Wednesday, November 25, 2015

Gesa Kongsi Perisikan Hadapi Pengganas.. -PM Australia.

REUTERS - ANGGOTA tentera dan polis Belgium meningkatkan rondaan di Brussels semalam susulan serangan di Paris pada 13 November lalu.

SYDNEY – Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull (gambar) semalam menggesa perkongsian perisikan yang lebih besar di Asia Tenggara bagi mencegah serangan pengganas seperti yang berlaku di Perancis baru-baru ini. Beliau juga meminta semua agensi penguatkuasaan undang-undang di Australia supaya menguji persediaan masing-masing dalam menghadapi serangan seumpamanya.
Susulan peningkatan ancaman pengganas, Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran peringkat global kelmarin kepada warganegaranya yang merancang untuk melancong ke luar negara.
Amaran itu dikeluarkan susulan serangan berdarah di Paris dan Mali.
Dalam ucapannya di Parlimen Australia, Turnbull menggesa perkongsian risikan yang lebih besar dengan pemimpin negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura yang kerap dikunjungi rakyat Australia.
“Daripada perspektif Australia, kami mendapati wujud risiko sebenar kumpulan pengganas di rantau ini mendapat ilham daripada beberapa serangan sebelum ini seperti di Ankara, Beirut, Bamako dan Paris. Kami juga sedar bahawa beratus-ratus ribu warga Australia melawat Asia Tenggara pada setiap tahun,” katanya.
Turnbull juga mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang Australia untuk menguji persediaan dalam menghadapi serangan yang berisiko mengorbankan ramai orang awam selepas serangan di Paris yang membunuh 130 orang pada 13 November lalu.
Australia kini melancarkan serangan udara terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) dengan menyertai pakatan yang diketuai AS.
Tindakan itu menyebabkan Australia berisiko menjadi sasaran pengganas.
Dalam ucapan sama, Turnbull turut mengulangi bahawa tiada rancangan untuk menukar taktik ketenteraan terhadap IS walaupun beliau digesa supaya mengerahkan tentera darat Australia ke Syria untuk menghapuskan IS.
– Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails