Monday, October 05, 2020

Cuci reban itik besar-besaran.. Jom lihat!

 

Aktiviti mencuci reban itik besar-besaran punca pencemaran bau Sungai Semenyih, Sungai Langat

DENGKIL: Aktiviti pencucian secara besar-besaran yang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta kawasan perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pencemaran bau sehingga 11 ton dikenal pasti berlaku di muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih dan Sungai Langat di sini, tengah malam tadiatanya, ia dikatakan berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang secara besar-besaran dengan bacaan pencemaran menurun kepada lapan ton, hingga jam 9.30 pagi tadi.
"Kerajaan Selangor sudah memaklumkan perkara ini kepada kerajaan Negeri Sembilan, selain pihak berkuasa di negeri berkenaan sudah diarah menjalankan siasatan sejurus aduan diterima.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan badan kawal selia air negeri berkenaan dikatakan akan mengenal pasti lokasi tepat pencemaran berbau bangkai yang dikatakan hasil daripada bahan organik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman.
Semalam, LPA Sungai Semenyih dan Bukit Tapoi di sini, dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang.
Loy Sian berkata, dua pam berkapasiti 300 juta liter sehari (JLD), manakala dua lagi pam dengan kapasiti 27 JLD sudah diaktifkan, masing-masing di LPA Sungai Semenyih dan LPA Sungai Langat, bagi kerja pencairan pencemaran bau.
"Kedua-dua LPA yang ditutup ini dijangka dapat dibuka petang ini, jika bacaan pencemaran berada pada tahap sifar ton, selain lori tangki air sudah digerakkan ke lokasi terjejas.
"Kita juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkuasa," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.


P.Pinang, Babi lebih ‘bertuah’ dari manusia?

 

SEMALAM JPV dan Exco ada melawat kandang babi Kg Selamat. Boleh rujuk di Laman Page YB Norlela Ariffin. Kita puji YB Exco Pertanian sebab turun padang untuk lihat sendiri isu penternakan babi. Nak harap MP Tasek Gelugor Shabudin Yahaya memang payah-lah. 

Yang menarik, sudah ada penternak yang bersedia ke arah melengkapkan kemudahan bagi mencapai zero waste discharge. Antaranya kemudahan penghawa dingin. Ia penting kerana selain najis dan air kencing, sisa kumbahan babi datang daripada aktiviti memandikan babi. 

Sebab apa babi kerap kena mandi? Babi makhluk yang tak tahan panas. Sehari perlu mandi 2-3 kali. Kerana itu sisa kumbahan harian babi cecah sampai 40 liter seekor. 

Cuma apa yang menghairankan, semalam ada lawatan, pagi ini bau najis babi lagi kuat. Setakat dua bulan aku duduk Bertam, pagi ini paling dahsyat. Kalau di Bertam bau setara ini, tak tahulah di Tasek Gelugor macam mana. Orang Bertam dan Tasek Gelugor cuma komen sikit pasal aroma pagi ini? 

Baik. Katanya pihak berkuasa dah serbu kandang babi baru-baru ini. Ada penternak yang kena kompaun RM250. Ya, bukan takat azab bau, air sungai tercemar teruk pun depa cuma kena RM250 saja. Itu pun katanya tak bayar sebab depa cabar mana bukti kata babi yang cemarkan?

Anak-anak tauke babi pula ramai yang peguam. Depa pertikai macam-macam. Data makmal tak valid la apa la dan lain-lain. Malah, ada berbunyi dalam laporan pihak berkuasa bahawa semuanya ikut garis panduan, elok saja. 

Tak ada aktiviti buang najis babi ke dalam sungai. Memang la tak ada, dah depa serbu jam 10 pagi. Babi pun duk megheloh lagi. Kalau dah bau pagi-pagi, ertinya aktiviti lepas buang berlaku belah malam.  

Baik, kita cuma cuma nak tanya. Kalau Sg Kereh bukan tercemar sebab najis babi, siapa atau menatang apa yang pi meruah kat dalam sungai itu? Ada 74 kandang babi di Kg Selamat. Tak semua ada kemudahan zero-discharge facilities. Kalau ada pun, hanya aktiviti mandi saja yang kurang. 

Babi masih akan berak kencing. Jadi bagaimana sisa najis babi dirawat? Berapa kapasiti kolam tadahan atau rawatan untuk rawat sisa najis babi yang ada sampai 137 ribu ekor di Kg Selamat?

Berapa jenis kolam rawatan yang ada? Kalau ikutkan garis panduan, perlu 4-5 jenis kolam rawatan yang berbeza-beza. Berapa lama sisa najis dirawat dan ditahan sebelum dilepaskan ke sungai dengan selamat?

Ikut garis panduan minimum retention time adalah 45 hari. Mampukah kolam tadahan yang sedia ada buat semua itu? Jelasnya tak mampu, sebab itulah Sungai Kreh hitam pekat.

Untuk ikut garis panduan, kawasan penternakan perlu lebih besar sebab perlu lebih banyak kolam rawatan. Hal ini agak mustahil melainkan bilangan babi dikurangkan supaya sisa mampu urus. Atau pindah ke kawasan baru yang ada kemudahan berpusat.

Itu pun, kemudahan Modern Pig Farming (MPF) ini memerlukan kos. Tak semua sanggup atau mampu.

Pihak berkuasa beri tempoh sehingga 2022 untuk laksana MPF bagi mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016. Cuma renungkan, biarpun ada MPF, adakah kandang juga bersedia dengan kolam rawatan seperti sepatutnya? Jika ya, di mana dan berapa luas kawasannya?

M. A. ZABIDI AT-TIROMI
2 Oktober 2020
Bertam – HARAKAHDAILY 2/10/2020

Pencemaran Baru Ditemui, Berak di N9, najis 'dihantar' ke S'gor?

 

Ladang angsa, itik disyaki punca pencemaran bau

DENGKIL: Ladang ternakan angsa dan itik serta kawasan perindustrian di Negeri Sembilan disyaki punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat dekat Selangor.

Ladang ternakan itu dikatakan terletak di Pajam, Negeri Sembilan, manakala kawasan perindustrian itu didakwa berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai 3 dekat Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pencemaran bau sehingga 11 ton dikenal pasti berlaku di muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih dan Sungai Langat di sini, tengah malam tadi.

Katanya, ia dikatakan berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang secara besar-besaran dengan bacaan pencemaran menurun kepada lapan ton, hingga jam 9.30 pagi tadi.

"Kerajaan Selangor sudah memaklumkan perkara ini kepada kerajaan Negeri Sembilan, selain pihak berkuasa di negeri berkenaan sudah diarah menjalankan siasatan sejurus aduan diterima.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan badan kawal selia air negeri berkenaan dikatakan akan mengenal pasti lokasi tepat pencemaran berbau bangkai yang dikatakan hasil daripada bahan organik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman.

Komen Weblog Ibnu HasyimPencemaran baru ditemui, Selangor PH macam tak tahu urus negeri? Berak di N9, najis 'dihantar' ke Selangor? Cerdik apa itu?

Saya memuji PM kerana.. 'seruan untuk mereformasi sistem PBB' - Rizal Hamdan.

 

ULASAN | Ucapan di PBB: Muhyiddin 'gagal' rebut peluang terhidang

ULASAN | Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlahir berikutan krisis global. Setelah 75 tahun, PBB sekali lagi berhadapan dengan krisis global, dalam bentuk penularan wabak Covid-19.

Pada 26 September yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin telah membuat penampilan pertamanya sebagai ketua kerajaan melalui ucapan sulungnya (pernyataan video pra-rakaman) di Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Sebagai pemerhati dasar luar, saya gembira kerana ucapan beliau merangkumi beberapa perkara penting berhubung dinamika baru hubungan antarabangsa.

Walaubagaimanapun, beberapa isu penting berkenaan kepentingan nasional dan keamanan rantau seolah-olah sengaja ditinggalkan. 

Oleh itu, saya akan membincangkan dua isu utama dan analisis menyeluruh saya terhadap ucapan tersebut.

Reformasi PBB: Suatu keutamaan

Saya memuji perdana menteri kerana berani menyampaikan seruan untuk mereformasi sistem PBB, khususnya Majlis Keselamatan. 

Dalam ucapannya, perdana menteri berpendapat: “differences in the Security Council left the body, as it has so many times, indecisive and ineffective”. (banyak kali perbezaan dalam Majlis Keselamatan PBB menjadikan badan itu tidak dapat membuat keputusan dan tidak efektif)

Kritikan utama terhadap Majlis Keselamatan adalah berkenaan kuasa veto yang dipegang oleh anggota tetap (United Kingdom, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, dan Amerika Syarikat). 

Komposisi anggota tetap tidak lagi menggambarkan tata semasa dunia.

Dunia telah melalui banyak krisis besar sejak runtuhnya Tembok Berlin, namun Majlis Keselamatan tetap mengekalkan formula keseimbangan kuasa (balance of powers) yang usang. 

Formula pasca Perang Dunia yang kuno ini telah menghambat banyak cadangan konstruktif untuk mengekalkan kedamaian di dunia masakini.

Memetik kata-kata mantan Presiden Perhimpunan Agung (1996/1997) Tan Sri Razali Ismail dalam memoirnya, “…since transformations originate from the mind, an entire mental mindset must transform." (Memandangkan transformasi berasal dari minda, seluruh pola fikir perlu berubah)

Berikutan itu, proses reformasi sistem PBB tidak harus hanya pada tahap struktur, namun perlu diperingkat kerangka pemikiran.

Sejah mencatatkan, legasi membanggakan Dr Mahathir Mohamad yang tegas dan lantang di platform antarabangsa tanpa berbasa-basi atau hanya sekadar mengambil hati kuasa-kuasa besar berjaya mengangkat imej Malaysia di peringkat dunia.

Sekurang-kurangnya Muhyiddin Yassin perlu mempertahankan tradisi pendekatan kritikal negara kita di arena antarabangsa.

Malaysia dan agenda kemanusiaan

Perjuangan rakyat Palestin sentiasa dekat di hati dan seolah-olah telah menjadi tanggungjawab tetap Malaysia.

Perdana menteri dalam ucapannya menyebut, walaupun terdapat banyak desakan dari masyarakat antarabangsa, rejim Israel terus mengabaikan dan menjarah wilayah yang diduduki secara haram.

Malaysia mendesak rejim Israel untuk menarik balik tenteranya dari wilayah Palestin yang diduduki secara tidak sah dan kembali ke meja rundingan.

Kedudukan Malaysia dalam hal ini tetap konsisten, konsep penyelesaian ‘two-states solution’ (penyelesaian dua negara) adalah satu-satunya cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan pertelingkahan antara Palestin dan rejim Israel.

Bagaimanapun, ini menimbulkan polemik, bagaimanakah pula pandangan Parti Islam Malaysia (PAS) dalam isu ini?

Gambar hiasan, demonstrasi PAS pro-Palestin.

Walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, PAS sangat menentang konsep ‘two-states solution’.

Disamping mengekalkan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin, perdana menteri turut memastikan bahawa, Malaysia akan memberi bantuan kewangan dan sosial kepada para pelarian dari Myanmar (Rohingya).

Pada saat ini, Malaysia membuka pintunya kepada pelarian Rohingya dalam jumlah yang terbesar di Asia Tenggara.

Malaysia berpeluang mengangkat imejnya di persada global dengan memainkan peranan sebagai perantara dalam dua konflik kemanusiaan ini.

Malaysia perlu mengambil peranan aktif dalam meyakinkan pemerintah Myanmar untuk mengakhiri kekejaman di negeri Rakhine.

Bagi isu Palestin pula, pihak kerajaan harus melantik diplomat terlatih yang mempunyai tauliah serta reputasi antarabangsa dan bukan sekadar lantikan untuk habuan demi meredakan kemelut politik dalam negeri. 

Perlu diingat, diplomasi merupakan ‘a serious business’.

Laut China Selatan

Sebagai pemerhati dasar luar, saya melihat tidak ada pemimpin dari Asean yang menimbulkan persoalan Laut China Selatan dalam ucapan mereka di UNGA.

Pada 13 Julai 2020, Setiausaha Negara AS, Michael Pompeo telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pendirian AS mengenai Laut China Selatan. Ini dapat dianggap sebagai peringatan keras kepada Beijing mengenai Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian memalas kenyataan Amerika Syarikat itu, dengan menyatakan bahawa ianya hujahan yang tidak berasas dan bertujuan mewujudkan perselisihan antara Beijing dan negara-negara Asia Tenggara.

Pada pendapat saya, sekiranya Muhyiddin Yassin membangkitkan penyelesaian isu Laut China Selatan dalam ucapan beliau, kita mampu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan menganjurkan pendekatan baru bagi meredakan ketegangan di laluan perkapalan tersibuk di dunia tersebut.

Keamanan di rantau ini digagaskan bersandarkan Zone of Peace, Freedom and Neutrality (Zon aman, bebas dan berkecuali - Zopfan) sejak 1971. 

Saya tertanya-tanya apakah kita dapat merumuskan gagasan yang serupa untuk memastikan konflik antara kuasa besar tidak akan menjejaskan landskap geopolitik di rantau ini.

PH jatuh, doktrin Dr M dilupakan

Dr Mahathir pernah mengatakan “lebih baik tiada kapal perang di perairan Malaysia dan di Laut China Selatan."

Bagaimanapun, ‘doktrin Mahathir’ ini akhirnya dilupakan seiring dengan kejatuhan pentadbiran beliau. 

Malaysia di bawah kepemimpinan Muhyiddin Yassin harus merangka konsep keselamatan baru berdasarkan gagasan yang serupa.

Dengan demikian, Malaysia berpeluang mempelopori gagasan keamanan baru di Asia Tenggara, dengan kerjasama negara-negara Asean yang lain.

UNGA memulakan sesi ke-75 tanpa pesta temasya berikutan penularan pandemik. Pertama kalinya dalam sejarah diplomasi, UNGA berlangsung secara maya (virtual).

Walaupun ucapan Muhyiddin agak mengagumkan, saya berpandangan beliau tidak ‘merebut peluang’ yang terhidang bagi menampilkan dirinya sebagai pemimpin bertaraf antarabangsa sepertimana pendahulunya.

Sungguhpun begitu, sudah tiba masanya untuk Malaysia memainkan peranan lebih penting dan aktif di PBB seperti suatu ketika dahulu.


RIZAL HAMDAN ialah Pengarah Eksekutif Nadi Center, sebuah badan pemikir.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

(https://www.malaysiakini.com/news/545195)

Pertemuan PAS-PBS?


PAS-PBS: Ada titik temu di hujung sana

PAS, PBS. Singkatan nama bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Hanya dibezakan dengan huruf A dan B sahaja. Jika dicantumkan jadi A, B. Dua huruf awal dalam abjad Rumi. Tidak lengkap sebutan rumi jika tiada dua huruf ini. Ibarat dua teman yang rapat dan tidak boleh dipisahkan. Sungguhpun berbeza tapi saling melengkapi.

Bukan sesuatu yang dirancang tetapi inilah ketentuan dari Allah Tuhan Yang Maha Esa.

Mengapa dua nama ini kini mewarnai politik tanahair khasnya bumi bertuah Negeri di Bawah Bayu, Sabah Darul Saadah Pasca PRN ke 16 apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menubuhkan kerajaan baharu?

Tentunya faktor parti-parti dalam GRS termasuk PAS, atas semangat gabungan rakyat mahu sama membina negeri ini ke landasan yang betul.

Masih subur dalam ingatan saya, ketika PRK Parlimen 186 Sandakan pada 27 April 2019 hingga 11 Mei 2019 berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong dari DAP, bagi mengelak pertembungan sesama sendiri parti-parti pembangkang memberi laluan kepada PBS bertanding di PRK ini untuk berdepan dengan DAP.

Atas semangat kesatuan dan perpaduan, PAS dan rakan parti lain sedia tarik ‘hand break‘ untuk memberi laluan kepada PBS dan bergabung tenaga bagi menghadapi PRK ini.

Kebetulan juga, saya yang diamanahkan oleh Pimpinan PAS Sabah bagi mengetuai Jentera Pilihan Raya PAS untuk membantu PBS adalah suatu tanggungjawab berat dan pengalaman baharu bagi saya dan seluruh pimpinan PAS.

Saya kira inilah sejarah baharu bagi PAS dan juga PBS apabila buat julung kalinya dapat bergabung tenaga demi masa depan rakyat dan negara tercinta.

Saya yakin, bukan sahaja PAS malah PBS turut teruja dan tidak menyangka bagaimana dua parti yang berbeza ideologi dan tidak pernah bersua dalam konteks politik negeri ini tiba-tiba sahaja dapat duduk semeja bagi menghadapi PRK Sandakan.

Memang luar biasa! Bagai mimpi di dalam mimpi!

Segala kebimbangan, prejudis, syak wasangka keduanya dibenamkan dengan nilai keikhlasan yang tinggi dalam diri demi keharmonian rakyat.

Maka atas semangat perpaduan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya inilah, PAS mengerahkan jenteranya dari seluruh Sabah termasuk beberapa pimpinan PAS Pusat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) turut sama beradu tenaga membantu Jentera PBS.

Malah seluruh pimpinan utama PAS Sabah, yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling beserta jentera silih berganti berkampung di bumi Sandakan.

PAS menjadi benteng diatas salah tanggap, tohmahan dan provokasi dalam pelbagai isu yang cuba dimainkan oleh sesetengah pengundi muslim dan bukan Islam kepada PBS dan calonnya.

Saya masih ingat, ketika suatu masa, Datuk Johny Masitun Naib Presiden PBS, menghulurkan ‘sampul’ untuk kegunaan petugas-petugas PAS, namun saya dengan rendah hati menolaknya.

“Terima kasih banyak Datuk, kami datang membantu dengan hati yang ikhlas. Datuk jangan risau soal ini.”

Sehinggalah pada minggu terakhir berkempen, serentak dengan datangnya bulan Ramadan yang mulia, Datuk Johny dan beberapa pimpinan PBS berhasrat untuk bertemu dengan pimpinan PAS dan para petugas dalam majlis berbuka puasa.

Merasai keikhlasan di hatinya, kali ini saya sudah tiada upaya untuk menolak pemberian ‘sampul’ yang dihulurkan olehnya. Katanya ini untuk majlis berbuka bersama nanti.

Saya betul-betul masih ingat, wajah penat dan letih Datuk Johny namun terpancar keceriaan diwajahnya ketika bersama-sama berbuka puasa di Pejabat PAS Sandakan yang turut dihadiri oleh pimpinan PAS dan pimpinan PBS yang lain.

Dalam hati kecil saya, betapa indahnya keharmonian ini, walaupun berbeza ideologi politik namun di hujungnya ada titik persamaan kerana mahu membina negara dan keharmonian rakyat tanpa mengira latar belakng agama, bangsa dan budaya.

PAS yang terasnya adalah Melayu Muslim. Di dalamnya ada ahli bukan Islam. Yang disebut sebagai DHPP. Siapa sahaja yang bukan Islam boleh menyertai PAS melalui Dewan ini. Hak-hak mereka terjamin di bawa PAS.

Bahkan di Sabah Pengerusi DHPPnya adalah berbangsa Dusun, beragama Kristian. Begitulah juga PBS, keanggotaannya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat KDM dan yang beragama kristian sebagai terasnya tetapi terbuka keahliannya juga kepada masyarakat Islam.

Saya mencoretkan sedikit pengalaman ini sebagai muhasabah kepada kita semua. Ia menjadi sejarah luar biasa dari yang biasa.

Kecilkan perbezaan raihkan persamaan. Di sana ada titik temu antara kita demi sebuah keharmonian, kesaksamaan dan pembangunan negeri dan negara tercinta.

SAHAR ABDUL MAJID
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
merangkap Yang Dipertua PAS Sandakan
04 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 4/10/2020

Penjara Alor Setar Pula, kuarters kakitangan kena PKPDB

 

 Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan bersiap sedia menjalankan ujian saringan COVID-19 di Penjara Alor Setar.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar, termasuk kuarters kakitangannya selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPDB secara pentadbiran bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di kawasan terbabit.

Jelasnya, ia juga membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah.

"Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan, memutuskan untuk melaksanakan arahan PKPDB secara pentadbiran di kawasan penjara termasuk kuaters kakitangan selama 14 hari berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini, 5 Oktober 2020.

"Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar dan masuk membabitkan kawasan ini, termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. (BH)

Sunday, October 04, 2020

Gangguan air X berjadual. Lagi PH S'gor babit 309,605 Pengguna.

 

2 loji air dihenti tugas, gangguan air lagi di Selangor

Shah Alam: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas loji ini akan menyebabkan 273 kawasan terjejas, membabitkan 309,605 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Gangguan ini membabitkan empat wilayah iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

"Air Selangor sudah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak anak sungai di sekitar Sungai Semenyih sedang giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata, Air Selangor sudah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas berikutan insiden ini.

"Pada masa ini kami masih belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

"Sila rujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook Twitter, Instagram Air Selangor dan laman sesawang kami www.airselangor.com untuk maklumat bekalan air yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.

 Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:56 PM

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails