Tuesday, May 18, 2021

Buang sisa kumbahan ke parit awam, lori ini ditahan.

 

Lori milik syarikat penyenggaraan sisa enap cemar ditahan ketika buang sisa kumbahan secara terus ke parit awam di Bandar Dato Onn, Johor.

KUALA LUMPUR: Pemandu lori sebuah syarikat penyelenggaraan sisa yang memiliki permit daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ditahan ketika membuang enap cemar atau sisa kumbahan secara terus ke parit awam berhampiran Bandar Dato Onn', Johor Bahru, semalam.

Pengarah Penguatkuasaan SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop, berkata SPAN kini sedang melakukan siasatan berhubung perbuatan itu mengikut peruntukan Kaedah 7 (1) (j) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Permit) 2007.

Beliau berkata, aduan berhubung kejadian itu diterima SPAN dari Balai Polis Bandar Dato' Onn yang membuat penahanan ketika suspek sedang membuang secara terus enap cemar tersebut ke parit awam.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan SPAN Wilayah Selatan hadir ke Balai Polis Bandar Dato' Onn dan dimaklumkan polis sudah menahan suspek bersama lori tangki digunakan bagi membantu SPAN dalam proses siasatan.

"Berdasarkan ciri fizikal lori dipandu suspek, ia disyaki dioperasikan pemegang permit E yang diberi kebenaran oleh SPAN untuk menjalankan perkhidmatan nyah enap cemar dan semakan lanjut melalui sistem e-permit mengesahkan perkara tersebut.

"Sisa kumbahan itu sepatutnya dibuang di pusat rawatan enap cemar kendalian Indah Water Konsortium (IWK) atau mana-mana pusat enap cemar yang mempunyai lesen dari SPAN, tetapi syarikat berkenaan mengambil langkah mudah membuangnya ke dalam parit dan kawasan terlindung.

"Keterangan suspek dan pengurus syarikat berkenaan sudah diambil bagi siasatan lanjut. Jika memenuhi elemen kesalahan di bawah Akta 655, SPAN tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap pihak terbabit," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ainal Yusman berkata, selain kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPAN turut mengalu-alukan pembabitan orang ramai sebagai 'mata dan telinga' agensi itu bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

"Perbuatan mereka membuang enap cemar di kawasan tidak sepatutnya ini bukan saja tidak bertanggungjawab bahkan menyebabkan kacau ganggu termasuk bau busuk dan pencemaran aliran air hingga mengganggu orang awam," katanya. (BH)


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails