah, Haji Hasan Adli dan Haji Othman Abdullah. Ada pendapat yang menyebutkan Ketua Pemuda PAS pertama ialah Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah, ayah kepada Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia ke 5. Masa itu Ahmad Badawi yang juga ahli jawatankuasa penaja penubuhan PAS telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Ketua Pemuda pertama (Sila lihat tambahan I di bawah).

Inilah pembunuhan pertama berlaku dalam sejarah perjuangan PAS yang melibatkan Ketua Pemudanya. Menurut cerita-cerita yang saya (penulis buku ini) kutip, Allahyarham dikapak di lehernya dengan kapak siam (kapak kecik) semasa hendak memasuki kereta di depan orang ramai selepas berceramah malam hari. Gambarnya dengan darah membahasahi baju diiringi beberapa pengiring PAS ada dipamerkan di Majlis Sambutan Perayaan 40 tahun PAS, di Muassasah Darul Ulum Kedah, pada 20 September 1991. Tapi saya sendiripun belum melihatnya.

Menurut Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“… yang dipercayai satu pembunuhan politik yang dirancang begitu rapi hingga tidak dapat dikesan pembunuhannya oleh pihak yang berkuasa.”

Apakah ini boleh dikatakan satu perubahan di era kebangkitan PAS peringkat kedua ini? Ataukah ‘pembunuhan’ ini satu evolusi atau revolusi yang mula tercetus dan menyerlah, tetapi cuba disekat dan diempang?? Walau apapun yang terjadi namun regu Burhanuddun-Zukifli sudah mula menampakkan kekuatannya dan mula tercabar.

Seperti kata Ustaz Uthman Hamzah lagi…

“Jika ini hendak dikatakan suatu perubahan yang dibanggakan oleh PAS dalam dekad-dekad pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, memanglah suatu pencapaian dan kejayaan beliau berserta Timbalannya Ustaz Zulkifli Muhammad, yang masing-masing berkelayakan mewarisi kepimpinan Islam, yang menghargai rakyat biasa, orang-orang kampung dan menghormati orang-orang atasan, yang sentiasa tegas dengan dasar atau konsep perjuangan mereka sebagai pemimpin harakah Islam.”

Tambahan I:

Kerana Ini... Pak Lah Jadi Anak Derhaka.
Posted on Tuesday, March 04 @ 01:08:11 MYT by greenboc. Oleh ibnuhasyim (Siaran dalam Tranungkite Net)

AYAH Pak Lah Haji Ahmad Badawi Abdullah adalah antara penaja penubuhan PAS pada tahun 1951. Salah satu sebab penubuhan tersebut ialah sebagai protes kepada UMNO yang pada waktu itu membenarkan judi dan loteri. Yang jelas Tuan Haji Ahmad Fuad, Haji Abdullah Fahim (dari Seberang Prai) dan Haji Fathullah Suhaimi (dari Singapura) telah bangun menentang dengan sekeras-kerasnya hal tersebut. Merekalah antara pengasas-pengasas penubuhan PAS.

Rupanya, begitulah UMNO dahulu, sekarang dan selamanya, tetap tidak berubah dengan dasar perjuangan kebangsaannya. Apabila anaknya, Pak Lah Ahmad Badawi memimpin UMNO, industri judi dan arak terus subur membangun bersama Islam Hadhari ciptaannya. Dalam Islam Hadhari minyak dan air rupanya boleh dicampurkan. Cuba anda bayangkan jika Syurga dan Neraka pun dicampurkan... Itulah simboliknya.

Sebenarnya, Perdana Menteri Pak Lah Badawi tidak lepas dari tanggungjawab meluluskan lesen kepada syarikat-syarikat arak dan judi ini... Antaranya:

Nama Syarikat & Jenis Perniagaan:

1. Genting Bhd : Kasino.
2. Resort World : Hiburan & Judi.
3. Magnum Corp. : Loteri.
4. Metroplex Bhd : Subic Bay Casino judi atas kapal.
5. Laisure man : Nombor ekor.
6. Lumba Kuda : Nombor ramalan.
7. Berjaya Sport Toto : Empat nombor ekor.
8. Guiness Anchor Bhd : Minuman keras.
9. Tanjong Public Limited Co : Nombor ramalan.
10. Carlsberg Brewery Bhd : Arak.

Kajian badan bebas Amerika Syarikat, National Gambleng Impact Study Commision mengenai kesan negatif industri perjudian merumuskan:

1. Ada kaitan antara judi dengan penagihan dadah.
2. Pertambahan penceraian, 5 kali ganda dari biasa.
3. Pertambahan potensi dalam kes-kes jenayah.
4. Pertambahan hutang peribadi yang besar.
5. Merosakkan hubungan antara kawan dan keluarga.
6. Pertambahan kes bunuh diri.

Hasil pendapatan kerajaan dari beberapa industri arak dan judi adalah melalui cara berikut:

1. Cukai korporat sebanyak 28%.
2. Cukai perkhidmatan sebanyak 5%.
3. Perlesenan.
4. Melalui syer.

Kementerian Kewangan memaklumkan pada 2005, kerajaan Malaysia memungut RM924 juta hasil dalam bentuk cukai dan duti dari syarikat judi. Manakala jumlah wang yang dibayar firma judi kepada mereka yang menang bertaruh adalah RM4.8 bilion. Menurut Mufti Perak Dato’ Harussani Zakaria tahun lalu, mendedahkan di mana orang Melayu membelanjakan RM 4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi. Sejumlah 75% yang tikam ekor adalah orang Melayu.

Oleh itu, Pak Lah bukan sahaja derhaka kepada perjuangan Islam ayahandanya bahkan juga derhaka kepada Allah SWT, seperti firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90..

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, undi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar anda dapat untung.”

Sebenarnya kita semua akan beruntung jika tiada industri judi dan arak. Untung yang paling besar ialah kita tidak menjadi penderhaka kepada Allah SWT, bukan macam Pak Lah dan kuncu-kuncu sekandang dengannya. Nak tahu bagaimana Pak Lah derahaka kepada ayahnya mengenai aurat wanita, sila lihat tulisan dalam blog saya Disember 2007 ‘Hari Raya: Saya Cabar Pak Lah, Apa Alasan Biarkan Isteri Tak Tutup Aurat??’.

Lagi sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallhu aklam. Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 03-03-08. KL


Ulasan GB (greenboc) Tranungkite Online sekadar untuk makluman dan rekod:


Golongan agama di dalam UMNO telah bertindak keluar sehingga lahirnya PAS pada tahun 1951 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Di antara jawatankuasa penaja Parti Islam SeMalayia adalah:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota (ayahanda PM Abdullah Badawi)
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
dan dua tiga orang ulama lain yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

* Datuk kepada Dato Seri Abdullah, Haji Abdullah Fahim adalah calon Presiden PAS yang pertama? Beliau dicalonkan bertanding dengan Haji Ahmad Fuad. Ditakdirkan beliau tewas. Dan beliau menjadi pengasas pula kepada Dewan Ulama PAS. Haji Ahmad Badawi pula terpilih menjadi ahli jawatankuasa agung dan ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama.

Alangkah deritanya roh datuk dan ayah Abdullah Ahmad Badawi yang mengetahui cucu / anaknya kini menjadi Presiden sebuah Parti yang ditentang oleh mereka yang meneruskan ciri-ciri kemungkaran yang yang kini menjadi penentang kepada Parti Islam SeMalaysia yang datuk dan ayahnya telah asaskan.

1 comment:

Unknown said...

saya sungguh tak hairan apa yang sedang berlaku alam negara Malayia darul al-araki wa al-judi'i, yang dipimpin oleh pengasas islam hadhari yang tak tahu sumber pelembagaan dan rukun serta syarat-syarat nya.
contah telah terang lagi nyata dan jika di tolak dan dinafikan mungkin akan jatuh munafiq yang besar, percaya atau tidak apa yang dinyatakan dalam Al-Quran bahawa anak Nabi Noh Alaihissalam pun boleh kafir dan engkar akan tuhannya.
dan sebaliknya apa yang berlaku pada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam. Nabi Ibrahim sebagai anak kepada seorang pembuat berhala (korporat pembuat berhala terbesar di Mesir ketika itu) yang memang kafir dan engkar akan tuhannya.
tapi kebanyakkan orang umno dan pemimpin besar umno tak mahu ambil tauladan dan pengajaran dari sumber Al-Quran dan Hadis Nabi, jadi memang akan sesat sejauh kesesatan dari petunjuk kebenaran dan keredhaan Allah untuk kesejahteraan dunia dan keselamatan di Akhirat dari azab api neraka Allah yang tidak terperi sakit.
peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, itulah sebaik jalan.
amal maaroh dan nahi mungkar, itulah tugas utama kita, dan memberi peringatan kepada manusia itu akan Allah ganjari dengan pahala.
fikirlah dengan panduan iman dan islam.

drp: ahmad dasuki
pjs, selangor.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails