Friday, July 29, 2022

Lagi reka fitnah RM400 juta? PH X kembali ke Putrajaya..

 


1. Kenapa TikTokers toksik reka fitnah RM400 juta Kelantan?

MULANYA saya tak faham kenapa terlalu mudah orang termakan dengan fitnah kononnya RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan digunakan untuk tujuan peribadi Dato’ Nik Amar dan kepimpinan politik Kerajaan Negeri Kelantan. 

Fitnah itu cuba dikaitkan dengan pembelian Mercedes dan pelbagai tuduhan membuta tuli, pukul borong dan penuh kekaburan fakta supaya enak dijadikan bahan lelucon politik demi menyemai kebencian.

Bagi menambah sensasi lagi dan kekarutan, berita fitnah tersebut ini cuba dikaitkan dengan kisah-kisah ‘pelawok’ (tipu) konon Dato’ Nik Amar gunakan RM400 juta untuk belanja melancong ke luar negara. Walhal, telah jelas dinyatakan bahawa perbelanjaan percutian ke luar negara itu tak ada kaitan langsung dengan peruntukan RM400 juta ni. 

Bagaimanapun penjelasan demi penjelasan telah diberikan secara terang ke mana RM400 juta itu dibelanjakan. Namun, bagi yang bermata lalat yang sukakan fitnah busuk, pelbagai cerita karut atau separa benar sengaja diada-adakan. Sehingga medium TikTok menjadi medan dosa kering untuk mereka terus menabur fitnah. 

Jadi, di sini disenaraikan secara sepintas lalu, ke mana wang peruntukan RM400 juta selalu diwiridkan oleh penyebar fitnah yang hatinya gelap kerana kebenaran adalah musuh nafsu politik mereka.

Tahun 2019 (RM400 juta pemberian khas Perdana Menteri)

Kategori Program Pelaksanaan Khas

1. Pembinaan Taman Industri IBS Sungai Bagan, Machang.
2. Pembinaan Pondok Moden Antarabangsa di Pulai Chondong.
3. Pelaksanaan pembangunan bekalan air melalui pinjaman mudah kepada AKSB.
4. Pembangunan bandar baru berkonsepkan Islamic City.
5. Pembangunan Kluster Industri Mukim Senak.
6. Taman Konservasi di Mukim Sigar.
7. Menaiktaraf prasarana pelancongan Pantai Irama Bachok dan Pantai Cahaya Bulan.
8. Bantuan kepada petani yang menghadapi kesulitan bekalan air.
9. Pembangunan jalan raya dan jambatan di Panchor dan jalan masuk Bandar Sukan.
10. Membiayai tambahan Pasar Siti Hajar.
11. Sumbangan peralatan kepada usahawan kecil wanita.
12. Membina menyiapkan satu bangunan tambahan baru Pejabat Tanah Kota Bharu.
13. Program bersepadu dalam menangani masalah gejala sosial.

Kategori Pengurusan

1. Menampung kekurangan aliran tunai bagi perbelanjaan pengurusan terutama semasa PKP COVID-19 berjumlah RM17 juta.
2. Menampung lebihan perbelanjaan YIK.
3. Bantuan Rumah Dhuafa’ setiap DUN.
4. Pinjaman mudah rumah mampu milik di Badang.
5. Pinjaman mudah kepada PBT.

Tahun 2020 dan 2021 (RM400 juta pemberian Khas Wang Ihsan)

1. Pembinaan Rumah Dhuafa’ (bina baru) 395 rumah.
2. Baik pulih Rumah Dhuafa’ 1,542 rumah.
3. Skim Al-it’am 25,010 penerima.
4. Skim Khairat Kifalah (termasuk tunggakan).
5. Penghantaran air bersih percuma (AKSB).
6. Program kebersihan termasuk pembelian lori PBT.
7. Pinjaman projek bekalan air bersih (AKSB).
8. Projek Perumahan Badang (PKINK).
9. Perbelanjaan COVID-19.
10. Bantuan Am Am-Musa’adah.
11. Projek khas bekalan air (Jabatan Sumber Air).
12. Gerbang Az-Ziwaj 6,000 penerima.

Begitulah senarai lengkap, bagaimana RM400 juta diurus oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Sememangnya kaki fitnah amat sakit hati jika maklumat yang disenaraikan di atas ini berjaya kita sebarkan sebanyak mungkin. 

Diharapkan bagi rakyat Kelantan telah menerima nikmat daripada pengagihan RM400 juta ini, bersolidariti menyebarkan maklumat ini sehingga segala kebencian membuta tuli dapat dipadamkan dan TikTok fitnah yang direka cipta mereka akan dijauhi oleh orang yang tahu erti dosa pahala.

Pada hemat saya segala serangan tak berasas ini, secara umumnya ditujukan kepada Kelantan mahu dikhususkan kepada batang tubuh Dato’ Nik Amar dengan agenda untuk pembunuhan karakter. 

Tingkah laku propagandis mata lalat ini menyerlahkan kebodohan dan kedangkalan sehingga perlu mengadakan tuduhan palsu dan merekacipta dakwaan tak bertanggungjawab, hanya semata-mata untuk cari sensasi.

Apakah yang membuatkan Dato’ Nik Amar menjadi sasaran propaganda ini, adalah satu tanda tanya besar?

Adakah kerana kekuatan kepimpinan Dato’ Nik Amar menyebabkan ada pihak terdesak melakukan pembohongan dan fitnah ini? Ini seolah-olah memberi maksud bahawa ada suatu akar kekuatan pada Dato’ Nik Amar dalam menjamin kestabilan kepimpinan negeri Kelantan.

Boleh jadi Dato’ Nik Amar memang terlalu banyak rahsia peribadi kepada perancang utama yang mengarahkan bidak-bidak catur dalam kalangan propagandis mata lalat ini melakukan operasi serangan yang terdesak dan penuh fitnah jijik. 

Propagandis TikTok bermata lalat yang membenci Kelantan dan Dato’ Nik Amar ini sebenarnya mempunyai pilihan yang lebih baik untuk mengkritik secara matang dengan asas fakta jelas.  

Namun, apakan daya kalau hati dah hitam gelap serta fitnah memang menjadi makanan dan darah daging mereka, apa lagi kita nak harapkan mereka untuk melihat kebenaran.

Begitulah realitinya permainan propagandis TikTok bermata lalat yang sebenarnya adalah kelompok toksik untuk merosakkan imej Dato’ Nik Amar khususnya dan Kerajaan Negeri Kelantan amnya. 

Akhirnya kini saya faham kenapa mereka terdesak sehingga perlu mencipta kebencian dengan fitnah karut;

“When toxic person can longer control you, they will control others see you.”

Ini bermaksud, apabila propagandis TikTokers toksik ini tidak lagi boleh mengawal kemaraan saingan politik mereka, maka mengawal pandangan luar terhadap pesaing politik secara ‘pelawok’ ini diada-adakan. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/7/2022

2.Pastikan Pakatan Harapan tidak kembali ke Putrajaya!

BUKIT GANTANG: Jentera Pilihan Raya PAS perlu berada dalam keadaan siap siaga dan menganggap Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa sahaja walaupun penggal ini masih berbaki setahun lagi.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahya berkata, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-kawasan yang diadakan seluruh Malaysia waktu ini wajar dijadikan medan mengukuhkan ukhuwah.

“Juga mencetuskan semangat juang para amilin PAS dan mengatur strategi menghadapi PRU15. Pengalaman 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) wajar menjadi ingatan di mana umat Islam berasa resah gelisah dengan corak pentadbiran mereka. 

“Kita mesti memastikan mereka tidak sama sekali kembali ke Putrajaya sebagai kerajaan,” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaian ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bukit Gantang Ke-55 di Pusat Tarbiah PAS Kawasan, Kampung Bukit Chempedak, dekat sini kelmarin. 

Turut hadir, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria dan Yang Dipertua (YDP) PAS Bukit Gantang, Rahim Ismail serta Timbalan YDP PAS Bukit Gantang, Zulkefly Ahmed dan Naib YDP PAS Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Tambahnya, tiga sasaran utama yang perlu menjadi fokus iaitu memenangi dua pertiga kerusi di Parlimen, menguasai kembali negeri-negeri yang diperintah oleh PAS dan memastikan PH tidak kembali berkuasa.

“Tahniah kepada PAS Bukit Gantang yang telah bekerja keras sepanjang masa terutama aktif menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. 

“Walaupun tidak memenangi Parlimen Bukit Gantang pada penggal ini, namun gerakerja kebajikan tetap dilaksanakan dengan perbelanjaan yang besar.

“Di saat kita bersungguh-sungguh mendekati masyarakat dengan pelbagai program, jangan dilupa sumbangan aktivis-aktivis parti yang bekerja keras tanpa mengharapkan balasan, malah mereka menyembunyikan kesusahan hidup mereka.

“Kepimpinan PAS wajar bertanya khabar dan menyelami kehidupan para aktivis kita agar tiada yang tercicir dan menanggung kesusahan hidup bersendirian,” ujarnya.  

Pada majlis tersebut, Ahmad telah melancarkan Jentera PRU15 PAS Bukit Gantang serta penyampaian Anugerah Jasamu Dikenang kepada aktivis-aktivis PAS yang telah kembali ke rahmatullah.

Turut menerima penghargaan adalah Pengurus SkimPAS Kawasan, Zamri Mohamad Yusof yang berjaya mencapai keahlian kedua tertinggi di Malaysia. 

PAS Cawangan Sungai Petai Seberang pula dinobatkan sebagai Cawangan Tertinggi Keahlian Baru manakala Jabatan Amal Bukit Gantang menerima anugerah khas di atas usaha gigih menjayakan program derma darah dwibulanan dan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

Thursday, July 28, 2022

Misteri jutaan w/China ‘ghaib’, siasat. Anti-lompat, Dr Kamarul Zaman.

 


1. Tubuh RCI siasat misteri jutaan warga China ‘ghaib’

HUBUNGAN diplomatik Malaysia-China adalah untuk mengukuhkan kerjasama dalam banyak aspek, namun keistimewaan itu tidak bererti perundangan imigresen yang menjadi kedaulatan kepada semua negara boleh dipandang enteng atau longgar.

Angka tidak keluar pelancong warganegara republik itu setelah masuk ke negara bukanlah isu baharu, ini telah menjadi rekod genting terutama dalam sedekad ini sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara, penyataan di Parlimen serta pendedahan media.

Satu di antaranya kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke atas Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara melibatkan 32 pertuduhan bersama lima individu lain pada September 2019 kerana menjual MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga China.

Pun demikian tindakan pihak berwajib seakan terhalang atau tidak berupaya menembusi ‘tembok besar’ walaupun kes seumpama berlaku saban tahun. Terkini semalam, Parlimen dinyatakan fakta isu yang sama.

Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh 2018 hingga 2021 menunjukkan ketibaan 7,177,043 warga China masuk ke Malaysia, tetapi yang keluar berjumlah 5,954,765 individu, bermakna kurang 1,222,278 orang.

Persoalannya, apakah mereka hilang ghaib begitu sahaja atau menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyusup ke negara jiran atau telah diculik, dieksploitasi, diperdagangkan atau menjadi mangsa jenayah lainnya?

Atau yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan mereka menjadi penggerak kegiatan menyalahi undang-undang atau merencanakan jenayah berat atau mungkin bersiapsiagaan untuk menggugat dan mengancam keselamatan negara serta ‘dibela’ pihak tertentu di dalam negara ini?

Suara ini bukan tuduhan atau cuba bersikap perkauman, tetapi atas begitu banyak keterangan atau pembuktian pernah dikemukakan ke pengetahuan umum selama ini. Dari melibatkan aktiviti individu dan kumpulan warga China di dalam negara ini, hinggalah angkatan ketenteraannya di sempadan perairan dan udara negara.

Bukankah aneh apabila jumlah sebesar itu yang dimusykilkan keberadaannya langsung tidak dipersoalkan oleh pihak tertinggi negara ini mahupun negara tersebut? Malaysia tidak harus menikus untuk menyuarakan hak kedaulatan negara dan China juga perlu bertanggungjawab akan status semasa rakyatnya yang keluar.

Kerana dalam realiti geopolitik dunia hari ini, semua kemungkinan dan jangkaan mesti diperhitungkan untuk meletakkan negara di tahap waspada yang sepatutnya. Apatah lagi di dunia nyata zaman ini sering wujud para petualang yang menjadi rakan subahat atau sekutu anasir luar.

Sehubungan itu suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mesti segera dibentuk untuk menjejaki dan memperincikan status setiap individu tersebut agar tindakan dan langkah selanjutnya dapat ditentukan dan diambil tindakan.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Penasihat
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 27/7/2022


2. RUU Anti-Lompat Parti pastikan politik negara stabil 


HARI ini, 27 Julai 2022, adalah detik yang amat bersejarah dalam perkembangan politik negara kerana ia menyaksikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sendiri membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti di kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, empat negeri, iaitu, Sabah, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang, malahan telah meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi menghukum pelompat parti pada 1986, 1991, 1994 dan 2012, tetapi mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Agung bahawa pindaan begini adalah tidak berperlembagaan.

Semua pihak akur dengan bahana gejala melompat parti ini, tetapi hanya Ismail Sabri berbuat sesuatu ke atasnya dengan menjadikan pembentangan RUU Anti Lompat Parti sebagai salah satu butiran utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan dan PH.

Bermula daripada tarikh ini maka bermulalah tugasan berat yang diletakkan ke atas bahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, merangka RUU ini dengan bantuan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebegitu banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, khususnya daripada parti-parti kerajaan dan pembangkang, tetapi juga dengan pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya telah dilakukan oleh Dr. Wan Junaidi sehingga melayakkan beliau digelarkan sebagai pakar libat urus.

Saya telah dijemput menyertai sebahagian besar daripada sesi libat urus ini dan dapat menyaksikan sendiri kecekalan dan ketenangan Dr. Wan Junaidi menguruskan pihak-pihak yang terlibat yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri yang selalunya bercanggah pula dengan pandangan pihak-pihak lain.

Setelah selesai sesi libat urus ini dilaksanakan maka Dr. Wan Junaidi terpaksa pula membentangkan hasilnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri yang sama ada memutuskan untuk beliau melakukan lebih banyak sesi libat urus atau membangkitkan beberapa persoalan dasar yang perlu dibuat keputusan oleh pihak beliau.

Tatkala berdepan dengan liku-liku yang mencabar, Dr. Wan Junaidi sentiasa mendapat dukungan kuat Ismail Sabri yang sentiasa menzahirkan komitmen ke atas RUU ini dan yang mengambil pendekatan akomodatif selaras dengan prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan di dalam konsep Keluarga Malaysia.

RUU ini telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April dengan ruang dibuka seluas-luasnya kepada setiap Ahli Dewan Rakyat untuk mengambil bahagian membahaskannya yang berkesudahan dengan kelulusan usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti dan memuktamadkannya. 

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Junaidi ini dianggotai oleh semua pihak, di mana Umno diwakili oleh Pengerang dan Padang Rengas, BERSATU oleh Larut, PAS oleh Kota Bharu, PBB oleh Sibuti, DAP oleh Puchong, PAN oleh Sepang, UPKO oleh Tuaran, PKR oleh Kulim-Bandar Baharu dan WARISAN oleh Penampang.

Jawatankuasa ini telah mengadakan tujuh mesyuarat untuk meneliti dan memuktamadkan RUU ini, iaitu pada 15 April, 26 April, 12 Mei, 19 Mei, 7 Jun dan 12 Julai, dengan mengambil kira pandangan bertulis yang diterima daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan parti.

RUU ini juga telah ditaklimatkan kepada Ahli Dewan Rakyat (Kerajaan) pada 25 Julai dan kepada Ahli Dewan Rakyat (Pembangkang) pada 26 Julai dalam mana pelbagai pertanyaan telah dikemukakan dan pelbagai jawapan telah diberikan oleh Dr. Wan Junaidi bagi memperjelaskan segala butiran yang terkandung di dalamnya.

Pada akhirnya, sudah tidak ada sebab mengapa RUU ini tidak akan mendapat sokongan 2/3 majoriti Ahli Dewan Rakyat setelah terlalu banyak sesi libat urus dilakukan ke atasnya ditambah catatan sejarah kerana buat pertama kalinya RUU ini dihasilkan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

RUU ini menyatakan dengan jelas apa yang termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti itu atau mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti.

RUU ini juga menyatakan dengan jelas apa yang tidak termasuk di dalam kategori lompat parti, iaitu mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti dipecat daripada keanggotaan dalam parti itu, dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau partinya dibubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Sebelum ini, banyak tentangan diterima bila mereka yang dipecat daripada keanggotaan dalam parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti kerana dikatakan akan memberi kuasa yang terlalu besar kepada sesebuah parti politik untuk mengawal Ahli-ahli Dewan Rakyat yang boleh membuka ruang untuk disalahguna tetapi ia kini telah diatasi.

Sekarang ini masih ada segelintir pihak yang mempertikaikan kewajaran mereka yang setelah memasuki Dewan Rakyat sebagai Bebas menyertai suatu parti dimasukkan ke dalam kategori lompat parti tetapi ia wajar kerana menyertai suatu parti setelah menang di atas tiket Bebas sememangnya adalah jelas mengkhianati mandat pengundi.

RUU ini pastinya akan memelihara keutuhan prinsip demokrasi, dengan memastikan mandat pengundi di dalam sesuatu PRU akan sentiasa dihormati, malah seseorang Ahli Dewan Rakyat yang kerusinya telah menjadi kosong akibat tindakan melompat parti ini juga kini boleh bertanding semula di dalam mana-mana pilihan raya yang berikutnya.

Selain kejayaan peribadi kepada Ismail Sabri, Dr. Wan Junaidi dan semua yang terlibat merealisasikannya, sungguhnya kelulusan ke atas RUU ini adalah satu lonjakan besar yang akan memastikan kestabilan politik tidak tergugat dengan tiada lagi kebimbangan akan berlakunya perubahan kerajaan di tengah penggal akibat gejala melompat parti.

DR. KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Pegawai Khas Perdana Menteri – HARAKAHDAILY 27/7/2022


Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails