Thursday, August 18, 2022

Indonesia sambut Hari Kemerdekaan di ibu kota baharu

 

Lokasi menaikkan bendera sempena Hari Kemerdekaan Ke-77 Indonesia di ibu negara baharu republik itu di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur. - Foto AFP

1. Indonesia sambut Hari Kemerdekaan di ibu kota baharu

SEPAKU: Indonesia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan buat pertama kalinya di hutan hujan purba di timur Borneo yang bakal menjadi ibu kota baharu negara itu pada masa akan datang.

Negara itu merancang untuk meninggalkan Jakarta yang kini terlalu padat, sesak dan semakin tenggelam.

Ibu kota yang bakal menjadi pusat politik baharu negara keempat terbesar di dunia itu akan dibangunkan di Nusantara, yang terletak 2,000 kilometer (km) dari Jakarta.

Ia adalah projek yang menjadi legasi kepimpinan Presiden Joko Widodo.

Projek itu bagaimanapun menerima tentangan daripada aktivis alam sekitar yang memberi amaran ia boleh mempercepatkan kemusnahan hutan tropika yang menjadi rumah kepada habitat hidupan liar seperti orang utan.

Namun, kerajaan sedang bersedia untuk meningkatkan projek infrastruktur di kawasan Pulau Borneo itu, membabitkan kira-kira 56,180 hektar sebelum tempoh pentadbiran Widodo berakhir, dua tahun lagi.

Ketua Pihak Berkuasa Ibu Negeri, Bambang Susantono, yang akan mentadbir bandar baharu itu, berkata Indonesia memanfaatkan semangat kemerdekaan ini untuk menjayakan pembukaan kota berkenaan kelak.

"Pengisian utama (majlis) adalah untuk mengambil semangat Hari Kemerdekaan ke-77 untuk mengukuhkan azam dan semangat kami bagi membina ibu kota baharu," katanya.

Selepas bendera kebangsaan dikibarkan, pekerja di tapak pembangunan ibu kota baharu itu bersorak dengan melaungkan 'bersedia untuk membangunkan Nusantara'.

Menurut sumber pegawai kerajaan, ibu negara baharu itu akan mengambil masa beberapa dekad untuk disiapkan sepenuhnya sebelum boleh didiami sehingga dua juta penduduk, sekali gus membantu menyebarkan pertumbuhan ekonomi ke wilayah yang kurang membangun.

Jakarta didiami kira-kira 30 juta penduduk dan sudah lama dibelenggu dengan masalah infrastruktur serius dan banjir yang diburukkan oleh perubahan iklim.

Bandar itu dikesan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setahun di beberapa kawasan iaitu dua kali ganda lebih cepat daripada purata global untuk bandar pantai utama.

Sesetengah pakar meramalkan satu pertiga daripada megalopolis itu mungkin berada di bawah air menjelang 2050. - AFP


2. Nusantara bakal mengubah ekonomi  

gambar fail menunjukkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (kiri) ketika lawatannya ke daerah Penajam Paser Utara dekat Sepaku, Kalimantan Timur, di mana kerajaan mahu membangunkan ibu negara baharu menggantikan Jakarta. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan aspek pembangunan ibu negara baharu, Nusantara, akan mengimbangi asas ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, projek itu melambangkan perjuangan Indonesia bagi mewujudkan negara yang memegang prinsip keadilan sosial kepada seluruh rakyat Indonesia.

"Transformasi besar pemindahan ibu negara ini bukan semata-mata memindahkan Jakarta, tetapi untuk menjadikannya negara yang berdikari dengan ekonomi kukuh.

"Sebab itu, kita juga melakukan proses transformasi ekonomi secara besar-besaran dengan mengubah jati diri sebagai negara pengeksport bahan mentah menjadi negara perindustrian," katanya. 

Awal tahun lalu, Jokowi memutuskan pemindahan ibu negara baharu ke Kalimantan Timur dinamakan sebagai Nusantara yang melambangkan Indonesia.

Nusantara adalah langkah Indonesia dalam membangunkan peradaban baharu yang lebih transformasi, mencerminkan keperibadian rakyat negara ini dan mampu bersaing secara global.

Nama Nusantara bagi menggantikan Jakarta itu bersesuaian dengan geografi dan kepelbagaian budaya yang dimiliki negara itu.

Kos pemindahan pusat pentadbiran itu akan membabitkan kos sekitar AS$33 bilion (RM138 bilion), yang mana negeri akan membiayai 19 peratus dan selebihnya daripada perkongsian awam-swasta serta pelaburan swasta.

Kos itu termasuk pejabat dan rumah kerajaan baharu untuk kira-kira 1.5 juta penjawat awam, di ibu kota baharu yang akan meliputi kira-kira 56,180 hektar bahagian timur pulau Borneo, yang dikongsi negara itu dengan Malaysia dan Brunei.

Bagaimanapun, projek itu menghadapi halangan dengan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar selain kontroversi selepas pelabur SoftBank Group, menarik diri daripada projek itu tanpa penjelasan.

Jokowi mengumumkan rancangan untuk memindahkan ibu negara pada 2019, memetik peningkatan paras air laut dan kesesakan teruk di pulau Jawa yang padat penduduk.

Langkah itu dijangka bermula pada 2024, tetapi beliau memberi amaran projek itu mungkin mengambil masa lebih sedekad untuk diselesaikan.

Indonesia bukanlah negara pertama di Asia Tenggara yang menempatkan semula ibu kota yang padat, berikutan Malaysia dan Myanmar turut memindahkan pusat pentadbiran mereka.

Pertengahan bulan ini, Jokowi bersama gabenor seluruh Indonesia melakukan upacara Kendi Nusantara sebagai simbol harapan terhadap ibu kota negara (IKN) baru di Sepaku, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.

Dalam upacara yang dilakukan di titik kosong, IKN Nusantara, 34 gabenor diminta membawa satu liter air dan dua kilogram tanah dari daerah masing-masing.

Air dan tanah itu disatukan dalam kendi besar yang disebut bejana Nusantara, yang menjadi simbol titik awal pembangunan IKN Nusantara dengan menyatukan 34 provinsi di Indonesia menjadi satu tanah air. - AGENSI

Sila lihat..

Kaitan Industri cendawan 

PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails