Monday, July 15, 2019

Zikir Cara Apa Ini? Di Jerantut.



TIGA rakaman video memaparkan sekumpulan penduduk sebuah kampung di Jerantut berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh, tular di media sosial, semalam.
Video berdurasi antara 0.22 saat dan 1.12 minit dipercayai dirakamkan seorang penduduk Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, yang mengikuti aktiviti dilakukan di sebuah surau di kampung berkenaan pada 11 Julai lalu.
Seorang lelaki dari Terengganu dikenali sebagai Tok Ki @ Tok Ayah dipercayai mengetuai aktiviti yang dilakukan selepas solat itu.

Kadi Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad berkata, pihaknya sudah memanggil lelaki terbabit untuk siasatan kira-kira jam 11 pagi, semalam, tetapi sehingga jam 4.30 petang lelaki itu tidak muncul.
“Kita menerima rakaman video ini disyaki bertentangan syarak. Dalam rakaman itu, kelihatan beberapa lelaki dan perempuan sedang berdiri dan melakukan beberapa pergerakan badan sambil mengalunkan bacaan yang tidak berapa jelas sebutannya.
“Sehubungan itu, saya sudah menghubungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu dan dipercayai dilakukan pada malam Jumaat, 11 Julai lalu,” katanya.
Beliau berkata, lelaki berkenaan diundang seorang lelaki yang juga penduduk kampung bagi mengetuai sekumpulan penduduk berzikir sambil berdiri serta menggerakkan kepala dan tubuh badan.
“Bagaimanapun, Tok Ki meminta kami bertemu dengannya di kampung itu esok (Isnin). Kami akan mendengar penjelasan lelaki itu dengan disaksikan panel aqidah dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),” katanya.
(MyMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails