Friday, February 22, 2008

Depa Nak Sembeleh Dr Helmi YB Balik Pulau...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

SAYA kenal Dr Helmi Yahya Ahli Parlimen BN Balik Pulau, Pulau Pinang, seorang yang dikatakan baik peribadinya, berbanding dengan YB-YB UMNO yang lain. Waktu saya bertanding di DUN Bayan Lepas mewakili PAS dalam PRU 1990, beliau bertanding di DUN Teluk Bahang, antara 3 DUN yang terdapat dalam kawasan parlimen Balik Pulau.

Beliau ditentang oleh Dr Sanusi Osman dari PRM (Parti Rakyat Malaysia), yang menjadi rakan se pembangkang bersama-sama PAS. Ketiga-tiga kami adalah anak tempatan Balik Pulau. Rumah beliau di tengah-tengah antara rumah Dr Sanusi dengan rumah saya (rumah ayah saya) yang jaraknya kira-kira 1 kilometer sahaja antara rumah-rumah kami.

Pernah selepas keputusan PRU itu, Dr Sanusi bertanya saya, “Ayah hang (Allahyarham Ustaz Hashim) ada ka hubungan adik beradik dengan ayah Dr Helmi?”

“Dak! “ Jawab saya. “Cuma depa (mereka) berdua kawan agak rapat kerana sama-sama jadi guru agama, sama-sama pakai serban, hidup gaya sederhana, nampak macam se aliran.” Mungkin Dr Sanusi nampak pengundi-pengundi PAS di situ macam undi BN secara diam-diam semasa beliau bertanding itu…

Sebenarnya itulah kelebihan Dr Helmi Yahya. Beliau nampaknya disukai oleh rakyat tempatan. Apalagi bila beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, tempat tumpuan Orang Melayu di sana, ada gaji dan ada peruntukan untuk hamburkan bantuan pada rakyat Balik Pulau. Di situlah saya akui, saya kalah dengan beliau. Kerana saya tinggal di KL, terpaksa berulang-alik KL-Balik Pulau. Saya tiada pendapatan tetap, tiada apa-apa elaun kerana tidak menang dalam bertanding meraup undi itu. Bukan sikit-sikit duit sendiri yang perlu dibelanjakan tiap kali balik ke Pulau Pinang.

Kini Dr Helmi khabarnya akan dihantar bertanding di Permatang Pauh, kubu kuat pembangkang kawasan yang dimenangi oleh Dr Wan Azizah isteri Dato’ Seri Anuar Ibrahim. Mengapa mereka pilih Dr Hilmi?

“Memang depa nak sembeleh Dr Helmi!” Kata seorang ahli kuat UMNO yang saya temui di Balik Pulau baru-baru ini. “Depa hantaq mamak Tanjung mai Balik Pulau, depa paksa Dr Helmi (tak secara langsung) ke kubuq BN di Permatang Pauh… Tak dak ka tempat lain yang selamat??”

Saya fikir-fikir pun betul juga. Dulu Dr Ibrahim Saad pun mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang juga. Peribadinya pun lebih kurang sama dengan Dr Helmi, kerana saya pernah berforum dengan beliau atas tajuk ‘Umat Melayu Pulau Pinang’ di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) awal tahun 1990an anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang di bawah Ustaz Saleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sekarang.

Sehingga ada seorang penyokong PAS berkata kepada saya semasa berforum itu, “Jangan pukui dia kuat-kuat sangat, dia tu baik orangnya…” Begitu juga Ustaz Firdaus Al Hafiz tokoh agama , bekas Imam Masjid Negara pun kecundang juga di tangan Wan Azizah dari Parti Keadilan itu.

Ahli UMNO itu menyambung lagi, “Memang kabinet Pak Lah dah dikuasai oleh puak Raja Mendaliar macam cerita Sejarah Melayu di dalam ‘Kesultanan Melayu Melaka’ dulu. Buktinya boleh dilihat waktu mak Pak Lah meninggal, puak-puak mamak pengampu dah kuasai majlis tersebut… Orang Melayu ketepi.”

“Sapa mamak Tanjung yang nak dihantaq ke Balik Pulau tu??”

“Aku dengaq Tan Seri Nor Mahamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua yang rekod kerjanya pernah dan sedang dipertikaikan. Tak percaya hang tanya la Dr Rosli Yaakop orang PAS yang pernah sama-sama dengannya dalam Abrar Finance, atau Ezam Moh Noor yang cuba membongkar kesnya!!” Jawab si UMNO itu lagi. “Sedangkan Dr Helmi hanya Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan sahaja bawah dia; boleh la dia buli…”

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 22-02-08. KL

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails