Monday, July 09, 2007

PAS Kuasai Ibukota II, Tak Dapat Undi Cina?


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:



RESPON dari tulisan saya ‘PAS Kuasai Ibukota? Buktikan Dengan…’ Jun 2007 Tranungkite atau ibnuhasyim.blogspot.com, saya terima panggilan dari Ketua Lajnah Penerangan, Dakwah & Teknologi Maklumat PAS Kawasan Batu WP ingin berjumpa saya. Beliau telah menyenaraikan kepada saya ratusan program untuk 5 tahun PAS Kawasan Batu bagi kuasai Wilayah Persekutuan. Program jangka pendek dan jangka panjang.

“Hebat!” Kata saya sambil meneliti buku program tersebut. “Baru program, belum laksana sepenuhnya. Kalau laksana, bagaimana kesannya? Ini bukan kerja main-main, ini jihad akbar.. Selamatkan demokrasi, tegakkan keadilan!”

“Kami dari PAS Kawasan Batu mengharap penglibatan anda dalam program ini. Anda dipilih sebagai ahli penal bersama Saudara Ann Wan Seng.” Kata Saudara Tarmizi Mohd Jam yang baru memegang jawatan ketua lajnah tersebut bermula pada penggal ini. “Penal dalam ‘Debat Kontemporari Siasah’. Kami pilih tajuk perbincangan, ‘Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina?’,kami nak dengar pandangan dari seorang Cina dan seorang Melayu!”

Saudara Ann Wan Seng, bukan baru bagi saya. Beliau bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi & Sosiologi di Universiti Malaya, kuat menulis di akhbar, majalah dan sudah melahirkan banyak buku-buku akademik, politik dan motivasi. Saya pernah bergabung dengannya melahirkan sebuah buku berjudul, ‘Analisis Politik Pulau Pinang: Milik Siapa Pula?’ oleh Ann Wan Seng & Ibnu Hasyim (1994). Waktu itu beliau masih belum Islam lagi.

Saya teringat semasa bersama Tok Guru Nik Aziz melawat ladang ‘Best Farm’ kepunyaan Muhammad Abdullah seorang Cina Muslim di Sungai Buluh. Dato’ Husam Musa, (setiausaha akhbar Tok Guru dan belum dapat pangkat Dato’ waktu itu) menelefon saya minta tolong uruskan lawatan Tok Guru itu. Tok Guru naik kereta saya, tidak naik kereta kerajaan waktu mula-mula perintah Kelantan (pada 1990an) dulu, kerana beliau nak beli seekor kambing baka luar negara milik peribadinya dari ladang tersebut.

Semasa dalam perjalanan, beliau bertanya saya mengenai Ann Wan Seng, yang masih belum Islam dan minta tolong uruskan nak jemput Ann Wan Seng berceramah di masjid tepi rumahnya. Itulah mulanya Ann Wan Seng berceramah di Kelantan dan terus mulai dikenali di negeri Serambi Mekah itu, walaupun beliau masih belum Islam. Bagaimana pula Ann Wan Seng masuk Islam? Menurut Ann, semasa beliau sedang mengkaji pertubuahan-pertubuhan Agama Islam, beliau mula berjinak-jinak dengan pertubuhan dakwah Al-Arqam.

Dalam masa itu, beliau terjumpa buku tulisan saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ terbitan GG Edar 1993. Beliau kaji pula mengenai PAS, dan antara keistimewaan yang didapati ialah dalam Islam, politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Beliau berkenalan dengan saya, dan kami menjadi regu yang baik dan hingga sama-sama keluar berceramah seperti ke Pulau Pinang dan lain-lain. Walaupun waktu itu beliau belum Islam, tetapi beliau telah berfikir secara Islam.

Akhirnya beliau pilih Islam, bertanyakan tentang nama.. di mana saya cadangkan namanya dikekalkan keturunan keCinaannya, dan tidak ber‘bin’kan Abdullah. Beliau pernah berkerja di PERKIM, di pejabat agung PAS, dan kini di PERKIM pula. Terakhir saya jumpa beliau, semasa saya membawa seorang kawan saya pemuda Sabah yang nak masuk Islam menemuinya sebagai setiausaha PERKIM, untuk diIslamkan.

“Bagaimana dengan tajuk debat tu, setuju tak?” Tanya Tarmizi lagi.

“Memang tepat. Sebenarnya bukan hanya diperdebat, tapi perlu diseminarkan. Jemput ahli-ahli akademik supaya dapat idea-idea baru, dan tokoh-tokoh yang terlibat dengan kegiatan tersebut... seperti Ustaz Mujahid (Pengerus Lajnah Perpaduan Nasional), Encik Hu Pang Chaw (Pengerusi Kelab Penyokong PAS), dan ustaz-ustaz canggih serta kreatif!” Kata saya. “Cari jalan selesai. Turunkan pandangan ini hingga ke bawah.. ke cawangan-cawangan PAS. Cari di mana kelemahan kita untuk diatasi.”

“Setuju ke nak hadir??”

“Memang setuju le. Bila??”

“Lihat siaran iklan ini… dan surat jemputan untuk anda akan menyusul kemudian!”

Program Debat Kontemporari Siasah bertajuk:

Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina?
Dilancarkan oleh Hj Azharudin Hussein
(Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan)

Ahli Penal:
Ann Wan Seng Dr Hj Mohd Hasyim.
Moderator: Tarmizi Mohd Jam.
Pada: 22hb Julai 2007 Ahad 9.00 malam.
Di Markaz PAS Kawasan Batu, Taman Melewar KL.
Orang ramai dijemput hazir

Termasuk anda pelawat laman web ini juga dijemput. Saya akan huraikan mengenai tajuk di atas dalam tulisan akan datang, ‘PAS Kuasai Ibukota III’. Mungkin selepas debat tersebut. Insya Allah.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 07-07-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails