Friday, October 05, 2007

Peluang Berniaga Di Aceh 2


Ibnu Hasyim:
CATATAN SANTAI

BARU beberapa hari tersiar di laman web Tranungkite.Net (Peluang Berniaga Di Aceh tulisan awal Oktober) saya sudah menerima beberapa e-mail yang bertanyakan mengenai peluang berniaga di Aceh. Antaranya adalah dari sebuah syarikat di Jeddah yang membekal barangan makanan dan kegunaan harian di seluruh Arab Saudi, juga dari Hal Ehwal Pelajar sebuah universiti di Malaysia serta individu-individu yang telahpun mengusahakan industri kecil seperti pembuatan sos, kicap, tiram, cuka, rose atau lain-lainnya.

“Alhamdulillah, terima kasih atas respon anda!” Itu yang saya ucapkan pada mereka.

Antara maklumat yang mereka mahu ialah mengenai:

i.Barangan industri makanan dari Aceh (ke Saudi atau lain-lain negara).
ii.Pengeksportan batu bara atau arang batu keluar dari Aceh.
iii.Modal dan keperluan untuk memulakan perniagaan di Aceh.

Maka saya pun membuat pertemuan dengan satu kumpulan peniaga-peniaga Aceh di Kuala Lumpur, dan perbincangannya berkisar sekitar perkara-perkara di atas.

“Sebelum sampai ke sasaran perbincangan, tuan-tuan kena tahu serba sedikit mengenai perkembangan politik terkini di Aceh.” Kata seorang bekas tentera GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang kini sedang berada luar dari negaranya bagi menerangkan peluang-peluang berniaga dan melabur di Aceh.

“Tuan-tuan kena tahu mengenai perjanjian persefahaman ‘MoU Helsinki’ yang ditandatangani pada 15 Ogos 2005 di luar negara (Helsinkei) antara GAM mewakili rakyat Aceh dengan pemerintah RI (Republik Indonesia). Persetujuan selepas tragedi Tsunami (25 Disember 2004) di mana kedua-dua pihak bersetuju meletak senjata, GAM menggugurkan tuntutan kemerdekaan dari RI dan rakyat akan menentukan nasib mereka melalui pilihan raya umum yang akan diadakan pada tahun 2009.

GAM akan berlawan melalui parti politik, dan jika menang, rakyat Aceh akan ‘menubuhkan kerajaan sendiri’, yakni lebih berkuasa lagi dalam berbagai bidang, termasuk perekonomian, seperti yang akan kita bincangkan..” Jelas beliau lagi.

Untuk lebih jelas lagi, anda boleh lihat MoU Helsinki Perkara 1.2.1 mengenai parti politik tempatan Aceh, Perkara 6.1 sub c mengenai peranan Komite Politik dan Keamanan Kesatuan Eropah atau Perkara 1.1.3 dan 1.2.2 berkait dengan logislatif di Aceh.

Pengurus sebuah syarikat perunding perniagaan dan pelaburan Malaysia-Aceh pula menambah, “Hari itu (tulisan lepas) saya telah sebutkan 10 perkara peluang berniaga di Aceh.. perkara ke 5nya (Import daging halal India-Aceh), telah selesai diMoU dengan seorang Islam pengusaha daging lembu halal dari India. Kini dia sedang menyumbangkan ‘sadaqah jariah’ kepada anak-anak yatim Aceh untuk menyambut puasa dan hari raya tahun ini. Al-hamdulillah!

Kalau dikhususkan kepada barangan industri makanan eksport Aceh keluar negara, maka saya pilih 9 perkara berikut dan yang ke 10 bahan mentah yang bukan makanan.

1.Pisang salai, kerepek pisang, kerepek ubi, dan keropok belinjau (melinjau). Setakat ini kerepek pisang yang dibawa masuk ke Malaysia di bawah harga RM10 sekilo (sampai di Malaysia – tiada jenama) bagi minimum order 1 tan. Ada juga pisang salai bermadu, yakni bersalut madu lebah.
2.Emping. Dibuat dari beras yang ditumbuk dan dikeringkan, dimakan dengan susu atau air panas.
3.Ikan kering. Pelbagai jenis ikan.
4.Madu lebah asli Indonesia.
5.Kopi Aceh.
6.Isi buah kelang-kaleng (buah enau) macam isi kelapa laut. Makanan basah.
7.Bahan mentah seperti kopra (kelapa kering) dan pinang.
8.Makanan laut seperti ikan kayu (basah), sirip ikan yu atau shark fine (dikeringkan untuk dibuat sup bagi restoran-restoren mewah) dan udang karang atau lopster (basah).
9.Sarang burung layang-layang (wallet).
10.Dan yang terakhir ini bukan makanan tetapi bahan mentah seperti batu bara dan minyak nilam atau minyak wangi (macam minyak attar yang belum diproses). Mengenai bahan bakar batubara, saya sedang mencari maklumat lanjut.

Dengan itu bagi menentukan modal dan keperluan berniaga di Aceh terletak kepada jenis barangan yang akan diniagakan. Contohnya kalau nak mula berniaga atau memasarkan kerepek pisang anda perlu beli 1 tan barangan [modal di bawah RM10,000 (RM10x1,000kg] dicampur dengan peralatan pembungkusan.

Bagi yang sudah ada kilang seperti pembuatan sos, kicap dan lain-lain itu, untuk melebarkan perniagaannya di Aceh lebih mudah lagi. Soal kelulusan pihak berkuasa tempatan dan lain-lain, insya Allah, beres! Apa-apa hal sila hubungi saya, Mansurdin: 0193489046 (no telefon KL) atau kawan saya Ibnu Hasyim.”

Demikian saya panjangkan perbincangan mengenai peluang-peluang berniaga di Aceh dalam Catatan Santai untuk kali ini. Bukan di Aceh sahaja, bahkan di mana-mana seperti Saudi Arabia, China, Dubai, Negara-negara bekas Soviet dan lain-lain jika ada peluang. Anda juga dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan kami, sekurang-kurangnya sebagai motivasi niaga kita bersama. Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. 06-10-07

1 comment:

Haizaa said...

Cubalah pisang salai...
http://haizashop.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails