Tuesday, May 24, 2016

PRK K/Kangsar-Sg Besar, Suatu Eksesais Kepada PRU Akan Datang. -Presiden PAS


SHAH ALAM: PAS akan menunjukkan satu eksesais dalam menghadapi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang menjadi gambaran kaedah parti itu dalam berpolitik serta persiapan pilihan raya akan datang.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dalam eksesais itu juga bagi menyediakan PAS menjadi parti yang akan menunaikan tanggung jawab menyelamatkan Malaysia dan masyarakat majmuknya dengan Islam.

“InsyaAllah kita akan tunjukkan satu eksesais yang baik dalam isu Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Eksesais bagaimana kita berpolitik, kita boleh bercatur politik dengan pihak lain, jangan main-main dengan pihak kita. Menang kalah perkara lain, pasang surut dalam perjuangan itu biasa, kita yakin bahawa kita makin maju insya-Allah.
“Sebaik eksesais untuk pilihan raya yang akan datang, yang lebih memberi peluang kepada parti kita insya-Allah untuk menunaikan tanggung jawab menyelamatkan negara dan ummat semuanya, Islam adalah penyelamat kepada Malaysia dan rakyat masyarakat majmuk,” ujarnya pada Seminar Khas Penerangan di Muzium Sultan Alam Shah, di sini semalam.

Menurutnya, tanggung jawab Lajnah Penerangan sangat penting untuk melaksanakan ‘hikmah kebijaksaan’ sebagaimana yang diajar pada ayat 125 surah an-Nahl dan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW serta generasi awal Islam.

Jelas beliau, apabila Islam masuk ke mana-mana negeri, Islam berjaya menarik orang kepada Islam, sama ada mereka masuk Islam ataupun mereka tidak melawan dengan Islam yakni mereka reda di bawah pemerintahan Islam. Tegas beliau, tanggung jawab itu tidak boleh diubah-ubah perjalanannya kerana hendak meraikan orang lain dan mesti mengerti hakikat istiqamah dalam perjuangan.

Dalam ucapannya itu, Tuan Guru menegaskan pentingnya melaksanakan agenda penerangan sebagai aspek dakwah yang tidak boleh dipisahkan dalam politik dan tidak terkeluar dari tajuk perjuangan PAS.

Beliau mengimbas penggunaan slogan Negara Berkebajikan pada pilihan raya lalu yang disamakan sebagai ‘welfare state’ berdasarkan takrifan sekular oleh kalangan ahli PAS sendiri.

Sedangkan jelas beliau, berkebajikan dimaksudkan meliputi seluruh ajaran Islam iaitu kebajikan dengan Allah SWT, sesama manusia, keluarga dan masyarakat, hingga menegakkan negara yang mendaulatkan syariat. 

Tegasnya, dalam kerjasama PAS dengan pihak lain, tidak boleh sama sekali meninggalkan sempadan kukuh iaitu memperjuangkan Islam yang menyeluruh dan mesti Islam memerintah serta berdaulat, bukan diperintah atau dijajah, serta berusaha mengembalikan takrifan sebenar Islam dalam Perlembagaan Negara.

Beliau juga menyeru agar menyampaikan Islam kepada seluruh manusia sebagai mesej “rahmatan lil alamin” di mana PAS tidak ada masalah dengan kemajmukan masyarakat negara ini dan ia dibuktikan dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang memberi makna besar terhadap kejayaan dakwah kepada kalangan bukan Islam.

“Saya percaya sekiranya kita mendapat demokrasi yang benar, memberi keizinan kepada media, sudah tentu kita mencapai kejayaan yang sangat besar. Kita terpaksa menghadapi pilihan raya tempang yang tidak sama rata padangnya. Dan pada yang sama kita menghadapi orang Islam sendiri yang jauh ketinggalan daripada agama.
“PAS melibatkan diri di dalam arena politik hanya mendapat satu kerusi dalam pilihan raya pertama tahun 1959. Satu kerusi dengan dokongan NGO-NGO Islam telah berjaya meletakkan Islam dalam perlembagaan. Pilihan raya yang pertama selepas merdeka tahun 1959, kita berjaya menawan Terengganu kemudian menawan Kelantan.

“Senjata yang digunakan pada masa itu adalah hudud. Lama dah cerita hudud ni jadi senjata, padahal Islam adalah agama menyeluruh ekonomi, politik, pentadbiran dan lain-lain. Kita telah menunjukkan kerajaan yang bersih, kejatuhan di Terengganu tahun 1961, kejatuhan kita di Kelantan tahun 1979 bukan kerana rasuah bukan kerana salah laku.
“Tetapi kerana demokrasi yang tidak betul. Isu hudud makin meningkat kalau PAS memerintah ramai akan kudung akan catat, pada masa itu kita menghadapi dengan penuh sabar,” ujarnya melanjutkan sejarah cabaran PAS menghadapi isu takfir, peristiwa 13 Mei 1969 serta serpihan dalaman PAS. (Detikdialy)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails