Pemilik homestay berkongsi gambar kotak kondom dan katil hilang salah sebuah unit yang disewakannya.
"Homestay saya bukan tempat maksiat" - Penemuan kotak kondom, katil 'lesap' buat pemilik lebih hati-hati
PETALING JAYA: Setelah berdepan pengalaman tidak disangka-sangka, pemilik sebuah homestay di Melaka berjanji akan lebih berhati-hati untuk menyewakan penginapan kepada pelanggan yang bukan mahram.
Fareez Sarifuddin, 31, yang membuka sebuah homestay berdekatan dengan bandar Melaka dua tahun lalu berkata, sepanjang tempoh itu dia sering berdepan pelbagai karenah pelanggan, tetapi semuanya dianggap cabaran dan diambil sebagai pengajaran dalam mengendalikan perniagaan ini.
Menurut Fareez, walaupun dia sering mengutamakan kehendak penyewa, tetapi itu bukan bermakna mereka boleh datang ke homestaynya untuk melakukan maksiat.
Fareez, beberapa hari lalu memuat naik gambar penemuan kotak kondom ketika ingin membersihkan salah sebuah unit sewaannya.
"Seperti biasanya selepas pelanggan 'check out' saya akan terus masuk ke apartment dan membuang sampah. Itu perkara pertama yang saya akan lakukan. Biasanya sampah-sampah memang sudah diletak dalam tong sampah yang disediakan, tetapi kali ini saya agak terkejut menemui kotak kondom.
"Ia mengejutkan saya sebab saya tahu siapa yang 'check-in' homestay ini. Saya yakin mereka pelajar (dua lelaki dan dua perempuan). Saya hanya berfikiran baik-baik sahaja bahawa mereka datang ke Melaka dan homestay saya menjadi pilihan kerana harga yang berpatutan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Menurut Fareez, selepas selesai mengemas sampah sarap, dia memeriksa kesemua tiga bilik yang terdapat di unit sewaannya itu.







