Thursday, December 09, 2010

Bot Laju 'Berani Mati' Iran, Siap Sedia

Gambar yang disiarkan sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan bot Iran yang mengandungi bahan letupan.

TEHERAN 9 DIS 10: Tentera Laut Iran membina lebih 9,000 buah bot laju 'berani mati' yang dilengkapi bahan letupan untuk tujuan merempuh kapal-kapal musuh, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah bot laju itu yang sepanjang enam meter, berupaya membuat lubang berdiameter lebih tujuh meter apabila ia melanggar kapal perang musuh sekali gus menenggelamkannya. Kira-kira 30,000 kapten 'kamikaze' telah dilatih untuk mengemudi bot-bot laju itu yang kini meronda perairan Teluk Parsi manakala pemerintah Iran merancang untuk membina sejumlah 15,000 bot tersebut.

Akhbar The Sun mendedahkan strategi perang kamikaze Iran itu didedahkan baru-baru ini oleh seorang bekas jurutera tentera Iran yang belot dan melarikan diri ke Britain.

"Mereka mahu saya membantu membina armada besar bot berani mati. Ia amat mengejutkan," katanya.

Iran mencetuskan kemarahan Barat kerana meneruskan program nuklearnya yang menurut pemerintah bertujuan untuk menjana kuasa elektrik negara. - Agensi

Akur Tapi Tidak Iktiraf Pemilihan PKR -Badrul Hisham


KL, 8 Dis 10: Badrul Hisham Shahrin yang tewas dalam pemilihan ketua sayap Pemuda PKR baru-baru ini berkata, beliau tidak mengiktiraf keputusan pertandingan yang diumumkan 26 November lalu.

Ketua PKR Rembau ini juga berkata, beliau tidak akan menerima apa jua jawatan selagi segala aduan mengenai kecacatan dan kepincangan pemilihan dijawab dengan rasmi oleh jawatankuasa pemilihan.

“Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan PKR 2010.

“Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan,” kata beliau yang turut dikenali sebagai “Chegubard”.

“Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

“Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respons bertulis setakat ini,” katanya.

Dalam kenyataan pertama selepas Kongres Nasional PKR Ketujuh baru-baru ini, Badrul Hisham berkata, beliau tidak kecewa kerana tewas pemilihan yang julung kali menggunakan sistem secara langsung.

“Kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam (Angkatan Muda Keadilan) AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia,” katanya.

Badrul Hisham tewas dalam persaingan satu lawan satu di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempertahankan jawatannya dengan majoriti lebih 1,000 undi. Dalam pertemuan dengan media baru-baru ini Shamsul Iskandar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Badrul Hisham tentang peranan dan jawatan sesuai yang boleh diberikan kepadanya.

“Saya akan bertemu dengan Badrul dalam waktu terdekat,” katanya.

Bagaimanapun Shamsul Iskandar berpendapat selaku bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat Badrul Hisham lebih sesuai memainkan peranan di peringkat pusat. Dalam kenyatannya itu, Badrul Hisham menambah yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. “Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR, namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut,” kata beliau.

“Melaksanakan agenda satu anggota satu undi adalah satu penciptaan sejarah yang berani.

“Amat memahami ini proses baru dan banyak kelemahan, tetapi tidak sama sekali berkompromi apabila alasan baru itu sebagai alasan untuk melakukan ketidaktelusan dan menyapu di bawah permaidani.”

Katanya, pertikaian muncul dari proses penamaan pemilihan cabang, pencalonan jawatan pusat dalam mesyuarat cabang, proses pengundian pusat sehinggalah pemilihan pengerusi tetap dengan cara angkat tangan.

“Semua yang hadir termasuk pemerhati dan media menyaksikan bagaimana undi angkat tangan memilih pengerusi tetap dalam Kongres AMK pusat pun kiraannya ditipu.

“Sehubungan itu, saya juga menolak semua jawatan lantikan yang bakal ditawarkan selagi tidak mendapat penjelasan bertulis mengenai apa yang saya bangkitkan dalam bantahan,” katanya.

Kata Badrul Hisham, ini bukan soal jawatan tetapi soal ketelusan.

“Jika saya menerima lantikan dalam keadaan aduan saya juga gagal diperjelas secara bertulis ini akan membawa erti saya berkompromi dengan sesuatu yang saya pertikaikan sendiri.

“Jawatan bukan alasan untuk bekerja,” katanya.

Badrul Hisham juga menegaskan beliau akan terus bersama dalam parti.

“Saya tegaskan tanpa jawatan peringkat pusat saya akan terus setia dalam memperkasakan parti.

“Saya masih yakin PKR merupakan parti terbaik dalam melaksanakan reformasi dalam negara.

“Namun PKR juga seharusnya sedia dalam menjamin demokrasi yang telus dalam parti,” katanya. (Sumber: The Malaysian Insider)

Wednesday, December 08, 2010

Kahwin Bawah Umur: Sokong Nazri Dari Shahrizat


NONE
KL 8 DIS 10: AFP melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menolak cadangan agar perkahwinan kanak-kanak diharamkan meskipun ramai yang tidak berpuas hati dengan perkahwinan seorang gadis berusia 14 tahun baru-baru.

Siti Maryam Mahmod dilaporkan bernikah dengan seorang guru berusia 23 tahun, Abdul Manan Othman minggu lalu dalam perkahwinan berama-ramai di sebuah masjid utama setelah diberi kebenaran oleh Mahkamah Syariah.

Masyarakat Islam di bawah umur 16 tahun dibenarkan berkahwin jika mereka mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah yang setaraf dengan mahkamah sivil di negara ini. Menurut Nazri, kerajaan tiada rancangan untuk meminda undang-undang yang membenarkan perkahwinan bawah umur itu kerana amalan itu dibenarkan mengikut Islam.

"Jika agama membenarkannya, kita tidak boleh meminda undang-undang bagi menentangnya,” kata Nazri pada sidang akhbar di lobi parlimen.

"Islam membenarkan asalkan gadis itu telah akil baligh dan telah mempunyai haid,” katanya.

Perkahwinan Siti Maryam itu dikatakan menimbulkan pelbagai kritikan termasuk daripada Menteri, Wanita, Keluarga, Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang berkeras berkata kerajaan tidak menyokong amalan itu.

Kumpulan aktivis pula mahu undang-undang itu dipinda kerana sering menjadi amalan dan dikatakan antara 16,000 gadis Malaysia di bawah umur 15 tahun sudah berkahwin.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Blog Ibnu Hasyim lebih bersetuju dengan pandangan menteri di JPM itu dari Menteri, Wanita, Keluarga, Pembangunan Masyarakat... (Sumber AFP/AK)

Khir Toyo Letak Jawatan Kerana 2 Lot Tanah?

Khir Toyo, tetap tebal dengan senyum..

KL, 8 Dis 10: Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengemukakan surat letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor hari ini, demikian disahkan oleh Speaker DUN Teng Chang Khim.

Surat pemakluman difakskan kepada Teng dan juga kepada Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Najib Razak pada pukul 11.20 pagi.

Bagaimanapun Teng memberitahu mrdia bahawa bukan beliau yang akan menentukan siapa yang bakal mengambil alih jawatan itu. “Ia tiada kaitan dengan saya. Secara tradisi, pemilihan ketua pembangkang adalah urusan pihak pembangkang. Mereka hanya perlu memaklumkan kepada saya siapa yang dipilih,” katanya.

Dr Khir menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mengisi jawatan itu. Kelmarin, bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi laman blognya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Adun Sungai Panjang dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri, turut berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya dalam parti.

Kelmarin, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di No 8 dan No 10, Jalan Suasa 7 /1L, Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM6.5 juta yang dibeli dengan harga hanya RM3.5 juta.

Selain beliau, pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Haryoni, 52, yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Dr Mohamad Khir pada 29 Mei 2007. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Dr Khir yang menjadi Menteri Besar Selangor ke-13 menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar, dari Ogos 2000 hingga Februri 2008, berkata beliau memutuskan meletak jawatan demi kebaikan parti dan juga taraf jawatan tersebut. Katanya, adalah lebih baik beliau melepaskan jawatan tersebut sementara menunggu proses mahkamah yang akan menentukan sama ada beliau bersalah ataupun tidak mengikut pertuduhan itu.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana khuatir kemungkinan akan wujudnya pelbagai andaian serta spekulasi daripada pihak luar khususnya pembangkang yang akan mengaitkan tuduhan itu dengan parti dan jawatan Ketua Pembangkang Selangor.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bekas MB Selangor letak jawatan ketua pembangkang kerana kes 2 Lot tanah? (IH)

'Black Day' Masjid Babri Tetap Dikenang

Muslim India Peringati Hari Penghancuran Masjid Babri
Muslim India memperingati Black Day

HYDERABAD 8 DIS 10: Muslim India mengadakan demonstrasi untuk mengenang peristiwa penghancuran Masjid Babri yang terjadi pada 6 Desember 1992. Peringatan yang dikenal sebagai ''Black Day'' itu, disambut dengan sebahagian toko, premis, perusahazn dan institusi pendidikan di Hyderabad, India, ditutup.

Lapan belas tahun lalu, Masjid Babri yang didirikan pada abad ke-16 dihancurkan oleh militan Hindu yang mendakwa tapak tempat tegak Masjid Babri itu merupakan salah satu kuil suci Hindu. Kuil yang terletak di negara bahagian Uttar Pradesh itu didakwa sebagai tempat kelahiran Dewa Ram.

Pada 30 September 2010, Mahkamah Tinggi India memutuskan tapak Masjid Babri dibahagi tiga untuk pembangunan kuil dan Masjid Babri. Satu untuk kuil Dewa Ram Lalla, satu untuk Nirmohi Akhara, dan satu untuk Dewan Wakaf Masjid Babri.

Keputusan itu dibuat untuk memuaskan tuntutan kaum Hindu dan Muslim, namun ditentang oleh kedua-dua puak tersebut yang membawanya ke mahkamah agung. (IH)

Pinjaman Islamik, 'Senarai hitam bank' Pun Boleh?

TAKTIK BARU...iklan along yang menawarkan pinjaman Islamik.
Iklan along yang menawarkan pinjaman Islamik.

SUNGAI BULOH 8 DIS 10: Bosan dengan taktik promosi pinjaman lama, peminjam wang haram atau along kini beralih arah kepada sistem ‘Pinjaman Islamik’ bagi menambat kepercayaan pelanggan, sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘bank segera’. Lapor myMetro Online.

Taktik terbaru itu dikesan di sekitar bandar ini apabila terdapat iklan dan risalah mengenai kegiatan terbabit ditampal di pokok dan papan tanda. Modus operandi baru yang mengelirukan itu dikesan apabila iklan yang kononnya berbentuk pinjaman Islamik diberikan syarat pinjaman mudah dengan hanya menelefon nombor yang tertera dan akan menerima bayaran dengan cepat.

Antara syarat yang ditetapkan along terbabit antaranya pinjaman itu terbuka kepada kakitangan awam, badan berkanun atau swasta, proses pinjaman adalah melalui bank serta kemudahan pinjaman sehingga RM250,000.

Lebih menarik, mereka yang disenarai hitamkan bank turut layak membuat pinjaman. Panggilan dilakukan Metroplus bagaikan dapat dihidu berikutan seorang lelaki dipercayai konco along terbabit yang menjawab pertanyaan meletakkan telefon selepas musykil dengan soalan yang banyak diajukan.

Tinjauan mendapati, iklan haram yang ditampal pada pokok itu dilekat menggunakan kertas berwarna kuning yang ditutupi plastik dan tertera nombor telefon bimbit along terbabit.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Yazit, 39, berkata bandar Sungai Buloh tidak terlepas menjadi mangsa pemasang iklan haram sehingga mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan. Katanya, tindakan melampau pengiklan yang mahu mengejar keuntungan tanpa menggunakan modal itu perlu dihentikan kerana ia bukan saja menyusahkan orang awam, malah menjatuhkan imej bandar berkenaan.

“Mereka bertopengkan sistem pinjaman Islamik supaya dapat mengaburi mata pelanggan dan mungkin juga pihak berkuasa. Banyak iklan pinjaman wang haram ini sudah luntur dakwatnya dan hampir terkoyak.

Yazit berkata, kegiatan memasang iklan pinjaman haram terbabit semakin berleluasa kerana lebih banyak iklan ditampal setiap kali ia ditanggalkan pihak berkuasa. “Jika ditanggalkan pada sebelah petang, keesokan paginya, pasti lebih banyak iklan ditampal di tempat sama,” katanya.

Pelajar sebuah kolej swasta, Zaharah Nordin Zakaria, 24, pula berpendapat masyarakat perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membolehkan mereka bertindak segera.

“Orang ramai perlu mengadu dan jika sudah mengadu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tak ambil peduli, sekurang-kurangnya kita sudah tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Hal selebihnya terpulang kepada PBT untuk melaksanakan peranan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata sebanyak 35,000 iklan haram sudah diturunkan MBSA sejak Januari hingga Oktober lalu.

“Di Sungai Buloh saja, kami menurunkan 4,500 iklan haram seperti iklan lelongan bank, khidmat perubatan tradisional, pinjaman wang dan ubah suai rumah melalui beberapa operasi secara berkala yang dilakukan pejabat cawangan MBSA kami di sana.

“Perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan banyak masalah seperti mengganggu dan menghalang pandangan jika iklan di tampal di papan tanda jalan. Oleh sebab itu kami akan terus memerangi kegiatan ini,” katanya.

Menurutnya, pihak yang menggantung aktiviti itu boleh dikenakan tindakan Undang-Undang Kecil Iklan MBSA 2007. Justeru itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya tidak membuat tampalan iklan sesuka hati mereka tetapi sebaiknya memohon permit dari jabatan pelesenan sebelum menggantung iklan atau kain rentang yang mempromosikan produk mereka. (Sumber: myMetro/AK)

Maklumat Sulit, Tetapi Ditangkap Kerana Rogol

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange (dalam bulatan) menaiki kereta ke Mahkamah Majistret Westminster, Lon don semalam.
Pengasas WikiLeaks ditangkap

London 8 DIS 10: Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange ditangkap polis Britain semalam dengan menggunakan waran tangkap pihak berkuasa Sweden pada 18 November lalu kerana disyaki terbabit dalam jenayah rogol wanita di Sweden.

Assange yang berusia 39 tahun dan berasal dari Australia menyerah diri di sebuah balai polis di sini.

Dia ditangkap selepas lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) didedahkan di laman webnya.

Pendedahan itu mencetuskan kekecohan kepada dunia kerana maklumat sulit tersebut melibatkan tingkah laku para pemimpin dunia selain perancangan rahsia beberapa buah negara.

Laman web WikiLeaks turut menjadi sasaran penggodam bagi mengelak orang ramai mengakses laman itu untuk membaca kandungan maklumat sulit tersebut.

"Assange ditangkap oleh polis London pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan dengan menggunakan waran tangkap Eropah (Sweden) dan dia dihadapkan ke mahkamah Majistret Westminster di London (semalam)," kata satu kenyataan polis London.

"Dia dituduh pihak berkuasa Sweden berhubung satu kesalahan melakukan paksaan, dua kesalahan mencabul dan satu kesalahan rogol, semuanya didapati dilakukan pada Ogos 2010," tambah kenyataan sama.

Bekas penggodam komputer itu yang kali terakhir muncul di khalayak pada November lalu menafikan semua tuduhan ke atasnya.

Dia memberitahu, semua tuduhan tersebut berpunca daripada satu pertelingkahan berhubung seks suka sama suka melibatkan dirinya dengan dua wanita selain mempunyai motif politik.

Assange kini terpaksa bergelut dengan sistem perundangan Britain bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.

Beberapa peguamnya berkata, Assange seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada dihantar pulang ke Sweden kerana bimbang dia akan diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang berada di Afghanistan semalam menyifatkan penangkapan itu sebagai 'berita baik'.

Sementara itu dalam satu kenyataan di laman sosial Twitter, WikiLeaks menyatakan: "Penangkapan ketua pengarang kami, Julian Assange pada hari ini tidak akan menjejaskan operasi kami, kami akan terus mendedahkan lebih banyak kabel diplomatik pada malam ini seperti biasa." - AgensI

Lihat sebelum ini..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails