Tuesday, April 23, 2024

Konflik Israel Iran 2 PAS M'sia bersama Palestin.


PAS bersama Palestin tidak berbelah bahagi

APABILA Almarhum Mufti Palestin, Syeikh Amin al-Husaini dan beberapa orang pemimpin Islam mengadakan muktamar bagi mempertahankan Palestin pada tahun 30-an, pemimpin-pemimpin Islam dijemput menyertainya termasuk tokoh Islam yang mewakili Tanah Melayu. Mereka bersama-sama menentang penubuhan negara haram bernama Israel oleh kumpulan Zionis dan Freemason yang merancang menjadi kuasa besar tunggal kaum Yahudi bagi mengembalikan semula sejarah Nabi Sulaiman AS. Hakikatnya, Baginda AS menakluk dunia atas nama Islam, bukan kebangsaan Yahudi. Maka, perancangan Zionis tersebut nyata kesesatannya.

Kebanyakan raja-raja dunia, pemimpin negara, para saintis dan ahli falsafah yang tersohor menjadi sasaran sehingga dapat dipengaruhi oleh gerakan Freemason dan Zionis bagi melaksanakan agenda serta perancangannya dalam semua lapangan negara dan antarabangsa.

Almarhum Jeneral Jawwad Rif‘at Atal Khan, mantan pegawai tinggi perisikan Turki ‘Uthmaniyyah berjaya mendapat maklumat hasil penyiasatan terhadap ejen-ejen Freemason dan Zionis yang berjaya ditahan sehinggakan ia dibukukan. Sebahagian daripadanya didedahkan dalam buku Protokol Zionis.

Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy, mantan Yang Dipertua PAS yang ke-3 pernah mengembara ke Palestin dan Turki. Ketika berada di Palestin, beliau ditahan selama beberapa hari oleh pihak British kerana terlibat dalam bantahan terhadap Pengisytiharan Balfour, melalui demonstrasi yang dilakukan pada tahun 1936.

Pada tahun 1948, penubuhan negara Israel akhirnya diisytiharkan dengan sokongan semua kuasa besar melalui pelaksanaan Perjanjian Sykes–Picot pada tahun 1916 dan Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917. Termasuk juga penglibatan para pemimpin negara Arab dan Islam yang berjaya diletakkan di bawah naungan gerakan Freemason dan Zionis secara langsung, sama ada menjadi ahli ataupun rakan dalam kumpulan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau media antarabangsa yang berada di bawah pengaruhnya.

Para pemimpin Islam mengisytiharkan jihad bagi menentang penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, namun ia telah digagalkan secara bersama oleh negara-negara Islam dan Arab yang terdiri daripada kumpulan sekular yang menerima pengiktirafan negara haram Israel mengikut pengaruh Barat. Sehinggakan, ia sekali lagi dirancang selepas kejayaan Israel menawan Bait al-Maqdis dalam perang 1967 apabila berjaya mengalahkan negara Arab dalam masa enam hari. Diikuti termeterainya Persidangan Madrid, Perjanjian Oslo, dan Perjanjian Camp David dengan cadangan penyelesaian dua negara (two-state solution) bagi Arab Palestin dan Yahudi Israel.

Perkembangan ini menjadikan sebahagian besar negara Islam dan pemimpinnya akur mengalah dengan menerima wujudnya konsep dua negara. Pada masa yang sama, Israel tetap berdolak-dalik tidak menerimanya dengan terus membawa masuk kaum Yahudi datang berhijrah dari seluruh pelosok dunia sehingga mengisytiharkan Bait al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel.

Pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama kerajaan, parti dan badan bukan kerajaan (NGO) menyokong perjuangan Palestin menentang kezaliman Zionis dengan istiqamah.

Namun, PAS berbeza dengan pihak yang lain kerana PAS menolak penyelesaian dua negara yang disokong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini yang bersama Barat mendukung penyelesaian dua negara tersebut dan menyokong Palestin secara ‘dibelah-bahagi’.

PAS bersama gerakan Islam (Hamas), Tanzim Jihad, Ansarullah, dan semua kumpulan Islam, serta negara Iran, Syria dan Algeria, menolak wujudnya negara haram Israel.

PAS hanya menerima satu negara Palestin yang tidak dibelah bahagi yang dikuasai oleh Islam bermasyarakat majmuk.

Dua negara Islam telah mengiktiraf Israel sejak awal, iaitu Turki sehingga kini dan Iran pada zaman Syah Iran, namun dibatalkan selepas Syah digulingkan oleh revolusi Islamnya yang mengharamkan negara Israel.

PAS berpegang kepada hukum Islam bahawa Palestin adalah milik Islam dengan nas al-Quran. 

Ikuti selanjutnya ABDUL HADI AWANG Presiden PAS Bertarikh: 13 Syawwal 1445 / 22 April 2024 – HARAKAHDAILY 22/4/2024

Sunni, Syiah: Islam perlu bersatu menentang Zionis 

KUALA LUMPUR: Umat Islam digesa bersatu padu membina kekuatan tanpa mengira Sunni atau Syiah kerana masa depan dan kepentingan umat Islam Palestin perlu diutamakan dan musuh utama umat Islam ialah Zionis laknatullah.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, kesatuan ummah adalah asas kekuatan manakala kepentingan agama dan umat Islam seharusnya mendahului kepentingan lain. 

Beliau berkata, terkini sudah menghampiri tujuh bulan saudara kita di Gaza Palestin dizalimi dengan tindakan luar batasan kemanusiaan yang tidak mampu untuk digambarkan.

“Serangan jahat rejim Israel sudah membunuh lebih 34,000 nyawa sepanjang enam bulan perang di Semenanjung Gaza yang diduduki. Seramai hampir 80,000 orang cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023 menyebabkan perpindahan dan kemusnahan besar-besaran. 

“Serangan berterusan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. Lebih 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung rosak atau musnah sepenuhnya. Bertambah malang, kebuluran terus berlaku di Gaza.

“Justeru, hanya akses yang berterusan dan lebih banyak bekalan diperlukan bagi menyelamatkan nyawa mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. Dukacita dirasakan menurutnya apabila melihat keadaan umat Islam yang masih tidak dapat membina kata sepakat dalam isu Palestin.  

“Apakah peranan negara-negara Islam yang berjiran dengan Palestin? Lebih teruk lagi ada yang masih membakar api perpecahan antara Sunni dan Syiah apabila Iran mengambil tindakan ke atas kejahatan Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Konflik Israel Iran 2  PAS M'sia bersama Palestin. Apa lagi, bila kempen politik AS telah mengisytiharkan Islam sebagai musuh baharunya sejak awal 1990-an selepas kejatuhan Soviet Union dulu lagi. (Sila rujuk 'HARAKAHDAILY 22/4/2024')

No comments:

Post a Comment