Thursday, December 25, 2014

Gerakkan Turun Bantu Mangsa Banjir -Presiden PAS

Oleh
DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Tuan Guru Abdul Hadi diiringi Adun Chukai, Hanafiah Mat melawat kawasan yang dilanda banjir di Kemaman.


BANJIR besar yang sedang melanda kebanyakan negeri ketika ini terhasil dari banyaknya taburan hujan dan tiupan angin monsun. Ia adalah sunnatullah ke atas alam ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
  • "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (al-Mukminun: 18)
Demikian itu perlu kita mengimani, bahawa situasi yang sedang berlaku ini adalah dengan pengetahuan dan kekuasaan-Nya. Allah sedang menguji kita dengan curahan bermanfaat berupa rahmat dan rezeki. Dia juga sedang menguji keutuhan iman kita dengan melandakan sedikit kesukaran yang pasti Dia akhiri tempoh ini.

Maka kita sebagai hamba-Nya, wajib mensyukuri, berdoa dan bersabar untuk menerima atau menghadapi semua ketentuan ini. Firman-Nya yang bermaksud:
  • "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta kepada-Nyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai terhadap perbuatan yang kamu lakukan." (Hud: 123)
PAS merakamkan simpati terhadap situasi yang sedang dihadapi kebanyakan penduduk di daerah banjir. Situasi sukar bersifat sementara yang menguji kemampuan ini wajib dihadapi dengan sabar. Dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga ini, PAS menasihati untuk saling tolong-menolong dan cakna antara satu sama lain serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

Jentera PAS di semua peringkat sedang digerakkan bagi menghulur bantuan sedaya termampu. Kita berharap ia diterima seadanya. PAS juga dengan ini mengarahkan seluruh jenteranya untuk meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan memberi khidmat dengan ikhlas serta kesantunan berhemah.

Kepada seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan, PAS meminta agar urusan bantuan dilaksanakan dengan penuh amanah dan adil tanpa menghitung latar belakang politik. Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi Allah kelak.

Kepada Kerajaan Persekutuan, saya mengesyorkan agar diumum peruntukan khas bagi setiap keluarga dan individu mangsa banjir khususnya para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Tuan Guru Abdul Hadi diberi penjelasan berhubung situasi satu kawasan banjir di Kemaman.
Tuan Guru Abdul Hadi meninjau pantai Kampung Geliga, Kemaman yang dilanda air pasang besar.
MENTERI Besar Kelantan, Ahmad Yakob (tiga dari kanan) memunggah barang makanan ke dalam bot untuk diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pasir Pekan Hilir, Tumpat semalam.

Keadaan banjir di Kelantan bertambah buruk apabila jumlah penduduk yang dipindahkan terus meningkat kepada 26,876 orang setakat pukul 9 malam tadi berbanding 21,594 mangsa kelmarin.
Menurut portal banjir kerajaan negeri, jumlah mangsa banjir tersebut membabitkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Jajahan Pasir Mas paling terjejas apabila menyaksikan seramai 6,641 orang dipindahkan di 30 buah pusat pemindahan diikuti jajahan Gua Musang 7,385 orang yang kini ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan.

Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan  kesesakan lalu lintas.  Mula melimpah. Air Sungai Kelantan melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah di bandar ini sejak awal pagi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails