Thursday, January 17, 2008

Benarkah PAS & Kerajaan Kelantan Dalam Bahaya?





By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kelantan kini berada diambang bahaya, jika kekuatan parti itu gagal digembeling sepenuhnya dalam masa terdekat bagi berdepan BN menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.Kekuatan PAS kini bukan sahaja tergugat, tetapi wibawa kerajaannya juga kian dipersoal umum setelah ia hanya bertenggek di atas kekuatan dua undi bagi menampung kekuasaan sebuah kerajaan negeri seperti yang wujud pada hari ini.

Demikian analisa penulis politik, Dr. Haji Mohd Hasyim dalam ucapannya di suatu pertemuan ringkas menubuhkan “Grop Universiti Hulu Klang” dekat sebuah restoran di Danau Kota, tidak jauh dari sini malam tadi.

Katanya, dengan kelebihan satu kerusi Dun dan kelebihan dua undi majoriti keseluruhannya, PAS Kelantan sebenarnya berada dalam zon bahaya tetapi kerja keras para pemimpin dan jentera pilihanrayanya amat diutamakan buat masa ini bagi mempastikan kerajaan negeri tidak terlepas ke tangan BN.Selain itu, ujar Dr. Mohd, pelbagai isu yang timbul samada dari dalam PAS mahupun dari Umno, telah mengundang pertikaian rakyat terhadap wibawa dan akauntibiliti kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz sekarang.

Jika ini gagal dibendung, beberapa isu yang mengaibkan PAS seperti dakwaan berlakunya rasuah dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), pemberian konsensi balak, isu tanah dan lain-lain isu, dikhuatiri akan menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PAS dalam pilihan raya kali ini.Dr. Mohd yang juga seorang penganalisis politik tetap percaya, kegagalan PAS Kelantan menguar-uarkan pengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar jika ditakdirkan berkuasa semula telah mengurangkan selera keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PAS.

“Husam bukanlah tokoh yang boleh disifatkan sebagai Tok Guru Nik Aziz II. Dari segi latarbelakang, mungkin dia tidak disokong penuh oleh kawasan dalam Kelantan,” tegas beliau sambil menyifatkan ketokohan Tok Guru Nik Aziz telah menyatukan rakyat Kelantan untuk terus bernaung di bawah PAS sejak 1990 lagi.

Sehingga kini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut sebagai pengganti Tok Guru Nik Abdul Aziz jika Mursyidul Am PAS itu berundur. Mereka ialah Datuk Abdullah Yaakob, Timbalan Menteri Besar sekarang; Datuk Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan dan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails