SIAPA yang menyatakan Umno tidak inginkan faedah
politik dalam isu hudud adalah mereka yang naif dalam politik. Umno
adalah parti yang boleh berlakon di sebelah pagi menyokong hudud dan di
sebelah petang menentang pula hudud.
Adakah Umno benar-benar
serius dalam isu hudud ini. Untuk kenal sikap Umno, kita bandingkan dulu
sejarah PAS dan Umno dalam isu hudud ini. Dari sejarah ini kita boleh
buat kesimpulan siapakah yang lebih serius dan ikhlas dalam isu hudud
ini.
Kita pergi dulu kepada PAS. Terdapat dua Kerajaan Negeri
yang dikuasai PAS dan pernah dikuasai PAS iaitu Kelantan dan Trengganu.
Kedua-dua negeri ini telah menjalankan tanggungjawabnya menggubal
enakmen syariah yang merangkumi undang undang hudud. Bagi Kelantan,
setiap tahun mereka menyambut Hari Hudud bagi menerangkan tentang hukum
hudud.
Berapa ramai pemimpin PAS di seluruh peringkat yang
berceramah, berforum, berseminar tentang hudud, berdialog dengan mereka
yang faham dan yang tidak faham tentang hudud, berwacana dengan
penyokong dan penentang hudud sejak sekian lama. Malahan penyokong PAS
yang bukan Islam dari Dewan Perhimpunan PAS juga tidak ketinggalan
menyumbangkan tenaga mereka dalam isu hudud ini.
Saya masih ingat
Kerajaan Trengganu di bawah PAS pernah mengadakan seminar dan dialog
dengan pelbagai kumpulan politik dan bukan politik dengan meminta mereka
memberi pandangan dan kritikan terhadap draf enakmen syariah yang PAS
ingin bentangkan dalam DUN Negeri Trengganu. Malahan Umno juga dijemput
meskipun mereka tidak hadir.
Saya juga masih ingat, saya bersama
sama Datuk Wan Mutalib Embung dan Almarhum Datuk Harun Taib pernah
berdialog dengan golongan NGO Wanita termasuk Sisters in Islam di
Century Paradise, Kuala Lumpur berkenaan isu hudud. Hatta PAS juga
berdialog dengan DAP dan golongan bukan Islam dalam isu hudud. Pokoknya
PAS sudah buat apa yang terdaya di dalam kemampuannya mengenai hudud
ini.
Kita lihat pula Umno. Meskipun lama berkuasa tidak pernah
sekalipun mana-mana negeri yang diperintah oleh Umno menggubal jauh
sekali membentang rang undang undang hudud di mana mana DUN yang Umno
perintah. Semua orang tahu meskipun Umno menguasai media massa sama ada
media bercetak dan elektronik, Umno tidak pernah berusaha memberi
penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan dan kelebihan hukum hudud.
Jika dalam kes GST Umno sanggup gunakan segala prasarana berkempen untuk
GST dengan membelanjakan wang berbilion ringgit, Umno sebaliknya tidak
bernafsu untuk berkempen tentang hudud dengan semangat yang sama.
Jika
Umno yang bermajoriti orang Islam tidak terasa terpanggil untuk
menerangkan hudud di televisyen atau di radio yang mereka kuasai, Umno
terpanggil pula menentang dan memperlekeh hudud. Kita boleh bawa banyak
bukti kenyataan kenyataan para pemimpin Umno memperlekeh hudud. Malahan
ada pemimpin Umno yang sanggup mengugut Kelantan dalam isu hudud dan ada
juga bekas pemimpin Umno yang cabar hudud di Mahkamah. Apabila Adun PAS
di Dun Trengganu baru-baru ini membawa usul untuk bincang enakmen hudud
di Trengganu, Kerajaan Trengganu yang dikuasai Umno tolak usul
tersebut.
Umno bukan sahaja gagal berdialog, berseminar,
berwacana bagi menerangkan kebaikan hukum hudud kepada rakyat, malahan
tidak bersungguh memberi penerangan kepada sekutunya MCA atau Gerakan
yang amat bernafsu menghentam hudud dengan sesuka hati. Jika DAP
menentang hudud kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perlembagaan
tanpa menghina hukum hudud, MCA pula memperlekeh hudud sehingga sanggup
untuk menjadi rantai manusia (human chain) bagi menghalang PAS bentang
rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen di Parlimen. Sehingga kini
kita tidak dengar reaksi pemimpin Umno termasuk Presidennya menegur
gelagat MCA dan Gerakan.
Kini secara tiba-tiba Umno mengubah
strateginya dalam isu hudud. Umno sedar isu hudud amat mudah untuk
memecah belah Pakatan Rakyat. Maka Umno tukar skrip dan tukar watak.
Dari watak penjahat kini Umno cuba berwatak hero dalam isu hudud. Ia
semata-mata untuk lariskan tiket wayang. Tetapi masih bermain wayang.
Bukankan parti sekular seperti Umno berpegang kepada motto matlamat
menghalalkan cara.
Adegan pertama watak "hero" Umno dalam wayang
gambar ini adalah mencabar PAS bentangkan rang rang undang persendirian
Ahli Parlimen (private member's bill) bagi memberi laluan kepada
Kelantan untuk laksanakan hudud. Apabila adanya respon dari Kelantan,
maka diteruskan adegan kedua iaitu pemimpin tertingi Umno menziarahi
tokoh PAS. Adegan ketiga watak hero ini adalah mewujudkan Jawatankuasa
Teknikal bersama. Bagaimanapun dalam wayang gambar itu ada juga adegan
si hero membiarkan rakan sekutunya MCA dan Gerakan mengamuk menyerang
PAS dan hudud itu sendiri.
Bagi mereka yang naif politik akan
menyatakan kepada PAS bukankan Umno sudah beri peluang mengapa PAS tidak
gunakan ruang yang diberi. Ya benar Umno beri ruang tapi diberi ruang
yang sempit dengan Umno tinggalkan ruang yang besar. Disuruhnya PAS
memilih jalan yang sempit dan berliku meskipun di sana ada jalan yang
lurus dan lebih selesa.
Menyuruh PAS membentang rang
undang-undang persendirian bagi memberi ruang perlaksanaan hudud di
Kelantan adalah ibarat menyuruh PAS menggunakan jalan sempit dan berliku
kerana proses pembentangan rang undang-undang persendirian berliku-liku
jalannya. Antaranya ia perlu mendapat persetujuan Menteri dan ia juga
tidak boleh mengatasi urusan Kerajaan termasuk usul-usul lain. Prosedur
terperinci boleh dilihat dalam Artikel 67 Perlembagaan Persekutuan dan
Aturan 49 Peraturan Mesyuarat (Standing Orders). PAS pernah melalui
Presidennya bentang rang undang-undang persendirian mengenai murtad
untuk Wilayah Persekutuan, ia bukan sahaja tidak dapat sokongan Menteri
malahan diletakkan di senarai paling bawah dalam aturan mesyuarat
Parlimen.
Mungkin ada yang kata itu dulu, kini Umno dah berubah.
Ya, Umno dan berubah tapi bukan ubah perangai sebaliknya ubah strategi.
Jika ubah perangai paling kurang minta maaf dera rakyat Kelantan selama
ini dan beri wang royalti.
Jika Umno serius dalam membantu
Kelantan kita berhak bertanya mengapakah Umno sendiri enggan membawa
rang undang undang Kerajaan (government's bill) sepertimana rang undang
undang lain yang biasa dibentangkan di Parlimen. Ia lebih mudah dan
Pasti akan berjaya kerana jika undang-undang dibawa oleh Kerajaan ia
wajib disokong oleh semua parti komponen Umno termasuk dari Sabah dan
Sarawak. Maka jika sekalipun DAP dan PKR katakan tidak menyokong ia
masih akan lulus.
Oleh sebab itu, selama ini jika Kerajaan
kemukakan rang undang-undang di Parlimen meskipun dalam perbahasan rakan
sekutu Umno kadangkalan mengkritik rang undang undang itu tapi mereka
akhirnya masih mengundi rang undang-undang itu. Hal ini kerana jika
mereka menolak rang undang-undang yang dibawa oleh Kerajaan akan
berlakunya undi tidak percaya dan mungkin terbubar Parlimen.
Keadaan
yang sama tidak berlaku bagi rang undang-undang persendirian. Jika PAS
yang bawa rang undang-undang persendirian, Umno tidak perlu dan tidak
wajib Pastikan rakan-rakan sekutunya seperti MCA, Gerakan, MIC dan ahli
ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong rang undang undang yang PAS
akan bawa. Maka jika Umno sokong sekalipun rang undang undang itu tanpa
sokongan dari sekutu mereka maka hasrat untuk melihat rang
undang-undang itu diluluskan ibarat kata Mat Sabu seperti menunggu ikan
keli tumbuh sisik.
Di sinilah kita mempunyai 1001 sebab untuk
percaya Umno hanya bersandiwara dalam isu ini. jika Umno serius dalam
isu hudud ini, lupakan rang undang-undang persendirian. Sebaliknya Umno
perlu bawa rang undang-undang Kerajaan yang kamu kuasai maka ketika itu
barulah kewujudan Jawatankuasa Teknikal adalah relevan dan bermakna. (HD)
Lihat sebelum ini..

1 comment:
Tuan,
Tuan Hanipa telah menjelaskan betapa tidak seriusnya UMNO untuk melaksanakan Hudud dengan begitu baik.
Kita kena ambil perhatian yang serius kenyataan Tuan Hanipa ia itu " SIAPA yang menyatakan Umno tidak inginkan faedah politik dalam isu hudud adalah mereka yang naif dalam politik. Umno adalah parti yang boleh berlakon di sebelah pagi menyokong hudud dan di sebelah petang menentang pula hudud."
Hari ini Utusan melaporkan Nik Amar berkata " UMNO tak ada agenda tersembunyi dalam isu hudud".
Nik Amar mengeluarkan k3nyataan bercanggah dari Tuan Hanipa. Saya merasakan ramai orang boleh menerima kenyataan Tuan Hanipa diatas. Tetapi orang ramai meragui k3nyataan Nik Amar yang sebaris itu.
Nik Amar wajar dan mempunyai tanggungjawab untuk memberi hujah-hujahnya kepada ahli PAS terutamanya dan kepada rakyat yang menyokong PAS dalam PRU 13 lalu.
Apatah lagi Nik Amar adalah pemain utama dalam isu Hudud ini bagi pihak kerajaan PAS Kelantan dan parti PAS.
Jangan iku
Post a Comment