Sunday, December 05, 2010

B/Islam & Quran: Nik Aziz Jawab Majlis Farwa?

KL, 5 Dis 10: Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara sebagaimana disaksikan di Kongres Nasional PKR.

Tambah Nik Aziz, berdasarkan pengalaman berceramah dengan pemimpin DAP, selalunya mereka terlebih dahulu merujuk kepadanya sebelum berucap.

Kenyataan ini dinukilkan, berikutam Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Majlis itu yang mengadakan mesyuarat khas di Sepang malam kelmarin memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

“Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah,” kata beliau.

Oleh kata beliau, pihkanya mahu mengambil langkah menggunakan kaedah sad zaraik iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan.

“Maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

“Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal,” kata beliau dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

Sebanyak 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Laporan itu menyebut muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al- Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga setiausaha jawatankuasa itu kelmarin memberitahu hasil pertemuan akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pertemuan itu diadakan ekoran perkembangan pada Kongres Nasional PKR di mana Kesavan, perwakilan dari Perak dan Adun Hutan Melintang, yang memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul Ahad lalu.

Tindakan Kesavan yang membacakan terjemahan yang salah daripada Ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin kerajaan termasuk Jamil Khir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jamil Khir berkata, penafsiran ayat al-Quran yang tidak betul di depan khalayak ramai boleh menjadi satu penghinaan yang serius terhadap Islam dan tidak boleh dibiarkan.

Justeru tegasnya, para ilmuwan agama wajib menegur dan tidak boleh sekadar menutup mata supaya setiap kesilapan dapat dibetulkan sekali gus memastikan pihak yang melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa depan. (Sumber The Malaysian Insider)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails