PADA hari ini, 23 Jun 2014, genaplah 12 tahun pemergian
Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Pemergiannya sewaktu memegang jawatan
sebagai Ketua pembangkang di Parlimen sudah tentu memberi kesan kepada
perjuangan PAS dalam politik tanah air, khususnya bagi mereka yang aktif
dalam gerakan Islam dan dakwah.
Almarhum Ustaz Fadzil Noor
dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar,
Kedah. Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman
meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.
Moyangnya Tuan Guru
Haji Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi
adalah seorang ulama terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.
Ustaz
Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga pada tahun
1946 hingga 1949. Pada tahun 1949 beliau melanjutkan pelajaran ke
peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar sehingga 1958 dan
peringkat tinggi bermula 1958 hingga 1962.
Setelah
tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di
Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas
sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.
Pada tahun 1962,
Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir.
Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh
Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Sekembalinya dari Mesir pada tahun
1967, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud dan
pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti
Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil
Noor terserlah apabila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar
dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab
Mahmud.
Ketika di Mesir, Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan
Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha
dan akhirnya sebagai timbalan presiden.
Ustaz Fadzil Noor pernah
menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha
Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).
Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.
Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.
Ketika
Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga
1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.
Ustaz
Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih
menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihan
raya tahun tersebut.
Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen
tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr Burhanuddin Al-Helmy dan
Prof Zulkifli Muhammad.
Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.
Jawatan
tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor ketika bersama PAS
adalah; Naib Yang Dipertua (1979-1983), Timbalan Yang Dipertua
(1983-1989), dan Presiden PAS (1989-2002).
Ustaz Fadzil Noor mula
menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS
ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.
Dalam perjuangan menegakkan kebenaran, Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.
Pada
penghujung tahun 1970-an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di
Kampung Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan
bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram. Turut hadir dalam
ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz
Fadhullah Shuaib.
Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz
Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak
polis tentang sebuah hadith Nabi SAW.
Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain.
Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga. Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.
Lewat
malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh
kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar
kawasan balai polis Kuala Terengganu.
Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.
Perundingan
antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya,
Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap
tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.
Sekali lagi Ustaz
Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun,
Kedah. Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu
panas di antara PAS dengan Umno di Kedah.
Ustaz Fadzil Noor
ditahan semasa berceramah. Beliau ditahan bersama Haji Shaari, YDP PAS
Kawasan Jerlun dan dikenakan ikat jamin. Kesnya terus dibawa ke
mahkamah.
Walau bagaimanapun kes ini digugurkan berikutan kematian Haji Shaari.
Dalam
perjuangan bersama-sama PAS, terutamanya sejak era peralihan
kepimpinan, Ustaz Fadzil Noor sentiasa berseiringan jalan dengan Tuan
Guru Yusof Rawa.
Selepas pilihan raya tahun 1978 lagi, ketika
Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama, Ustaz Fadzil
Noor menjadi Naib Yang Dipertua kedua.
Semasa Tuan Guru Yusof
Rawa berjaya memenangi jawatan Timbalan yang Dipertua parti dalam tahun
1981, Ustaz Fadzil Noor pula menduduki jawatan Naib Yang Dipertua
pertama.
Apabila Majlis Syura Ulama diwujudkan melalui pindaan
Perlembagaan PAS, Ustaz Fadzil Noor bersama-sama Tuan Guru Yusof Rawa
mewakili Jawatankuasa PAS Pusat untuk duduk dalam Majlis Syura Ulama.
Ketika
Tuan Guru Yusof Rawa dipilih menjadi Mursyidul Am yang pertama, bebanan
tugas Yang Dipertua telah dilaksanakan sebahagiannya oleh Ustaz Fadzil
Noor.
Demikian juga semasa Tuan Guru Yusof Rawa uzur menjelang
saat-saat akhir beliau memegang jawatan Yang Dipertua, maka Ustaz Fadzil
Noor merupakan orang yang menjalankan tugas-tugas teraju utama parti.
Ustaz
Fadzil Noor juga menjadi pembantu utama semasa Tuan Guru Yusof Rawa
merintas konsep kepimpinan ulama dan mengukuhkan asas-asas harakah
Islamiyyah dalam PAS.
Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor
menekankan agar golongan ulama hendaklah sentiasa berusaha untuk
melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya
institusi ulama mesti disokong dan didaulatkan.
Sejak kepimpinan ulama diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.
Setelah
menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah
40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.
Pada
tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada
500,000 orang dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum
pilihan raya tahun 1995.
Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah
mencecah 400,000. Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya,
namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.
Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.
Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.
Ustaz
Fadzil Noor meneruskan tradisi perjuangan mengekalkan perpaduan demi
menjaga kemaslahatan Islam dan negara yang telah diasaskan oleh
pemimpin-pemimpin awal PAS. Beliau mengikuti jejak langkah Dr
Burhanuddin Helmy meneruskan konsep tahaluf siyasi.
Berbekalkan
tradisi tahaluf siyasi seperti inilah yang mendorong Ustaz Fadzil Noor
mewujudkan pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam
Angkatan Perpaduan Ummah. Kemudiannya dengan Parti Keadilan Rakyat.
Pada
hari ini, hasil yang disemai sejak era kepimpinan ulama yang dirintis
oleh beliau dan Tuan Guru Yusuf Rawa makin menampakkan hasil.
Justeru,
kehadirannya dan gaya kepimpinannya banyak mengubah persepsi masyarakat
Malaysia tentang perjuangan Islam dan PAS. Tanggal 23 Jun 2002,
bukanlah penamat bagi perjuangan beliau, kerana hari ini ribuan yang
telah lahir hasil tarbiah dan didikan beliau dan generasi yang sezaman
dengannya. (HD)
Lihat selengkapnya..
E-Buku IH-19: Sejarah & Pemikiran Fadzil Pres/PAS Ke 6