Friday, February 01, 2008

Jalan Haji Taib Belakang Mati, Jangan Dibiarkan Mati...



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI




(gambar: Yap Ah Loy)

PADA tahun 1876, seorang pedagang dari Sumatera berketurunan Minangkabau, datang berhijrah ke KL (Kuala Lumpur). Beliau mempunyai kilang biji timah, tanah ladang, rumah dan kedai sekitar perkampungan Melayu di sini. Akhirnya kerana gigih dan tekun berusaha, beliau menjadi antara orang Melayu yang terkaya pada masa itu.

Beliau meninggalkan banyak jasa kepada komuniti Melayu KL sekitar awal kurun ke 19, terlibat dengan penubuhan Kampung Baru KL, menjadi tokoh pembangunan, tokoh sejarah pembukaan KL dan kenalan rapat Sultan Abdul Samad serta Yap Ah Loy. Nama beliau sebenar ialah Haji Mohamed Taib. Kini namanya diabadikan kepada nama sebatang jalan, yang terletak disalah satu kawasan paling sibuk di ibunegara, menjadi pusat perniagaan berdaya maju, iaitu Jalan Haji Taib.

Tetapi malangnya, kerana negara ini bukan negara yang berpaksi negara agama (negara sekular bukan negara Islam), maka sebelah malamnya seperti juga di banyak tempat-tempat lain lagi di negara ini kecuali Kelantan, tempat itu bertukar menjadi sarang maksiat. Kerana maksiat di situ bukan saja mudah didapati dan tiada gangguan apa-apa, bahkan dikawal keselamatannya oleh pihak kerajaan.

Saya tidak sebut sarang maksiat itu sebagai ‘lokasi khidmat seks’ seperti yang disebut oleh sesetengah pihak, kerana perkataan ‘khidmat’ itu adalah sesuatu yang baik, sedangkan di situ berlaku pelacuran dan hubungan seks haram (haram dari segi hukum bukan kerana tiada lesen atau kelulusan kerajaan) antara lelaki-wanita dan lelaki dengan lelaki (warisan perbuatan terkutuk kaum Nabi Allah Lut AS).

Menurut sejarawan Profesor Datuk Dr Ramlah Adam (Utusan Malaysia 17.01.08). ‘kegiatan yang berlaku di jalan tersebut nyata tidak bersesuaian dengan kesohoran beliau (Haji Muhamed Taib)’. Menurut Profesor Madya Dr Kamarulzaman Yusuf dari UKM (Utusan Malaysia 17.01.08), nama baik Haji Taib seharusnya dipelihara dengan menukar kawasan itu kepada kegiatan yang berkonsep kekeluargaan.

Kata beliau lagi, “Saya mencadangkan semua pihak berusaha sedaya mungkin menjaga nama baik Jalan Haji Taib, agar masyarakat tahu bahawa tokoh itu adalah membawa banyak kejayaan kepada orang Melayu di Kuala Lumpur.”

Katanya lagi, hanya pihak berkuasa yang mampu mengubah keadaan itu dan apa yang perlu kini ialah ketegasan dalam menjayakan usaha itu. Sementara itu Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup memberitahu (Utusan Malaysia 26-01-08), DBKL berasa terkilan kerana kegiatan maksiat di Jalan Haji Taib bertambah kronik sehinggakan berleluasa di siang hari.

Walaupun begitu beliau memberi jaminan imej di Jalan Haji Taib yang sinonim dengan sarang maksiat akan dibersihkan pada masa akan datang dan berharap orang ramai dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan yang saya temui berkata…

PAS Wilayah sedia beri kerjasama dengan pihak DBKL demi ‘suruh yang baik dan mencegah mungkar’ seperti yang diperintahkan Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Kami sentiasa mengalu-alukan! Apalagi bila ibupejabat PAS sekarang berada di Jalan Raja Laut berhampiran kawasan ini. Tanggungjawab itupun adalah tanggungjawab kami.

Sekarangpun kami beri makanan percuma kepada fakir miskin tak kira bangsa dan agama tiap hari Jumaat petang di situ. Pejabat kami pun sentiasa terbuka bagi orang-orang Islam yang nak tumpang sembahyang atau mendengar kuliah zohor yang sering diadakan.”

Jalan Haji Taib dan Lorong Haji Taib, di situ juga disebut Belakang Mati. Jangan dibiarkan kawasan itu mati dan tandus dari siraman iman dan Islam. Menjadi tugas kita umat Islam pula, untuk melenyapkan kegiatan maksiat pelacuran dan ‘main belakang’ (homosex) supaya musnah atau mati dari Belakang Mati! Nama Haji Taib akan hidup dan bersih kembali…

Wallahu ‘aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 30-01-08. KL

1 comment:

Mal said...

Serba sedikit sejarah Hj Taib
http://www.facebook.com/photo.php?pid=2676622&o=all&op=1&view=all&subj=147419957549&aid=-1&id=571269334&fbid=147387229334#/group.php?v=info&gid=147419957549

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails