Friday, July 21, 2017

Khidmat Guaman Percuma Untuk Golongan Asnaf

Khidmat Guaman Percuma Untuk Golongan Asnaf
KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan memperkenalkan khidmat guaman percuma untuk kes mahkamah syariah kepada golongan asnaf di negeri ini, sebelum akhir tahun ini.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ia merupakan kerjasama strategik MAIDAM, Persatuan Peguam Syarie Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan.
“Hasil perbincangan awal ini, MAIDAM akan membiayai kos guaman golongan asnaf itu dan lebih istimewa apabila peguam syarie juga bersetuju untuk mengurangkan kadar bayaran tersebut.
“Ia sebagai khidmat sosial peguam syarie untuk bersama-sama membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf terbabit dan menyelesaikan proses pendakwaan di mahkamah syariah secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan sebanyak RM25,000 kepada pesakit kronik anak mualaf di sini, hari ini.
Setakat 30 Jun ini, MAIDAM telah membelanjakan RM1.9 juta untuk keperluan golongan mualaf di Terengganu termasuk pembayaran bil hospital, ubat-ubatan dan keperluan asas lain.
Shaikh Harun berkata ketika ini, khidmat guaman percuma ada disediakan Biro Bantuan Guaman, namun kes mahkamah semakin lama semakin bertambah dan pihaknya mengambil inisiatif ini untuk membantu mempercepatkan proses di mahkamah syariah.
“Keutamaan akan diberi kepada golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk membayar khidmat guaman bagi proses perceraian mereka yang jumlahnya melebihi RM1,000 dan ke atas (bergantung kepada kes).
“MAIDAM sangat prihatin dengan keperluan golongan asnaf dan khidmat guaman percuma ini diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan sebelum, semasa dan pasca perceraian yang lebih selesa,” katanya.  – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails