Tuesday, October 07, 2008

Sej. Politik B.Pulau 2: Ceramah PAS DiBaling Batu….


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


ENTAH macam mana, dikatakan kami tubuh PAS cawangan Kampung Perlis dulu tidak melalui PAS Perhubungan Negeri. Memang saya isi borang penubuhannya, dan terus ke ibu pejabat KL, waktu itu di Jalan Pahang Barat off Jalan Pahang. Konon marahlah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang waktu itu. Memang boleh tubuh pun, tapi saya tidak tahu hal itu menyalahi peraturan parti.

Pesuruhjaya PAS itu ialah Allayarham Haji Zabidi bin Ali. Haji Zabidi adalah antara pengasas penubuhan PAS, lahir 1914 di Seberang Perai. Asal dari Sekolah Melayu Seberang Perai, 4 tahun belajar di Mekah dan Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Menjadi guru agama antara 1942- 1964 dan ADUN Pulau Pinang mulai 1974… Pengalaman kepimpinan dan politiknya memang hebat. Pernah jadi AJK Persatuan Melayu Seberang Perai 1947-1948, pengasas dan YDP Perikatan Penanam-Penanam Padi Melayu Seberang Perai 1948-1951, dan YDP Pertubuhan Tani Malaya 1951-1955.

Istimewanya pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya pertama di Malaya 1955. Pernah jadi AJK Pegerakan Pemuda Melayu Seberang Perai, Pegawai Penerangan PAS 1951-1957, Pemangku Setiausaha Agung PAS 1956, dan AJK Perhubungan PAS Negeri Terenganu 1972-1976. (Mengapa AJK Perhubungan PAS Terengganu tidak Pulau Pinang?, Saya akan hurai pada kesempatan yang lain.) Memang peringkat awal nampak macam bercanggah antara saya dengan PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang. Negeri dengan polisinya membekukan sementara percambahan penubuhan cawangan baru.

Sedangkan saya di Balik Pulau terus menggempur penubuhan sebanyak mungkin cawangan. Kadang-kadang percanggahan seperti inilah yang memotivasikan kami, untuk terus menggerakkan PAS. Ini membuat jasa Tuan Haji Zabidi di Balik Pulau sangat saya kenang. Terakhir saya tinggalkan PAS Balik Pulau sekitar 1990an terdapat setiap saloran mengundi ada cawangan penaja, iaitu sebanyak 34 cawangan. Yang telah lulus pendaftaran kira-kira 20 cawangan. Sekarang saya tak tahu berapa..

Terdapat sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pernah kami berceramah di sebuah rumah di Sungai Tiram, di mana ada golongan tertentu yang ‘diupah’ melempari batu, untuk menggagalkan majlis kami. Penceramah waktu itu adalah kawan saya iaitu L.Man Kadir Shamsi, bekas pelakon dan pengarah filem sebelumnya. Saya ingat antara kata-katanya…

“…Jangan ingat kami gentar dengan baling batu ini… Ini! Lihat tangan saya, bekas parut dalam peristiwa berdarah di Lubuk Merbau Kedah masih belum kering lagi!!” Disambut dengan takbir bergemuruh. (Memang dia ada di Lubuk Merbau semasa berlaku peristiwa berdarah itu.)

Sekali dia dan saya datang dari KL kira-kira 2 minggu tinggal di Balik Pulau, mengatur, menyusun program dan kalau tiada penceramah, kami yang berceramah sendiri. Kami tidur di markas PAS Balik Pulau yang kami bina di Kampung Perlis, menelan belanja kira-kira RM30,000. Pernah sepanjang bulan Ramadzan dalam tahun 1986, kami adakan 25 ceramah lepas sembahyang tarawih. Hampir setiap bulan kami datang, waktu itu saya ada agak banyak wang, tapi bukan kaya…

Kadang-kadang lucu juga bila difikirkan, kerana kami yang tulis poster, kami yang tampal dan kami yang berceramah malamnya. Maklumlah, kerana petugas-petugas tak sampai 20 orang mulanya. Kuliah tetap di markas pun dimulakan. Antara tenaga pengajarnya ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi dan beberapa lagi. Sambung kisah tadi… Malam ceramah bersejarah itu, kami terpaksa menunggu hingga siang kerana tuan rumah takut rumahnya diserang lagi. Itulah detik-detik cemas, sedih dan pilu, yang sungguh menyayat hati bersama tuan rumah.

Antara penceramah-penceramah yang pernah berceramah di Balik Pulau waktu itu, ialah Tuan Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Hadi, Mahfuz Omar, Mohd Sabu, Cikgu Wahab Kedah, Mat Izam Perak (sekarang Pimpinan Lajnah Buruh PAS Malaysia), Allahyarham Osman Marzuki, Allahyarham Sheikh Fakhrur Razi, Ustaz Mohd Hussin Kelantan, Kamal Koh & Reduan On dari KL, Yusuf Husin & Ustaz Harun Md Isa yang cedera dalam peristiwa Memali dan ramai lagi.

Sekian kisah sejarah PAS Balik Pulau dalam catatan santai kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober07, 08
Balik Pulau, PP.

Monday, October 06, 2008

Sejarah Politik B.Pulau 1: PAS & ….

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

“SEJARAH PAS Balik Pulau,.. Nak cerita apa?” Saya tanya, ketika ada antara kawan-kawan yang suruh cerita balik, bagaimana saya bersama-sama mereka gerakkan PAS Balik Pulau?

Kebetulan kereta yang mereka pandu bawa saya ini melintasi kawasan Air Putih, simpang tiga antara Permatang Pasir, Titi Teras dan Jalan Baru. “Waktu saya jadi YDP PAS Kawasan Balik Pulau dulu, saya pernah menziarahi rumah itu…” Saya tunjuk kepada mereka.

Rumah seorang tokoh lama perjuangan rakyat Balik Pulau terkenal dengan gelaran ‘Hashim Chairman’. Waktu saya ziarah itu, beliau sedang sakit terlantar di rumahnya.. Maklumlah sudah lanjut usia, beliau dilahirkan di Balik Pulau pada tahun 1912. Latar belakang pendidikannya agak menarik. Dari sekolah Melayu Sungai Pinang, ke Daerattul Maarif Kepala Batas, Sekolah Al-Mashhor Pulau Pinang dan Anglo Chinese School Pulau Pinang. Namanya sama dengan nama ayah saya, iaitu Hashim bin Sulaiman.

Beliau pernah bekerja sebagai operator telefon, wakil akhbar Utusan Melayu & majalah Qalam dan guru Sekolah Nahdatun Al- Shun Al Dinnah, Balik Pulau. Beliau pernah menjadi AJK Kesatuan Melayu semasa pendudukan Jepun bagi Mukim Balik Pulau. Pengasas PKMM atau Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya cawangan Balik Pulau dan pengerusinya (1945-1949). Saya terangkan kepada mereka.

“Apa kena mengena dengan PAS?” Ada yang tanya.


“PAS masih belum ada waktu itu.. Tetapi darah perjuangan Islam tetap mengalir dalam tubuh perjaungannya. Itu sebab, kita jangan sombong bila berjaya menanam benih-benih di atas tanah yang sudah digembur oleh pejuang-pejuang terdahulu. Kita berjaya tubuh PAS Balik Pulau, juga kerana pertolongan kawan-kawan kita yang bukan PAS. Contoh, dari Partai Rakyat (atau PSRM = Partai Sosialis Rakyat Malaya) yang pernah memenangi Parlimen Balik Pulau tahun 1969. Lihat cerita saya sebelum ini ‘Kisah YB Balik Pulau’ di mana jasa Man Dagu (Maaf saya tak tahu nama sebenarnya) tidak dapat dilupakan.

Saya masih ingat lagi nama Non Jenjo (saya tak ingat nama sebenarnya) seorang pengembala lembu yang berani, turut membantu dan mengizinkan rumahnya diadakan ceramah PAS sekitar 1985-1986. Yang saya ingat rumahnya di belakang Pinang Nirai (nama dulu) antara jalan besar Simpang 4 ke Kongsi). Dia juga adalah aktivis Partai Rakyat, tidak takut dan gentar ugutan polis waktu itu.. yang puak-puak ustaz kita pun tak se berani beliau. Begitu juga saudara Umar Usman, beliau mengutus kawannya memberi tahu saya tidak dapat hadir dalam perjumpaan di kedai kopi Sungai Rusa malam beberapa hari lepas, kerana hari sudah larut malam dan badannya pun kurang sihat. Maaf saya tak sempat ke rumahnya selepas itu.

Kirim salam padanya, kalau ada kawan-kawan beliau membaca tulisan ini. Kami pernah berforum bersama-sama di KOMTAR, mengenai masalah Melayu Pulau Pinang berdepan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang waktu itu Dr Ibrahim Saat, dan tokoh S46 Haji Sulaiman Palestin. Begitu juga jasa kawan-kawan lain, walaupun dari UMNO yang menyokong kami dari belakang tabir. Apalagi bila lahir dari turunan mereka pimpinan PAS Kawasan sekarang, seperti Setiausaha Kawasan dan lain-lain.

“Kalau macam tu, YB Parlimen sekarang tak boleh la sombong sangat kerana dapat kemenangan mudah!!” Kata salah seorang dari kami.

Saya meneruskan cerita, “Seorang lagi pimpinan lama PAS yang membantu membangunkan PAS di Balik Pulau ialah Pak Leh atau Haji Idris. Beliau tinggal di Sungai Nibung. Ceramah beliau yang pertama di sini ialah di rumah Haji Ramli, sempadan antara Kampung Perlis dengan Pulau Betong. Beliau hadir mewakili PAS Perhubungan Negeri Pulau Pinang.” Saya masih ingat lagi ceramahnya.

Semasa buku saya ‘1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?’ berada di pasaran pada 1991, seorang ahli PAS dari Bayan Baru menemui saya, katanya seolah-olah membantah, “Hampa (kamu) kata, hampa tubuh PAS Balik Pulau… bagi orang yang perjuangkan PAS sebelum ini di Balik Pulau macam mana? Contohnya Pak Leh, Haji Husin Derani dan ramai lagi..”

Saya akan huraikan lanjutnya dalam tulisan yang akan datang. Yang penting, Pak Leh mempunyai saham yang besar dalam membangkitkan PAS Balik Pulau. Terakhir saya jumpa Pak Leh di Sungai Nibong beberapa tahun lepas. Sehingga kawan saya berkata, “Pak Leh nampak makin muda, setelah lama tak jumpa. Di samping factor ketenangan dalam perjuangan, mungkin ada rahsia lain lagi..”

“Apa rahsianya, bagi tau la. Aku nak menuntut ilmunya?” Saya tanya.

“Tak boleh! Hanya orang yang lalui yang tahu. Atau kena tanya Pak Leh sendiri!!”

Terpinga-pinga saya. Saya diberitahu, Pak Leh baru berkahwin lagi, isteri muda orang Kemboja. Dan kawan saya yang bercakap tadi itupun baru tambah isteri. Tu kot rahsianya???

Sekian catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober06, 08 Balik Pulau, PP.

Saturday, October 04, 2008

Kisah YB Balik Pulau…


Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

KALI ini saya sembahyang raya di Masjid Kampung Perlis Balik Pulau, Pulau Pinang. Kampung kelahiran saya., Ramai kawan-kawan lama yang saya temui. Maklumlah kami sama-sama pernah menggerakkan PAS di kawasan itu, dan saya bertanding dalam PRU DUN Teluk Bahang 1986 dan DUN Bayan Lepas 1990, tapi tak lekat jadi wakil rakyat. Lepas sembahyang, saya berhari raya di rumah salah seorang antara mereka.

“Ni! Rumah aku ni jadi bukti, dulu pernah adakan ceramah PAS, hingga ada sekumpulan anak-anak muda disuruh bunyikan enjin motosikal kuat-kuat ganggu majlis ceramah kita. Hang ingat dak?” Kata seorang yang kami berziarah di rumahnya pagi itu. “Lepas majlis ceramah diadakan, zink rumah aku yang dapat bantuan melalui JKK Kampung tersangkut dibumbung itu, pun ditarik balik kerana kami sanggup membenarkan ceramah PAS diadakan di rumah yang dapat bantuan kerajaan.” Katanya lagi.

“Bukan itu saja, tuan-tuan rumah yang membenarkan ceramah PAS itu sentiasa diugut dan terpaksa berulang-alik ke balai polis. Ni, perangai buruk puak-puak UMNO dan BN yang mengaku nak tolong orang Melayu tu. Porrah! Patut la depa kalah dalam PRU lepas.” Tambah seorang yang lain.

“Ni.. satu lagi masalah. Wakil parlimen kita la ni tak pernah nampak muka pun, bersama-sama dalam majlis rakyat. Dah 7 bulan lebih jadi wakil rakyat, Masjid Kampung Perlis pun tak pernah pijak lagi.. Dia nampaknya, tak minat nak berkawan dengan orang-orang masjid.. seronok berkawan dengan mat-mat rempit.. keanak-anakan sikit..” Seorang lagi menambah,sambil tuding jari pada saya, katanya, “Aku minta hang tulis benda ni, masuk weblog hang!”

(Cik Gu Mat Isa (kiri) bersama penulis)

Malamnya, saya bersama seorang kawan lama Cik Gu Mat Isa, kami sampai di sebuah kedai minum tepi jalan di Kampung Sungai Rusa selang beberapa kampung dari Kampung Perlis… Juga kami dengar perbincangan mengenai topik yang sama. “Hari ini berlaku banjir di sini, melibatkan puluhan buah rumah. Wakil parlimen kita pun tak nampak muka. Kita bukan nak duit dia, kita nak dia jenguk rakyat miskin saja!” Kata seseorang yang baru sampai kerana pergi menyelesaikan masaalah banjir di sini hingga larut malam.

Tiba-tiba seseorang datang…

“As-salamu ‘alaikum?. Saya datang dari Kampung Perlis nak bagi tau pasai ada mayat!...” dan seterusnya pemberitahuan dan jemputan ziarah atau sembahyang jenazah pada pagi besok di kampung itu.…

“Ha!” Kata Cik Gu Mat Isa macam terperanjat. “Mai kita uji wakil rakyat parlimen kita! Kita telepon dia la jugak. Beritahu berita ini dan jemput dia. Tengok apa rekasi ...”

Seseorang pun menelefon. Telefon berjawab. Pemberitahuan dibuat, dan dia YB itu bersetuju untuk hadir besok hari. Cik Gu Mat Isa membuat rumusan… “Hampa (kamu) tengok la ni jam pukui berapa? Hampir pukui 1-30 pagi. Ini menunjukkan dia memang wakil rakyat yang prihatin, kerana dalam waktu begini pun dia boleh jawab telepon. Dan.. besok kita tengok dia hadir ke dak? Kalau tak hadir, memang betul apa yang hampa kata..”

Saya dan Cik Gu Mat Isa pun pulang, dan singgah di tempat mayat seperti yang disebutkan. Setengah jam kemudian, kelihatan sekumpulan anak-anak muda datang. Rupanya, mereka diketuai oleh YB Parlimen Balik Pulau, yang umurnya pun saya agak kira-kira 30an. Tak tunggu besok pagi atau tengahari lagi, sekarang sudah sampai. Bagus le tu, cuma setelah besoknya semasa sembahyang jenazah seorangpun dari mereka atau wakilnya tidak nampak muka.

Sebelah malamnya pula, seperti biasa saya dan Cik Gu Mat Isa round lagi melihat permasalahan rakyat. Kali ini kami makan nasi kandar disebuah restoran mamak di penerunan jalan baru ke Tanjung, di pekan Kongsi. Tiba-tiba dua anak muda datang bersalaman..

“Saya kenal Encik dengan nama Ibnu Hasyim, tapi saya tak tahu nama sebenar. Saya anak asal Balik Pulau, tetapi tinggal di Terengganu. Saya sering melayari blog anda.” Kata seorang dari mereka.

“Ini cik gu saya dulu.” Kata yang seorang lagi kepada saya sambil bersalaman dengan Cik Gu Mat Isa dan perkenalkan pada saya.

“Ini anak Man Dagu. Maaf, terpaksa sebut gelaran supaya hang kenai!” Cik Gu Mat Isa perkenal balas pada saya pula.

“Ya. Bukan saja saya kenal, bahkan beliau ayah hang amat berjasa kepada kebangkitan pembangkang di Balik Pulau. Bahkan kepada PAS sendiri pun! Saya masih ingat, beliaulah satu-satunya orang berpengalaman mengenai pilihanraya yang membantu kami.. sewaktu kami terdiri dari puluhan anak-anak muda yang menggerak dan menubuhkan PAS di kawasan ini, terpaksa berdepan dengan PRU 1986. Kami sangat terhutang budi, walaupun beliau bukan dari parti PAS.” Jelas saya.

“Nanti!” Kata Cik Gu Mat Isa sambil mengarah kepada saya. “Aku nak pekenai kawan aku ni kat hampa. Dia Haji Muhammad Hasyim. Anak Allahyarham Lebai Hasyim Kampung Perlis. Dia bukan saja penulis blog, tetapi juga orang yang mula-mula bawa masuk PAS di kawasan kita ni, walaupun dulu dah ada.. Aku teringat waktu kami sama-sama berada di rumah Allahyarham Tuan Haji Yusuf Rawa, Presiden PAS waktu itu, Allahyarham menepuk bahu Haji Muhammad sambil berkata, ‘Dah puluhan tahun dulu aku pimpin PAS Pulau Pinang, tapi baru sekarang ini hang mampu tubuh cawangan PAS seperti di Kampung Perlis, Pulau Betong, Permatang Pasir dan lain-lain. Aku hormat kat hang.’ Ertinya Presiden PAS waktu itu mengiktirafnya.”

“Beginilah..” Kata anak Man Dagu pula. “Maaf, aku alih cerita sikit, baru-baru ini aku jumpa ramai orang-orang Cina di pekan Kongsi ini yang pernah aku rayu undi supaya pangkah pembangkang pada pilihan raya hari tu... Depa kata mana wakil rakyat hang yang menang tu, muka pun tak nampak? Lain kali kami tak boleh ikut cakap hang lagi. Aku jadi malu..”

“Baiklah, ringkaskan.. apa masalahnya sekarang?” Potong Cik Gu Mat Isa.

Masalahnya…

1..Wakil Rakyat parlimen Balik Pulau dari Pakatan di katakan tidak melawat kawasan, berbanding wakil DUN dari BN.

2..Tidak sensitive dengan kesusahan rakyat. Contohnya di kampung dia sendiri.. ada seseorang yang sakit berpanjangan dan perlukan bantuan tidak pernah diziarahinya. Apa lagi nak bantu? Nama dan alamatnya ada pada saya. Dan saya sanggup bertanggung jawab atas kenyataaan saya ini.

3..Mana front pembantu rakyat dari PKR dalam kes banjir di Sungai Rusa sekarang ini? Yang ada cuma Yunit Amal dari PAS.

4..Masih belum nampak aktiviti-aktiviti membantu rakyat. Yang dikatakan ada kononnya kelas guaman, yang tidak dapat sambutan. Acara-acara dia dalam tv, kononnya dia mengkaji pertarungan politik di Amerika seperti Obama, tidak nampak menguntungkan apa-apa kepada rakyat Balik Pulau.

5...Hal-hal seperti ini perlu ada dan dipanjangkan kepada Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikianlah, lebih kurang yang saya ingat, kata-kata anak Man Dagu itu… antara isu-isu yang bertiup kencang di Balik Pulau pada masa ini. Saya kurang pasti samada yang dikatakan masalah itu benar-benar berlaku, atau hanya mainan musuh-musuh politik Pakatan Rakyat. Wallahu ‘aklam.

Demikianlah catatan santai di aidufitri kali ini. Insya Allah bertemu lagi akan datang…

Catatan santai: ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Oktober02, 08
Balik Pulau, PP.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails