Friday, October 23, 2009

Jurang PAS-UMNO Asalnya Diketuai Abu Jahal -Nik Aziz

KOTA BHARU, 23 Okt: Kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan yang kini sudah menjangkau 19 tahun mendapat ucapan tahniah daripada Datuk Norzula Mat Diah (BN-Paloh) dan berharap kerajaan dapat mempertingkatkan usaha mencari pelbagai sumber pendapatan baru.

Beliau berkata sedemikian ketika membahas ucapan titah Pemangku Raja semalam. Norzula juga berkata sehingga kini terlalu banyak jurang diadakan dalam usaha untuk merapatkan hubungan dua hala yang sebaik mungkin di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Sementara itu, PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak pernah membina jurang dengan mana-mana parti di negara ini khususnya dengan Umno dan Barisan Nasional (BN). Sebaliknya, pihak lawan yang telah menciptakan jurang pemisah antara pejuang parti Islam itu dengan pihak mereka.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perpecahan telah berlaku sejak zaman Rasulullah apabila kumpulan penentang diketuai Abu Jahal bertindak mewujudkan persengketaan dengan pengikut Islam. "Perpecahan serta jurang telah wujud di zaman Rasulullah sebagaimana yang diciptakan oleh Abu Jahal yang memusuhi Islam dan bukannya Nabi Muhammad.. Begitu juga sekarang ini, bukannya PAS yang memisahkan jurang, sebaliknya pihak mereka (Umno dan BN) yang memisahkan ruang pendekatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menggulung perbahasan menyokong titah ucapan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sewaktu merasmikan pembukaan persidangan Dun Kelantan (Belanjawan). Kenyataan itu juga sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua Pembangkang yang mengingatkan kerajaan supaya tidak mewujudkan jurang antara kerajaan negeri dengan pihak mereka.

Beliau juga kesal jalinan kerjasama antara PAS-DAP sering dikritik khususnya oleh pemimpin Umno akibat tidak senang dengan perkembangan itu. "Kerana semakin menerima perjuangan PAS, pemimpin DAP telah menjemput saya pergi menyampaikan ceramah di tempat mereka, namun Umno tidak pernah berbuat demikian," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, selagi wujud halangan serta sekatan dari mereka yang tidak bertanggungjawab, selagi itu hasrat untuk memberi penerangan tentang Islam kepada golongan terbabit tidak akan berjaya. (2MA)

Kelantan Catat Negeri Pertama M'sia Bebas Rasuah?


KOTA BHARU, 22 Okt: Kelantan berkemungkinan besar akan mencatat rekod sebagai negeri pertama di Malaysia yang bebas daripada rasuah dalam tempoh 19 tahun pemerintahan PAS iaitu bermula pada tahun 1990 sehingga sekarang.

Bermula daripada wakil rakyat, anggota exco sehinggalah kepada menteri besar,tidak pernah tercatat rekod berkaitan rasuah di Kelantan. Berbeza dengan negeri-negeri lain yang pemimpin-pemimpin politiknya seringkali disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salahguna kuasa.

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun pihak-pihak tertentu berusaha untuk memburuk-burukkan wakil rakyat PAS, namun semuanya gagal. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pin Gambar Nabi, Jangan Sampai Masuk M'sia.

Pin gambar Nabi Muhammad

PIN yang mempunyai gambar lelaki yang disebut sebagai Nabi Muhammad beredar di Makassar, Sulawesi. Peredaran pin ini meresahkan masyarakat, khususnya umat Islam. Pin tersebut pertama kali ditemui oleh seorang anggota Forum Komunikasi Muslimah Makassar. Pin tersebut milik kepada seorang wanita bernama HDY (samaran).

Namun HDY mengaku, dia bukan pemilik pertama benda tersebut. Pin itu dibelinya dengan harga Rp 20 ribu (RM7.19) dari seorang wanita bernama MAR. HDY dan MAR selama ini memang kawan perniagaan busana Muslimah. Pin yang menggemparkan itu berbentuk bulat, berdiameter sekitar 5 cm dan berwarna asas hijau muda. Pada pin itu, gambar wajah jejaka yang disebut sebagai Nabi Muhammad sangat tampan.

Hidungnya mancung dengan bibir yang tidak tipis atau tebal. Alisnya juga tebal rapi. Demikian pula matanya yang berwarna cokelat. Kepalanya tertutup serban putih bergaris-garis hijau. Di sebelah telinga kanan terlihat gulungan serban yang menyerupai kembang.

Gambar hanya tampak sampai leher saja. Di bawah gambar, ada tulisan Arab berbunyi Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Alihi Wassalam. Tulisan Muhammad Rasulullah berhuruf besar. Hampir sepuluh kali lebih besar dibandingkan tulisan Sallallahu Alaihi Wa Alihi wa Sallam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Pihak bertanggung jawab perlu ambil perhatian, mengawasi supaya tidak menimbulkan kegelisahan dan meresahkan umat Islam. Bukan sahaja di Indonesia bahkan perlu diawasi supaya tidak merembas masuk ke Malaysia atau tersebar negara-negara lain di dunia. (2MA)

Thursday, October 22, 2009

Tentera Islam Dalam Tentera Israel, Sama Dengan M'sia?

DALAM tentera negara Israel ada tentara Islam. Mereka adalah Muslim Badui yang juga ikut mengangkat senjata memerangi saudara-saudara se iman mereka di Jalur Gaza dan Tepi Barat dalam operasi tentera Israel. Sebenarnya mereka tidak wajib ikutserta dalam operasi tersebut seperti warga Israel lain yang diwajibkan jadi tentera. Tetapi anehnya ramai Muslim Badui yang secara sukarela daftarkan diri masuk jadi tentera Israel. Mengapa?

Salah seorang Muslim Badui bernama Major Fehd Fallah mengaku amat suka dengan tugasnya sebagai tentara Zionis, walaupun siapa lawan yang perlu dihadapi dalam pertempuran, tak kira samada Islam atau tidak. "Saya buat apa yang diperintahkan dengan penuh yakin demi mengabdikan diri pada negara Israel," ujar Major Fallah pada BBC.

Dia juga ikut bertempur melawan Muslim di Gaza dalam 'Operasi Cast Leads' bulan Januari 2008 lalu. "Dan saya sedia bertempur lagi jika diperintahkan. Orang Islam di Israel yang tidak mahu jadi tentera Israel sepatutnya malu kerana tidak mengabdi diri pada negaranya," kata Fallah buat mudah. Orang-orang Badui Israel majoriti beragama Islam dan berbahasa Arab. Mereka adalah orang-orang nomaden yang hidupnya berpindah-pindah tempat dan dulunya menjadi sebahagian dari masyarakat Palestin.

Tetapi sekarang, kebanyakan Muslim Badui itu lebih bangga menjadi sebahagian masyarakat Israel dan bangga disebut orang Israel. Kerjasama kaum Yahudi dan suku Arab Badui dikatakan sudah terjalin sejak sebelum tegaknya negara haram Israel 1948 lagi. Bermula sejak1946 ketika pemimpin Arab Badui, Abu Yusuf Al-Heib mengirimkan lebih dari 60 orang-orangnya untuk membantu pasukan Zionis bertempur melawan orang-orang Arab di Galilea.

Kesetiaan Arab Badui pada Zionis masih tercermin pada sikap Major Fallah yang hingga kini lebih selesa guna bahasa Ibrani dibandingkan bahasa ibundanya, bahasa Arab. Di desa-desa suku Badui terutama di wilayah utara Israel, menjadi tentara Israel rupanya sudah menjadi semacam tradisi keluarga. "Menjadi tentara Israel sudah menjadi warisan turun temurun dari satu generasi ke generasi dalam keluarga saya. Ayah dan nenek saya juga mantan tentara Israel," kata Major Fallah.

Pihak tentera Israel tidak mahu memberi data-data jumlah orang non-Yahudi yang menjadi tentara Israel. Mereka hanya mengatakan, setiap tahun ada ratusan Muslim, Kristian dan kalangan Druze yang mendaftarkan diri dan jumlahnya terus meningkat pasca serangan ganas Israel ke Jalur Gaza 2008.

Kolonel Ahmed Ramiz, seorang Druse, adalah komandan yang bertanggung jawab untuk kelompok minoriti dalam tentera Israel. Menurutnya, khas untuk Muslim di Israel tidak wajib, demi hindarkan konflik! Walaupun begitu, kalau mereka mahu mereka dibolehkan bekerja di semua unit tentera termasuk pasukan elit.

Menurut Maher seorang Muslim Badui, ia mendaftar jadi tentara Israel kerana mudah dapat kerja. Kini ia bekerja sebagai guru sukan sambilan, yang sebelumnya bekerja di unit pendidikan tentera Israel. "Ketika saya dalam tentera, mereka kata saya akan mudah dapat kerja kalau pernah jadi tentara. Saya cuba minta kerja tapi tidak mudah juga. Mereka yang Muslim tidak mahu terima saya kerana saya pernah menjadi tentara Israel, sedangkan orang Yahudi lebih senang beri kerja pada sesama Yahudi," keluh Maher.

Ia merasa terperangkap jadi askar Israel. Meskipun pihak Israel kata tidak wajib bagi non-Yahudi, tetapi kenyataannya non-Yahudi dan Muslim mesti pilih antara jadi tentera atau bukan tentera, supaya mereka tetap dapat bantuan pendidikan atau bantuan sosial untuk keluarga mereka.

Maher mengaku perlu hindari dari pakai pakaian seragam tentara Israel jika berada di desa-desa Arab yang penduduknya bukan Arab Badui, agar tidak dicemuh atau diancam sebagai pengkhianat. Kerana itu, keluh Maher serba salah, "Mengabdi pada Israel, dihina. Tidak mengabdi juga dihina."

Komen Blog Ibnu Hasyim: Perasaan serbasalah begitulah juga berlaku di kalangan tentera-tentera dan polis di dalam negara orang Islam yang tidak mahu melaksanakan perundangan Islam. Apalagi bila negaranya terpaksa berlawan atau berperang dengan negara Islam atau negara orang Islam, yang bukan dengan kehendak agama Islam sendiri. Apalagi, kalau negara umat Islam itu menindas umat Islam yang mahu kepada sebuah negara Islam, iaitu ingin mengamal ajaran agama Islam di dalam negaranya sendiri.

Kerana itu negara sekutu dan talibarut Israel termasuk AS sentiasa melebelkan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia sebagai pengganas, untuk menghilangkan rasa serbasalah negara umat Islam menentang agamanya sendiri. Lihat saja Afghanistan, Pakistan, Palestin di bawah Mahmud Abbas dan banyak lagi. Bagaimana Malaysia semasa 'Peristiwa Pembunuhan Di Memali' atau lain-lainnya? Cinta kepada negara keterlaluan melebihi cinta kepada Allah dan Rasul juga adalah juga projek Negara Israel menundukkan tentera-tentera Islam dalam tenteranya. Itu jugakah yang dipaksakan perlaksanaannya dalam negara umat Islam seperti Malaysia? Asobiah jugakah itu? (Berbagai sumber/IH)

Kepincangan BN Mengurus Negara -YB Khalid Samad

Oleh YB Khalid Samad.

OKT 22 — Mesyuarat ketiga, Penggal kedua, Dewan Rakyat ke 12 telah bermula pada hari Isnin, 19 Okt yang bakal menyaksikan berbagai lagi kepincangan kerajaan BN dalam mengurus tadbir negara kita ini. Sehubungan dengan itu, saya ingin mulakan dengan mengulas jawapan yang telah pun diberikan oleh dua Kementerian yang berikut.

Pertama: Jawapan TPM berhubung rasionalnya mengapa kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk menukar semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Beliau menjawab — perlu membuat kajian serta menentukan tenaga guru mencukupi, terlatih dan sebagainya.

Tetapi persoalannya, dahulu apabila melaksanakan PPSMI, mengapa tidak dilakukan sedemikian? Buat kajian terlebih dahulu, tentukan tenaga pengajar mencukupi dan begitu juga kemahiran yang berkaitan. Ini tidak, main rempuh sahaja walaupun ramai yang membantah. Dalam melaksanakan satu dasar dan kaedah yang baru, sudah semestinya dasar dan kaedah tersebut memerlukan kajian dan persiapan yang teliti. Kaedah kerajaan BN seperti biasa, terbalik! Apabila ingin laksanakan dasar baru tiada kajian dan persiapan yang teliti. Tetapi, apabila menukar kembali ke dasar yang asal, perlu kajian dan persiapan yang teliti!

Berkenaan soalan tambahan mengenai apa jaminan kerajaan tidak akan kembali kepada dasar PPSMI atau yang seakannya dan seterusnya mengabaikan Bahasa Malaysia, TPM telah menjawab bahawa status Bahasa Kebangsaan dijamin dalam Perlembagaan negara.

Tetapi apa yang lebih merisaukan banyak pihak ialah status Bahasa Kebangsaan telah pun dijamin dalam Perlembagaan sejak dari dulu lagi. Namun perkara ini tidak menghalang kerajaan BN melaksanakan satu dasar yang jelas bercanggah dengannya! Atau apakah mungkin TPM baru sahaja sedar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan?

TPM seterusnya menyebut bahawa yang penting ialah persoalan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris tanpa menjejaskan status dan penggunaaan Bahasa Kebangsaan. Maka jelaslah bagi beliau, ini masih lagi merupakan satu persoalan yang beliau sendiri tidak tahu cara mengatasinya. Jawapan sebenarnya mudah sahaja. Bukan dengan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris!

Jika kita ingin meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, maka perlulah belajar bahasa Inggeris. Kita mengajar Sains dan Matematik untuk anak-anak kita faham Sains dan Matematik. Oleh itu perlu mengajar mata pelajaran ini di dalam bahasa yang mereka mudah fahami. Bukan dalam bahasa yang kita sendiri mengakui bahawa pelajar lemah penguasaannya.

Kedua: Jawapan Timbalan Menteri berhubung perlanjutan perkhidmatan Ketua Polis Negara yang menyebut prestasi KPN amat memuaskan. Sebenarnya prestasi KPN memuaskan hanya dari persepsi BN. Kadar jenayah dikatakan meningkat dan banyak persoalan berhubung penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran dan pengurusan beliau masih tidak terjawab.

Status rasuah dalam Institusi PDRM diketahui dan diakui umum. Ini masih tidak berubah. Biasanya dalam menangani masalah rasuah, orang nombor satu institusi terlibat perlu dipertanggung jawabkan tetapi di bawah kerajaan BN sebaliknya yang berlaku. Setelah pendedahan dibuat oleh sebuah Suruhan Jaya Di Raja sekalipun, namun tiada apa-apa tindakan yang bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Hakikatnya, walau sejelas mana sekalipun kegagalan KPN tersebut, KPI yang terpenting dalam pertimbangan kerajaan BN ini adalah kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada perintah dan arahan yang diberikan oleh kerajaan BN itu sendiri. Itu sahaja. — khalidsamad

Kontraversi Prof Aziz Bari: Kritikan Terhadap Pemimpin PAS?

Pengajaran dari Bagan Pinang
Oleh Prof ABDUL AZIZ BARI
Tenaga pengajar undang-undang di UIAM, Gombak.


PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang berlangsung, 11 Oktober lalu, sudah pun diketahui keputusannya. Kemenangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Samad memang dijangkakan meskipun kegagalan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar, untuk mengurangkan undi majoriti Barisan Nasional (BN) agak memeranjatkan.

Pelbagai analisis dibuat dan saya tidak mahu menambah apa-apa. Saya sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting daripada sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya. Hal-hal ini penting kerana selain menjadi tema dan mauduk utama ruangan ini, itu semua penting dalam membina sebuah Malaysia yang adil, telus dan sistematik walau siapa dan apa pun warna politik kita. Saya ada menyebut betapa kewujudan sebuah sistem dua parti yang mantap penting bagi memperkasa ideal perlembagaan kita. Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.

Berbalik kepada Bagan Pinang apa yang kita lihat ialah betapa wakil rakyat – yakni Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – pada hakikatnya dianggap sebagai 'pegawai kebajikan'. Walaupun ini tidak salah tanggapan dan imej memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan peranan wakil rakyat berkenaan dan kualiti dewan perundangan kita. Dan seterusnya ini memberi kesan langsung kepada kualiti undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kita. Begitu juga dengan fungsi dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.

Ada kemungkinan pengundi dalam DUN Bagan Pinang, kerana ia adalah pilihan raya kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Negeri, mahu mengingatkan Pakatan supaya lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada masalah dan kebajikan rakyat. Ada pihak yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Teluk Kemang yang merangkum DUN berkenaan gagal memainkan peranan. Ini mungkin benar. Tetapi apakah ini cukup kuat untuk mereka memenangkan calon Barisan yang diketahui korup, yang hanya dikatakan ‘teknikal’ oleh pemimpin utamanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tidak suka calon itu meskipun selepas keputusan diumumkan Mahathir berubah dan turut bergembira dengan keputusan di Bagan Pinang itu.

Keputusan pilihan raya kecil itu menyebabkan sesetengah pihak kesal dan sedih kerana kemenangan besar itu menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon. Apatah lagi mengingat bahawa calon Pas adalah seorang yang begitu aktif dalam isu-isu umum, termasuk alam sekitar dan kes pelupusan sampah Broga. Dalam pada itu sebagaimana di tempat-tempat lain khidmat Barisan bukanlah sempurna, di sana sini banyak juga kegagalan dan kelemahan pentadbiran Mohd Isa sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Begitu juga dengan pentadbiran sekarang di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan.

Hal ini memberi gambaran bahawa kemenangan besar Barisan itu adalah kerana kawasan itu memang kubu UMNO. Sebab itulah ada pihak yang berkata bahawa parti itu tidak harus terlalu seronok kerana apa yang terjadi di Bagan Pinang itu tidak semestinya aliran umum yang akan mendominasi politik negara.

Walau apa pun imej Pakatan yang dipaparkan dalam media yang dikuasai Barisan juga tidak membantu. Imej yang dipaparkan membayangkan betapa gabungan ini rapuh dan tidak berupaya mengambil tempat Barisan. Secara kebetulan itulah kesimpulan yang dibuat oleh Merdeka Center dalam tinjauan lapangan yang diselesaikannya pada awal bulan ini: sekitar 43 peratus dari pengundi berdaftar yang diselidikinya tidak yakin kepada kemampuan Pakatan untuk memerintah di peringkat persekutuan.

Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali atau menyingkirkannya terus. Dalam beberapa portal berita Hasan dilihat sebagai liabiliti kepada Pakatan umumnya dan Pas khususnya. Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.

Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pas. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan salah Hasan itu secara terbuka. Tindakan dan perangai Hasan itu memang pelik kerana adalah mustahil seorang pegawai tadbir beliau tidak faham konsep tanggung jawab bersama dan bezanya dengan kedudukan penyokong kerajaan.

Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam Pas yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti. Secara perlahan-lahan lulusan syariah Universiti Al-Azhar dan sarjana undang-undang perbandingan Universiti Kent itu mula dilihat sebagai mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.

Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda Pas dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi Pas di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu. Ini menyedihkan kerana selain pernah memerintah dari 1999-2004 Pas juga mentadbir negeri itu dari 1959-1961.

Perubahan kepemimpinan penting bukan saja untuk Pas, tetapi juga dalam konteks mereformasikan sistem kita. Perubahan mendasar hanya akan berlaku sekiranya ada kerajaan baru di peringkat persekutuan. Kita semua maklum Barisan tidak akan berbuat apa-apa kepada SPR dan undi pos umpamanya. Begitu juga dengan kedudukan perkhidmatan awam umumnya dan pasukan polis khususnya. Perubahan-perubahan ini amat penting jika kita mahu Malaysia membuat perubahan sebagaimana yang mula kelihatan di Indonesia selepas dua penggal Susilo Bambang Yudiyono memimpin negara. Jika tidak kita akan terus ketinggalan dan menggigit jari.

Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika Pas kekal dengan kapten yang ada ini mungkin akan berkurang. Sejumlah 21 peratus pengundi yang masih berada di atas pagar kemungkinan besar akan berpihak kepada BN dan untuk memperkasa demokrasi di Malaysia akan gagal lagi.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Reaksinya, sila lihat Harakah, antaranya.. Terima kasih Prof Aziz Bari atas kritikan anda oleh Mohamed Hanipa Maidin (Sumber: Sinar Harian, Harakah dll /2MA)

Gigit Polis Hilang Kelayakan Ahli Parlimen? -YB Tian Chua

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas ahli parlimen Batu, Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas. Laporan Malaysiakini hari ini.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Jika Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu. Sebelum ini, Majistret Mohd Faizi Che Abu mendapat Tian Chua bersalah terhadap tuduhan tersebut. Katanya, beliau mendapati Tian Chua bukan saksi yang berwibawa kerana pembelaannya hanya merupakan penafian semata-mata.

Malah, kata Mohd Faizi, rakaman video yang dikemukakan oleh pihak tertuduh menunjukkannya menghalang dirinya ditangkap. Katanya, walaupun rakaman video tersebut tidak menunjukkan berlakunya pelakuan menggigit, tetapi beliau percaya ia berlaku kerana anggota polis berkenaan memberi keterangan bahawa beliau menumbuk tertuduh dan Tian Chua bertindak balas dengan menggigit.

Mohd Faizi juga berkata, bukan anggota polis tersebut yang dibicara tetapi tertuduh yang menghadapi perbicaraan. Katanya, beliau mendapati kewibawaan anggota polis itu tidak terjejas kerana beliau mengaku, dalam keterangannya, telah menumbuk Tian Chua. Dalam reaksinya, Tian Chua berkata beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Katanya, ia tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku. Tian Chua mendakwa hukuman tersebut adalah untuk menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen. "Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," katanya.

Tian Chua, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007. Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur. Pada 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali. Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal. Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. (Malaysiakini/AK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails