Tuesday, October 05, 2010

Nik Aziz Lawat Lee Kuan Yew, Mengapa?


SINGAPURA, 5 Okt: Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlepas ke Singapura pagi tadi untuk menziarahi Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Nik Aziz berlepas dari KLIA jam 9.45 bersama beberapa orang lagi bagi menziarahi Lee yang sedang mendapat rawatan di hospital ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah baru-baru ini.

Sabtu lepas, isteri beliau Kwa Geok Cho, 89, meninggal dunia selepas sakit sejak sekian lama. Lee yang berumur 87 tahun pada 16 September lepas hingga kini belum memberikan sebarang ulasan media mengenai kematian isterinya itu.

Lawatan Nik Aziz ini dikira kunjungan balas beliau kepada pemimpin utama Singapura itu selepas kunjungan Lee Kuan Yew ke Kota Bharu beberapa tahun lalu. Beliau yang sepatutnya berlepas ke Singapura Sabtu lepas terpaksa menangguhkan kunjungannya itu ke hari ini selepas kematian isteri Lee pada hari tersebut. Wartawan Harakahdaily, Nazri Abdullah yang turut bersama dalam rombongan Nik Aziz ini akan membuat laporan penuh mengenai kunjungan bersejarah ini selepas ini.

Sementara itu, sebelum berlepas, beliau mengucapkan selamat berjaya kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini.

“Kepada anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan PMR bermula hari ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.

“Paling penting, kejayaan yg sebenar ialah selamat dari api neraka dan berjaya mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan di laman twitter.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam, seramai 479,675 calon menduduki peperiksaan PMR mulai hari ini hingga 12 Oktober. Daripada jumlah tersebut, 446,896 ialah calon dari Sekolah Bantuan Penuh, 5,069 dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.

Sebanyak 11,370 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 14,756 calon sekolah swasta, 334 calon persendirian perseorangan dan 1,250 calon dari Sekolah Agama Rakyat. Sebanyak 34,022 orang petugas di 3,499 pusat peperiksaan disediakan bagi menguruskan perjalanan PMR. (Sumber Harakahdaily)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mengapa lawat Singapura? Itulah pemimpin politik!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails