Thursday, May 10, 2012

5 Sebab P/Bersih 3.0 Bawa Ke Syurga -N/Aziz

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
 
Perhimpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Dataran Merdeka

Pertembungan Fatwa Di Medan Tahrir
BERARAK berakar di Kuala Lumpur, akar ini pula bermula sebagai aktiviti keduniaan. Namun setiap aktiviti di dunia, Islam mengajarnya, pasti pengakhirnya ialah pembalasan di akhirat. Oleh sebab itu, tingkah laku manusia perlu selari dengan prinsip agama yang membolehkannya sampai  ke syurga. Sama sekali ia tidak boleh selari dengan kahidupan yang menjurus ke neraka.

Mengingatkan peristiwa perhimpunan besar  rakyat Mesir di Medan Tahrir Kaherah, ia berlaku dalam keadaan percanggahan fatwa antara ahli jemaah fatwa Mesir dengan pengerusi majlis ulama sedunia, Dr. Yusof Al-Qaradawi. Jemaah fatwa kata tidak boleh berhimpun, sementara Al-Qaradawi kata boleh berhimpun untuk menentang mungkar.

Perhimpunan di Medan Tahrir, Mesir tanpa restu majis fatwa negara itu

Justeru lebih 10 juta rakyat Mesir keluar menyahut seruan Al-Qaradawi. Hebatnya fatwa Al-Qaradawi itu, regim Mubarak terguling dan suatu pilihan raya diadakan. Syukur ke hadrat Allah, parti sekutu Ikhwanul Muslimun telah menang dan harapnya cahaya Islam terus gemilang di Mesir.

Meskipun di sebalik perhimpunan besar Medan Tahrir ada pihak tidak setuju kerana ada kejadian pertempuran dan kekecohan, namun ia sebagai nilai tribulasi yang mengharmonikan politik bernegara yang sebelumnya bergelumang dengan mungkar menyebabkan pelbagai kekecewaan umat Islam.

Namun kesannya peristiwa di Medan Tahrir itu, muncullah nilai harmoni politik bernegara berteraskan nilai-nilai keadilan sejagat  bertunjangkan Islam. Hakikatnya, urusan menentang perkara mungkar adalah tanggungjawab yang wajib.

Firman Allah SWT:
 Bermaksud:  “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya” (Al-Nahl 16:90).
 Bayang daripada peristiwa perhiumpunan besar Medan Tahrir pastinya tidaklah bertaraf perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Bersih 3.0 adalah sumbangan besar rakyat yang perihatin dengan kemelut politik Melaysia yang masih bergelumang dengan kekotoran yang perlu dibersihkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Justeru Bersih 3.0 adalah bermatlamat untuk menuntut pilihan raya yang bersih agar berlaku suatu proses pemilihan rakyat secara adil dan telus. Matlamat ini tidaklah serupa dengan perhimpunan Medan Tahrir yang mengulingkan regim Mubarak. Maka sewajarnya matlamat Bersih 3.0 dapat disokong sama pihak Majlis Fatwa Kebangsaan.


Namun begitu, lain pula ceritanya apabila Majlis Fatwa Kebangsaan dilihat amat berprasangka terhadap kesedaran rakyat Malaysia yang terluah menerusi perhimpunan Bersih 3.0. Justeru semua pihak harus merenung beberapa persoalan yang dapat memberi penilaian seadilnya kepada loghiknya perhimpunan Berisih 3.0.
Perhimpunan Bersih 3.0 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil...salah ke

Renung 5 Persoalan

Pertama, apakah kerja memasukkan sejumlah pengundi hantu (menyebabkan senarai pendaftaran pemilih jadi kotor) merupakah kerja maaruf? Ketahuilah, kerana wujudnya pengundi hantu itu, ada pihak yang mendapat untung (menang pilihan raya). Sedangkan ia satu taktik kotor. SPR sendiri pun sudah mengakui wujudnya nama-nama pengundi yang identitinya diragui. Ia turut disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu ada nama-nama berkenaan tiada dalam rekod JPN.

Paling diragui, dikatakan masih ada ramai nama pengundi yang umurnya melebihi 100 tahu dan beribu-ribu pula yang telah mati masih kekal sebagai pengundi sah. Justeru segala keraguan senarai pemilih itu pasti bersifat mungkar yang perlu dicegah. Justeru pengundi hantu adalah mungkar yang merosakkan amalan demokrasi dan di sisi Islam sesuatu yang mungkar, ia perlu dicegah.

Jika tidak dicegah, ada pihak yang tidak berpuas hati dengan proses pengundian dan ia memungkinkan pula ada pihak-pihak yang berkepentingan atau yang berkuasa, mengambil kesempatan untuk memastikan atas nama pengundi hantu itu ada pihak yang boleh hadir mengundi.

Kedua, persoalan pengundi hantu itu telah banyak kali dibangkitkan kepada pihak SPR sendiri. Termasuklah atas nama parti PAS dan juga pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah acap kali membangkitkan, malah menyerahkan memerandum kepada SPR agar dapat diselesaikan. Pihak Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar telah berjumpa wakil SPR yang disertai Datuk Nordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha SPR bersama Pengarah SPR Kelantan, dan turut menyampaikan maklumat sama untuk diambil tindakan pembersihan nama pemilih yang diragui termasuk yang mati.

Tidak ketinggalan juga, setiap kali pihak PAS menyertai siri-siri pilihaan raya kecil sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 seperti pilihan raya kecil di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pasir, Manek Urai, Galas, Bagan Pinang, Merlimau dan Kerdau yang kesemuanya pihak parti PAS  sentiasa mengemukakan bukti-bukti mengenai keraguan dan ketidak telusan dalam proses pilihan raya.

Berikutnya pula, menerusi Pejabat Agung PAS, pihak Setiausaha Agung bersama dengan Pengarah Pilihan Raya PAS acap kali mengunjungi SPR berbincang dan menyampaikan pandangan termasuk memorandum untuk SPR mengambil langkah sewajar. Paling terkini lagi, pihak PAS turut menghantar wakil dalam jawatanakasa terpilih parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya.

Namun, kesemuanya tiada hasil yang memuaskan. Dengan sebab itu, pendekatan NGO menubuhkan BERSIH dilihat sebagai saluran untuk rakyat bersama-sama menzahirkan tuntutan bersama agar pihak Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno sekarang mengambil langkah positif ke arah penambahbaikan proses pilihan raya di negaraa ini.

Ketiga, cuba renungkan sejenak sekiranya pihak PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat berada sebagai penguasa Kerajaan, kemudian mengekalkan keadaan senarai pengundi hantu, pengundi mati dan seumpamanya dalam setiap kali pilihan raya, apakah pihak Umno dan Barisan Nasional tidak akan marah? Kita yakin Umno pun akan marah, maka apa sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh marah? Maka seadilnya pihak kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Mohd Najib dapat berlapang dada untuk melakukan sesuatu penambahbaikan pilihan raya. Tidaklah sampai membebankan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membincangkan apa-apa fatwa atas perkara yang sudah terang lagi bersuluh.

Keempat, berhubung dengan maruah fatwa. Sebenarnya menurut rekod, Umno sendiri  sudah banyak kali didapati tidak mematuhi fatwa.  Ia jelas mencabar maruah fatwa itu sendiri. Antaranya berhubung larangan meletakkan kalungan bunga di tugu pahlawan jelas tidak dipatuhi. Begitu juga, pernah Mufti Perak sekarang menegur secara sinis akan perbuatan Perdana Menteri dan isterinya yang hadir ke kuil Batu Caves bersubhat dengan perayaan agama Hindu.

Malah paling besar, berapa ramai pemimpin Umno dan isteri masing-masing yang melanggari (engkar) adab dan hukum pergaulan dalam Islam, sehingga ada pemimpin Melayu (baca Islam menurut hemat Umno) yang menari tanpa menutup aurat di depan khalayak. Sedangkan perintah menutup aurat adalah hukum Allah yang termaktub di dalam Al-Quran. Jelas, Umno sendiri sudah tidak patuh kepada fatwa hinggakan hukum Al-Quran pun tidak dipatuhi. Apakah boleh kita katakan, sang Umno ini, hak Allah pun dia tolak?

Seterusnya yang kelima ketahuilah, sesungguhnya perkara yang dapat menyelamatkan kita di akhirat nanti ialah sejumlah pahala bukannya dosa. Tinggal lagi, bagaimana kita dan pemimpin Umno tetap yakin  bahawa kita akan dapat pahala. Sedangkan pahala itu datangnya dari Allah, kerana Nabi Muhammad sendiri tidak boleh beri pahala kepada umatnya.  Dalam hal ini, kita kena ingat, tatkala kita semua dibangkitkan di akhirat, hanya pahala bakal menyelamat kita. Kerana pahala seumpama ‘foreign currency’  (tukaran antara kebaikan dunia dengan untung akhirat) yang bakal dibentang di akhirat dan pasti menguntungkan sebagi tiket ke syurga.

Firman Allah SWT:
 Maksudnya: Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam “Sijjiin” (Al-Mutaffifiin 83:4-7).
Persoalannya, bagaimana bagi Umno yang berjuang atas nama bangsa itu akan menerima pahala dari Allah. Sedangkan amalan dan dasarnya semacam menjauhi pahala. Antaranya masih mengekalkan nilai pilihan raya yang tidak bersih––kotor, berat sebelah dan tiada ketelusan sehingga banyak perkara yang diragui tentang pilihan raya itu sendiri. 

Apakah semua nilai yang tidak bersih sedang dikawal oleh pemimpin Umno ini tidak akan disoal di hari pembalasan kelak?  Kita yakin, pemimpin Umno pun masih ingat akan hari pembalasan. Sesungghuhnya Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya :
Maksudnya: Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan – Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan (Al-Mutaffifiin 83:11).
Natijahnya untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak semestinya dengan pahala. Justeru itu, kita kena ikut landasan iman dan ehsan bagi meningkatkan amalan ibadat dan asas-asas ketakwaan kita terhadap perintah Allah SWT.

Maka lihatlah kepada perjalanan demokrasi di negara ini sekarang, mana-mana yang bercanggah dengan nilai-nilai keimanan dan kehsanan serta meruntuhkan ketakwaan pastikan ia diperbaiki demi mencapai keredaan Allah. Hanya keredaaan Allah jua bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak. (IH/Hrkh)

Wednesday, May 09, 2012

Khalwat: Beego Tak Mengaku Salah. Mengapa?



KL: Penyanyi dan pelakon Beego (gambar) bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, Selasa.

Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda.

Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini. Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kelima-lima tertuduh hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes berkenaan pada 10 April lalu. Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri.

Terdahulu Shaiful Azli turut menasihati dua wanita berkenaan agar bertaubat atas perbuatan itu kerana Allah memberi mereka ujian untuk menyedari kesilapan yang dilakukan. “Saya ingin petik nasihat Saidina Umar, sekiranya kesalahan itu adalah perbuatan pertama, Allah akan menutup aib kamu tetapi jika ia dilakukan berulang kali, maka Allah sendiri akan membuka aib itu. Jadi, pilihlah untuk kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 Jun 2012 untuk perbicaraan Beego bersama dua rakan lelakinya itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Lima ditangkap di bawah tuduhan khalwat, di tempat yang sama, kesalahan yang sama. Tidak hadir mahkamah, hingga keluar waran tangkap. Mengapa jadi begini? Apakah kerana mahkamah syariah lebih rendah tarafnya dari mahkamah biasa?

Kerana itu, Mahkamah Syariah perlu diperjuangkan supaya naik taraf, berwibawa dan diperluaskan fungsinya, biar sejajar atau tertinggi sesuai dengan kesyumulan  Islam, agama bagi Persekutuan. (IH)

2.5 Juta Rakyat M'sia Bujang, Perlu Skim Kahwin Mudah?

KL: Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu, 60.4 peratus adalah lelaki.

Bancian itu juga mendapati, purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000 manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong di Dewan Negara di sini semalam.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Islam menggalakkan perkahwinan. Terdapat banyak nas dan dalil Al-Quran serta hadis tentang galakan dan saranan perkahwinan..

"Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah SWT Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui" (Surah An-Nur 24:32)

"...maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil diantara (isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..." (Surah An-Nisa' 4 : 3)
 

Dalam nas Hadis sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud: "Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku" (riwayat Al-Bukhari)
 

Antara nas Hadis Baginda yang lain yang sangat memberikan galakan kepada golongan remaja yang mampu supaya berkahwin demi menjaga agama dan kehormatan diri ialah sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri" (riwayat Bukhari dan Muslim)



Maka perlu diwujudkan skim kahwin mudah di kalangan remaja Malaysia.  (IH)

Sebelum ini..
Thumbnail 6:27

zina senang, kahwin susah!! siri 1.wmv

by ibnuhasyimchannel 1 day ago 0 views
Thumbnail 4:32

Pelajar Suntik Asid Amino, Wajarkah?

SEBUAH kelas di Sekolah Tinggi Xiaogang di wilayah Hubei dilengkapi dengan sejumlah tiub asid amino. 

BEIJING - Pelajar-pelajar di China sanggup menggunakan suntikan asid amino sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan memasuki kolej, lapor sebuah akhbar semalam. Beberapa gambar yang tersebar di laman web menunjukkan terdapat tiub-tiub asid itu digantung di dalam kelas di Sekolah Tinggi Xiaogang di wilayah Hubei.

Menurut akhbar China Daily, seorang pegawai sekolah, Gao Pingqiang berkata, suntikan asid itu popular dalam kalangan pelajar kerana ia tidak mendatangkan kesan berbahaya terhadap kesihatan.

"Pihak sekolah tidak akan menghentikan suntikan itu. Kami akan terus memberinya jika pelajar mahukannya," kata kata Pingqiang.

Seorang lagi pegawai sekolah memberitahu, asid amino mampu memperbaiki fizikal pelajar dan meningkatkan tenaga mereka. - AFP

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Di Malaysia, wajarkah dibenarkan buat begitu? Kementerian bertanggung jawab perlu buat penyeidikan segera, sebelum ianya melanda negara ini..

Bush Diadili Di M'sia, Wanita Iraq Dedah Disiksa...

KL 8 Mei 12: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur mendengar pengalaman menakutkan seorang bekas tahanan wanita di penjara Abu Ghraib yang terpaksa berdepan seksaan tentera Amerika di Iraq pada 2004.
  
Jameelah Abbas Hameedi, 57, yang pernah mengetuai Kesatuan Kerjasama di Kirkuk, Iraq, berkata beliau ditendang seperti binatang, ditolak keluar dari kenderaan sebelum diheret di atas jalan raya dan dicampak dari dinding ke dinding.
  
Ibu tiga anak itu, yang kini menetap di Syria, berkata bagaimanapun pengalaman terburuknya adalah ketika kepala beliau dan anak gadisnya ditutup sebelum mereka dibawa ke suatu kawasan terbuka dalam penjara itu.
  
"Saya terdengar sedas tembakan dan seorang tentera memberitahu anak gadis saya telah dibunuh. Saya amat lega ketika melihat dia berada berhampiran selnya pada keesokan hari," katanya.

Jameelah turut mendakwa pakaian dalam beliau dilucutkan di depan anak saudara lelakinya oleh tentera Amerika yang berkeras mahu mendapatkan pengakuan bahawa beliau telah membantu pihak yang menentang pencerobohan di Iraq.

Beliau merupakan saksi ketiga yang memberi keterangan kepada tribunal berkenaan semalam yang mendengar pertuduhan jenayah perang serta penyeksaan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat George W.Bush dan tujuh sekutunya.

Kepada soalan Profesor Gurdial Singh Nijar, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berhubung bantuan perubatan ketika dalam tahanan, Jameelah berkata beliau diberikan minyak untuk merawat kecederaannya.
  
Tribunal itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Professor Salleh Buang dan Datuk Mohd Saari Yusuf.

Jameelah, yang memberi keterangan dengan bantuan seorang penterjemah bahasa Arab, turut memberitahu tribunal itu dia terpaksa menjalani satu pembedahan di kaki tanpa sebarang ubat bius ekoran kecederaan akibat diseksa tentera Amerika.

Katanya, ketika dunia mengetahui tentang apa yang berlaku di penjara Abu Ghraib, beliau telah ditahan di situ hampir enam bulan.
  
Perbicaraan disambung hari ini.

- Bernama

Mahasiswa Berpesta Arak, Awasilah Jangkitannya.

Gambar atas siswa-siswi dalam Pesta Arak di Cambridge.

Cambridge: Ribuan mahasiswa beberapa universiti ternama di England bergelimpangan di sebuah taman kota, tertawa, dan berlaku macam orang gila. Mereka mabuk akibat minuman keras, dalam sebuah acara dinamakan Minggu Caesarian.


Diberitakan Daily Mail, Isnin 7 Mei 2012, lebih dari 2,000 siswa-siswi berbagai universiti di kota Cambridge tumpah ruah di taman kota sambil menenteng botol miras. Tanpa malu-malu, siswa yang mabuk membuka seluar, muntah-muntah dan kencing bertaburan.


Beberapa pasangan terlihat berada di posisi 'adegan ranjang', sementara kawan-kawan mereka menertawakan sekelilingnya. Sungai kecil di taman juga penuh dengan mahasiswa mabuk dengan hanya berseluar dalam. Aksi paling terkenal adalah, meminum miras dari kondom yang dilakukan oleh mahasiswi.


Aksi ini berlangsung dari Sabtu malam hingga keesokan harinya. Mahasiswa yang mabuk tidur merata-rata di atas rumput. Beberapa dibawa ke rumah sakit oleh ambulans yang telah disediakan. Polis juga berjaga di lokasi, setelah beberapa pemabuk buat hal.


Warga sekitar menyaksikan langsung semasa beberapa mahasiswa merosakkan acara musik di taman itu. "Saya tidak percaya apa yang saya lihat. Ini adalah tindakan menjijikkan oleh orang-orang yang sepatutnya  terpelajar," kata ibu dua anak, Tracy Burton, dari kota Cambridge.


"Kami ke taman untuk jalan-jalan bersama anak-anak kami, banyak keluarga lainnya juga di sini, dan kami terkejut. Mahasiswa-mahasiswa itu setengah telanjang, berteriak, menyumpah dan bernyanyi kuat." lanjut Burton lagi.


Akibat peristiwa tersebut, puteri Burton yang berusia empat tahun trauma dan tidak ingin kembali ke taman.


Minggu Caesarean adalah tradisi setiap musim panas mahasiswa Cambridge menyambut pelajaran tahun baru. Pesta ini diprakarsai oleh 20 mahasiswa yang bergabung dalam klub minum Caesarian dari Universiti Jesus, Green Giant dari Universitas Girton.  

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Inilah bentuk pemimpin-pemimpin negara Eropah akan datang yang akan menjangkiti virusnya ke negara Asia-Afrika, kalau tidak dibendung dari awal. Awasilah jangkitannya ke negara-negara umat Islam! (IH)

Petani China Bina K/Selam, B'mana Kalau ATM Kita?


SEORANG pekerja mengecat kapal selam mini yang dibina Wuyi. 
JOM KREATIF

BEIJING - Seorang petani, Zhang Wuyi membina enam buah kapal selam mini yang boleh memuatkan dua orang untuk membawa hidupan marin seperti gamat.

Wuyi yang memiliki minat mendalam dalam ciptaan saintifik telah menguji sebuah kapal selamnya di kolam buatan manusia dekat sebuah limbungan kapal di Wuhan, dalam wilayah Hubei kelmarin.

Sebuah kapal selam ciptaan petani berusia 37 tahun itu telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan di Dalian pada harga AS$15,855 (RM48,500).

Media tempatan melaporkan kapal selam itu boleh menyelam pada kedalaman antara 20 hingga 30 meter dan berada di dalam air selama 10 jam. - Reuters

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bagaimana kalau Angkatan Tentera kita berusaha mewujudkan ciptaan seperti ini demi kepentingan ketenteraan negara masa depan? Contohnya seperti kapal selam kecil ini, kereta terbang dan lain-lain. (IH)

 Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (1)
E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (1)
E-Buku IH-53: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (2)
E-Buku IH-53: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..' (2)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails