Wednesday, May 09, 2007

Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu

Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

(Gambar: Pulau Ketam)

TERTARIK saya dengan kenyataan Mohd Ridhuan Tee Abdullah, sahabat lama saya yang sudah puluhan tahun tidak pernah bertemu, walaupun saya ada juga mengikuti perkembangannya di tv dan media-media masa lainnya. Entah beliau ingat saya lagi atau tidak, tak tahulah.

Kenyataannya dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, membangkitkan soal isu masjid Cina yang menurutnya ‘sengaja tidak mahu difahami dengan jelas’. Saya pun rasa begitu… Menurutnya lagi, mengapa hanya tidak sampai 1% dari orang-orang Cina di Malaysia yang memeluk agama Islam? Sebab cara kita ‘menjual’ Islam itu terlalu bersifat perkauman, kemelayuan atau kearaban. Sehingga Islam tidak dianggap sebagai agama universal yang bersifat sejagat, tetapi hanya berlegar sekitar soal bangsa dan bahasa. Itu kata beliau dari seorang yang berbangsa Cina..

Pada saya, kerana sifat kebangsaan dan asabiah yang tebal itu, orang Melayu seolah-olah lupa di mana banyak jasa-jasa orang Cina dalam menolong dan menyelamatkan orang Melayu tidak diketengahkan dalam catatan sejarah negara ini. Itu pandangan saya dari seorang yang kebetulan berbangsa Melayu, dan tidak pernah pun meminta dilahirkan sebagai bangsa Melayu..

Saya cuba-cuba ingatkan kembali perbualan saya sewaktu mengikuti rombongan kajian mengenai orang Cina Muslim di Pulau Ketam, dekat pelabuhan Kelang puluhan tahun yang lalu…

Bot yang kami tumpangi itu membawa sarat penumpang dalam perjalanan beberapa jam merentasi teluk dan selat. Sesampainya di pelabuhan Pulau Ketam itu, kami turun. Kami lihat seakan-akan tiada orang Melayu seorang pun tinggal di sana, walaupun sebenarnya ada, cuma pekerja-pekerja kerajaan atau agensi-agensi tertentu sahaja.

“As-salamu ‘alaikum?” Suara orang memberi salam.

Sepatutnya kami memberinya salam terlebih dahulu, tapi kami tak sangka beliau yang berpakaian seperti orang Cina biasa belum Islam, rupanya seorang yang telah menganut Islam. Lepas jawab salam, beliau dan isterinya menyambut kami, membawa kami ke surau, yang beliau sendiri sebagai tok siaknya… Dan petang hingga malamnya, beliau juga yang berniaga makanan berhampiran depan surau itu. Pelanggannya tidak ramai yang Muslim.

“Sebenarnya kita tidak perlu terkejut…” Kata seorang ustaz yang ikutserta dalam rombongan kami itu. “Jumlah orang Cina Islam di negeri China lebih ramai dari seluruh penduduk Malaysia termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain dalam negara ini. Keturunan mereka menganut Islam lebih dulu dari kita. Mungkin waktu itu, bangsa kita masih menyembah kayu dan batu lagi (berfaham anamisme atau Hindu). Bangsa mereka lebih dulu memilih cara hidup Islam, atau cara hidup ‘tundukpatuh’, atau cara hidup ‘selamat’ dari bangsa kita yang jauh ketinggalan atau mundur waktu itu ...”

Kami saling berkenalan dan bersalaman. Tidak macam orang Arab berkenalan dan berpelukan. Nama Islam beliau adalah Adam bin Abdullah.

“Nabi Adam AS adalah manusia pertama yang tunduk patuh kepada Allah SWT turun menyambung zuriatnya di muka bumi… Apakah anda juga orang Cina pertama menganut agama tunduk patuh yang juga ingin menyambung zuriat di Pulau Ketam ini??” Saya mengacah.

“Oo. Tidak. Saya bukan orang Cina pertama yang menganut Islam di sini, ramai lagi.” Katanya merendah diri. “Tapi saya yakin, saya menganut cara hidup yang selamat. Kerana Islam itu adalah sejahtera atau selamat, begitu juga ada yang mengertikan tunduk patuh atau menyerah bulat-bulat pada Allah. Saya berazam nak selamatkan bangsa saya, keluarga saya dan generasi saya dari durjana dunia dan neraka Jahannam di akhirat.”

“Sebenarnya datuk nenek anda, telah banyak menyelamatkan bangsa kami, bangsa Melayu, dengan mengislamkan kami …”

Beliau macam terkejut. Kerana waktu itu, selalunya orang Melayu kalau sebut fasal masuk Islam, memang dikaitkan dengan ‘masuk Melayu’. Seolah-olah bangsa Melayu lebih hebat dari bangsa Cina dalam menerima agama Islam. Bila masuk Islam disuruh ‘bin atau binti’kan dengan Abdullah.. Bererti hilanglah kesinambungan keturunan mereka yang sangat-sangat mereka pelihara. Terasa mereka terpaksa meninggal budaya asal mereka. Lebih-lebih lagi bila berkahwin dengan gadis-gadis Melayu dan mendapat taraf ‘bumiputera’.

Kalau mereka masuk Islam, mereka terpaksa meninggalkan tamaddun mereka yang begitu lama, agung dan tinggi, dengan menganut tamaddun Melayu yang amat baru berbanding dengan ketuaan tamaddun asal mereka. Tidak semua mereka yang sanggup begitu. Ramai sudah yang masuk Islam telah hilang nama, keturunan dan budaya mereka ditelan oleh budaya Melayu.

Pada hal Islam tak suruh begitu. Tidak semua budaya mereka tidak baik seperti juga budaya Melayu, tidak semuanya baik. Cuba anda bayangkan, kalau ada orang Melayu hendak masuk Islam (seperti Parameswara raja Melaka dulu), tiba-tiba disuruh peluk sekali dengan budaya Cina yang belum tentu sesuai dengan Islam. Mahukah anda? Ini satu pengkhianatan besar dalam berdakwah.

“Mengapa encik sebut datuk nenek kami berbangsa Cina tolong selamatkan datuk nenek encik orang Melayu??” Adam macam hairan, bolehjadi belum pernah dengar kata-kata macam itu.

“Kalau nak dakwahpun, jangan sampai jatuhkan bangsa sendiri…?” Seorang anggota rombongan yang hadir bersama-sama kami, menyindir perlahan kata-kata saya itu, seolah-olah tidak mahu didengari oleh Adam.

“Islam itu adalah jalan hidup yang selamat. Pembawa atau penyampai agama tersebut kepada kita boleh disebut penyelamat, atau penolong yang beritahu kita supaya selamat. Bangsa apakah yang baik hati pembawa Islam di rantau ini, yang telah menyelamatkan bangsa Melayu dari sesat di dunia dan di akhirat??”

Ada tiga!” Jawab ustaz itu, sekadar merancakkan perbincangan. “Iaitu bangsa Arab dan Parsi, bangsa India serta yang ketiganya bangsa Cina.”

“Ya, kajian-kajian sejarah melalui batu bersurat dan sebagainya, telah banyak membuktikan di mana orang-orang Cina turut berperanan menyelamatkan bangsa Melayu dari penjajahan aqidah yang kacau berserabut kepada aqidah Islam yang Esa dan Tunggal.” Saya terus menjelaskan. Dan seterusnya…

Bukan itu saja, menurut buku ‘The Muslim in China’, tulisan seorang tokoh dakwah Islam dari Negeri China, Haji Ibrahim Tien Ying Ma telah mencatatkan lapan kali pelayaran Laksamana Muhammad Cheng Ho dari benua China.

Contohnya pelayaran pertama (Jun 1405 hingga September 1407) selama 2 tahun. Dengan sebuah armada besar Muhammad Cheng Ho menyusuri pantai menuju Champa, sebuah pesisir penduduk Islam di Pantai Vietnam. Beliau terus belayar arah timur, menyusuri pesisiran selatan Kalimantan dan pesisiran Jawa (semasa akhir Kerajaan Majapahit). Terus menyusuri pesisiran barat dan timur Sumatera menuju Melaka.

Di Melaka, beliau menempatkan pasukannya di suatu kawasan berbukit, yang akhirnya disebut Bukit Cina atau Chinese Hill. Beliau dan pengikutnya terus menziarahi Raja Melaka, iaitu Parameswara yang masih beragama Hindu. Disampaikan hadiah terdiri dari emas, wang Tiongkok, sutera porsolen dan beberapa payung kuning. (Tradisi payung kuning bagi raja-raja Melayu pun bermula dari sejak itu..)

Melaka waktu itu di bawah takluk Siam dan terpaksa membayar ufti tahunan berupa 40 unit pohon emas. Menurut catatan Ma Huan seorang jurutulis yang ikutserta dalam pelayaran tersebut mengatakan, di mana ‘Parameswara sebelumnya cuma bertaraf kepala suku atau ketua kaum sahaja’. Oleh itu membayar ufti sebegitu banyak adalah suatu penindasan dari sebuah kuasa penjajah (kerajaan Siam) waktu itu.

Berdasarkan ikataan persahabatan dengan pemikiran-pemikiran Islam agama anutannya, Muhammad Cheng Ho telah mengutus surat kepada kerajaan Siam supaya ufti dihentikan. Tandanya Laksamana Muhammad Cheng Ho dengan kekuatan kerajaannya, telah berjaya membebaskan dan menyelamatkan kerajaan Melayu Melaka dari penjajahan kerajaan Siam, dengan tanpa tumpah darah setitik pun.

Bukan itu sahaja, bahkan kunjungan muhibbah Muhammad Cheng Ho itu berjaya membangunkan hubungan politik, diplomatik dan sosial secara damai dengan pemerintah berbagai negeri di Laut Selatan. (Parameswara setelah memeluk Islam dikahwinkan dengan Puteri Hang Li Po dari negeri China.) Ini amat sesuai dengan kehendak Islam yang membawa perdamaian dan keselamatan.

Hal ini mungkin menjadi salah satu sebab mendorongkan ahli-ahli bisnes Cina mengalir secara besar-besaran ke negeri-negeri Asia Tenggara waktu itu. Sehingga dikatakan ramai penduduk-penduduk tertentu di Thailand, Melaka, Indonesia dan Filipina, kerana terlampau sayangkan beliau menyebabkan mereka membangunkan kuil atau shrine bagi menghormati ‘San Pao Kung’ atau ‘Sam Po Bo’ iaitu gelaran kehormat kepada Muhammad Cheng Ho.

Berbeza dengan pengembara-pengembara barat lain seperti Christopher Columbus dan Vasco Da Gama, mereka merompak dan membakar rumah penduduk tempatan yang dikunjunginya. Bagitu juga lanun-lanun barat lain yang menangkap penduduk-penduduk tempatan Afrika untuk dijual sebagai hamba abdi.

“Di situlah hebatnya misi dakwah dan penyelamat yang dibawa oleh peribadi Islam seorang Laksamana dari sebuah kerajaan super power bahagian timur waktu itu.” Kata saya.

“Bukan macam Amerika sekarang..” Ustaz itu menambah dengan geram. “Konon untuk mengawal keamanan dunia sanggup menyerang dan memusnahkan negara-negara kecil seperti Irak, Afghanistan, Somalia dan beberapa lagi… membunuh jutaan penduduk negara-negara tersebut. Cuba menyekat negara lain membuat pengkayaan uranium untuk pembangunan, sedangkan Amerika dan Israel boleh! Sehingga ada pula negara jiran kita yang bersekongkol dengan tindakan tersebut.”

Menurut Prof Dr Hamka dalam bukunya ‘Sejarah Umat Islam’, di mana Muhammad Shah (nama Islam kepada Parameswara) sendiri pergi mengadap Maharaja Cina bersama anak isterinya berserta 450 orang pengiring. Beliau disambut dengan penuh kebesaran, dihadiahkan dengan emas (100 tahil), wang kertas (40,000), wang perak (2,600), kain cita sutera (200), sutera (1,000 kayu), kain sutera dilekat dengan emas (2 kayu) dan beberapa orang ahli pertukangan beragama Islam.

Tukang-tukang inilah yang turut membantu pembangunan masjid-masjid di negeri Melaka, sehingga boleh dilihat unsur-unsur kecinaan senibina di masjid-masjid tertuanya.

“Ya. Lihat Masjid Kampung Hulu, Masjid Tengkera dan lain-lain, itu sudah Masjid Cina.. Cuma pihak-pihak tertentu perlu me‘makmur’kan masjid tersebut supaya menepati konsep Masjid Cina seperti yang dikehendaki. Itu sekurang-kurangnya, kalau nak buat Masjid Cina… Tapi, jika nak buat Masjid Cina yang baru di KL ke, Ipoh ke, itu lagi baik!!”

“Pelik.. Sepatutnya untuk mengenang jasa-jasa orang Cina menyelamatkan bangsa Melayu, maka hendaklah dibina Masjid Cina.. antara salah satu dari caranya.” Ustaz itu menyampuk. “Ini tidak.. Mereka bangunkan kembali perkampungan dan budaya bekas penjajah Portugis, yang melahirkan bangsa yang tak tentu identiti. Anak-anak kacukan yang dilahirkan oleh ibu-ibu Melayu, tetapi merasakan diri macam Portugis, walaupun kulitnya agak gelap. Tidak suka pula berbahasa dan berbudaya Melayu walaupun tinggal di negara ini. Beragama bukan macam agama orang Melayu masakini. Mereka pilih Kristian. Kita pun tidak tahu bagaimana pernikahan ibu-ibu mereka dengan orang bukan Islam, adakah mereka anak luar nikah? Ataupun mereka adalah anak mangsa-mangsa rogol puak penjajah??….”

Tiba-tiba bahu ustaz itu ditepuk-tepuk oleh sahabat saya yang satu lagi. “Sabar ustaz! Jangan emosi sangat!!” Katanya.

“Tidak, saya tidak emosi. Cuma saya merasa sedih kerana ketelusan melihat sejarah telah dikaburi oleh asap-asap sampah perkauaman. (Mungkin ini maksud ‘sengaja tidak mahu difahami dengan jelas’ oleh Mohd Ridhuan Tee).” Kata ustaz itu. “Pernah pada awal tahun 90an ada usaha-usaha membongkar kesahihan Melayunya bangsa Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu, tapi dihalang oleh pihak-pihak tertentu. Kerana ada hipotesis menyebutkan Hang Tuah dan rakan-rakannya adalah berbangsa Cina.”

“Ya, sayapun ada dengar juga.” Saya menjelaskan. “Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po yang dihadiahkan melalui perkahwinan dengan Sultan Melaka… ”

Ya. Sila lihat kertas kerja Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM bertajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kamasyarakatan.’ Juga ada dikaitkan dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Prof Khoo Kay Kim, Dr Tan Ooi Chin dan pengkaji-pengkaji di Hong Kong mengenai sejarah Kerajaan Melaka berdasarkan sumber-sumber Cina. Terakhir saya lihat tulisan dalam ‘Shahabudeenjalil. Blogspot.com’’.

“….Tapi bagi golongan-golongan yang fanatik asabiah, mereka rasa berita seperti itu patut dihentikan segera dan tak boleh dilanjutkan perbincangan. Kononnya kepahlawanan Hang Tuah sudah sebati dengan orang-orang Melayu, bahkan melibatkan maruah bangsa dan negara. Hang Tuah sebagai lambang orang Melayu yang tidak pernah derhaka pada rajanya.” Ustaz itu menambah. “Bahkan ada sebuah parti Melayu terbesar di negara ini yang memaparkan gambar besar dan kata-kata ‘Tak Melayu Hilang Di dunia’ sebagai slogan perjuangannya.”

“Oo.. Terima kasih semuanya, jom kita minum sikit!” Adam terus mengajak kami minum ringan, setelah kami puas berbincang.

Lepas itu beliau ajak kami berjalan-jalan tinjau sekitar kawasan tersebut. Akhirnya kami pun pulang dengan penuh kenangan dan pengajaran.

Beberapa tahun kemudian ustaz itu pergi lagi ziarah ke tempatnya, tapi Adam kawan kami itu sudah tiada. Rupanya beliau sudah pindah ke kawasan Melayu, bercampur dengan Melayu di Selangor.

Maka tinggallah Pulau Ketam yang kegiatan dakwahnya pun macam perjalanan seekor ketam, di kalangan bangsa yang suka makan ketam.

Catatan santai: ibnuhasyim.blogspot.com

e-mail: ibnuhasyim@gmail.com

9 Mei 07

2 comments:

sheikh teluk intan said...

satu tulisan yang padat dengan ketulusan untuk kepentingan islam yang sebenar.Syabas, teruskan.

Anonymous said...

Tamadun Lembah Bujang nak letak kat mana Ustaz?

Berapa umurnya ye Ustaz?

Candi Borobudur bukan salah lambang ketamadunan Melayu ke Ustaz?

Dah berapa kurun dibina agaknya ye Ustaz?

Angkor Watt Preah Vehiar lagi tua Ustaz?

Orang benua Cina ke yang bina Ustaz?

Orang benua India ke Ustaz?

Orang benua Arab ke Ustaz?

Cukuplah sekadar beberapa contoh ketuaan ketamadunan Melayu...

Satu lagi Ustaz...

Ustaz dalam cerita tu sedang merapu ke Ustaz?

Yakin bebenor bangsa kita ni dahulu kala tu sembah batu dan kayu?

Ada bukti ke dakwaannya itu?

Ke dia cedok dari buku sejarah tulisan orang putih?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails