Thursday, July 21, 2022

Suhu UK 40 darjah Celsius. M'sia X kurang beras.

 

Gelombang haba yang menyemarakkan kebakaran hutan ganas di Eropah menyebabkan suhu di Britain melebihi 40 darjah Celsius buat kali pertama semalam selepas rekod haba serantau merosot di Perancis. - Foto AGENSI

1. Suhu UK cecah 40 darjah Celsius buat pertama kali

LONDON: Gelombang haba yang teruk mencetus kebakaran hutan di Eropah barat, yang melonjakkan suhu di Britain hingga melebihi 40 darjah Celsius buat pertama kali semalam dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain.

Beberapa kebakaran kawasan terbuka berlaku di pinggir London, dengan satu daripadanya memaksa 14 penduduk dipindahkan berikutan kawasan ladang, kediaman dan garaj musnah dijilat api.

Selepas merekodkan suhu malam tertinggi, Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) memaklumkan merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius di Coningsby di timur England, dan sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celsius yang dicatat di Cambridge pada 2019.

Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.

"Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi," katanya.

Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.

Selain itu, operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, menyebabkan ramai pengguna terkandas.

Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.

Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, dengan kebanyakannya terletak di sepanjang pantai barat Atlantik, dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius.

Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol. - AFP


2. Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan beras 

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah kekurangan beras malah simpanan yang ada melebihi jumlah stok di negara jiran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata melalui perjanjian antara kerajaan dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas), syarikat itu dalam tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menyatakan komitmen untuk meningkatkan simpanan stok padi beras negara daripada 150,000 kepada 290,000 tan metrik.

“Kita mempunyai bekalan beras yang konsisten sepanjang tahun, kita ada stok perdagangan, kita ada simpanan stok dan jumlah keseluruhan adalah lebih tujuh bulan daripada keperluan beras negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald turut menyifatkan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas sebagai satu tindakan tepat dalam menampung bekalan beras yang menjadi makanan ruji negara.

Beliau berkata meskipun berdepan pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan negara, Malaysia setakat ini tidak mempunyai masalah bekalan beras kerana Bernas menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan kekurangan bekalan dalam negara ditampung dengan pengimportan beras.

“Saya ingin katakan bahawa keputusan kerajaan ini merupakan satu keputusan yang tepat dan Bernas telah diletakkan sepenuh tanggungjawab untuk memastikan kekurangan beras negara dapat ditampung dengan pengimportan dari negara luar,” katanya.

Beliau menjawab celahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan mengenai rasional keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas selama 10 tahun sebagai pengimport tunggal beras.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju melanjutkan konsesi Bernas bagi pengedaran beras di Malaysia untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 yang antara lain bertujuan menambah baik peruntukan sedia ada terutama berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit 
Singapura Melayu punya.. siri 3


Dikir Marilah Undi Bule


Undilah PAS dan rakan kumpulannya!


PERHATIAN: NO TELEFON IBNU HASYIM.COM TERKINI 014-400 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails