Thursday, April 19, 2012

Sg Terah Bina Kilang Sawit RM42 J

GUA MUSANG, 19 April 12: Selepas membayar bonus 11 bulan gaji kepada kakitangannya, Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd (SLST) maju setapak lagi merancang membina kilang sawit dan penempatan di Jeli tidak lama lagi.

Anak syarikat kerajaan negeri itu akan membina kemudahan tersebut di kawasan seluas 22 ekar membabitkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM45 juta. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perladangan PKINK Bhd, Zazali Japar berkata, pembinaan kilang berkenaan dianggar membabitkan kos RM43 juta.

“Kumpulan Perladangan juga akan membina jalan tar masuk ke tapak kilang sejauh 4 km melibatkan kos RM9 juta dan bayaran pampasan kepada penduduk RM1 juta.

“Di kawasan kilang juga akan dibina kompleks perumahan dan pejabat pentadbiran Ladang Tapis Sdn Bhd.

“Sehubungan itu satu majlis menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat dari Kuala Lumpur bagi membina kilang akan diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu pada Mei depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Beliau yang juga Pengurus Besar SLST berkata, pembinaan kilang sawit terbabit dijangka siap pada awal 2014 dan apabila beroperasi kelak berupaya memproses sawit 30 tan sejam. Selepas itu akan dipertingkatkan keupayaan memproses kepada 45 tan sejam.

Kumpulan Perladangan PKINK mempunyai tiga ladang di Jeli iaitu Ladang Tapis seluas 1,889 hektar, Ladang Rakyat Lubuk Bongor 1 (1,955 hektar) dan Ladang Rakyat Lubuk Bongor II (1,476 hektar). Selain itu di Jeli juga terdapat Ladang Kuala Balah seluas 2,101 hektar.

Manakala di Gua Musang Kumpulan Perladangan PKINK mempunyai Ladang Kelasa seluas 2,665 hektar, Ladang Subong (2,993 hektar) dan Ladang Nenggiri (4048 hektar). SLST juga mempunyai kilang memproses susu getah iaitu LST Latex Concentrate yang terletak kira-kira 3 km daripada pejabat operasi di Sungai Terah.

Zazali juga berkata, Kumpulan Perladangan ditubuh pada 2010 merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Tumpuan aktivitinya perladangan sawit dan getah. Visinya menjadi peneraju utama dalam bidang perladangan dan industri hiliran di Kelantan yang mampu berdaya saing di peringkat nasional,” katanya.

Menurutnya juga SLST menganugerahkan lot rumah kepada kakitangan yang berkhidmat lebih 10 tahun, di mana setiap satu bernilai kira-kira RM20,000. Katanya, syarikat turut menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM50,000 bagi membolehkan kakitangan yang mendapat lot membina kediaman mereka.

Ketika tinjauan di kawasan perumahan terbabit didapati suasana seperti perkampungan baru, di mana banyak terdapat banglow milik kakitangan SLST. Kawasan perumahan tersebut juga dilengkapi dengan sebuah kelas asuhan kanak-kanak dan masjid. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails