Wednesday, February 09, 2011

Pemikiran Dr Mujahid II: 'Erti Menasional' & Halatuju

(Sambungan dari Pemikiran Dr Mujahid I: Kebangkitan Afrika Utara)

PERTEMBUNGAN
selama ini bukanlah sangat pertembungan pemikiran, walaupun Mubarak cuba menghidupkan sentimen bahayanya puak Islam jika menguasai negara. Tetapi lebih besar daripada itu ia tentang kezaliman, menyekat kebebasan, kengganan polis, salah guna aparatus pemerintah untuk kepentingan kroni dan rasuah yang berleluasa.

Semua pihak sudah muak dengan semua gejala ini sehingga mereka tidak lagi mengambil kira perbezaan pemikiran sebagai halangan, malah sanggup berganding bahu merentasi aliran pemikiran menuntut berakhirnya regim diktator ini. Ikhwan kini berhadapan dengan bentuk baru politik, walaupun bagi sesetengah pihak mereka masih skeptikal terhadap Ikhwan untuk mengisi ruang kosong ini setelah 83 tahun berjuang di bumi Mesir tetapi tidak ada mana pihak menafikan perjuangan konsisten dan tersusun Ikhwan.

Pilihan yang ada bagi Ikhwan dan golongan Islam untuk menyertai kebangkitan ini ialah dengan menasionalkan diri mereka menjadi sebahagian daripada lanskap baru politik. Mesej kebangkitan amat jelas bahawa rakyat Mesir tidak peduli siapa yang akan mengisi ruang setelah pemergian Mubarak dan konco-konconya, yang penting mereka mahukan pembelaan dan tercapai hasrat mahukan ruang kebebasan dan demokrasi.

Ia bukan lagi soal format dan bentuk apa negara yang mahu dibentuk setelah Mubarak, Mesir akan kekal Republik cumanya isi dan intipatinya mestilah berbeza dari dulu untuk memberi makna kepada kebangkitan rakyat Mesir yang sudah masuk hari yang ke 12.

Erti Menasionalkan Gerakan Islam


Jambatan yang menyambong antara idealism perjuangan Gerakan Islam dan denyutan nadi kebangkitan rakyat ialah sifat nasionalistiknya yang menjadikan ia dekat di hati bangsa yang tempatnya beroperasi.

Gerakan Islam yang selama ini ditindas oleh regim di dunia Arab senantiasa melihat kerajaan dengan penuh prejudis kerana kezaliman yang berlaku ke atas mereka. Penulisan yang lahir dari penindasan ini kadangkali memisahkan Gerakan Islam dengan bangsanya.

Bukan salah Gerakan Islam kerana mereka memerlukan kekuatan idealismnya untuk bertahan dalam suasana ini, tetapi kini aturcara permainannya berubah dengan berubahnya sedikit ruang bernafas dalam demokrasi yang ada.

Apatah lagi kebangkitan tuntutan demokrasi hari ini di Mesir menuntut Gerakan Islam di sana melihat dirinya sebagai pemain utama dan bukan lagi sebagai golongan yang tertindas! Apakah kadar kepercayaan rakyat berbagai latarbelakang dan ideologi yang disandarkan kepada Gerakan Islam? Ini bukan soal Gerakan Islam mahu dirinya dibela tetapi lebih penting ialah kini dia berperanan membela untuk mewujudkan suasana keterbukaan untuk rakyat dan bangsanya.

Jikalau bertanya kepada saya kadar kepercayaan itu, jawapannya ialah karakter nasionalistiknya yang menjadi gam penambat antara idealis alamiyahnya dengan realiti kerangka bangsanya. Hanya dengan cara ini Gerakan Islam akan mendapat sokongan padu dri berbagai aliran secular mahupun liberal. Mereka mungkin berbeza pandangan tetapi ikatan nasionalistik mereka akan menjadi penambat untuk melihat isu besar yang boleh mereka garap bersama.

Mubarak, Tiada Laluan Mudah


Hari-hari berikutnya di Mesir tidak akan melalui jalan mudah, apatah lagi Mubarak bersumpah untuk mati di bumi Mesir sebagai tanda pengorbanan yang dia berikan selama ini kepada negaranya. Mubarak bukan calang orang, dia menaiki tangga kekuasaan mengikut susunan kenaikan pangkat.

Nasib menyebelahinya apabila dilantik Naib Presiden kepada Anwar Sadat dan semasa pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981, bintang Hosni Mubarak terus bersinar sehinggalah 30 tahun kemudian. Hari ini rakyat Mesir mengatakan cukuplah dan berambus dari sini.

Bukan mudah untuk pemimpin seperti Mubarak untuk menyerah kalah, setakat ini tentera belum menunjukkan reaksi agresif menentang penunjuk perasaan, keadaan mungkin akan berlaku sebaliknya.

Kedua , Hosni tidak akan melepaskan peluang untuk menimbulkan huru hara berskala besar dengan menjadikan Ikhwan sebagai sasarannya untuk menaikkan sentimen kemarahan rakyat dan memberi amaran bahayanya puak Islam akan mengambil alih negara.

Namun momentum rakyat minggu kedua nampaknya tidak surut dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan apa juga mainan dan taktik regim Mubarak yang terdesak. Walaupun Jumaat lalu Ikhwan berunding dnegan Omar Sulaiman, Naib Presiden yang ditiadakan jawatannya sejak 30 tahun yang lalu, namun ketegasan supaya syarat asas Mubarak letak jawatan dulu sebelum rundingan menyebabkan tiada apa yang baru dalam usaha perundingan terakhir ini. Tetapi apa yang menarik ialah Ikhwan yang selama ini dianggap pertubuhan haram menjadi kumpulan pertama diajak berunding oleh regim Mubarak.

Halatuju


Apa yang lebih penting sekarang ialah menjayakan misi penunjuk perasaan iaitu menggulingkan dahulu Mubarak. Kedua, kebangkitan rakyat mesti tidak dicemari dengan perpecahan sesama golongan penentang Regim kerana kerapuhan ini memberi ruang kepada regim untuk terus menguasai keadaan. Ketiga, keseluruhan rakyat Mesir mesti diyakinkan bahawa kebangkitan ini adalah untuk mereka dan bukan kepentingan mana-mana kumpulan mahupun Ikhwan sendiri dan akhirnya satu bentuk konsensus kepada siapakah yang mewakili penentangan ini adalah penting supaya kebangkitan rakyat ini tidak tersasar dari tujuan asalnya.

Namun apa yang lebih utama ialah melakarkan halatuju pasca kejatuhan Mubarak, apa akan terjadi, bagaimanakah peta baru yang akan dilakarkan kea rah demokrasi berpilihanraya, demokrasi berparlimen, kebebasan media, pemulihan institusi kepolisian, pelan memerangi rasuah dan lebih penting ialah pembelaan terhadap kemiskinan yang menular di Mesir.

Keseimbangan antara pemulihan dan kesan jangkamasa transformasi kepada perubahan regim melibatkan kepedulian berbagai aspek antaranya keselamatan, pemulihan ekonomi, trauma kebebasan setelah dikongkong begitu lama dan peranan kepimpinan transformasi bagi memudahcarakan transisi ini. Sehingga kestabilan benar-benar muncul , Mesir mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.

Sama Dengan Malaysia?

Dan sementara penganalisis dan penulis membuat andaian-andaian apa akan terjadi kepada Mesir, jangan hendaknya kita lupa negara kita Malaysia juga perlu kebangkitan rakyat kerana simpton penyakitnya lebih kurang sama sahaja, bayangkan jika beratus ribu keluar ke jalanraya melaungkan “Undur, undur, undur BN, maju, maju, maju PR” apakah agaknya reaksi regim BN?

Lihat E-Buku ini...
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails