Friday, November 08, 2013

T/Presiden: Husam Tarik Diri, Tinggal 2 Mohd Bertembung.


 JAWATAN timbalan presiden PAS bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Mohamad Sabu dengan timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ia berlaku berikutan keputusan Datuk Husam Musa hanya sedia untuk bertanding jawatan naib presiden sahaja dengan alasan "untuk kestabilan parti".

Husam menyerahkan borang penerimaan pencalonan untuk naib presiden kepada Setiausaha Eksekutif PAS pada jam 4.40 petang ini. Tarikh tutup adalah jam 5 petang. Husam, dalam kenyataannya, berkata pencalonan terbanyak yang beliau terima  adalah untuk jawatan naib presiden.

"Saya anggap ia adalah isi hati, pedoman dan pilihan akar umbi PAS jawatan mana yang mereka inginkan saya tempatkan diri saya," kata Husam dalam kenyataannya.

Husam ketika memaklumkan keputusan ini kepada The Malaysian Insider berkata, memandang suasana parti yang ada sekarang, beliau berpendapat faktor kestabilan menjadi sangat penting.

"Atas dasar itu saya memilih untuk bertanding naib presiden sahaja walau pun mendapat pencalonan yang agak baik untuk timbalan presiden," kata Husam.

Keputusan Husam ini bermakna, dua tokoh paling popular iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat pencalonan terbanyak dan beliau yang kedua untuk bertanding jawatan timbalan presiden memilih untuk menolak bertanding jawatan itu.

Sebelum ini, Salahudin Ayub telah mengumumkan beliau akan bertanding naib presiden sahaja menjadikan yang tinggal adalah Mohamad Sabu dan Mohd Amar.

Untuk kerusi naib presiden, calon-calon kini adalah Salahudin Ayub, Datuk Abu Bakar Chik, Tuan Ibrahim dan Husam manakala Datuk Mahfuz Omar belum membuat sebarang pengumuman.

"Saya telah memberitahu wartawan sebelum ini, saya mahu Pengerusi Jawatankuasa Pemilih yang memaklumkan keputusan saya," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider semalam. Hari ini, Idris Ahmad dan Datuk Mujahid Yusof mengumumkan akan bertanding jawatan AJK PAS Pusat sahaja. Ini bermakna, tinggal lima calon akan bertanding untuk tiga kerusi naib presiden ini iaitu Abu Bakar, Husam, Salahudin, Tuan Ibrahim dan kemungkinan Mahfuz. – 8 November, 2013.(TMI)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails