Sunday, September 17, 2017

Bangkitlah! Halang Pesta Arak ... -Dr M/Khairuddin


BETTER Beer Festival 2017 (BBF17) yang akan dianjurkan pada awal Oktober depan di Kuala Lumpur yang menampilkan 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak dengan sasaran 6,000 orang pengunjung memang sewajarnya dibantah oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Pihak berkuasa mesti membatalkannya kerana ia bercanggah dengan dasar bernegara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mengundang pelbagai gejala negatif.
Minum arak adalah hak bagi orang bukan Islam tetapi bukan hak bagi masyarakat bukan Islam untuk menganjurkan pesta terbuka mengajak masyarakat minum arak yang haram di sisi umat Islam. Ia sangat bertentangan dengan sensitiviti masyarakat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini. Menjaga sensitiviti ini adalah kewajipan bersama seluruh rakyat Malaysia kerana ia melibatkan keamanan dan keharmonian bernegara.
Menurut fatwa Mufti Mesir Syeikh Allam Nassar (1891-1966) sebagaimana dinukilkan oleh Dandil Jabr dalam tulisan beliau bertajuk “hak-hak peribadi bukan Islam dalam masyarakat Islam”, *bukan Islam mempunyai hak kebebasan untuk makan dan minum makanan yang halal bagi mereka walaupun haram bagi orang Islam dengan syarat tidak menyentuh dan mencabar sentimen umat Islam atau membawa kepada fitnah dan kerosakan masyarakat. Jika ianya berlaku maka menjadi kewajipan kepada kerajaan masuk campur bagi menghalang tersebar dan berleluasanya kerosakan yang boleh menghancurkan masyarakat.* Campur tangan kerajaan ketika itu termasuk kategori “sadd zara’i'” (menutup lubang-lubang kerosakan). Sebagaimana kerajaan di zaman moden ini campur tangan untuk menghalang tersebarnya wabak kerosakan seperti dadah dan seumpamanya. (Fatawa Islam Jilid VII No 1057 – Mufti Syeikh Allam Nassar) (rujuk www.odabasham.net/show.php?sid=77421).
Justeru, saya menyeru para Mufti segera mengeluarkan fatwa dan pandangan khusus terhadap acara mungkar Better Beer Festival 2017 ini sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan Malaysia.
Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam Agama Persekutuan dalam perlembagaan dengan YDP Agong menjadi ketua negara yang bertanggungjawab menjaga Islam serta Raja-raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam di negeri-negeri, amatlah tidak wajar negara ini menjadi hub pesta arak yang tidak mendatangkan kebaikan bagi rakyat malah memudharatkan.
Pesta arak ini hanya akan mengundang lebih banyak gejala negatif kepada masyarakat di kala negara telah berhadapan dengan pelbagai kemelut sosial.
Arak telah dianggap menjadi ancaman di peringkat global dengan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan suatu laporan bertajuk “Global Strategy to Reduce the Harmful Use of Alcohol” pada 2010.
Saya telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 8 oktober 2014 ketika membantah penganjuran Pesta Arak Oktoberfest dengan menyebut beberapa statistik menjelaskan kesan negatif minuman beralkohol yang memabukkan iaitu;
A. Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pengambilan alcohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.
B. Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6% mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.
C. Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan kepada alcohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.
D. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alcohol adalah penyakit cardiovascular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.
E. 48% daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alcohol.
F. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3% kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alcohol manakala 4.5% kes penderaan kanak-kanak.
G. Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 sebanyak 79 kes, 2008 dengan 131 kes.
H. Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan dari perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.
I. Menurut satu statistik di UK, alkohol telah menyebabkan 45-46% kejadian jenayah, melibatkan 39% keganasan dalam rumah tangga.

rujuk:
http://drtakiri.blogspot.my/2014/10/penganjuran-pesta-arak-oktoberfest.html?m=1
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya para pemimpin dan juga NGO-NGO bangkit untuk menghalang penganjuran Pesta Arak yang memudharatkan negara dan masyarakat
Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad 17hb September 2017/26 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 17/9/2017


Pulau Pun Boleh Banjir. Bodoh Punya Kerajaan! -Lihat Video..


Guan Eng Kata Banjir Berpunca Daripada Aktiviti Rasuah…
My Nation News – Pada 27 Januari 2015, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata banjir berlaku kerana wujudnya rasuah ketika bencana yang sama berlaku di Kelantan.
Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 pada 2013, Guan Eng turut memberi jaminan jika DAP diberi kuasa sekali lagi, mereka akan menyelesaikan masalah banjir.
Malah, Ahli Parlimen DAP, Ng Wei Aik pernah menjulang kain rentang kononnya DAP berjaya selesaikan masalah banjir di negeri itu.
Hari ini, banjir berlaku di Pulau Pinang dan viral di laman sosial rakaman seorang penduduk Pulau Pinang yang berang terhadap Guan Eng dan mahu Setiausaha Agung DAP itu pulang ke negeri asalnya.

Bangladesh Rayu Bantuan Dunia


DHAKA –  Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berlepas ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam untuk merayu bantuan dunia bagi menangani krisis Rohingya.
Perkembangan itu berlaku ketika keadaan kira-kira 400,000 pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh menjadi semakin buruk.
“Sheikh Hasina akan membangkitkan isu Rohingya dalam ucapan pada Perhimpunan Agung PBB. Beliau mahu keganasan di negeri Rakhine ditamatkan segera dan akan meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menghantar misi mencari fakta ke Rakhine.
“Beliau juga akan menggesa masyarakat antarabangsa dan PBB memberi tekanan terhadap Myanmar supaya menerima kembali semua pelarian Rohingya,” kata jurucakap Perdana Menteri itu, Nazrul Islam.
Terdahulu, Menteri Luar Bangladesh, A.H. Mahmood Ali memberitahu wartawan bahawa negaranya berdepan krisis di luar jangkaan berikutan kebanjiran begitu ramai pelarian Rohingya sejak tiga minggu lalu.
“Kami juga akan meneruskan tekanan antarabangsa ke atas kerajaan Myanmar supaya segera menamatkan tindakan penghapusan etnik terhadap penduduk Rohingya,” katanya.
Dalam pada itu, keadaan di kem-kem pelarian di bandar Cox’s Bazaar dekat sempadan Bangladesh menjadi bertambah buruk dari hari ke hari.
Ramai pelarian Rohingya yang baru tiba terpaksa berteduh di tepi jalan-jalan berlumpur akibat hujan monsun kerana keadaan kem yang penuh sesak.
Banyak keluarga tidak mempunyai tempat berlindung dengan pelarian Rohingya juga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan bekalan makanan dan air minuman.
“Penyakit taun turut dikesan. Saya diberitahu bahawa seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat taun.
“Pihak berkuasa perlu bertindak segera sebelum ia merebak menjadi wabak,” kata seorang aktivis tempatan di Cox’s Bazar, Nur Khan Liton.
Sementara itu, kerajaan Bangladesh telah mengarahkan tentera untuk menghantar dan mengagihkan bantuan asing ke Cox’s Bazar.
Dhaka juga akan membina 14,000 tempat perlindungan baharu dengan setiap khemah dapat menempatkan enam keluarga Rohingya. – AFP

P.Pinang Tak Tebang Balak Pun Banjir Juga..

Jangan biar banjir 'tenggelamkan' Pulau Pinang
GEORGETOWN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menegaskan bahawa banjir kilat yang berlaku di banyak tempat dalam negeri itu dapat dielak atau dikurangkan kesannya jika pembangunan dilaksanakan secara terancang dan lestari.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar berkata, malangnya pelbagai binaan dilakukan secara rakus dan bermotif menghambat keuntungan penjualan.
"Keadaan pembangunan dilakukan sekarang, tetap sukar untuk diimbangi sekalipun dengan projek tebatan banjir yang diadakan. Olahan semula perlu dilakukan terhadap seluruh rancangan pembangunan agar Pulau Pinang tidak terus menerima banjir seperti ini.
"Kesan dari banjir ini jelas memberi akibat buruk kepada bukan sahaja kediaman penduduk, malah banyak laluan kenderaan dan premis dalam bandar. Rakyat akan menanggung kerugian dan beban dari kerosakan yang berlaku impak dari banjir ini, serta menyebabkan kesan akan datang.
"Jika banjir kerap atau mudah berlaku seperti sekarang ini, ia tentunya akan menjejaskan ekonomi dan rutin masyarakat setempat, termasuk pendidikan dan lain-lain sektor juga akan tergendala," ujar beliau.
Oleh demikian menurutnya, impian membangun dan memajukan negeri ini akan pincang, selain menyebabkan kemasukan ke negeri ini hanya akan menjadi seperti 'perangkap' dan tentunya banyak pihak enggan menanggung risiko dan kemungkinan.
Katanya, pelbagai pihak tentunya tidak mahu agenda dan nasib negeri itu akhirnya menjadi seperti kata pepatah "Yang dicari tidak dapat, yang dikendong keciciran".
Safuan turut melontarkan ingatan supaya tidak mencari pendapatan besar dengan meluluskan pembangunan secara gelojoh, kemudiannya terpaksa berbelanja besar juga untuk menanganinya.
"Ia harus jadi pengajaran berguna buat DAP yang menerajui kerajaan ketika ini. Kita masih menghadapi cuaca normal, bukan luar biasa.
"(Tetapi) Hingga kini Ketua Menteri, Lim Guan Eng belum menyatakan sesuatu untuk penyelesaian jitu masalah ini.
"Kita khuatir tiada kewaspadaan apatah lagi kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan atau tragedi yang berpotensi berlaku dalam keadaan atau petunjuk seperti sekarang," getusnya khuatir.
Tegasnya, Guan Eng tidak perlu terus angkuh dan sombong dengan pentadbiran sedang diterajui kerana banyak negatif yang telah terlihat.
Negeri dan rakyat jelas beliau, adalah soal masa depan serta kehidupan di mana ia tidak boleh dipertaruhkan oleh apapun serta kepentingan.
Pihaknya menuntut supaya diberikan pampasan kepada mangsa banjir dan juga menggesa agar penelitian semula dilihat pada semua rancangan pembangunan serta diumumkan langkah bersepadu menangani banjir.
Peringatnya juga, jangan dimunculkan trauma ke atas ehwal awam atau bersikap lepas tangan membiarkan rakyat menanggung semua akibat tersebut. - HARAKAHDAILY 16/9/2017
Hasil carian imej untuk guan eng
Kokok berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi..
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semoga tak ada lagi si dungu yang berfaham 'Kelantan berlaku banjir kerana PAS tebang balak'. Mengampu pun takat patut saja, Pulau Pinag tak tebang balak pun banjir jagak. Konon masalah banjir di Pahang boleh diatasi oleh pemimpin DAP beberapa hari saja. Sampai sekarang banjir di P.Pinang tak selesai lagi. Porrah!

Saturday, September 16, 2017

PPBM Pecah Lagi, N/Presiden Pula Keluar Parti.


Selepas Pengasas Keluar, Naib Presiden PPBM Pun Sama

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus dilanda kemelut apabila Naib Presiden, Datuk Hamidah Osman meletak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Ia diumum tidak sampai 24 jam selepas pengasasnya, Anina Saadudin berbuat demikian. Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bersetuju menerima keputusan itu.
“PPBM menghormati keputusan beliau dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya  dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Terdahulu, Anina mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini kerana meendakwa PPBM tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan tahun lalu, sebaliknya berasa diperalatkan demi kepentingan politik individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme.
Beliau mendakwa ia termasuk cara `kejam’ beliau dipecat daripada jawatan Ketua Srikandi, kemudian digugurkan sebagai ahli MPT, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti di Muar, Johor pada 9 September lalu.
“Walaupun asalnya parti ini ditubuhkan untuk membela kepentingan rakyat, ia kini tidak lagi mendukung prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran dan perjuangan,” katanya pada sidang media, di Bangi, hari ini.
Minggu lalu, Anina mendakwa tidak menerima undangan menghadiri sambutan ulang tahun pertama PPBM, namun Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua individu boleh menghadiri majlis itu.
Pada 19 April lalu, bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, mengumumkan keluar parti bersama 821 ahli parti serpihan itu di seluruh negara.
Ini diikuti pada 25 Ogos lalu apabila 250 ahli parti berkenaan keluar parti di Dungun kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju serta perjuangannya.
Anina berkata, keputusan parti perlu mengambil kira suara ahli dan bukan secara unilateral iaitu pemimpin atasan semata-mata.
Beliau mendakwa, tiada individu patut menentukan perjalanan parti dan memberi imuniti kepada mana-mana pemimpin untuk terus menekan, mencantas dan menikam belakang sesiapa saja dalam parti.
Dengan alasan perjuangannya adalah membela rakyat dan bukan individu, Anina berkata, walaupun sudah membuat keputusan meninggalkan parti itu, namun beliau akan terus bercakap benar walaupun tidak disukai orang lain.
“Pesanan Tun (Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad) kepada saya supaya terus bercakap benar walaupun tidak disukai orang lain akan terus saya pegang.
“Walaupun hari ini kata-kata saya tidak disukai oleh Tun sendiri, saya akan terus bersuara untuk kepentingan rakyat, dan bukan untuk kepentingan mana-mana individu,” katanya. – Agensi

MO

7 Remaja Ditahan Bakar Pusat Tahfiz Sebab Dendam Diejek


Kebakaran Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR – Misteri insiden kebakaran tragik di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini Khamis lalu berjaya diselesaikan pihak polis dua hari selepas kejadian itu.

Ia susulan kejayaan penahanan tujuh remaja lelaki Melayu dalam siri tangkapan dari 6 petang Jumaat hingga 2.30 pagi Sabtu kerana disyaki sengaja bakar pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 murid dan dua warden asrama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mengesahkan, kes serius itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh yang jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dihukum gantung sampai mati.
Malah kes berat tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah khianat bakar harta benda secara sengaja yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Amar turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak menularkan mesej tidak benar kerana boleh memberi kesan kepada siasatan dan proses mahkamah. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu MYNEWSHUB difahamkan, suspek paling tua dikenal pasti berusia 19 tahun dan berasal dari Kelantan manakala seorang lagi rakannya juga berumur 17 tahun pula tetapi berasal dari Kuala Lumpur.
Tiga lagi disyaki berusia 16 tahun namun masing-masing seorang lagi suspek berumur 15 tahun dan paling muda ialah 11 tahun. Kesemua mereka disahkan berasal dari sekitar ibu negara, menurut sumber MYNEWSHUB.
Suspek dipercayai melakukan kebakaran akibat balas dendam setelah marah diejek beberapa pelajar tahfiz dan mereka ada merancang untuk memecah masuk asrama pusat itu bagi mencuri telefon bimbit milik penghuninya.
Bagaimanapun pada hari kejadian, mereka mengubah rancangan untuk membakar langsung pusat berkenaan setelah berbincang di sebuah restoran bersebelahan ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Premis itu kebetulan terletak berhampiran pusat tahfiz tersebut. Justeru pada jam 4 pagi, dua suspek berkenaan telah membeli petrol dari sebuah stesen minyak berdekatan yang diisi dalam sebotol air mineral bersaiz besar.
Sekitar pukul 4.30 pagi, mereka berkumpul di padang belakang pusat tahfiz itu namun suspek paling muda yang turut menyaksikan perbuatan tersebut dilaporkan memanjat masuk ke pejabat PPIM untuk tidur kerana keletihan.
Suspek lain bagaimanapun memecah masuk sebuah kiosk bersebelahan pejabat PPIM untuk mencuri dua tong gas setelah mendapati pintu masuk ke bilik asrama berkunci. Barang itu diletakkan menghala ke arah pintu bilik itu.
Seorang suspek pula mengambil tilam dari tingkat bawah dan diletakkan di tingkat tiga bangunan pusat itu sebelum api dinyalakan dengan menggunakan pemetik api. Mereka melarikan diri dengan menaiki motosikal balik ke rumah.
Amar ketika sidang akhbar tergempar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Sabtu malam mengesahkan kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta untuk perintah reman selama tujuh hari bagi bantu siasatan.
Beliau juga menyatakan bahawa air kencing enam daripada suspek disahkan positif dadah. Ada suspek dikesan pernah memiliki rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan. Antara mereka ada juga tidak lagi bersekolah.
Kes berkenaan ujar Amar masih lagi disiasat polis. Suspek ditangkap hasil maklumat risikan dan bantuan daripada rakaman kamera litar tertutup yang kebetulan terdapat di sekitar pejabat PPIM. – Mynewshub.cc/HAA



Krisis DAP Hingga Kini, Umumkan Wakil Mengundi 2012! -M.Sarawana.

Post Pic

BUTTERWORTH: DAP digesa mengumumkan senarai nama-nama perwakilan beserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan parti pada 2012 yang menjadi kontroversi parti itu sehingga kini.

Ahli DAP Cawangan Bagan Luar, M. Sarawana mahu pengumuman itu dilakukan di kesemua akhbar pelbagai bahasa.

"Kami sudah mohon DAP (umumkan senarai nama untuk) pemilihan semula anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP harus umumkan perwakilan yang layak mengundi semasa pemilihan DAP pada 2012," katanya pada sidang medianya semalam.

Pemilihan 2012 itu tidak akan menjadi pertikaian sekiranya senarai itu diberikan mengikut negeri dan cawangan masing-masing bagi memastikan proses pemilihan itu berjalan dengan lancar dan telus.

Sarawana juga mengkritik kepimpinan parti yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam menjalankan proses pemilihan itu.

"Kami di peringkat akar umbi tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan pada 1 Okt ini. Ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil.

"Anggota-anggota DAP patut berwaspada dengan golongan yang sentiasa memperdaya tipu muslihat mereka kononnya mereka membuat keputusan demi parti tetapi sebenarnya tindak tanduk mereka kelihatan menjurus ke arah mempertahankan kepentingan pihak tertentu," katanya.

Apa yang lebih menghairankan, menurut Sarawana adalah keengganan pemimpin DAP, yang pakar dalam perkara perundangan namun tidak bersuara dan memperbetulkan salah laku dalam parti.

"DAP mempunyai ramai peguam yang selalu berjuang demi individu seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mengapa peguam-peguam DAP ini tidak berjuang untuk membetulkan pemilihan itu.

"Soalan kami apa yang peguam-peguam ini buat demi parti, kami mohon supaya mereka tidak melanggar undang-undang dan memalukan parti. Mereka yang tidak menghormati perlembagaan parti sendiri tidak layak memimpin parti," katanya

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails