Friday, May 30, 2014

Tuan Ibrahim: Tidak Hanya Terkejut Dg Rogol 38 Lelaki...

 




KUALA LUMPUR: PAS menyeru pelbagai pihak khususnya Umno yang menunjangi pemerintahan negara ini supaya tidak hanya terkejut dengan kejadian rogol membabitkan 38 lelaki di Ketereh, Kelantan sebaliknya mencari jalan ke arah penyelesaian yang lebih holistik.


Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, kejadian tersebut membuktikan betapa penjenayah tidak gentar mahupun gerun terhadap sistem perundangan yang ada kini. 


"Keberkesanan sistem perundangan yang ada semakin diragui apabila kadar jenayah dalam negara tidak berhenti meningkat," katanya dalam satu kenyataan media.


Beliau menambah, kes rogol, penderaan seksual, pembuangan bayi, penderaan kanak- kanak, peningkatan ketagihan dadah dan arak di kalangan remaja adalah gejala yang wajib diberi perhatian semua pihak.


Menurutnya, walaupun manusia berhadapan dengan ketakutan, kebimbangan terhadap keselamatan diri, anak- anak serta harta benda namun kebanyakan manusia masih merasakan undang-undang ciptaan sendiri lebih hebat meskipun ketidakberkesanannya semakin terserlah hari ke hari.  


Ustaz Tuan Ibrahim kesal kerana masih wujud sesetengah pihak yang enggan mengakui bahawa undang-undang ciptaan manusia telah gagal menakutkan penjenayah meskipun negara kini berhadapan dengan kemelut kerosakan akal, harta dan keturunan yang sangat serius.


Manusia, ujarnya tetap berdegil untuk memilih peraturan lain yang dianggap hebat dengan menolak undang-undang yang diturunkan Allah SWT.


"Kes dua pelajar dirogol oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan menggemparkan pelbagai pihak. Kejadian malang yang menimpa pelajar tersebut seharusnya membuka mata pemimpin negara khususnya dan rakyat umum bagi melihat betapa teruknya keadaan masyarakat hari ini.
"Masyarakat kini melihat kejadian jenayah rogol, dadah, bunuh, kecurian dan ragut sebagai berita semasa yang biasa.
"Bahkan kejadian di Ketereh itu pun kalau kejadian hanya melibatkan seorang remaja lelaki merogol seorang remaja perempuan, masyarakat tidak akan merasai kejadian pelik," kesal beliau.


Menurut beliau, Allah SWT telah menurunkan sistem perundangan bagi menyelamatkan agama, akal, harta, maruah serta zuriat dan keturunan manusia. Sehubungan itu, sistem perundangan Islam perlu dilaksanakan bagi menyelamatkan masyarakat dari penjenayah.

Mengulas kejadian yang berlaku di Ketereh itu, beliau berkata, walaupun suspek tidak boleh diadili menurut hukum hudud jika sistem perundangan Islam dikuatkuasakan ekoran wujud pelbagai keraguan, namun suspek boleh diadili di bawah perundangan takzir.


"Hukum takzir boleh lebih keras dari hudud sekiranya mahkamah melihat wujudnya keperluan menjatuhkan hukuman yang lebih berat," ujarnya.- HARAKAHDAILY, 30/5/2014
  
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pihak berwajib dan semua pihak, sila fikir balik pengambilan sistem perundangan Islam atau 'hudud' sebagai faktor pengurangan jenayah untuk jangka panjang di Malaysia..

 Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails